Categories
AGENDA JENAYAH

Hina Nabi: Pelajar universiti didenda RM4,000

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Padah membuat dan menghantar komunikasi jelik berhubung Nabi Muhammad SAW menerusi akaun Facebook, seorang pelajar universiti didenda RM4,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim M. M. Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap Ain Zafira Md Said, 28, selaku Orang Kena Saman (OKS), selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan kes tersebut.

Wanita itu didakwa menggunakan laman profil Facebook ‘Ain Zafira Md Said’ secara sedar membuat penghantaran menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain pada jam 12.05 pagi, 5 September 2019.

Pautan itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini pada jam 4.15 petang, 8 September 2019.

Ain Zafira didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Nor Azri Mohd Arif, yang mewakili Ain Zafira, merayu mahkamah mengenakan hukuman berbentuk denda minimum atas alasan anak guamnya kesal dan telah menerima pengajaran daripada tindakannya.

“OKS merupakan anak kedua daripada dua beradik, masih belajar dan ditanggung oleh ibunya yang merupakan ibu tunggal.

“Dalam kes ini, OKS sudah menyesal akan perbuatannya dan memohon maaf pada semua yang terkesan dengan ‘posting’ beliau keluarkan. ‘Posting’ tersebut telahpun dipadam,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Annur Atiqah Abd Hadi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran kepada Ain Zafira kerana tindakan wanita itu telah mencetuskan kemarahan umat Islam di Malaysia.

Menurut beliau, hukuman berbentuk pengajaran boleh menjadi contoh kepada semua rakyat Malaysia supaya lebih sensitif dan berhati-hati ketika ingin menyuarakan pendapat di media sosial.

“Ribuan orang dapat melihat dan mengakses hantaran OKS tersebut,” tambahnya.

Ain Zafira membayar denda tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Penganggur didenda RM5,000 hina Nabi di Facebook

KUALA LUMPUR, 12 DIS: Akibat memuat naik hantaran jelik bersifat menghina Nabi Muhammad SAW, seorang penganggur didenda RM5,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Hakim M.M. Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Zahrein Zakariah, 37, selepas dia mengaku bersalah atas perbuatan yang dilakukan melalui aplikasi Facebook miliknya.

Mengikut pertuduhan, Mohd Zahrein dengan secara sedar didakwa telah memulakan penghantaran menggunakan laman Facebook, membuat komunikasi jelik yang mengandungi antaranya perkataan yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Hantaran yang dibuat dengan niat untuk menyakiti hati orang lain itu telah dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ, di sini, pada 9.30 malam, 8 Julai lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara yang boleh sampai satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, peguam L.A Gomes memohon mahkamah mengenakan hukuman rendah berbentuk denda minimum atas alasan anak guamnya telah insaf selain berjanji tidak akan memuat naik hantaran bersifat jelik di masa akan datang.

“Anak guam saya memuat naik hantaran itu kerana ingin memulakan perbincangan di media sosial dan sekarang telah dipadam,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Annur Atiqah Abdul Hadi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan penduduk di Malaysia agar lebih sensitif dan berhati-hati ketika ingin menyuarakan pendapat di media sosial.

“Hantaran yang dibuat telah dibaca oleh ribuan orang dan telah mendatangkan kemarahan kepada umat Islam di negara ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan bertindak cepat dakwa pihak hina nabi – Mujahid

PARIT BUNTAR, 2 MAC: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) sentiasa bertindak tegas dan akan mengambil tindakan pantas terhadap mana-mana individu atau pihak yang menghina agama serta kaum.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengambil contoh kes terbaharu apabila dua individu menghina Nabi Muhammad SAW yang tular di Facebook baru-baru ini, mereka didakwa di mahkamah dalam tempoh kurang sebulan.

‘Kita dah tuduh mereka (hina nabi) di mahkamah mengikut undang-undang negara, sebab kita bukan negara Taliban, orang yang didakwa itu diberikan hak untuk mendapatkan pembelaan dan jaminan apabila dituduh di mahkamah,” katanya semasa menutup Karnival Rahmah dan Ramah di pekarangan Surau Sungai Betul Bawah di Bagan Tiang dekat sini, lapor BERNAMA.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu turut menyangkal dakwaan yang tular dalam media sosial kononnya Peguam Negara, Tommy Thomas mempengaruhi pihak pendakwa raya membebaskan seorang individu dengan jaminan selepas didakwa.

“Selepas itu, mereka kaitkan pula dengan kenyataan Peguam Negara yang kononnya mengatakan ini adalah kebebasan memberi pandangan, namun hakikatnya dia (Tommy) tidak keluarkan kenyataan itu. Mengikut ‘rule of law’, apabila seseorang itu didakwa, dia akan diberi hak untuk pembelaan dan ketika itu dia ada hak diberikan jaminan,” katanya.

Pada 27 Febuari lalu, seorang lelaki yang menggunakan nama Facebook Foo Sin Wai ditahan kerana menghina Nabi Muhammad SAW, namun dibebaskan dengan jaminan polis tiga hari kemudian, dan terdahulu, tindakan lelaki itu memuat naik karikatur menghina perkahwinan Rasulullah dan isteri Baginda, Saidatina Aisyah, mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh negara.