Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Atasi lambakan hasil tani, Selangor beli 30 tan cili, pisang

SHAH ALAM, 7 JUN: Selangor akan membeli lebih 30 metrik tan lambakan komoditi pertanian di beberapa daerah negeri ini untuk dipasarkan.

EXCO industri asas tani berkata berkata lambakan dikesan di Sabak Bernam, Kuala Langat dan Kuala Selangor membabitkan 11 aduan setakat Sabtu.

Ir Izham menjelaskan hasil tani merangkumi pisang berangan (22,000kg), ubi kayu (10,000kg), pisang tanduk (1,000kg), limau kasturi (500kg), cili kulai 461 (150kg) dan cili bara (300kg).

“Insya-Allah semuanya akan dibeli dan dipasarkan ke 12 cawangan (pasar agro) yang dikenal pasti. Tunggu info jualan dalam masa terdekat,” katanya menerusi Facebook.

Pada 2 Jun, Dato’ Menteri Besar berkata Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membelanjakan RM500,000 untuk membeli jagung, cili dan pisang bagi mengatasi lambakan hasil tani.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan produk pertanian seberat 126 metrik tan itu dijual semula 50 peratus lebih murah berbanding harga pasaran di 12 lokasi terpilih.

Inisiatif itu sebahagian usaha membantu 21 pengusaha yang tidak dapat memasarkan hasil pertanian susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sumber Facebook Izham Hashim
Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kerajaan Negeri sedia beli hasil tani gagal dijual

SHAH ALAM, 9 MEI: Kerajaan Negeri sedia membeli hasil pertanian yang gagal dijual akibat penutupan beberapa premis yang tersenarai dalam Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (Hide).

EXCO Industri Asas Tani berkata pihaknya sentiasa memantau situasi itu kerana Selangor menjalankan inisiatif yang sama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Tahun lepas kita peruntuk RM1 juta untuk membeli produk pertanian yang tidak dapat dijual ketika PKP. Tahun ini juga sama.. kita tiada peruntukan tetap, ia bergantung kepada keperluan, kita luluskan dan beli.

“Baru-baru ini kita beli pisang berangan sebanyak empat tan dengan nilai RM8,000 di mana kita jual semula di pasar tani dengan harga istimewa,” kata Ir Izham Hashim ketika melawat Pasar Tani Stadium Shah Alam.

Beliau menjawab soalan tindakan yang akan diambil bagi membantu petani yang tidak dapat menjual produk susulan premis terpaksa ditutup selepas disenarai dalam Hide.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan sebanyak 54 lokasi di negeri ini disenaraikan berpotensi menjadi titik panas penularan Covid-19 dalam jangka masa 7 hari.

Daripada jumlah itu, lebih 75 peratus terdiri dari pasar raya termasuk pusat beli-belah terkemuka manakala selebihnya melibatkan kilang, restoran dan bazar Ramadan, pasar moden serta institusi pendidikan.