Categories
AGENDA NASIONAL

Semua ahli Parlimen PAKATAN sudah serah akuan isytihar harta – Liew

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Semua 139 ahli Parlimen Pakatan Harapan (PAKATAN) telah mengemukakan borang akuan pengisytiharan harta kepada Dewan Rakyat setelah tempoh berbuat demikian berakhir hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata mereka adalah antara 160 ahli Parlimen yang telah menyerahkan borang akuan itu selain BN seramai tiga orang, GPS (14); PSB, PBRS dan PBS masing-masing satu.

Sementara seramai 62 ahli Parlimen lagi belum berbuat demikian iaitu BN 38 orang, PAS (18), GPS (tiga), STAR (satu) dan bebas dua.

“Rekod saya menunjukkan semua ahli Parlimen PAKATAN telah mengisytiharkan harta mereka kepada Speaker Dewan Rakyat dengan satu salinan pengisytiharan telah diberi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Bermakna selebihnya daripada GPS, PAS dan rekod menunjukkan satu atau dua dari BN yang telah memfailkan pengisytiharan mereka,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Pada 1 Julai lalu, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua ahli Parlimen, termasuk pembangkang mengisytiharkan harta mereka termasuk isteri atau suami, anak serta pemegang amanah dalam Akuan Berkanun dalam tempoh tiga bulan sebelum ia dilanjutkan pada 5 Dis.

Di bawah Perintah Parlimen juga, ahli Parlimen boleh didenda RM1,000 atau digantung daripada Dewan sekiranya tidak berbuat demikian.

Dalam pada itu Liew berkata kelewatan penyerahan borang akuan pengisytiharan harta hanya dibenarkan kepada ahli Parlimen yang telah meminta kebenaran daripada pihak Speaker Dewan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan bertindak cepat dakwa pihak hina nabi – Mujahid

PARIT BUNTAR, 2 MAC: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) sentiasa bertindak tegas dan akan mengambil tindakan pantas terhadap mana-mana individu atau pihak yang menghina agama serta kaum.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengambil contoh kes terbaharu apabila dua individu menghina Nabi Muhammad SAW yang tular di Facebook baru-baru ini, mereka didakwa di mahkamah dalam tempoh kurang sebulan.

‘Kita dah tuduh mereka (hina nabi) di mahkamah mengikut undang-undang negara, sebab kita bukan negara Taliban, orang yang didakwa itu diberikan hak untuk mendapatkan pembelaan dan jaminan apabila dituduh di mahkamah,” katanya semasa menutup Karnival Rahmah dan Ramah di pekarangan Surau Sungai Betul Bawah di Bagan Tiang dekat sini, lapor BERNAMA.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu turut menyangkal dakwaan yang tular dalam media sosial kononnya Peguam Negara, Tommy Thomas mempengaruhi pihak pendakwa raya membebaskan seorang individu dengan jaminan selepas didakwa.

“Selepas itu, mereka kaitkan pula dengan kenyataan Peguam Negara yang kononnya mengatakan ini adalah kebebasan memberi pandangan, namun hakikatnya dia (Tommy) tidak keluarkan kenyataan itu. Mengikut ‘rule of law’, apabila seseorang itu didakwa, dia akan diberi hak untuk pembelaan dan ketika itu dia ada hak diberikan jaminan,” katanya.

Pada 27 Febuari lalu, seorang lelaki yang menggunakan nama Facebook Foo Sin Wai ditahan kerana menghina Nabi Muhammad SAW, namun dibebaskan dengan jaminan polis tiga hari kemudian, dan terdahulu, tindakan lelaki itu memuat naik karikatur menghina perkahwinan Rasulullah dan isteri Baginda, Saidatina Aisyah, mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh negara.

Categories
SELANGOR

Cara pemerintahan PAKATAN kukuhkan kewangan negeri

OLEH AFIX REDZUAN

SEMENYIH, 22 FEB: Langkah penjimatan dan pengurusan cekap diamalkan Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) di Selangor menyumbang kepada kejayaan mengumpul kedudukan kewangan yang baik sejak 10 tahun lalu.

Pengerusi Majli Pimpinan PAKATAN Selangor, Amirudin Shari berkata, menerusi sistem tander terbuka diamalkan sejak 2008 sehingga tahun lalu, Selangor berjaya menjimatkan kira-kira RM990 juta.

“Kita hasilkan wang melalui penjimatan, tidak berlaku penyelewengan dan pemerintahan yang cekap.

“Saya bagi contoh, melalui sistem tander terbuka yang kita amalkan, kita berjaya jimatkan lebih kurang RM68 juta bagi tahun lalu.

“Di Selangor sejak 10 tahun lalu di bawah pemerintahan KEADILAN dan rakan-rakan, secara keseluruhan kita sudah jimat kira-kira RM990 juta,” katanya ketika menyampaikan Ceramah Isu-Isu Semasa di Kampung Batu 26 Beranang, Semenyih.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar berkata, tempoh pentadbiran puluhan tahun di bawah Barisan Nasional (BN) di peringkat Persekutuan berbanding lapan bulan bersama PAKATAN tidak sepatutnya dijadikan perbandingan kerana masih terlalu awal untuk diperdebatkan.

Katanya, Selangor dan Pulau Pinang adalah modul pentadbiran PAKATAN yang sepatutnya dibandingkan ketika zaman BN kerana mereka berjaya mencipta kejayaan dengan menawarkan program kebajikan rakyat lebih baik.

Dalam ucapannya, beliau turut menasihatkan penyokong untuk mengekalkan konsisten dan momentum PAKATAN menerusi kemenangan di Semenyih.

Categories
NASIONAL

Kerajaan sedia terima teguran pembangkang bangun negara

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 OKT: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) bersikap terbuka dan bersedia menerima pandangan juga kritikan daripada pembangkang demi membina sebuah negara lebih baik pada masa depan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bersesuaian dengan amalan demokrasi, pembangkang perlu memainkan peranan lebih efektif membantu kerajaan dalam perkara berkenaan.

“Peranan pembangkang dalam Dewan Rakyat cukup penting untuk menegur dan memberi pandangan kepada kerajaan supaya tidak terbabas dan berada pada landasan betul.

“Mungkin rakan di pembangkang baru belajar dan kita perlu memberi mereka sedikit masa untuk menyertai perbahasan lebih efektif kerana ini kali pertama.

“Namun, terdapat beberapa pemimpin pembangkang bertindak efektif dalam membantu kerajaan dengan pandangan bernas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wacana Bicara Minda: Ekonomi Kesejahteraan Untuk Semua bersama moderator, Tan Sri Johan Jaaffar di ibu pejabat Media Karangkraf di sini, hari ini.

Beliau berkata, pendirian pimpinan PAKATAN adalah jelas kerana apabila berani mengkritik pihak lain ketika bertindak selaku pembangkang maka perlu berlapang untuk tujuan sama bila berperanan sebagai kerajaan.

Katanya, ia juga adalah pendirian diambil Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada hari ini yang bersedia berkongsi pandangan sama ada dalam jemaah menteri kabinet, di dalam Parlimen atau di pentas awam.

“Kita bersedia menerima teguran dan amalan ini sudah saya mulakan di Selangor ketika menjadi Dato’ Menteri Besar di mana pembangkang dihormati dan mempunyai ruang cukup luas untuk berbuat demikian demi menyuburkan sistem demokrasi dalam sebuah kerajaan,” katanya.