Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kerajaan Negeri sedia beli hasil tani gagal dijual

SHAH ALAM, 9 MEI: Kerajaan Negeri sedia membeli hasil pertanian yang gagal dijual akibat penutupan beberapa premis yang tersenarai dalam Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (Hide).

EXCO Industri Asas Tani berkata pihaknya sentiasa memantau situasi itu kerana Selangor menjalankan inisiatif yang sama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Tahun lepas kita peruntuk RM1 juta untuk membeli produk pertanian yang tidak dapat dijual ketika PKP. Tahun ini juga sama.. kita tiada peruntukan tetap, ia bergantung kepada keperluan, kita luluskan dan beli.

“Baru-baru ini kita beli pisang berangan sebanyak empat tan dengan nilai RM8,000 di mana kita jual semula di pasar tani dengan harga istimewa,” kata Ir Izham Hashim ketika melawat Pasar Tani Stadium Shah Alam.

Beliau menjawab soalan tindakan yang akan diambil bagi membantu petani yang tidak dapat menjual produk susulan premis terpaksa ditutup selepas disenarai dalam Hide.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan sebanyak 54 lokasi di negeri ini disenaraikan berpotensi menjadi titik panas penularan Covid-19 dalam jangka masa 7 hari.

Daripada jumlah itu, lebih 75 peratus terdiri dari pasar raya termasuk pusat beli-belah terkemuka manakala selebihnya melibatkan kilang, restoran dan bazar Ramadan, pasar moden serta institusi pendidikan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Stesen LRT KLCC, KL Sentral terus operasi meski bawah sistem amaran

PUTRAJAYA, 9 MEI: Semua perkhidmatan pengangkutan awam di stesen dan terminal yang tersenarai bawah sistem amaran awal Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) akan terus beroperasi.

Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata tiga stesen yang terlibat ialah LRT KLCC, LRT Masjid Jamek dan KL Sentral.

“Bagaimanapun semua premis perniagaan di stesen yang disenaraikan itu akan ditutup selama tiga hari dari 9 hingga 11 Mei mengikut arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti yang diumumkan semalam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

MOT berkata sebarang penutupan atau pembukaan premis perniagaan ini adalah tertakluk kepada arahan MKN dari semasa ke semasa.

Katanya perkhidmatan pengangkutan awam sangat penting bagi negara, terutama bagi petugas barisan hadapan yang bergantung pada operasi berterusan walaupun semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Semua stesen pengangkutan awam perlu sentiasa dibuka bagi tujuan pemindahan atau penghantaran bekalan penting sekiranya berlakunya kecemasan,” katanya.

MOT berkata stesen pengangkutan ini juga dilengkapi dengan alat pengimbas suhu di samping melaksanakan penguatkuasaan tatacara operasi piawai (SOP) pencegahan Covid-19 yang ketat.

Ia juga mengingatkan semua pengguna pengangkutan awam untuk terus mematuhi SOP termasuk penggunaan cecair pencuci tangan, memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan mengimbas kod QR MySejahtera.

Sistem HIDE yang dibangunkan bersama oleh Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kesihatan bertujuan memberi amaran awal dalam mencegah peningkatan jangkitan Covid-19 dengan menggunakan data daripada aplikasi MySejahtera, dan baru-baru ini ia telah mengeluarkan senarai premis atau lokasi yang dianggap berpotensi menjadi kluster sekiranya tiada tindakan awalan diambil.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Premis tersenarai lokasi titik panas diarah tutup tiga hari

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Premis termasuk bazar Ramadan yang tersenarai dalam sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (Hide), kerana dikenal pasti sebagai lokasi berisiko kepada penularan kes Covid-19, akan diarahkan ditutup selama tiga hari berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti penguatkuasaan bagi semua premis akan dipantau oleh polis, tentera, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta pihak berkuasa tempatan.

“Kerajaan juga ingin memaklumkan, semua bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan ditutup bermula Isnin ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sistem Hide, dibangunkan bersama oleh Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kesihatan, bertujuan memberi amaran awal dalam mencegah peningkatan jangkitan Covid-19, dengan menggunakan data daripada aplikasi MySejahtera.

Terdahulu, kerajaan menerbitkan senarai Hide pertama premis perniagaan yang dikenal pasti sebagai titik panas Covid-19, yang berpotensi mendatangkan risiko penularan wabak tersebut.

Dalam perkembangan lain Ismail Sabri berkata, semua aktiviti rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran polis tidak dibenarkan berkuatkuasa Isnin ini (10 Mei) hingga 6 Jun di seluruh negara.

Semua aktiviti sosial, pendidikan dan ekonomi yang boleh menyebabkan perhimpunan, atau kesesakan awam serta aktiviti rasmi, sosial dan aktiviti bersemuka oleh kerajaan dan swasta di seluruh negara, juga tidak dibenarkan bagi tempoh sama.

“Bagaimanapun, keputusan ini akan disemak semula selepas dua minggu,” katanya.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata aktiviti sukan dan rekreasi individu dan tidak bersentuhan fizikal dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1.5 meter yang dijalankan di kawasan terbuka dibenarkan bagi tujuan kesihatan.

“Pada ketika ini, kerajaan sentiasa meneliti tatacara operasi piawai (SOP) dan sekiranya berlaku pertambahan kes harian, maka kerajaan akan mendapatkan nasihat dan juga penilaian risiko daripada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membolehkan SOP itu diperketatkan,” katanya.

Berhubung tangkapan ingkar SOP, Ismail Sabri memaklumkan seramai 332 individu ditahan atas kesalahan tersebut semalam dan daripada jumlah itu, seramai 331 individu dikompaun manakala seorang lagi direman.

-BERNAMA