Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Pra sekolah KEMAS Selangor lahir kanak-kanak berpotensi

OLEH HAFIZAN TAIB

BANTING, 3 SEPT: Pendidikan pra sekolah dijayakan KEMAS Selangor berjaya membina keyakinan diri dan mengasah bakat kanak-kanak dalam persediaan mereka memasuki alam persekolahan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib, Hasnul Baharuddin berkata, penganjuran Hari Potensi KEMAS peringkat Selangor diadakan itu mendedahkan kanak-kanak yang mendapat pendidikan di KEMAS, berjaya mengembangkan bakat dan kebolehan masing-masing.

“Diharapkan program ini dapat membuka mata masyarakat terutama ibu bapa akan betapa pentingnya peranan KEMAS dalam memberikan pendidikan kepada kanak-kanak bermula dari peringkat awal.

“Ini kerana pendidikan pra sekolah ini amat penting untuk kanak-kanak sebagai persediaan sebelum melangkah ke alam persekolahan,” katanya dalam majlis perasmian penutup Hari Potensi KEMAS peringkat Selangor di Kolej Matrikulasi Selangor di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah KEMAS, Dato’ Amiruddin Ariffin dan Pengarah KEMAS Selangor, Khairuddin Md Nasir.

Mengulas lanjut, Hasnul berkata, kejayaan dalam melaksanakan majlis itu membuktikan hasil kerjasama erat semua kakitangan KEMAS Selangor dan pihak berkaitan dari pelbagai peringkat.

“Tahniah kepada KEMAS Selangor kerana berjaya menganjurkan program ini dengan jayanya hasil kerjasama semua kakitangan dan pihak berkaitan.

“Semangat seperti ini amat diperlukan untuk menjayakan sesebuah jabatan atau agensi yang menjadi tunjang kepada kerajaan dan sentiasa menjadi perhatian rakyat,” katanya.

Hari Potensi KEMAS peringkat Selangor disertai semua daerah di negeri itu diadakan pada 1 hingga 2 September lalu bagi memilih wakil Selangor ke peringkat kebangsaan di Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan dari 22 hingga 25 November depan.

Pertandingan peringkat Selangor bagi acara bakat dan sukan membabitkan sembilan acara iaitu bercerita, story telling, tilawah dan terjemahan, rekacipta, pidato, tarian, nasyid, boneka tangan serta kompang berformasi.

Categories
SELANGOR

Kerajaan optimis pastikan Pendidikan Informal KEMAS berkualiti

OLEH HAFIZAN TAIB

BANTING, 3 SEPT: Kerajaan menjalankan pelbagai dan mengkaji sistem diguna pakai negara luar bagi memastikan Pendidikan Informal Tabika dan Taska KEMAS mencapai tahap kualiti terbaik dari semua aspek.

Ketua Pengarah KEMAS, Dato’ Amiruddin Ariffin berkata, pendekatan dilaksanakan itu juga sejajar dengan arus perdana dan bagi mencapai tahap pendidikan setaraf kualiti antarabangsa.

“KEMAS sentiasa mengamalkan silibus berdasarkan kepada Kurikulum Standard PraSekolah (KSPK) ditetapkan Kementerian Pendidikan dan begitu juga dengan beberapa modul baharu diperkenalkan di mana ia sentiasa mengambil kira sejauh mana tahap penerimaan pelajar terhadap modul dan keberkesanannya.

“Terkini KEMAS telah menjalin kerjasama dengan Kementerian Kesihatan berkaitan Program Tunas Doktor Muda yang mana melaluinya, kanak-kanak berusia lima dan enam tahun dididik serta diasuh dengan kemahiran sesuai.

“Program ini sekaras dengan Standard Kurikulum PraSekolah sedia ada oleh Kementerian Pendidikan,” katanya dalam majlis perasmian penutup Hari Potensi KEMAS peringkat Selangor di Kolej Matrikulasi Selangor di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib, Hasnul Baharuddin dan Pengarah KEMAS Selangor, Khairuddin Md Nasir.

Berhubung Hari Potensi KEMAS peringkat Selangor, beliau berkata, ia adalah medan bagi memilih wakil neger itu untuk diketengahkan ke pertandingan peringkat kebangsaan di Negeri Sembilan pada 22 hingga 25 November depan.

Katanya, antara objektif penganjurannya ialah menggalak dan mengembang bakat, kebolehan, minat, kreativiti dan nilai estetika serta penguasaan pelbagai elemen kemahiran kanak-kanak.

“Ia juga memupuk dan mengukuhkan nilai murni, keyakinan diri, sikap bertolak ansur serta sikap menghargai warisan budaya dalam diri mereka,” katanya.

Pertandingan peringkat Selangor bagi acara bakat dan sukan membabitkan sembilan acara iaitu bercerita, story telling, tilawah dan terjemahan, rekacipta, pidato, tarian, nasyid, boneka tangan serta kompang berformasi\