Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar guna katil ICU hospital seluruh negara bawah 50 peratus

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Kadar penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan serta 11 negeri lain adalah di bawah 50 peratus setakat 20 Feb, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata negeri-negeri itu adalah Perlis; Kedah; Pulau Pinang; Perak; Selangor; Negeri Sembilan; Pahang; Terengganu; Kelantan; Sabah dan Sarawak.

“Katil ICU yang disediakan di Putrajaya adalah enam dan hanya mencatatkan satu penggunaan manakala bagi Labuan sebanyak tujuh katil disediakan dan tidak mencatatkan sebarang penggunaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata antara negeri yang mencatat kadar peratusan penggunaan katil ICU yang rendah ialah Negeri Sembilan iaitu lapan peratus; Sarawak (13 peratus); Pahang (14 peratus); Kedah (15 peratus); Putrajaya (17 peratus); dan Terengganu (20 peratus).

Beliau berkata secara keseluruhan, Kementerian Kesihatan mendapati kapasiti fasiliti kesihatan di hospital awam masih boleh menampung kes COVID-19 dan bukan COVID-19.

Namun begitu, setiap negeri telah bersiap siaga dengan pelan tindak balas cepat sekiranya berlaku peningkatan kes, katanya sambil memberitahu tiga negeri menunjukkan peratusan penggunaan katil ICU lebih 50 peratus iaitu Johor (70 peratus); Kuala Lumpur (65 peratus); dan Melaka (50 peratus).

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 26,832 kes COVID-19 dilaporkan semalam menjadikan kes kumulatif kepada 3,221,680 dan daripada jumlah kes baharu itu, 1,438 kes dimasukkan ke hospital.

Beliau berkata bagi kes baharu, 133 daripadanya adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 26,699 terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Individu yang belum menerima vaksin dan tidak pernah dijangkiti COVID-19 adalah kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan COVID-19,” katanya.

Mengenai kes sembuh, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 18,459 kes dilaporkan semalam menjadikan kes kumulatif sembuh di negara ini adalah 2,937,655.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar guna katil hospital di Selangor rawat pesakit wabak turun

SHAH ALAM, 2 SEPT: Penggunaan katil di tiga hospital penuh merawat pesakit Covid-19 di Selangor kini kurang di bawah kapasitinya.

Sebelum ini kesesakan dilapor di Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang dan Hospital Selayang yang ditukar status daripada hospital hibrid Covid-19 kepada sepenuhnya merawat wabak.

Berdasar data dikongsi Kementerian Kesihatan di Facebook, sebanyak 66 peratus daripada 4,247 katil di wad bukan unit rawatan rapi (ICU) diguna.

Penggunaan 350 katil di ICU tiga hospital itu pula pada kadar 99 peratus bagi merawat pesakit kategori kritikal.

Pada 20 Ogos lalu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata penggunaan katil bagi merawat pesakit wabak berkurangan 20 peratus dalam tempoh 1 hingga 17 Ogos.

Beliau berkata golongan berusia 60 tahun ke atas semakin berkurangan di ICU selepas kumpulan itu menerima vaksin.

Bagi statistik hospital Covid-19 di seluruh negara pula, 78 peratus daripada 18,672 katil di wad bukan ICU digunakan manakala penggunaan 1,608 katil di ICU sebanyak 90 peratus.

Sabah, Kedah dan Perak, antara negeri mencatat pemberian vaksin terendah merekodkan penggunaan katil di ICU melebihi kapasiti.

Sabah mencatatkan penggunaan 126 peratus, Kedah dengan 121 peratus manakala Perak pula 107 peratus.

Setakat semalam, 40.8 peratus golongan dewasa di Sabah lengkap vaksin manakala Kedah (47.1 peratus) dan Perak (48.4 peratus).

Categories
AGENDA NASIONAL

Penggunaan katil pusat kuarantin MAEPS hampir penuh

SHAH ALAM, 8 JULAI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Bersepadu (PKRC) Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) 2.0 kini hampir penuh digunakan.

Menteri Datuk Seri Dr Adham Baba berkata daripada keseluruhan katil berjumlah 5,198, 154 katil yang dikhususkan untuk pesakit Covid-19 kategori empat melepasi kapasiti penggunaan maksimum yang ditetapkan.

“Baki katil bagi pesakit Covid-19 kategori satu, dua dan tiga juga hampir digunakan sepenuhnya. Berdasarkan data terkini, PKRC terbabit menerima secara purata 800 pesakit Covid-19 sehari dengan 200 pesakit adalah mereka yang berada dalam kategori empat,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata KKM menilai semula strategi sedia ada serta mengenal pasti langkah responsif dan pantas bagi meningkatkan lagi kesiapsiagaan hospital di Lembah Klang dan PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 bagi menerima dan merawat pesakit khususnya kategori empat dan lima yang semakin meningkat.

Antara langkah segera:

1. Menambah segera katil ICU di hospital KKM dan hospital pengajar universiti seperti menambah 20 katil ICU di Hospital Ampang serta lapan katil ICU dan 45 katil di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia pada 7 Julai 2021.

2. Melengkapkan wad di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dengan 69 katil dan peralatan tambahan dianggar RM1.1 juta.

3. Menubuh hospital medan dengan kapasiti 50 katil tambahan menerusi kerjasama Angkatan Tentera Malaysia di HTAR.

4. Memperluas kerjasama dengan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Wangsa Maju bagi menerima dan merawat pesakit Covid-19 kategori tiga dan empat.

5. Melaksana segera penugasan semula (mobilisasi sementara) lebih 110 petugas kesihatan ke PKRC MAEPS berkuat kuasa 8 Julai 2021 untuk tempoh satu hingga enam bulan bagi menyokong PKRC Bersepadu MAEPS 2.0.

6. Menambah segera sebanyak 1,550 silinder oksigen bagi memenuhi keperluan pesakit di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0

7. Melaksana kerja pengujian dan penyerahan pada malam 7 Julai 2020 bagi 30 unit ‘oxygen concentrator’ baharu di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0

8. Mengoperasi semula Institut Latihan KKM (ILKKM) di Sungai Buloh yang mempunyai keupayaan maksimum sebanyak 2,400 katil.

9. Menyediakan pekerja sukarelawan terutama Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) bagi membantu pesakit kanak-kanak yang mana ibu bapa juga dirawat kerana Covid-19.

10. Bekerjasama dengan pengamal perubatan swasta dan pihak majikan untuk menubuhkan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan menubuhkan PKRC

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN Morib serah katil mudah laras untuk pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 11 JUN: Wakil rakyat Morib semalam menyerahkan dua unit katil mudah laras untuk kegunaan pesakit Covid-19 di Hospital Banting.

Hasnul Baharuddin berkata katil tiga fungsi berharga RM2,200 seunit hasil sumbangan Persatuan Keluarga Haji Salleh Mualim 1909 (PKHSM).

“Saya difahamkan persatuan terbabit menggerakkan inisiatif ini selepas menyedari ketidaktentuan bilangan pesakit Covid-19 di Kuala Langat sejak kebelakangan ini.

“Justeru, usaha murni dijalankan persatuan ini dengan mengutip dana daripada ahli mereka wajar dipuji,” katanya yang menyerahkan bantuan itu kepada pengarah hospital Dr Fakhruddin Amran.

Sementara itu, timbalan pengerusi PKHSM dalam kenyataan memaklumkan dana tersebut dikutip sejak Ramadan lalu melalui Tabung Infaq yang dilancar biro kebajikannya.

“Selain digunakan untuk membeli kemudahan itu, sumbangan juga diagih kepada pesakit kronik, warga emas, orang kelainan upaya (OKU), asnaf, fakir miskin dan anak yatim,” kata Norhisham Othman.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kadar guna kapasiti kesihatan naik ke tahap membimbangkan

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati peningkatan kes dan kadar penggunaan kapasiti kesihatan di negeri dan Wilayah Persekutuan di Lembah Klang mutakhir ini adalah amat membimbangkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata sekiranya trend peningkatan kes Covid-19 itu berterusan, kapasiti kesihatan akan berada pada tahap yang kritikal dan akan memberikan impak negatif kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara keseluruhannya.

“Menurut statistik yang dilaporkan kepada CPRC Kebangsaan, kadar penggunaan katil kritikal/ICU Covid-19 terkini didapati melebihi 70 peratus di Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

“Hospital Selayang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya pula melaporkan penggunaan katil kritikal/ICU Covid-19 pada kadar melebihi 50 peratus. Ini berpunca daripada peningkatan kemasukan kes kritikal sebanyak 62 peratus berbanding tempoh dua minggu yang lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata setakat hari ini, sebanyak 108 unit ventilator diperlukan untuk pesakit-pesakit Covid-19 di Lembah Klang sahaja.

Terdapat tujuh hospital dikhususkan untuk rawatan pesakit Covid-19 termasuk satu hospital universiti di Lembah Klang yang merangkumi negeri Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 277 katil kritikal (ICU) diperuntukkan bagi pesakit Covid-19dan bukan Covid-19untuk negeri-negeri Lembah Klang dan daripada jumlah itu, sebanyak 152 katil kritikal dikhususkan bagi merawat pesakit Covid-19 dengan kadar penggunaan terkini telah mencapai lebih 88 peratus.

“KKM memantau penggunaan dan ketersediaan katil kritikal/ICU dan bukan kritikal bagi pesakit Covid-19 di Lembah Klang ini melalui Pusat Kawalan Bersepadu Covid-19 atau Unified Command Centre (UCC) Wilayah Tengah,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata bagi tempoh 1 Jan 2021 hingga hari ini (1 Mei), kadar insiden kes Covid-19 di Malaysia bagi setiap 100,000 penduduk ialah sebanyak 872. Tiga negeri yang mencatatkan kadar insiden kes tertinggi ialah Kuala Lumpur (1,583), diikuti Selangor (1,486) dan Putrajaya (1,140).

Nilai kadar kebolehjangkitan Covid-19 (Rt) terkini Malaysia ialah 1.14 manakala nilai Rt Selangor (1.20), Kuala Lumpur (1.16) dan Putrajaya (1.0). Ketiga-tiga negeri mencatatkan nilai Rt melebihi 1.0, kata Dr Noor Hisham.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PKRC Maeps masih mampu tampung pesakit gejala rendah Covid-19

SHAH ALAM, 24 JAN: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) masih mampu menampung pesakit Covid-19 bergejala rendah di Selangor, kata Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Beliau berkata secara purata, penggunaan katil di PKRC itu ialah 3,000 hingga 3,500, dan setakat ini masih terdapat kira-kira 5,000 katil yang masih belum digunakan.

“Di PKRC Maeps, kita ada sebanyak 9,350 katil yang disediakan untuk pesakit bergejala rendah kategori 1 dan 2 dan sekarang kita sudah letakkan 60 ‘acute bed’ untuk merawat pesakit kategori 3 dan 4 (sekiranya berkeperluan)

“PKRC ini direka bukan sahaja untuk menerima kes-kes positif dari Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tetapi juga pesakit dari Melaka, Negeri Sembilan serta Johor,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sebelum ini, tular beberapa video menerusi media sosial menunjukkan kononnya berlaku kesesakan di PKRC Maeps akibat pertambahan jumlah pesakit yang mendadak.

Pada 9 Disember lalu, kerajaan memutuskan untuk mengaktifkan semula Maeps sebagai PKRC. Kali pertama Maeps diaktifkan sebagai PKRC ialah pada 16 April tahun lalu sebelum ditutup pada 15 Julai.

Pembukaan PKRC merupakan usaha kerajaan menempatkan pesakit Covid-19 yang tidak bergejala bagi memastikan kecukupan katil di hospital untuk pesakit bergejala.

Sementara itu, Dr Sha’ari mengesahkan jangkitan membabitkan seorang jururawat di Hospital Shah Alam baru-baru ini adalah daripada komuniti dan bukan berpunca di hospital.

Katanya petugas tersebut sudah disaring dan kini sedang dirawat manakala kesemua kontak rapat sudah menjalani ujian saringan dan didapati negatif.

“Keadaan di Hospital Shah Alam juga terkawal dan kes ini dikategorikan kes terpencil kerana punca jangkitan adalah bukan daripada hospital,” katanya.

Dr Sha’ari turut menasihati orang awam agar terus kekal berada di rumah dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelakkan risiko jangkitan Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar guna katil rawat pesakit Covid-19 di Sabah 71 peratus

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Sebanyak 71 peratus kadar penggunaan katil direkodkan di sembilan hospital yang merawat pesakit Covid-19 membabitkan 723 pesakit di Sabah setakat 13 Oktober.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata di 19 Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) pula menempatkan sebanyak 4,161 katil dengan kadar penggunaan 23 peratus.

“Setakat ini, kadar penggunaan 1,018 katil di sembilan hospital Covid-19 di Sabah adalah 71 peratus. Kadar penggunaan bagi katil ICU (Unit Rawatan Rapi) adalah 110, iaitu bersamaan 57 peratus.

“Jadi bagi mengurangkan beban di hospital, kes-kes Covid-19 kategori satu dan dua iaitu yang tiada gejala atau gejala ringan, kami akan tempatkan mereka di 19 PKRC manakala kes tahap tiga, empat dan lima akan ditempatkan di sembilan hospital di Sabah.

“Kami akan memantau dengan lebih mendalam lagi dan teliti untuk melihat perkembangan kes. Sekarang ini, kami melihat kepada keperluan ventilator. Kami ada 180 ventilator di Sabah dengan penggunaan hanya 30 peratus,” katanya dalam sidang media secara maya mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Memperincikan jumlah katil di sembilan hospital di Sabah, Dr Noor Hisham berkata bagi Hospital Queen Elizabeth, sebanyak 324 daripada 684 katil dikhaskan untuk pesakit Covid-19 dengan bilangan pesakit terkini ialah 237 atau 73 peratus.

Bagi Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah di Likas, jumlah katil untuk pesakit Covid-19 ialah 110 melibatkan 105 pesakit setakat ini iaitu pengisian sebanyak 95 peratus.

“Untuk Hospital Tawau, jumlah katil adalah 413, dan jumlah katil untuk pesakit Covid-19 ialah 214. Bilangan pesakit Covid-19 sekarang ini 178 dengan pengisian ialah 83 peratus.

“Hospital Duchess of Kent, Sandakan mempunyai 389 katil dan jumlah katil yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19 ialah 164, dan bilangan pesakit setakat ini ialah 87, iaitu pengisian 54 peratus,” katanya.

Selain itu, Hospital Lahad Datu memperuntukkan 131 daripada 226 katil untuk pesakit Covid-19 dengan pengisian 92 pesakit (70 peratus) setakat ini, manakala Hospital Keningau dengan 18 pesakit (51 peratus) pengisian katil untuk pesakit Covid-19.

Bagi Hospital Kota Marudu dan Hospital Semporna masing-masing mencatatkan kadar pengisian katil sebanyak 25 peratus selain Hospital Kudat yang hanya mempunyai satu pesakit daripada dua katil yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat kuarantin Covid-19 risiko rendah sedia diaktifkan – menteri

KOTA TINGGI, 4 OKT: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di seluruh negara sudah sedia untuk diaktifkan semula sekiranya pandemik berkenaan terus mencatatkan peningkatan kes, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata pada masa ini terdapat 36 pusat sedemikian di 118 hospital kerajaan serta Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) selain pusat-pusat lain yang diwartakan Majlis Keselamatan Negara seperti Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Serdang, Selangor.

“Kita sentiasa bersedia (untuk mengaktifkan pusat kuarantin) dan renovate tempat seperti ILKKM.

“Kalau kes bertambah kita aktifkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian penutup Sesi Townhall Pembudayaan Norma Baharu Dalam Komuniti Bagi Mencegah Penularan Covid-19 Bersama Pemimpin Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI), di sini hari ini.

Katanya keseluruhan pusat kuarantin tersebut menyediakan 3,467 katil dan kementerian akan berbincang dengan institut latihan lain untuk dijadikan pusat kuarantin tambahan sekiranya keadaan memerlukan.

Sementara itu, Dr Adham berkata kira-kira 20 juta individu direkodkan sudah mendaftar dan menggunakan aplikasi MySejahtera dengan satu bilion ‘check-in’ dicatatkan di seluruh negara.

“Ada dua faktor yang menjadikan kita pantas mengesan Covid-19, yang pertama ialah kebijaksanaan dan keberkesanan pasukan kita mengesan, dan keduanya, kesediaan 58 makmal kita dalam menjalankan ujian termasuk swasta,” katanya.

-BERNAMA