Categories
AGENSI SELANGOR

Hospital medan ATM di HTAR dijangka mula operasi Jumaat ini

SHAH ALAM, 4 OGOS: Hospital medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dibina di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dijangka akan mula beroperasi pada petang Jumaat ini (6 Ogos).

Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata ketika ini pihaknya sedang melakukan persiapan dan pemeriksaan terakhir membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta ATM bagi memastikan fasiliti itu selamat digunakan untuk merawat pesakit Covid-19.

“Hari ini kami sedang laksanakan pemeriksaan dengan teliti dan esok kami akan mulakan latihan pengoperasian sehingga pagi Jumaat, pada sebelah petang atau malam kami jangka akan mula menggunakan hospital medan ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dr Zulkarnain berkata hospital yang dibangunkan di tempat letak kenderaan HTAR dengan anggaran keluasan 15.24 meter (m) panjang dan 30.48m lebar itu mempunyai kelengkapan yang selesa antaranya bilik rawatan pesakit, bilik donning dan doffing, tandas, bilik mandi serta kaunter jururawat.

Beliau berkata ketika ini pihaknya sedang merawat kira-kira 1,000 pesakit Covid-19 dan hospital medan yang mempunyai 100 katil akan digunakan untuk pesakit kategori tiga dan ke atas yang memerlukan rawatan terapi oksigen khusus.

Sementara itu, Dr Zulkarnain mengalu-alukan penyertaan orang awam yang ingin menjadi sukarelawan bukan perubatan di hospital medan dalam membantu kelancaran pengoperasian hospital itu dan boleh menghubungi Mercy Malaysia bagi maklumat lanjut.

Pembinaan hospital medan adalah Program Sokongan Peningkatan Kapasiti Hospital Covid-19 Mercy Malaysia, usaha tersebut merupakan kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM), Maybank dan Mercy Malaysia dalam menghadapi lonjakan pesakit Covid-19 terutamanya di Lembah Klang.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Hospital Medan ATM di HTAR diserah, guna Rabu depan

SHAH ALAM, 31 JULAI: Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang dibangunkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang akan diserahkan untuk penggunaan pada Rabu ini.

Menerusi hantaran di Facebook hospital berkenaan hari ini, HTAR memaklumkan projek itu kini mencapai tahap 35 peratus siap dan dijangka meningkat kepada 40 peratus menjelang tengah malam ini.

“Projek ini telah selesai lima peratus lebih awal daripada jadual dan akan diserahkan untuk penggunaan pada 4 Ogos ini,” menurut hantaran itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Aset Hospital Medan ATM dibawa ke Tawau

SHAH ALAM, 17 OKT: Pasukan dan aset Hospital Medan dibawa dari Subang ke Tawau menggunakan pesawat pengangkut A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pagi ini.

Ketua pengarah kesihatan berkata hospital tersebut bakal beroperasi di Kompleks Sukan Tawau bagi merawat kes bukan Covid-19 antaranya untuk perkhidmatan perubatan am, pembedahan, obstetrik dan ginekologi serta ortopedik dan pediatrik.

“Hospital Medan terletak antara 10 hingga 12 minit dari Hospital Tawau dan kemudahan ini membolehkan Hospital Tawau memberi tumpuan untuk merawat pesakit Covid-19. Semoga dipermudahkan perjalanan,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Facebook hari ini.

Semalam Komander Hospital Medan berkata institusi kesihatan di Tawau yang diaktifkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijadual beroperasi pada 20 Oktober.

Kolonel Dr Shamsul Bahary Muhamad berkata ia mempunyai kapasiti 100 katil setakat ini tetapi boleh dipertingkatkan pada bila-bila masa termasuk dewan bedah dan unit rawatan separa rapi (HDU).

Seramai 36 petugas kesihatan ATM terdiri daripada empat pegawai serta 32 anggota lain-lain pangkat bakal ditempatkan di hospital tersebut.