Categories
NASIONAL

FOKUS ISU : Sabah Bukan Lagi Fix-Deposit Barisan Nasional – HIEW KING CHEU

Sinopsis:
Saksikan Fokus Isu bersama Ahli Parlimen Kota Kinabalu yang mendakwa Kerajaan Pusat bakal berdepan dengan kebangkitan rakyat dan pemimpin di Sabah menjelang Pilihanraya Ke-13.

Temui Fokus Isu setiap hari Sabtu, 9 Malam

Categories
NASIONAL

Sabah Termiskin : PM Gagal Tunai Janji

SHAH ALAM 24 JULAI – Statistik Jabatan Perangkaan yang menunjukkan Sabah mendahului sebagai negeri termiskin(kadar kemiskinan 19.7 peratus) menunjukkan slogan ‘janji ditepati’ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kosong semata-mata.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Hiew King Cheu berkata, sebenarnya rakyat Sabah sudah menjadi rakyat kelas ketiga dan terus terpinggir di sebalik pembangunan pesat negeri lain meskipun mempunyai hasil bumi yang banyak.

“Memang sekiranya rakyat ingin maju perlu ada peluang ekonomi, industri, dan pekerjaan namun di Sabah semua itu hanyalah mimpi. Kerajaan Pusat mengumumkan projek besar namun akhirnya hanya tinggal cakap kosong sahaja.

“Mengapa Sabah masih miskin teruk sedangkan kita mempunyai pengeluaran minyak yang banyak? Penduduk di kampung masih ramai yang tidak mampu memperoleh pendapatan RM300 sebulan. Secara jujurnya saya katakan Kerajaan Negeri(Sabah) dan persekutuan tidak berguna,” kataya.

Menurutnya, satu ketika dahulu Sabah pernah menjadi negeri antara negeri terkaya di Malaysia pada tahun 1970an namun kini sepi dengan kehadiran pelabur sebaliknya dihujani dengan kehadiran pendatang asing.

Menurut laporan itu, Malaysia mengalami sedikit peningkatan dalam kadar kemiskinan antara 2007 dan 2009, yang pertama sejak berakhirnya krisis kewangan Asia pada tahun 1999, demikian mengikut kajian yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan.

Kadar kemiskinan naik daripada 3.6 peratus pada 2007 kepada 3.8 peratus pada 2009 manakala kadar kemiskinan tegar kekal pada 0.7 peratus.

Selain Sabah, laporan itu juga menunjukkan negeri Perlis (6 peratus) berada ditangga ke dua, Sarawak dan Kedah (masing-masing 5.3 peratus) berkongsi di tempat ke tiga.

Jelas Hiew King Cheu berdasarkan kepada situasi ini slogan ‘Rakyat Diketepi’ lebih sesuai dilaungkan oleh Najib berbanding ‘Janji Ditepati’ bagi mencerminkan kredibiliti pemerintahan Umno-BN yang selama ini gagal meningkatkan gaji dan mengawal kos sara hidup rakyat.

Najib dalam bajetnya sebelum ini menjanjikan peruntukan yang besar kepada Sabah dan Sarawak kononnya bagi tujuan pembangunan dan meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri berkenaan.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar beranggapan, kedudukan Sabah dan Sarawak yang mengungguli kedudukan tiga teratas dalam senarai negeri yang mencatatkan peningkatan kemiskinan membuktikan berlakunya kepincangan pentadbiran di bawah BN.

Menurutnya, hasil kajian ini sekaligus menafikan tanggapan jahat pimpinan Umno-BN selama yang sering mensasarkan negeri pentadbiran Pakatan Rakyat khususnya Kelantan sebagai negeri miskin tanpa pembangunan sejak ditadbir Pas lebih 20 tahun lalu.

Katanya, perkara berkaitan kekurangan kemudahan infrastruktur dan berkaitan kemiskinan sering menjadi keluhan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak setiap kali persidangan Dewan Rakyat.

“Walaupun dari segi pencapaian hasil (bumi) itu banyak di kedua-dua negeri ini berbanding dengan negeri lain, akibat daripada pengurusan pincang yang dibuat oleh kerajaan negeri dibawah BN menyebabkan limpahannya tidak sampai kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi Tv Selangor.

Tegas beliau, apa yang penting rakyat Sabah dan Sarawak perlu mempunyai kesedaran untuk melihat kekayaan negeri dikembalikan kepada mereka setelah lebih 54 tahun melimpah ke dalam poket pimpinan negeri yang tidak bertanggungjawab.

Categories
NASIONAL

Pakatan Rakyat Bawa Perubahan Di Sabah

KUALA LUMPUR, 28 JUN: Penubuhan Pakatan Rakyat(PR) selepas tahun 2008 membuka peluang cerah untuk membawa perubahan di Sabah memandangkan dalam pilihan raya sebelum ini pembangkang bertanding sesama sendiri.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Dr Hiew King Cheu berkata, PR berpeluang untuk menambah sekurang-kurangnya lapan kerusi dan beliau percaya Sabah bukan lagi simpanan tetap kepada Umno-BN.

Katanya, rakyat bersedia untuk membuat perubahan memandangkan selama ini Umno-BN hanya mahukan undi rakyat Sabah semata-mata dan mengabaikan pembangunan untuk keselesaan rakyat.

“Kerajaan hanya fikir untuk mendapatkan undi rakyat Sabah. Tetapi rakyat Sabah mahu peluang ekonomi dan pekerjaan,” katanya.

Menurutnya lagi, perkara utama yang dilakukan Pakatan adalah menembusi kawasan pedalaman yang masih ketinggalan dari pelbagai aspek terutamanya capaian maklumat dan infrastruktur.

Jelasnya, masyarakat Sabah terutamanya di kawasan pedalaman masih belum mengerti tujuan memangkah pada kertas undi dan ini merupakan perkara asas yang perlu diberikan perhatian.

“Kita mesti cuba fahamkan apakah tujuan mereka letak tanda X (pangkah) pada kertas undi supaya mereka faham tidak membuat kesilapan memilih pemimpin. Selain itu kita juga terpasa mengedarkan risalah dan VCD supaya mereka faham,” katanya ketika ditemuramah untuk program Fokus Isu terbitan Tv Selangor.

Beliau menambah, masih banyak kawasan di pedalaman Sabah yang tidak mempunyai jalan raya dan infrastruktur sempurna meskipun lebih 50 tahun dibawah pimpinan Umno-BN.

Menurutnya lagi, sikap kerajaan persekutuan yang lebih menggalakkan pelabur berurusan di semenanjung serta menjadikan alasan ‘kekurangan kemudahan’ membuatkan pembangunan di Sabah semakin ketinggalan.

Tegas beliau, perkara ini mampu diselesaikan dengan hanya satu cara, memilih Pakatan Rakyat menerajui kerajaan persekutuan.

Categories
NASIONAL

Projek IC Musnahkan Hak Peribumi Sabah

KUALA LUMPUR, 28 JUN: Pemberian kad pengenalan kepada warga asing mampu memusnahkan etnik asal peribumi Sabah hanya semata-mata untuk menyelamatkan hayat Umno-BN untuk terus berkuasa.

Menurut Ahli Parlimen Kota Kinabalu(DAP), Dr Hiew King Cheu, pemberian kad pengenalan(IC) kepada warga asing akan menjadikan masyarakat asal peribumi Sabah seperti Kadazan menjadi etnik minoriti di bumi sendiri pada masa akan datang.

Ketika ditemuramah dalam program Fokus Isu tertbitan TVSelangor, beliau mengakui masalah pemberian kad pengenalan ini sudah berlarutan sejak sekian lama dan mengecewakan rakyat Sabah, namun sehingga kini Kerajaan Pusat masih tidak melakukan sebarang siasatan berhubung perkara ini.

Apa yang penting katanya, Umno-BN menggunakan kaedah ini semata- mata untuk mendapatkan undi rakyat, walhal rakyat Sabah masih kekal dengan kemiskinan dan infrastruktur yang tidak sehebat di Semenanjung Malaysia.

“Impak pemberian kad pengenalan ini sangat besar. Kerajaan tidak mengawal kemasukkan mereka (pendatang asing) ke Sabah.

“Memang ada orang yang bawa mereka masuk untuk kerja dan memberikan kad pengenalan. Mereka mahu orang ini bekerja di Sabah dan paling penting adalah undi.

“Undi ini untuk mempertahankan Kerajaan. Kesempatan ini juga diambil pihak lain untuk mendapatkan keuntungan misalnya satu kad pengenalan bernilai RM 2,000,” katanya.

Jelas beliau, pemberian kad pengenalan ini turut dimanfaatkan oleh beberapa pihak untuk mengaut keuntungan hasil daripada ‘penjualan’ kad pengenalan kepada warga asing.

Menurutnya lagi, perkara ini sudah lama berlangsung rancak termasuk tangkapan terbaru di Tawau yang melibatkan 18 individu termasuk pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).