Categories
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

Almarhum DYMM Sultan Salahuddin terus dikenang rakyat

Sempena Hari Keputeraan ke-75 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 11 Disember 2020

OLEH AFIX REDZUAN

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mewarisi kerajaan yang utuh berkat kepimpinan ayahanda baginda Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Almarhum Sultan Salahuddin dinobat sebagai Sultan Selangor kelapan pada 3 September 1960 susulan kemangkatan Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj dua hari sebelumnya. Majlis pertabalan berlangsung pada 26 Jun 1961.

Sebelum itu, almarhum dilantik sebagai Tengku Laksamana Selangor pada 1 Ogos 1946 dan dimahsyur sebagai Raja Muda Selangor pada 13 Mei 1950.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pengkalan Batu, Klang pada 1934, Sultan Salahuddin kemudian melanjutkan pelajaran ke Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) hingga Disember 1941 apabila meletus Perang Dunia Kedua.

Di sebalik kekacauan akibat perang, baginda menyambung pengajian di School of Oriental and African Studies, Universiti London pada 1947 hingga 1949.

Sekembalinya ke tanah air, Sultan Salahuddin berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Awam sebagai pegawai pelatih Jabatan Ukur Negeri Selangor sebelum dilantik sebagai nazir sekolah selama lapan bulan.

Pada 1952, baginda menyertai Askar Melayu di Port Dickson, Negeri Sembilan selama enam bulan dan ditauliahkan `Queen Commission’ dengan pangkat kapten seterusnya mejar.

Sultan Salahuddin mempunyai empat putera dan lapan puteri hasil tiga perkahwinan baginda bersama Raja Nor Saidatul Ihsan Tengku Badar Shah, Cik Mahiran dan Tengku Ampuan Rahimah Sultan Abdul Aziz Abdul Jalil Rahmat Shah.

Menerusi perkahwinan bersama Tuanku Siti Aisyah Abdul Rahman yang bergelar Cik Puan Besar Selangor pada 3 Mei 1990, pasangan diraja itu tidak dikurniakan anak.

Baginda ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-11 pada 23 September 1999 hingga 21 November 2001, menggantikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.

Dalam tempoh 39 tahun, almarhum adalah Sultan Selangor kedua dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas ayahandanya, Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah selaku Yang di-Pertuan Agong kedua.

Namun, Sultan Sir Hisamuddin mangkat beberapa jam sebelum istiadat pertabalan berlangsung pada 1 September 1960.

Baginda kemudian mengisytiharkan Tengku Idris Shah sebagai Pemangku Raja Selangor.

Antara peristiwa penting ketika pemerintahannya ialah Perjanjian Penyerahan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan yang disaksikan oleh Raja-Raja Malaysia diadakan di Istana Negara pada 1 Februari 1974.

Detik bersejarah itu dipotret dalam lukisan karya Pelukis Diraja Selangor, Datuk Azman Yusof dan dipamerkan di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz.

Lukisan itu memaparkan almarhum mewakili Selangor manakala Yang di-Pertuan Agong, Almarhum Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah mewakili kerajaan persekutuan.

Berjiwa rakyat

Sultan Salahuddin sering turun ke lapangan mendekati kehidupan rakyat dengan menjelajah ke setiap daerah.

Baginda mengambil berat hal ehwal rakyat luar bandar dan cakna perkembangan semasa selain gemar bergurau-senda. Setiap kali lawatan rasmi ke sesebuah lokasi, ribuan rakyat hadir. Situasi itu menunjukkan baginda popular dalam kalangan segenap lapisan masyarakat.

Sultan Salahuddin juga sentiasa bermurah hati untuk menghulurkan bantuan peribadi setiap kali berlaku bencana di Selangor.

Selain itu, baginda turut mengambil berat tentang perkembangan agama Islam dengan menitahkan supaya rakyat mengikut ajaran sebenar.

Baginda kerap mengingatkan semua pihak supaya masjid tidak dicemari dengan sentimen politik yang mengakibatkan perpecahan sesama rakyat.

Di samping itu, baginda turut menekankan soal integriti dan ketelusan dalam pentadbiran serta menggalakkan pengisytiharan harta pimpinan Kerajaan Negeri.

Berdasarkan New Straits Times (NST) pada 1981, semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) mengisytiharkan harta.

Pengisytiharan itu termasuk jumlah harta isteri dan ahli keluarga, serta pegangan saham. EXCO juga perlu melepaskan semua jawatan supaya bebas daripada sebarang aktiviti perniagaan.

Dalam kesibukan tugas rasmi selaku pemimpin utama, Sultan Salahuddin tetap meluangkan masa untuk bermain golf, sukan kegemaran baginda. Baginda juga merupakan presiden Persatuan Golf Diraja Alam Shah. Di Shah Alam, Kelab Golf Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah terletak di Seksyen 13.

Sultan Selangor kelapan juga suka berjoging dan memandu bot di perairan Pantai Morib dan Port Dickson.

Selain itu, baginda mempunyai hobi mengumpul kenderaan antik selain menanam dan mengumpul pelbagai spesies bunga orkid.

Diingati ramai

Tanggal 21 November 2001, negara dikejutkan dengan berita kemangkatan Sultan Salahuddin di Pusat Rawatan Gleneagles Intan, Kuala Lumpur setelah gering selama dua bulan.

Baginda menghembuskan nafas terakhir jam 11.57 pagi ketika berusia 75 tahun. Ketika itu, baginda masih Yang di-Pertuan Agong. Jenazah almarhum disemadikan di Makam Diraja Selangor, Klang.

Nama Sultan Salahuddin banyak diabadi di beberapa bangunan di Selangor dan Kuala Lumpur sebagai mengenang jasa almarhum kepada negara serta mentadbir negeri selama 41 tahun.

Jalan Sultan Salahuddin dinamakan sempena nama baginda di Istana Selangor yang terletak di Kuala Lumpur. Selain itu, pusat pentadbiran utama negeri di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah juga bersempena nama baginda.

Paling diingati pastinya pembinaan Masjid Negeri iaitu Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Seksyen 14 Shah Alam yang dirasmikan pada 11 Mac 1988.

Almarhum sendiri mengilhamkan pembinaannya dengan kos RM160 juta selepas Shah Alam diisytihar sebagai ibu negeri.

Categories
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

Hospital UPM abadi nama DYMM Sultan Sharafuddin

Sempena Hari Keputeraan ke-75 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 11 Disember 2020

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sentiasa menitikberatkan perkembangan pendidikan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menjadi canselor sejak 1 April 2002, baginda mahu universiti itu meningkatkan keupayaaan dan menggunakan teknologi pertanian pintar dengan tumpuan kepada jaminan bekalan makanan.

Mengikut naib canselor UPM, Sultan Sharafuddin menyarankan mereka untuk meningkatkan keupayaan bekalan makanan dengan bekerjasama dengan industri terlibat.

“Tuanku bertitah supaya UPM memfokus isu makanan bukan sahaja dalam menghadapi pandemik Covid-19,” kata Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman kepada SelangorKini.

Justeru, UPM sentiasa berusaha menyediakan sumber makanan terutama beras. Pada masa ini, universiti tersebut berjaya menghasilkan PadiU Putra. Melalui PadiU Putra, hasil padi ditingkatkan 10 tan metrik sehektar.

Beliau percaya penekanan baginda itu bertujuan supaya UPM terus mengekalkan prestasi sebagai universiti yang menjadi sumber rujukan utama pihak industri dalam bidang pertanian. Seterusnya, UPM mampu menjana produktiviti dalam sektor pengeluaran makanan.

“Baginda mahu jaminan bekalan makanan diberi keutamaan dalam membantu kerajaan menghadapi sebarang kemungkinan membabitkan bencana. Ia termasuk penyediaan dana penyelidikan juga pelaburan dalam teknologi sedia ada. Itu memang UPM usahakan,” katanya.

Malah, Sultan Sharafuddin memberi sokongan penuh terhadap usaha UPM untuk menjadi Pusat Kecemerlangan Pendidikan Kebangsaan dan Antarabangsa (pusat sekuriti makanan). Hasilnya, UPM mempunyai Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan.

Baginda juga mahu kemajuan UPM dalam bidang pertanian bukannya sekadar mengekalkan status quo sebaliknya memberi manfaat besar kepada masyarakat.

Selain itu, Sultan Selangor juga mahu mahasiswa bukan sekadar menguasai aspek akademik tetapi turut memiliki sahsiah diri dan nilai kepimpinan.

Selama 18 tahun sebagai canselor, baginda tidak putus-putus memberi nasihat supaya UPM melengkapkan mahasiswa menjadi individu bertanggungjawab, beradab, beramanah dan menjunjung tatacara kehidupan insaniah.

Baginda juga prihatin dalam aspek kebajikan. Setiap tahun, baginda mencemar duli berbuka puasa dan bersolat tarawih bersama warga UPM selain turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar asnaf.

Pengurusan universiti juga sentiasa memaklumkan perkembangan dan pencapaian kepada baginda yang turut menyampaikan buah cadangan kepada UPM.

“Boleh dikatakan setiap tahun lebih daripada lima kali kita mengadap tuanku, memberi penerangan mengenai perkembangan terkini di UPM. Kita juga menerima nasihat bukan hanya ketika kita mengadap baginda tetapi pada majlis yang tuanku hadir mencemar duli.

“Tuanku sangat mudah berbicara, boleh dikatakan lemah lembut tetapi titah baginda ada isi kandungnya yang memerlukan tindakan. Baginda sentiasa mengingatkan bahawa kami satu-satunya universiti di Malaysia yang berfokuskan pertanian,” katanya.

Abadi nama

Hospital Pengajar UPM (HPUPM) yang baru beroperasi sejak Oktober 2019 mengabadikan nama Sultan Sharafuddin atas sumbangan baginda kepada universiti itu. Penubuhan HPUPM dilihat dapat meningkatkan peluang untuk pelaksanaan kerja penyelidikan dan pembangunan dalam bidang perubatan selain memberi tambah nilai kepada UPM sebagai pengeluar pakar perubatan terbaik.

HPUPM dibina pada 2014 di kawasan seluas 30.4 hektar bersebelahan Hospital Serdang membabitkan kos RM600 juta yang dilengkapi 400 katil. Hospital itu mempunyai tujuh kepakaran utama iaitu zoonotiks, barah, penjagaan angin ahmar, kesihatan lelaki, penjagaan geriatrik, kecederaan sukan dan atroskopi serta penyakit kulit dan imunologi.

“Ini adalah hasrat kami dan sebagai penghargaan warga UPM kepada baginda. Kami sudah mempersembahkan kepada tuanku berhubung hasrat ini dan baginda sudah memberi perkenan,” katanya.

UPM turut menamakan Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah (SISFEC) sempena nama baginda. SISFEC yang dirasmikan Sultan Sharafuddin pada 2012 bertujuan mengurus dan menjalankan aktiviti berunsurkan pendidikan, penyelidikan dan pengembangan perhutanan.

Ia terletak di Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong, satu-satunya hutan dipterokarp pamah yang masih wujud di Lembah Klang. Hutan jenis ini ada pada ketinggian 300 meter dari paras laut dan mempunyai pelbagai jenis pokok dengan bilangan yang padat termasuk spesies utamanya iaitu balau, meranti serta kapur.

Selain itu, Sultan Sharafuddin juga ber-kenan memberi nama tabung khas yang diwujudkan UPM bagi membantu warganya terutama pelajar asnaf. Pemilihan nama itu dalam penelitian.

Baginda sentiasa menekankan aspek kebajikan pelajar, malah turut menyempurnakan Dana Wakaf Ilmu pada 16 Ogos 2011 yang diwujudkan bagi pembiayaan pendidikan termasuk biasiswa kepada pelajar asasi sains pertanian, diploma, sarjana muda, biasiswa khas OKU dan dermasiswa.

Sultan Sharafuddin sentiasa menggesa alumni universiti itu kembali menyumbang bakti bagi membantu UPM sebagai hab ilmu.

“Saya yakin titah baginda ini kerana persekitaran di luar berbeza dengan di dalam yang boleh dikongsikan dengan pelajar berhubung apa yang perlu mereka tingkatkan sebelum keluar ke pasaran,” kata Dr Mohd Roslan.

Pengurusan UPM juga menganggap mereka bertuah kerana universiti itu terletak di Selangor dan baginda berkenan menjadi canselor sekali gus membantu menyumbang idea dalam pembangunan universiti.

“Sesungguhnya memang tidak terkata dan tidak tersebut sumbangan tuanku kepada UPM sejak menjadi canselor.

“Warga UPM amat menghargai sumbangan yang diberikan tuanku kepada kami daripada segi perkembangan universiti ini bukan sahaja pada peringkat tempatan tetapi juga antarabangsa,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

Pandu 16,000km rentas 15 negara

Sempena Hari Keputeraan ke-75 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 11 Disember 2020

Oleh Norrasyidah Arshad

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj meminati kegiatan lasak terutama sukan permotoran.

Menang pingat perak dalam kategori kereta klasik, baginda melalui pelbagai negara dengan merentasi perjalanan sejauh 16,000km membabitkan 15 negara antaranya Indonesia, China, Mangolia, Tibet, Nepal, Pakistan dan Perancis.

Baginda menempuh jarak pemanduan lebih 600 kilometer (km) sehari yang disudahkannya dalam masa 43 hari ketika menyertai perlumbaan kereta vintaj Cabaran Motor Peking-Paris pada 1997.

Sultan Sharafuddin bersama rakan karib sejak kecil Richard Gurtis sebagai pemandu arah menamakan kumpulannya Team Hard Rock Asia. Baginda memandu kereta antik Ford Saloon Model B buatan 1932 yang dipanggil ‘Humpty Dumpty’.

Biarpun dibesarkan di istana, baginda tidak gentar menempuh pelbagai cabaran termasuk memandu antara 12 hingga 16 jam sehari dan tiada kemudahan penginapan selain berdepan suhu sejuk sebelum menamatkan perlumbaan di kota Paris bersama 88 peserta lain. Seramai 99 peserta menyertai perlumbaan tersebut.

Ketika itu, baginda berusia 52 tahun dan masih bergelar Raja Muda ketika menyertai cabaran bertaraf dunia yang diperkenalkan pada Januari 1907.

Sultan Sharafuddin mengulanginya pada 10 tahun kemudian ketika baginda telah ditabal sebagai Sultan Selangor.

Kali ini, perlumbaan membabitkan perjalanan sejauh 14,000km dengan menempuh banyak negara antaranya China, Mongolia, Rusia, Estonia, Latvia, Lithuania, Poland, Republik Czech, Jerman dan Perancis.

Namun, hanya separuh perjalanan sempat dilalui baginda dengan kereta Chevrolet Fangio 1940. Mengikut The Sunday Star pada Mei 2005, Perlembagaan tidak membenarkan baginda berada di luar negara melebihi 30 hari.

Sebenarnya, Sultan Selangor sudah berjinak-jinak dengan acara rali kenderaan klasik sejak 1987 dengan menyertai acara Dickson Vintage Equator Run anjuran Malaysia Singapore Vintage Car Registration (MSVCR).

Baginda memandu kereta MG J2 dalam perlumbaan bermula dari Singapura ke Kota Tinggi, Johor.

Sultan Sharafuddin juga menyertai rali Louis Vuitton Vintage Equator Run pada 1993 menggunakan kereta Ford Tudor (atau model B).

Minat baginda diteruskan lagi pada 2015 dengan menyertai misi cabaran rali The Road To Mandalay dari Singapura ke Myanmar sejauh 8,000km yang turut disertai 69 kereta lain.

Dalam acara yang berakhir di Yangon, Myanmar, Sultan Sharafuddin menganggap cabaran sepanjang pemanduan disertai sebagai ujian ketahanan memandu kereta klasik Jaguar XK140 FHC keluaran 1956.

Pada November 2015, baginda berkenan mempamer tujuh kereta klasik milik baginda di pameran NST-MAI Asean Autoshow 2015 termasuk tiga yang digunakan dalam rali iaitu Jaguar XK120, XK140 dan XK150.

Keunikan kereta klasik milik baginda menggamit lebih 65,000 pengunjung di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC).

Pada masa ini, semua koleksi kereta baginda disimpan di Galeri Kereta Diraja di Istana Alam Shah Klang. Selain kereta klasik dari jenis Mercedes, Ferrari, Porche dan Jaguar, bangunan dua tingkat itu turut mempamerkan aksesori kereta dan motosikal.

Categories
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

22 bulan belayar kelilingi dunia

Sempena Hari Keputeraan ke-75 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 11 Disember 2020

Oleh Norrasyidah Arshad

Minat mendalam Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj terhadap dunia pelayaran membawa baginda mengelilingi dunia selama 22 bulan.

Baginda mencapai impian itu apabila belayar sejauh 32,200 batu nautika mengelilingi dunia pada 4 Februari 1995 ketika memangku tugas Sultan Selangor pada usia 49 tahun.

Mengikut Arkib Negara, Sultan Sharafuddin teruja apabila hasrat yang terpendam sejak kecil diperkenankan ayahandanya Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Baginda kemudian mengembara di lautan melalui kapal layar buatan Finland.

Kapal sepanjang 20 meter yang dinamakan S.Y Jugra membawa baginda merentasi tiga lautan, 14 perairan, tiga terusan dan 159 pelabuhan.

Selama 644 hari belayar, baginda ditemani anak kapal berpengalaman daripada New Zealand iaitu Craig Rosevear, Mark Crossen dan Clare John Stone. Masing-masing ada tanggungjawab termasuk sebagai jururawat.

Pengembaraan mengelilingi dunia itu menempa sejarah tersendiri berikutan baginda menjadi anak Melayu pertama berbuat demikian.

Kejayaan itu membuktikan orang Melayu juga setanding bangsa lain selain menggambarkan darah nenek moyang baginda berketurunan Raja Lumu memang terkenal dengan pelayaran.

Pencapaian baginda turut tercatat dalam The Malaysia Book Of Records sebagai ‘Pertama Belayar Mengelilingi Dunia’.

Ancaman

Sepanjang aktif melakukan hobi tersebut, pelayaran pada 1975 mungkin peristiwa yang tidak mungkin dapat dilupakan baginda.

Mengikut majalah Malaysia Tatler May 1995 dalam artikel berjudul Prince Of Tides The Raja Muda Selangor Tengku Idris Shah, baginda hampir dibunuh sekumpulan lanun tetapi dapat menyelamatkan diri melarikan diri ke Labuan.

Meskipun kejadian itu hampir meragut nyawa, namun ia tidak sedikit pun melemahkan semangat baginda untuk terus meminati dunia pelayaran.

Selain ancaman penjenayah laut, baginda mengakui faktor alam seperti cuaca, angin, hujan dan keadaan air turut menjadi halangan. Namun bagi baginda, kepuasan belayar sesuatu yang mustahil untuk digambarkan.

Bagi baginda, laut adalah persekitaran yang memberi kedamaian dan selalu menggamit kerinduan.

Mengikut tulisan A Rashid Ahmad pada 1997 di Utusan Malaysia berjudul Tengku Idris: Buku adalah emas, minat baginda tumbuh sejak di bangku sekolah lagi.

Tabiat membaca berkisar dunia laut menimbulkan keinginan untuk merasai pengalaman seperti ahli pelayaran terkenal pada zaman dahulu antaranya Captain Cook, Nelson, Columbus, Magellan, Vasco Da Gama dan Marco Polo.

Sehingga kini, Sultan Sharafuddin memiliki beberapa kapal layar yang menjadi simbol semangat Bugis yang akrab dengan pengembaraan laut.

Dalam wawancara dengan A Rashid, baginda ada bertitah: “Untuk menjadi sebuah bangsa yang kuat, kita perlu mempunyai sikap berani meredah gelombang dan menyahut cabaran”.

Minat mendalam Sultan Sharafuddin terhadap dunia pelayaran tidak berhenti di situ sahaja. Baginda mewujudkan pertandingan pelayaran, Raja Muda International Regatta bermula pada 1990.

Sehingga ini, acara tahunan yang memasuki edisi ke-31 pada tahun ini terus kekal dan menarik minat pelayar.

Namun, kejohanan yang dijadual berlangsung antara 13 hingga 21 November terpaksa ditangguh berikutan penularan Covid-19.

Categories
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

Asal-usul Kesultanan Selangor

Sempena Hari Keputeraan ke-75 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 11 Disember 2020

OLEH ALIFF FIKRI

Pembentukan Kesultanan Selangor pada kurun ke-18 bermula dari susur galur Raja Lumu, anak kepada Daeng Celak.

Beliau antara pahlawan Bugis Lima Bersaudara berasal dari Sulawesi Selatan. Daeng Celak datang ke Kuala Selangor untuk menjaga ketenteraman wilayah itu.

Mendirikan kerajaan

Mengikut portal kualaselangor.my, Raja Lumu, lahir pada 1705, membebaskan Selangor dan membentuk kerajaan sendiri. Beliau ditabal sebagai sultan pertama pada 1756 menggunakan gelaran Sultan Salehuddin Shah.

Disebabkan kerajaan Perak waris Kesultanan Melayu Melaka, Raja Lumu perlu mendapat restu Sultan Mahmud II. Selepas memperoleh persetujuan, perjanjian dimeterai antara kedua-dua pihak.

Perjanjian itu dibuat depan al-Quran dan keris kebesaran masing-masing. Raja Lumu kemudian dianugerahi gelaran sultan bersama peralatan nobat.

Mengikut Misa Melayu, pengiktirafan itu melibatkan pengurniaan cap mohor. Pertabalan penuh dilakukan di Pulau Pangkor pada 1756. Baginda kemudian bersemayam di Bukit Selangor, kini Bukit Malawati.

Peristiwa ini menandakan Raja Lumu menjadi pemerintah yang bebas sepenuhnya. Selangor menjadi negeri Melayu berdaulat seperti negeri-negeri lain.

Sebenarnya, pertabalan Raja Lumu memang dibayangkan Daeng Celak sebelum meninggal dunia pada 1745. Bahkan, beliau menamakan anak sulungnya itu sebagai pemerintah Selangor pada masa depan.

Namun disebabkan Raja Lumu masih kecil, pentadbiran ketika itu dijalankan bersama Daeng Lakani, Raja Said dan pembesar lain.

Setelah dewasa, Raja Lumu datang ke Selangor dan dilantik sebagai Yang Dipertuan Besar Selangor pada 1743. Akhirnya beliau membebaskan Selangor dari penguasaan Johor-Riau.

Asal-usul

Mengikut buku Kesultanan Melayu Selangor, negeri ini didiami manusia sejak zaman prasejarah berdasarkan penemuan tiga keping alat besi yang dipanggil tulang mawas. Ia digunakan manusia purba di Batang Berjuntai.

Pada 1905 dan 1944, gendang dan loceng gangsa ditemui di Bukit Kuda, Klang. Pada 1964, alat sama ditemui di Kampung Sungai Lang, Kuala Langat. Penemuan itu membuktikan negeri ini didiami sejak 2,000 tahun lalu.

Nama Selangor dikatakan bermula daripada Kuala Selangor, sebuah pekan di pinggir Sungai Selangor. Selangor juga ada disebut dalam Sejarah Melayu ketika pemerintah Singapura Paduka Seri Maharaja dikunjungi Tun Jana Khatib.

Namun, ahli sejarah Inggeris bernama Thomas Newbold (1839) berpendapat nama Selangor berasal daripada perkataan Calang (Kalang). Jabatan Peta British Muzium London ada tertulis dengan nama ‘Callangor’.

Dipercayai digunakan sejak abad ke-14, ada menyebutnya sebagai ‘Calagore, Salngor, Selimgor, Salangor, Selengor, Solongor, Sorlongor, Sarlangar, Chalangor dan Charanguror.

Ada banyak versi asal-usul nama itu. Berdasarkan versi nama ‘Sarahangor’ berpandukan catatan pada 1516, Barbosa, seorang Portugis, menulis Sara Hangor berasal daripada sarang helang. Barangkali, waktu itu helang banyak di pinggir Sungai Selangor.

Sistem kesultanan

Sistem Kesultanan Selangor berasaskan Adat Temenggong iaitu dipilih daripada anak gehara (bapa dan ibu berdarah raja) atau bukan. Waris takhta adalah Raja Muda daripada putera sultan yang tua.

Jika tidak layak, takhta akan diwarisi kepada putera kedua atau mengikut susunan. Jawatan diwarisi putera sulung jika Raja Muda mangkat sebelum menaiki takhta. Jika Raja Muda tiada anak, jawatan itu disandang putera kedua sultan.

Jika sultan atau pembesar berasa putera kedua tidak layak, pewaris dipilih daripada adindanya seterusnya mengikut susunan dari kalangan anak lelaki. Pelantikan mesti dibuat sebelum pengebumian sultan.

Peruntukan Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 menjelaskan, syarat-syarat untuk menjadi sultan adalah mesti seorang Melayu, berdarah raja, berketurunan Sultan Selangor, lelaki dan beragama Islam. Begitu juga syarat-syarat untuk pengganti ataupun waris.

Salasilah Kesultanan

Sultan Salehuddin Shah @ Raja Lumu (1756-1778)
– Anak sulung Daeng Celak, pahlawan Bugis Lima Bersaudara
– Bebaskan Selangor dari penguasaan Johor-Riau

Sultan Ibrahim Shah (1782-1826)
– Anak sulung Raja Lumu
– Memerintah selama 48 tahun

Sultan Muhammad Shah (1826-1857)
– Anak Sultan Ibrahim Shah
– Mangkat mengejut pada 1857

Sultan Abdul Samad (1857-1898)
– Menantu Sultan Muhammad
– Mangkat pada usia 93 tahun. Dimakam di Kuala Jugra

Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah (1898-1938)
– Cucunda Sultan Abdul Samad
– Makam baginda dikenali sebagai Marhum Atiqullah

Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj (1938-1942 dan 1945-1960)
– Jepun tidak mengiktiraf baginda dan diganti dengan kekandanya
Tengku Musa Uddin dengan gelaran Sultan Musa Ghiathuddin Shah
– Dimasyhur kembali selepas Jepun kalah. Mangkat empat bulan selepas
dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kedua pada 1960

Sultan Musa Ghiathuddin Shah Alhaj (1942-1945)
– Putera sulung Sultan Sir Alaeddin
– Mangkat di Kuala Lumpur. Dimakam di Makam Diraja Klang

Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj (1960-2001)
– Putera Sultan Sir Hishamuddin
– Mangkat ketika menjadi Yang Dipertua Agong ke-11

Sultan Sharafuddin Idris Shah (2001-hingga kini)
– Putera sulung Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj
– Raja Muda paling muda ketika dimasyhurkan pada 1960.
Baginda berusia 15 tahun ketika itu
– Dikurnia dua puteri iaitu Tengku Zerafina dan Tengku Zatashah serta
seorang putera, Tengku Amir Shah

Sumber: Facebook Selangor Royal Office

Categories
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

Kilauan jasa DYMM Sultan Sharafuddin

Sempena Hari Keputeraan ke-75 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 11 Disember 2020

Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dimahkotakan sebagai Sultan Selangor kesembilan pada 8 Mac 2003.

Pelbagai pengalaman dilalui baginda, dari bertugas sebagai kakitangan kerajaan, menempa nama dalam Malaysian Book of Records dan memenangi acara sukan peringkat antarabangsa.

Terkenal tegas tetapi prihatin, baginda juga disenangi rakyat seluruhnya susulan kesungguhan baginda memastikan urus tadbir negeri berjalan lancar, cekap dan maju.

Wartawan Norrasyidah Arshad menelusuri peristiwa penting dan kejayaan yang dicapai baginda dari kecil hingga kini.

1945 Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diputerakan pada 24 Disember

1954-1959 Belajar di Sekolah Rendah Melayu, Jalan Raja Muda manakala peringkat menengah di St John’s Institution Kuala Lumpur

1960-1968 Melanjutkan pelajaran di Hale School Perth, Australia dan Kolej Langhurst di Surrey, England

1960 Diisytihar sebagai Raja Muda Selangor kelapan pada 3 September. Pengisytiharan itu menjadikan baginda putera mahkota termuda di Malaysia

1968 Menyertai kakitangan kerajaan di Sekretariat Selangor, Pejabat Daerah di Kuala Lumpur dan Jabatan Polis Diraja Malaysia, Kuala Lumpur

1969 Menjadi pengerusi Jemaah Pemangku Raja pada 23 Februari semasa ketiadaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj yang berada di Britain

1970 Ditabal sebagai Raja Muda Selangor dan memainkan peranan rasmi sebagai pemangku raja pada 14 Mac

1975 Mendaki Gunung Kinabalu

1986 Menyertai acara rentas negeri menaiki Proton Saga dari Kota Kinabalu, Sabah ke Kuching, Sarawak sejauh 1,111 kilometer dalam tempoh dua hari

1987 Menyertai rali kenderaan klasik dalam acara Dickson Vintage Equator Run. Program dianjurkan Malaysia Singapore Vintage Car Registration (MSVCR) bermula dari Singapura ke Kota Tinggi, Johor. Baginda memandu kereta jenis MG J2

1993 Menyertai rali Louis Vuitton Vintage Equator Run pada 1993 menggunakan kereta jenis Ford Tudor

1995-1996 Belayar mengelilingi dunia dengan kapal layar S.Y Jugra sejauh 27,940 batu nautika selama 22 bulan bersama empat kru. Pelayaran itu merentasi tiga lautan, 14 perairan, tiga terusan dan 159 pelabuhan

1997 Menyertai Cabaran Motor Peking-Paris selama 43 hari antara September dan Oktober. Beberapa negara dilalui antaranya China, Mongolia, Tibet, Nepal, India, Pakistan, Turki, Iran, Itali dan Jerman. Baginda menggunakan kenderaan vintaj Ford Saloon Model B buatan 1932

1998 Mencatat dua kejayaan dalam Malaysian Book Of Records iaitu pertama belayar mengelilingi dunia dengan jarak 27,940 batu nautika dan pengembaraan mengelilingi dunia selama dua tahun dengan kapal layar S.Y Jugra. Selain itu, baginda juga menerima anugerah Komander Terhormat Sukarelawan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia

1998 Melancarkan buku ‘From Peking To Paris’, pengalaman baginda menjelajah bersama pembantu pemandu Richard Curtis pada 19 November

1999 Berperanan sebagai pemangku Raja Selangor pada 25 April berikutan ayahanda menjadi Yang di-Pertuan Agong

2000 Dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 20 Mei 2000 dan sekali lagi pada 1 April 2002

2001 Ayahanda baginda, Duli Yang Maha Mulia Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj mangkat di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Kuala Lumpur jam 11.57 pagi pada 21 November

2001 Dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor kesembilan dengan gelaran Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 22 November

2001 Menerima Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dalam Pentadbiran Awam daripada UiTM pada 31 Mac

2002 Anakanda baginda, Tengku Amir Shah dimasyhur sebagai Raja Muda pada 3 Mei

2002 Diumum sebagai Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 1 April untuk kali ketiga selama lima tahun

2002 Menjadi Kapten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia pada 16 April

2003 Ditabalkan sebagai Sultan Selangor kesembilan pada 8 Mac

2004 Dianugerah Beret Kehormat Pasukan Khas Laut (Paskal) pada 6 Oktober. Beret ungu adalah lambang keberanian dan pengiktirafan istimewa Paskal sebagai pasukan khas dalam Tentera Laut Diraja Malaysia

2007 Menyertai Cabaran Motor Peking-Paris untuk kali kedua selama 35 hari mulai 27 Mei

2007 Melancarkan karya baginda berjudul ‘From Peking To Paris An Account of the 2007 Peking To Paris Motor Challenge’ pada 14 Disember

2011 Bonda baginda, Yang Maha Mulia Raja Saidatul Ihsan Tengku Badar Shah mangkat di Hospital Ampang Puteri jam 9 pagi pada 1 Jun

2015 Menyertai cabaran rali The Road to Mandalay dari Singapura ke Myanmar sejauh 8,000 kilometer menaiki kereta klasik jenis Jaguar XK140FHC pada 1 Februari

2015 Tujuh koleksi kereta klasik milik Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dipamer dalam Pameran Otomotif NST-MAI (Institut Automotif Malaysia) Asean 2015 di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) antara 12 hingga 15 November

 

2016 Berkahwin dengan Tengku Permaisuri Norashikin pada 31 Ogos

2017 Sultan Selangor berkenan merasmikan pameran koleksi peribadi baginda di Galeri Prima Balai Berita Bangsar pada 30 September. Pameran itu berlangsung mulai 25 September hingga 20 Oktober

2018 Baginda menerima anugerah Ijazah Kehormat ‘Doctor of the University’ oleh Universiti Heriot-Watt pada 15 Julai.Penganugerahan daripada universiti terkemuka berpangkalan di Edinburgh, Scotland, United Kingdom sebagai mengiktiraf sumbangan baginda dalam memupuk dan menyokong sektor pengajian tinggi serta pembelajaran di Malaysia dan peringkat antarabangsa

2019 Melancarkan buku biografi Tengku Permaisuri Selangor ‘My first year journey, from TV News Anchor to Tengku Permaisuri Selangor: An Anecdotal Experience’

2019 Pejabat Sultan Selangor diiktiraf sebagai pengurusan istana pertama di Malaysia yang memperoleh Pensijilan ISO 9001:2015 (Sistem Pengurusan Berkualiti) Malaysian Book of Records pada 27 Jun

2020 Atas kepedulian terhadap kesihatan rakyat, tuanku bertitah menangguhkan solat Jumaat secara berperingkat bermula 17 Mac ekoran penularan Covid-19. Aktiviti mengimarahkan masjid seperti kelaziman baginda saban tahun turut ditangguh

2020 Berkenan membeli Kasut Emas milik bekas penyerang bola sepak pasukan kebangsaan Khalid Jamlus pada 14 September. Kasut Emas berusia 18 tahun itu disimpan di Muzium Galeri Bola Sepak Selangor

2020 Perkenan isytihar Subang Jaya sebagai bandar raya ketiga di Selangor berkuat kuasa pada 20 Oktober. Sebelumnya tuanku turut perkenan memasyhurkan Kuala Langat bertaraf perbandaran bermula 9 September