Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar guna katil hospital di Selangor rawat pesakit wabak turun

SHAH ALAM, 2 SEPT: Penggunaan katil di tiga hospital penuh merawat pesakit Covid-19 di Selangor kini kurang di bawah kapasitinya.

Sebelum ini kesesakan dilapor di Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang dan Hospital Selayang yang ditukar status daripada hospital hibrid Covid-19 kepada sepenuhnya merawat wabak.

Berdasar data dikongsi Kementerian Kesihatan di Facebook, sebanyak 66 peratus daripada 4,247 katil di wad bukan unit rawatan rapi (ICU) diguna.

Penggunaan 350 katil di ICU tiga hospital itu pula pada kadar 99 peratus bagi merawat pesakit kategori kritikal.

Pada 20 Ogos lalu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata penggunaan katil bagi merawat pesakit wabak berkurangan 20 peratus dalam tempoh 1 hingga 17 Ogos.

Beliau berkata golongan berusia 60 tahun ke atas semakin berkurangan di ICU selepas kumpulan itu menerima vaksin.

Bagi statistik hospital Covid-19 di seluruh negara pula, 78 peratus daripada 18,672 katil di wad bukan ICU digunakan manakala penggunaan 1,608 katil di ICU sebanyak 90 peratus.

Sabah, Kedah dan Perak, antara negeri mencatat pemberian vaksin terendah merekodkan penggunaan katil di ICU melebihi kapasiti.

Sabah mencatatkan penggunaan 126 peratus, Kedah dengan 121 peratus manakala Perak pula 107 peratus.

Setakat semalam, 40.8 peratus golongan dewasa di Sabah lengkap vaksin manakala Kedah (47.1 peratus) dan Perak (48.4 peratus).