Categories
AGENSI SELANGOR

Produk dipasar Hasil Suri Selangor laris sejak PKP

SHAH ALAM, 23 JULAI: Produk hasil tangan wanita yang dipasar menerusi platform Hasil Suri Selangor (HaSSel) laris dijual sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

Ketua pegawai eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) berkata produk seperti makanan dan perhiasan mendapat sambutan sehingga laman sesawangnya terpaksa ditutup sementara untuk menambah stok.

“Laman sesawang ini dijangka beroperasi semula dalam waktu terdekat bagi membolehkan masyarakat membelinya,” kata Siti Kamariah Ahmad Subki kepada SelangorKini.

Beliau berkata selain memberi peluang memasarkan produk pihaknya juga menggalakkan usahawan membeli bahan mentah secara dalam talian.

“Kita sedar terdapat kekangan sepanjang PKP namun mereka dinasihat menggunakan medium tersebut untuk mendapatkan bahan berkaitan untuk menghasilkan produk jualan seterusnya berada dalam pasaran,” katanya.

HaSSel merupakan landasan bagi usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) wanita memperkenalkan produk bagi tujuan komersial.

Ia adalah inisiatif Kerajaan Negeri memperkasakan golongan terbabit di Selangor terutamanya mereka mempunyai masalah daripada segi sosio ekonomi.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

RM400,000 diperuntuk jayakan Ekspo Hasil Suri Selangor

SHAH ALAM, 26 APRIL: Kerajaan Negeri memperuntuk sejumlah RM400,000 untuk menjayakan Ekspo Hasil Suri Selangor (HaSSel) selama lima hari berakhir Rabu.

EXCO pemberdayaan wanita berharap jualan secara maya menerusi laman sesawang http://www.expohassel.com yang menawarkan 830 produk dapat meningkatkan pendapatan golongan sasar.

“Sejak dilancarkan pada Sabtu lepas, laman jualan kita dikunjung hampir 30,000 kali, justeru ia menunjukkan ramai mula mengenali serta tertarik produk hasil suri.

“Angka ini menunjukkan capaian pasaran secara dalam talian lebih meluas berbanding hanya 5,000 pengunjung yang hadir penganjuran secara fizikal pada tahun lepas,” kata Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Ekspo HaSSel 2021 di foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Dr Mariah berkata program pemberian insentif yang memberi manfaat sementara kini diganti program pemberdayaan wanita dalam tempoh jangka panjang.

HaSSel merupakan landasan bagi usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) wanita memperkenalkan produk bagi tujuan komersial.

Ia adalah inisiatif Kerajaan Negeri memperkasakan golongan wanita di Selangor terutamanya mereka mempunyai masalah daripada segi sosio ekonomi.