Categories
AGENDA NASIONAL

Mekanik mengaku salah halang penjawat awam laksana Ops Covid-19

SUNGAI SIPUT, 23 MAC: Seorang mekanik menjadi individu pertama didakwa kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas pemantauan Ops Covid-19, susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan selama 14 hari mulai 18 Mac lepas.

S. Punniamurthy, 33, mengaku bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob di sini, hari ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Punniamurthy didakwa dengan sengaja menghalang seorang pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan menjalankan tugas pemantauan, dengan enggan menunjukkan pengenalan diri di hadapan rumahnya di Persiaran Orkid 8, Taman Orkid, Sungai Siput (U) pada Jumaat lepas, selain menolak pegawai berkenaan ke tepi jalan.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Jean Siow Chung Hwei memohon mahkamah mengenakan hukuman maksimum, untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Peguam Kebangsaan Nurul Hanis Mohd Zaini yang mewakili tertuduh, memohon mahkamah mengenakan hukuman minimum atas alasan tertuduh hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM1,500 sebulan, perlu menjaga ibunya dan tidak pernah disabitkan kesalahan jenayah.

Majistret Norhabsarina kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara 10 bulan jika gagal membayarnya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Halang tugas penjawat awam, KDN serah siasatan kepada polis

KUALA LUMPUR, 14 APR: Kementerian Dalam Negeri menyerahkan siasatan kepada polis berhubung isu sekumpulan lelaki yang dipercayai bertindak memeriksa sebuah kererta peronda polis (MPV) semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau semalam.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, semua penyokong parti politik diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak mengambil sebarang tindakan yang melanggar undang-undang.

“Berhubung isu beberapa individu yang dikatakan penyokong parti Pakatan Harapan bertindak memeriksa kenderaan polis semasa PRK DUN Rantau, saya ingin menyeru semua pihak supaya patuh kepada undang-undang,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook rasminya hari ini.

Dalam pada itu, Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, mengesahkan satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu dan membolehkan siasatan dijalankan.

“Ia ekoran kejadian menghalang penjawat awam menjalankan tugas rasmi di mana kumpulan lelaki itu dirakam (video) memaksa dua anggota polis membuka but MPV polis kerana didakwa membawa lebihan kertas undi semasa PRK DUN Rantau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 341 Kanun Keseksaan.

Katanya, Seksyen 186 adalah kerana menghalang tugas penjawat awam yang mana jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda maksmum RM10,000 atau kedua-duanya.

Seksyen 341 kerana menghalang seseorang dengan salah dan boleh diambil tindakan penjara boleh sampai sebulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya, katanya.

Abdul Hamid berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan di luar batasan undang-undang dengan menghalang mana-mana penjawat awam daripada menjalankan tugas rasmi mereka.

“Sila laporkan kepada polis jika terdapat sebarang maklumat yang menjurus kepada pelanggaran undang-undang dan jangan sesekali mengambil tindakan di tangan sendiri,” katanya.

Rakaman video berdurasi 46 saat itu tular di laman sosial menunjukkan beberapa lelaki menahan kenderaan MPV polis dan memeriksa but kereta namun hanya menemui peralatan keselamatan dan peti ubat.

SUMBER: BERNAMA