Categories
SELANGOR

Izzah: Anwar Menteri Kewangan terbaik 1996, Najib terburuk 2015

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 10 FEB: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya merasa malu dan meletak jawatan kerana kegagalan beliau menguruskan ekonomi dan kewangan hingga hampir melumpuhkan sistem pertahanan ekonomi negara.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, berkata prestasi buruk dan memalukan negara itu menyebabkan Najib dipilih sebagai Menteri Kewangan Asia terburuk dalam satu laporan dikeluarkan portal kewangan antarabangsa, FinanceAsia baru-baru ini.

nurul izzah KLSCAH 01“Kalau Najib dianugerahkan Menteri Kewangan Asia dengan prestasi terburuk, Anwar pula pernah dinobatkan sebagai Menteri Kewangan Asia terbaik pada 1996,” katanya pada Himpunan 365 #BebaskanAnwar di hadapan Penjara Sungai Buloh di sini, malam tadi.

Katanya, Najib berterusan membentangkan belanjawan defisit yang meningkat setiap tahun sekaligus menjadikan hutang negara bertambah, berbanding di era Anwar sebagai Menteri Kewangan dengan kejayaan negara mengurangkan hutang dan menikmati lebihan belanjawan.

Pada 1996, selain dinobatkan sebagai Menteri Kewangan terbaik Asia oleh AsiaMoney, EuroMoney pula menamakan Anwar sebagai antara empat Menteri Kewangan terbaik di seluruh dunia.

Asiamoney dan Euromoney masing-masing merupakan antara majalah pengurusan dan kewangan paling berpengaruh dan menjadi sumber rujukan ahli ekonomi seluruh dunia.

Manakala pada 1998, satu lagi majalah antarabangsa yang juga berpengaruh, Newsweek turut menamakan Anwar sebagai ‘Asian of The Year’.

Prestasi kewangan negara yang sangat memberangsangkan di bawah Anwar turut menjadi faktor beliau dipilih menduduki jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa dari Mac 1998 hinggalah dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada September 1998 sekaligus menyebabkan jawatan itu terlepas secara automatik.

-nR-

Categories
NASIONAL

Azizah hiba Anwar tak mampu angkat tangan untuk cucu

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 10 FEB: Isteri mana tidak hiba melihat suami tercinta yang bukan sahaja dipenjarakan secara tidak sah, malah terpaksa menanggung kesakitan hingga tidak mampu mengangkat tangan sendiri ketika bergurau dengan cucunya.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah, berkata beliau hanya dapat memandang dengan sayu gelagat suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama cucunya ketika pertemuan terakhir mereka ketika di Kompleks Mahkamah Syariah Kuala Lumpur bulan lalu.

BEBAS ANWAR“Pada masa itu cucu kami melihat gambar Anwar semasa reformasi bermula pada 1998 yang menunjukkan Anwar sedang mengangkat tangannya kepada orang ramai.

“Bila melihat gambar itu, cucu kami meminta Anwar supaya mengangkat tangan kanannya seperti mana aksi di dalam gambar itu tetapi alangkah sayunya, Anwar tidak mampu mengangkat tangan kanannya,” kata Wan Azizah ketika berucap pada Himpunan 365 #BebaskanAnwar di hadapan Penjara Sungai Buloh di sini, malam tadi.

Bagaimanapun jelas Wan Azizah, untuk tidak mengecewakan cucunya itu, Anwar mengangkat tangan kirinya seperti mana aksinya di dalam gambar terbabit.

Dr Wan Azizah turut melahirkan kekesalannya dengan sikap kerajaan Umno-Barisan Nasional yang enggan membenarkan Anwar mendapatkan rawatan di luar negara.

-nR-