Categories
AGENDA NASIONAL

Perkukuh kerjasama sasar sifar HIV, AIDS menjelang 2030 – menteri

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru semua pihak bersama menggembleng tenaga dan memperkukuh kerjasama pintar bersama kerajaan, sebagai usaha memastikan matlamat sasaran sifar HIV/AIDS menjelang 2030, dapat direalisasikan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata menerusi kerjasama itu aktiviti pencegahan, kawalan, rawatan serta jagaan pesakit HIV/AIDS akan dapat diperkasakan sekali gus mampu menangani kes penyakit terbabit di negara ini.

“Saya menyeru semua pihak termasuk kerajaan, sektor swasta, badan badan bukan kerajaan, badan korporat dan juga masyarakat untuk bersama-sama menggembleng tenaga dalam menangani HIV/AIDS dan isu berkaitannya.

“Ini sejajar dengan tema sambutan Hari Kesedaran AIDS Sedunia tahun ini iaitu ‘Solidariti Sejagat Tanggungjawab Bersama’,” katanya ketika berucap secara maya merasmikan Hari Kesedaran AIDS Sedunia 2020 peringkat kebangsaan hari ini.

Beliau berkata sambutan Hari Kesedaran AIDS itu yang disambut 1 Dis setiap tahun perlu menjadi platform untuk semua pihak memperbaharui komitmen dan tekad bagi mempergiatkan usaha bersama dalam menangani jangkitan HIV/AIDS.

Dr Adham berkata kerajaan telah menjalankan pelbagai aktiviti pencegahan, kawalan, rawatan dan jagaan HIV/AIDS sejak 1985 dan bermula itu banyak perubahan positif yang berlaku.

“Malaysia pernah mencatat bilangan kes HIV tertinggi iaitu 6,978 kes pada 2002 dan telah menyaksikan penurunan kes sebanyak 50 peratus pada akhir tahun 2019.

“Negara kita juga telah dapat mengekalkan kadar jangkitan vertikal HIV dari ibu ke anak pada kadar di bawah dua peratus dan memastikan ia tidak menjadi ancaman kesihatan awam,” katanya.

Menurut Dr Adham peratusan jangkitan HIV baharu dalam kalangan mereka yang menyuntik dadah juga menurun iaitu daripada 5,176 kes pada 2002 kepada 164 tahun lepas.

Katanya, selain itu pemberian ubat antiretroviral (ARV) kepada mereka yang hidup dengan HIV (PLHIV) juga telah dipertingkatkan iaitu dari 28 peratus pada 2015 kepada 57 peratus tahun lepas.

“Bagaimanapun, peningkatan ini masih rendah jika dibandingkan dengan sasaran 90 peratus dalam usaha kita mengakhiri AIDS,” katanya.

KKM juga ingin mengingatkan mereka yang hidup dengan HIV (PLHIV) agar sentiasa mengamalkan normal baharu dalam kehidupan seharian bagi mencegah diri daripada mendapat jangkitan Covid-19,” katanya.

– BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Stigma terhadap penghidap HIV, AIDS masih menebal dalam kalangan masyarakat?

Oleh Muhammad Basir Roslan

Artikel ini bersempena Sambutan Hari AIDS Sedunia yang disambut setiap 1 Dis.

KUALA LUMPUR, 30 NOV: “Saat suami meninggal dahulu (11 Mei 2020), dunia saya terasa begitu gelap gelita kerana kami berdua adalah pesakit hidup dengan HIV (PLHIV) dan sama-sama memahami situasi kehidupan kami, namun saya perlu terus kuat untuk anak.”

Itulah luahan hati kak Yati (bukan nama sebenar) apabila menceritakan kisah hidupnya sebagai seorang PLHIV, dan penulis dapat melihat betapa beliau menahan air matanya saat berkongsi pahit maung kehidupannya.

Bagaimanapun, wanita berumur 44 tahun itu tetap tabah menghadapi ujian hidup, dan berkata biarpun suami sudah tiada di sisi, beliau bersedia menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga mencari rezeki untuk ketiga-tiga anaknya.

Ketika diminta bercerita bagaimana beliau didiagnosa virus HIV, Kak Yati berkata beliau mengetahuinya pada 2008, dan pada ketika itu beliau masih menyusukan anak ketiganya yang berumur satu tahun setengah.

“Saya dan suami disahkan positif HIV ketika kami menjalani ujian saringan di hospital, kami berdua pasrah dengan ketentuan Allah, namun saya tetap risau sekiranya anak yang saya susui terkena jangkitan virus HIV.

“Namun rezeki dari Allah, Allah kurniakan kesihatan kepada bayi saya apabila ujian HIV yang dilakukan doktor menunjukkan keputusan negatif, dan saya bersyukur anak saya semuanya selamat dan bebas daripada jangkitan virus berbahaya ini, ia juga satu anugerah terindah,” jelas beliau ketika dihubungi menerusi panggilan video Zoom, baru-baru ini.

Keluarga masih memahami

Kak Yati bagaimanapun mengakui, pada asalnya beliau risau untuk menceritakan situasi kehidupannya walau kepada ibu bapa dan saudara mara terdekatnya kerana bimbang akan dipinggirkan mereka, namun ternyata jangkaannya meleset sama sekali.

“Setelah bertahun saya rahsiakan, barulah saya berani membuka rahsia mengenai situasi saya baru-baru ini, saya bersyukur kerana mereka amat memahami dan tetap memberi dorongan.

“Bagaimanapun di tempat kerja, tidaklah saya dedahkan rahsia ini dengan majikan dan rakan-rakan sekerja, kerana bimbang dengan tahap stigma masyarakat umum yang saya kira mungkin masih agak tinggi dan menebal,” jelasnya.

Sebagai seorang peniaga baju secara kecil-kecilan di pasar raya sekitar Lembah Klang Kak Yati turut mengakui, pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sedikit sebanyak memberi kesan terhadap perniagaannya, dan berharap agar keadaan ekonomi negara segera pulih.

“Sejak kematian suami, saya terpaksa uruskan perniagaan berseorangan, dan perlu menjaga anak bongsu yang kini bersekolah menengah. Sebagai seorang PLHIV, saya perlu sentiasa memakan ubat setiap hari dan perlu terus kekal aktif dan sihat untuk menyara keluarga. Inilah cabaran yang perlu saya hadapi,” kongsinya.

Mengikut laporan dari Kementerian Kesihatan, untuk tahun 2019 jumlah keseluruhan yang dijangkiti dianggarkan 87,581 orang. Yang telah dikesan seramai 77,903 orang, dengan kemungkinan lebih 10,000 orang tidak tahu mereka dijangkiti HIV. Daripada jumlah yang telah dikesan, 85 peratus adalah lelaki dan 75 peratus berumur antara 20-39 tahun.

Tidak semua yang dijangkiti HIV akan mencapai peringkat AIDS. Jika mereka yang hidup dengan HIV (PLHIV) mendapat diagnosis awal dan memulakan ubat dengan segera, peringkat AIDS boleh dielakkan dan boleh hidup seperti orang biasa.

Rawatan intensif

Sementara itu, Pakar Penyakit Berjangkit UiTM Sungai Buloh, Dr Rosnida Mohd Noh pula menjelaskan ubat untuk merawat HIV sudah ada sejak 1987 dan sejak dari itu sudah ada banyak perkembangan dalam bidang rawatan HIV, dengan peningkatan jenis dan kualiti ubat yang dihasilkan.

“Ubat yang ada sekarang jauh lebih berkesan, dengan kesan sampingan yang sangat minimum. Menggunakan ubat-ubat terkini PLHIV boleh hidup sihat seperti orang biasa dengan jangka hayat yang normal. Jika PLHIV memakan ubat dengan betul, dia tidak akan menjangkitkan virus kepada orang lain kerana ubat boleh menurunkan bilangan virus sehingga tidak dapat dikesan dalam darah.

“Ubat yang ada sekarang walaupun boleh menurunkan bilangan virus ke tahap bawah kesan dan membenarkan mereka yang hidup dengan HIV dapat menjalani hidup yang normal, namun ia tidak boleh menghapuskan virus sepenuhnya. Buat masa sekarang, masih perlu memakan ubat seumur hidup,” katanya ketika dihubungi.

Dr Rosnida menjelas lanjut, perkembangan dalam bidang HIV bukan hanya bertumpu kepada rawatan, tetapi juga pada pencegahan dengan kajian-kajian terbaru membuktikan ada beberapa kaedah yang berkesan untuk mengelakkan jangkitan HIV.

Jika kaedah-kaedah ini dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya ada kebarangkalian kita dapat menurunkan jangkitan HIV kepada sifar, jelasnya.

Paling penting ialah usaha menambah pengetahuan umum mengenai HIV juga perlu melibatkan pengetahuan pencegahan, sama ada jangkitan melalui seks tanpa perlindungan atau perkongsian jarum, Dr Rosnida menegaskan.

“Dalam beberapa tahun ini, kajian membuktikan terdapat kaedah-kaedah mengelakkan jangkitan HIV secara berkesan dan mudah dilakukan. Contohnya, Pre-exposure Prophylaxis (PrEP) dan Post-exposure Prophylaxis (PEP) yang boleh mengelakkan jangkitan HIV sebelum dan selepas aktiviti berisiko. Informasi ini perlu disampaikan kepada masyarakat umum.

“Pada masa yang sama inisiatif seperti HIV Connect yang dilakukan dengan usahasama The Malaysian Society of HIV Medicine (MASHM) dan Yayasan AIDS Malaysia (MAF) berusaha untuk menambahkan bilangan doktor am yang berkepakaran untuk menyediakan PrEP dan PEP bagi memudahkan golongan berisiko mendapat rawatan pencegahan,” katanya.

Hapuskan stigma

Dr Rosnida melontarkan pandangannya bahawa stigma buruk terhadap PLHIV dan penghidap AIDS tidak sepatutnya wujud kerana di tahap manapun kehadiran stigma itu berada, ia tetap dirasakan oleh setiap orang yang hidup dengan HIV.

“Masalah utama yang saya lihat dari segi stigma, bukan sahaja ia melanggar hak asasi PLHIV, tetapi ia juga memberi kesan negatif kepada kesediaan PLHIV untuk hadir ke fasiliti kesihatan untuk diagnosis dan rawatan awal seterusnya memberi kesan negatif kepada PLHIV dan keluarga mereka serta usaha pencegahan jangkitan. Sekiranya PLHIV menerima diagnosis awal dan makan ubat dengan betul ia tidak akan menjangkiti orang lain,” katanya.

Beliau mencadangkan agar semua agensi bekerjasama untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan umum mengenai HIV dan AIDS serta membangkang mitos-mitos yang tidak tepat mengenainya.

“Dengan cara ini kita dapat mengurangkan stigma dan diskriminasi. Kita perlukan masyarakat yang faham bahawa langkah terbaik untuk mengurangkan jangkitan HIV adalah bermula dengan pengurangan stigma dan diskriminasi supaya lebih ramai orang yang berisiko datang untuk diuji dan jika didapati positif mendapatkan rawatan sebaiknya, dan ini akan meneruskan kitaran mengurangkan jangkitan kehadapan,” ujarnya.

– BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MPAJ anjur sambutan Hari AIDS Sedunia

OLEH ALIFF HAIKAL

PANDAN INDAH, 9 DIS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menganjurkan sambutan Hari AIDS Sedunia 2019 peringkat Hulu Langat di Padang Perbandaran MPAJ pada 8 Disember lalu bagi memupuk kesedaran terhadap penyakit itu.

Pihak berkuasa tempatan itu dalam kenyataan di Facebook memaklumkan program sempena Hari Tanpa Kenderaan itu membabitkan golongan remaja, agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

“Usaha menangani masalah ini memerlukan kerjasama bersepadu daripada semua agensi termasuk badan kerajaan, bukan kerajaan, dan individu penghidap HIV bagi memastikan aktiviti pencegahan serta kawalan dapat dilaksana dengan lebih berkesan,” katanya.

Program dirasmikan Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari dan turut dihadiri Ketua Penolong Pengarah Unit HIV dan STI Jabatan Kesihatan Selangor, Dr Ozrinalifah Omar.

Antara pengisian program ialah acara larian, pameran haiwan, pertandingan memanah, ‘live band’, pertandingan mewarna dan ‘booth’ kesihatan MPAJ serta pemeriksaan HIV dan AIDS secara percuma.