Categories
AGENDA NASIONAL

Polis buru wanita sebar berita palsu pemanah negara mati akibat vaksin

SHAH ALAM, 24 MEI: Polis mengesan seorang wanita susulan tersebar berita palsu yang mendakwa punca kematian pemanah negara, Haziq Kamaruddin disebabkan pengambilan vaksin AstraZeneca.

Ketua Polis Daerah Kajang berkata berita menerusi video selama tiga minit 34 saat itu turut mendakwa Kementerian Kesihatan (KKM) menyembunyikan punca sebenar kematian atlet berkenaan.

“Kita menerima laporan rakaman video berita palsu pada 22 Mei lalu dan siasatan mendapati rakaman itu dimuat naik menerusi status WhatsApp milik penama Aqila Yusri selain dimuat naik dalam Instagram @agilayusri.

“Hasil penelitian video mendapati wanita itu mendakwa kematian Haziq berpunca daripada saluran darah tersumbat akibat mengambil vaksin tersebut,” kata Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan kes tersebut itu disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.

Sementara itu, semakan Selangorkini di Instagram @agilayusri mendapati wanita itu memohon maaf di atas kenyatannya berhubung isu berkenaan.

“Saya ingin memohon maaf diatas kenyataan saya berkenaan vaskin AstraZeneca, bahawa vaksin tersebut boleh menyebabkan darah beku di jantung serta mempunyai hubung kait dengan kematian arwah Haziq,” katanya.

Sebelum ini, KKM menerusi kenyataan memaklumkan kematian Haziq pada 14 Mei lalu adalah disebabkan komplikasi salur darah jantung tersumbat akibat daripada perubahan arterosklerosis.

Kenyataan itu memetik Ketua Perkhidmatan Perubatan Forensik Datuk Dr Zahari Noor yang berkata hingga kini tiada bukti menunjukkan kematian Haziq yang pernah mewakili negara ke Sukan Olimpik berkait langsung dengan vaksinasi Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM sahkan Haziq meninggal dunia akibat komplikasi salur darah jantung tersumbat

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Kematian pemanah negara Haziq Kamaruddin semalam adalah disebabkan komplikasi salur darah jantung tersumbat akibat daripada perubahan arterosklerosis, demikian menurut kenyataan Kementerian Kesihatan hari ini.

Kenyataan itu memetik Ketua Perkhidmatan Perubatan Forensik Datuk Dr Zahari Noor yang berkata hingga kini tiada bukti menunjukkan bahawa kematian Olimpian berusia 27 tahun itu berkait langsung dengan vaksinasi Covid-19.

“Proses bedah siasat selesai dilakukan setelah ujian calitan Covid-19 yang diambil menunjukkan keputusan negatif bagi virus tersebut. Hasil bedah siasat menunjukkan kepada kematian disebabkan komplikasi salur darah jantung tersumbat akibat daripada perubahan arterosklerosis.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk menunggu beberapa keputusan analisis makmal,” kata Pakar Perunding Kanan Perubatan Forensik itu.

Haziq yang pernah mewakili negara ke Sukan Olimpik London 2012 dan Rio 2016, dilaporkan rebah di rumahnya pada kira-kira 8 pagi semalam, sebelum dikejarkan ke Hospital Kajang dan disahkan meninggal dunia pada 9.37 pagi.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Koperasi Serkam Darat, Merlimau, Melaka pada 1.40 pagi tadi selepas selesai dibedah siasat di Hospital Kajang malam tadi.

Haziq antara lebih 200 atlet dan pegawai yang terlibat dalam persediaan ke Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo yang melengkapkan dos suntikan vaksin Pfizer-BioNTech pada 4 Mei lalu.

Sepanjang sedekad mewakili negara, Haziq pernah meraih pingat emas pada Grand Prix Asia 2011 di Laos dan gangsa Piala Asia 2019 di Filipina, selain meraih empat emas dan dua perak menerusi acara individu dan berpasukan di Sukan SEA sejak edisi 2011 hingga 2019.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Jenazah atlet memanah selamat dikebumi awal pagi ini

JASIN, 15 MEI: Jenazah atlet memanah negara Haziq Kamaruddin, 27, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Taman Koperasi Serkam Darat, Merlimau kira-kira 1.40 pagi ini.

Jenazah yang dibawa dari Hospital Kajang tiba di lokasi pengebumian sekitar 12.45 tengah malam dan disolatkan di Surau Al-Taqwa di kampung tersebut dengan mengikut tatacara operasi piawai yang ditetapkan.

Antara yang turut mengiringi jenazah adalah isteri Allahyarham Shahira Abdul Halim dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan sebaik jenazah dimasukkan ke liang kira-kira 1 pagi.

Pemanah recurve itu meninggal dunia selepas rebah di rumahnya di Kajang selepas menunaikan solat subuh pagi semalam.

Haziq kemudian digegaskan ke Hospital Kajang namun disahkan meninggal dunia pada 9.37 pagi.

Pemanah berasal dari Johor itu pernah mewakili negara ke temasya Olimpik sebanyak dua kali, iaitu pada edisi London 2012 serta Rio 2016 di Brazil dan kini sedang mengejar slot kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Atlet memanah Haziq Kamaruddin meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Arena sukan tanah air hari ini dikejutkan dengan berita pemergian atlet memanah negara Haziq Kamaruddin yang meninggal dunia awal pagi tadi.

Menurut seorang ahli keluarganya yang enggan dikenali, pemanah recurve berusia 27 tahun itu rebah di rumahnya di Kajang selepas menunaikan solat subuh pagi tadi.

“Arwah tiba-tiba rebah sejurus keluar dari bilik air selepas solat subuh dan terus tidak sedarkan diri,” kata wanita itu ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya, Haziq kemudian digegaskan ke Hospital Kajang namun disahkan meninggal dunia sejurus ketibaan di hospital itu.

Pemanah berasal dari Johor itu pernah mewakili negara ke temasya Olimpik sebanyak dua kali, iaitu pada edisi London 2012 serta Rio 2016 di Brazil dan kini sedang mengejar slot kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Haziq yang sedang menjalani persiapan untuk kelayakan ke temasya di Tokyo itu sudah sedekad mewakili negara di pelbagai peringkat, termasuk meraih pingat emas Grand Prix Asia 2011 di Laos dan gangsa semasa Piala Asia 2019 di Filipina.

Pencapaian lain allahyarham yang pernah dinobatkan sebagai Olahragawan Terbaik Sekolah Sukan Bukit Jalil pada 2011 itu ialah meraih empat pingat emas dan dua perak dalam acara individu serta berpasukan sepanjang penyertaannya di Sukan SEA sejak edisi 2011 hingga 2019.

Sementara itu, rakan sepasukannya Zulfadhli Ruslan merupakan antara yang terawal memaklumkan tentang pemergian Haziq menerusi laman Facebooknya.

“Assalamualaikum dan salam sejahtera, dukacita dimaklumkan sahabat saya, Haziq Kamaruddin telah pergi mengadap llahi pagi tadi. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang beriman. Minta semua rakan-rakan saya mendoakan. al-Fatihah,” menurut catatan beliau.

-BERNAMA