Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Kadar guna katil hospital Klang turun lebih 80 peratus

SHAH ALAM, 21 SEPT: Penggunaan katil untuk pesakit Covid-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang menurun lebih 80 peratus, kata pengarahnya.

Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata ketika ini hanya 89 daripada 581 katil yang disediakan diguna bagi menampung kapasiti pesakit harian.

“Penggunaan katil di wad ICU (unit rawatan rapi) juga semakin berkurang. Kebanyakan pesakit dalam kalangan individu berusia berbanding golongan muda atau remaja.

“Pesakit yang dirawat juga didapati tidak mengambil vaksin. Mereka antara penduduk negeri ini yang masih tidak mengambil pelalian,” katanya kepada SelangorKini.

Justeru Dr Zulkarnain menyeru semua individu termasuk warga asing supaya mengambil suntikan vaksin bagi melindungi diri dari jangkitan wabak.

Setakat kelmarin lebih 78 peratus daripada kira-kira 23.4 juta populasi dewasa negara ini lengkap divaksin.

Pada Ogos, Dr Zulkarnain memaklumkan kemasukan pesakit Covid-19 ke HTAR berkurangan lebih 70 peratus kepada kira-kira 100 individu berbanding 400 pesakit pada Julai.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA

Emosi petugas hospital terbeban, sukar tidur malam saat pandemik memuncak

Oleh Nina Muslim

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Gelombang keempat penularan Covid-19 di negara ini yang bermula pada Jun lepas, merupakan yang terburuk setakat ini apabila ribuan nyawa menjadi korban, dan bagi pakar patologi forensik Dr Nur Ayutimasery Abdullah, tekanan yang membebani beliau dan pasukannya begitu hebat.

Menahan air matanya yang bertakung, Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, Selangor itu membuka cerita bagaimana beliau dan pasukannya mengendalikan mayat demi mayat yang tiba tidak putus-putus di jabatannya dalam tempoh yang sangat sekejap.

“(Kami) tidak dapat tidur malam kerana terlalu resah memikirkan tentang hari esok, apa yang menunggu kami, jumlah mayat yang akan kami kendalikan serta aduan yang bakal kami terima,” katanya semasa berkongsi pengalaman beliau dengan Bernama.

Menurutnya, ada satu ketika pada Ogos lepas, tatkala jangkitan baharu harian di Selangor seringkali melepasi angka 8,000, jabatannya menerima 155 mayat. Malah, ketika temu bual ini diadakan, masih ada 27 mayat warga asing yang tersimpan di dalam kontena simpanan mayat sementara hospital sejak lebih sebulan lalu, kerana menunggu kedutaan yang berkenaan memberi kebenaran untuk penyerahan bagi urusan pengebumian.

Setiap hari, selain membuat susulan dengan kedutaan, Dr Nur Ayutimasery dan stafnya juga harus berdepan dengan emosi ahli keluarga si mati yang mahu melihat mayat orang kesayangan mereka buat kali terakhir, menunggu keputusan ujian makmal bagi mengesahkan jangkitan Covid-19 serta memadankan nama si mati dengan mayat yang betul.

Bagaimanapun, kebelakangan ini tekanan yang dirasai reda sedikit berikutan kes baharu harian di Lembah Klang sudah menurun kepada bawah 3,000, dan jabatan beliau menggunakan masa yang ada untuk menyelesaikan kes tertunggak.

Menurutnya, bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan badan-badan bukan kerajaan seperti MERCY Malaysia yang bekerjasama dengan Maybank di HTAR, turut membantu mengurangkan beban hospital.

Sekalipun beban kerja berkurangan sedikit buat Dr Nur Ayutimasery dan lain-lain petugas barisan hadapan, ramai antara mereka yang berkata tidak mampu menarik nafas lega disebabkan bimbang satu lagi gelombang akan melanda – sama ada kerana varian baharu mahupun akibat pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial yang disifatkan terlalu awal.

Mereka menyifatkan situasi itu sebagai persediaan menghadapi kemungkinan terburuk. Ahli psikologi pula melihat keadaan tersebut sebagai kesan berpanjangan Covid-19 ke atas petugas kesihatan yang telah berjuang menentang penyakit baharu berkenaan tanpa henti sejak Mac tahun lepas.

Pakar kesihatan mental yang menawarkan khidmat mereka di unit sokongan psikososial MERCY Malaysia di HTAR, berkata mereka mengesan tingkah laku berjaga-jaga yang keterlaluan dan kerisauan dalam kebanyakan petugas yang mereka temui. Sesetengah petugas menyatakan mereka berasa bersalah kerana tidak dapat memberikan jagaan terbaik kepada pesakit selain ada yang trauma kerana perlu menentukan hidup dan mati pesakit.

Perunding psikologi Dr Hariyati Abdul Majid yang juga penasihat Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial MERCY Malaysia tidak hairan dengan situasi itu dan berkata penurunan kes harian tidak bermakna stres petugas kesihatan juga mereda.

“Berikutan kes (di Lembah Klang) sekarang menurun, mereka sebenarnya boleh berehat dan melihat semula apa yang berlaku dalam tempoh setahun setengah yang lalu, dan apa yang mereka rasakan sekarang ialah kombinasi perasaan (dan kesedihan yang tertangguh),” katanya.

Tambah beliau, stresor yang berterusan tidak bagus untuk kesihatan emosi dan fizikal walau sesiapa juga. Stresor atau pencetus stres ini pula banyak.

HARI-HARI GELAP

Bermula penghujung Jun, laporan berita serta hantaran media sosial banyak berkisar tentang kisah pesakit terbaring di atas lantai sementara menunggu kekosongan katil, selain berkenaan hospital termasuk HTAR menempatkan katil di kawasan letak kenderaan bagi menampung pertambahan pesakit.

Sama seperti anggota tentera yang bertukar-tukar cerita tentang pengalaman mereka di medan perang, staf HTAR juga mempunyai kisah ngeri sendiri untuk dikongsikan.

Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR Dr Ahmad Tajuddin Mohamad Nor memberitahu Bernama bahawa pada peringkat awal, jabatannya menjadi tidak terkawal hanya dalam masa yang singkat kerana tidak bersedia untuk menangani jumlah pesakit yang sebegitu besar serentak.

“Segalanya huru-hara, kami langsung tidak dapat memenuhi keperluan, dan yang kami nampak hanyalah barisan panjang pesakit Covid-19 di jabatan kami. Pada satu ketika, ada sekitar 200 pesakit yang kami hanya dapat atur berdasarkan keadaan mereka, belum lagi diberikan rawatan sempurna… cuma diproses,” katanya.

Beliau berkata apa yang benar-benar membezakan gelombang terbaharu itu dengan yang terdahulu ialah keadaan pesakit merosot dengan amat pantas, sekali gus menyebabkan petugas berdepan kesukaran untuk mendapatkan bekalan oksigen buat semua pesakit yang memerlukan.

Pada masa yang sama katanya, beliau dan rakan setugas juga terpaksa menangani ketakutan membawa pulang virus maut tersebut dan menjangkiti ahli keluarga serta rakan memandangkan pada waktu itu tidak semua memperoleh vaksin Covid-19.

“Walaupun saya tidak pernah mengendalikan rakan-rakan sejabatan, saya tahu ada antara mereka yang menjadi mangsa (Covid-19). Penyakit ini tidak kenal siapa. Kita ingat kita akan selamat, tapi tahu-tahu kita juga dijangkiti,” katanya.

Beberapa jururawat HTAR yang ditemui Bernama mendedahkan mereka berasa amat tertekan pada Julai dan awal Ogos lepas kerana seringkali berhadapan dengan masalah kekurangan petugas. Rakan sekerja terdedah kepada jangkitan dan terpaksa dikuarantin, sekali gus menambah beban tugas kepada yang lain yang adakala menjaga lebih 20 pesakit setiap seorang.

Seorang daripada mereka memberitahu beliau berasa sangat sedih apabila netizen mengkritik kononnya tidak menerima jagaan yang sewajarnya daripada jururawat.

“Mereka tidak faham cara kami bekerja,” keluhnya.

Dr Nur Ayutimasery berkata walaupun jabatannya mengendalikan mayat setiap hari, ada kes kematian akibat Covid-19 yang benar-benar menyentuh perasaan mereka seperti satu kes pada Julai, melibatkan sepasang suami isteri.

“Kedua-duanya meninggal dunia akibat Covid-19. Satu-satunya individu yang dapat kami hubungi (pada peringkat awal) ialah anak lelaki mereka yang berusia 11 tahun,” katanya dengan nada sebak. Menurutnya, mereka kemudian dapat menghubungi bapa saudara kanak-kanak itu yang datang menuntut jenazah pasangan suami isteri tersebut.

Ditanya mengenai kaunseling, ramai petugas kesihatan terbabit menyatakan mereka tidak ada masa untuk mendapatkan khidmat itu.

BERAT HATI

Pihak pengurusan HTAR yang memuji kekuatan mental dan fizikal barisan petugasnya, berkata mereka yang berkhidmat dalam bidang penjagaan kesihatan selalunya tabah. Namun mereka juga mengakui keunikan cabaran yang dibawa oleh Covid-19.

“Petugas penjagaan kesihatan sudah biasa menghadapi bencana. Cuma bencana yang berlaku sekarang ini masih belum berakhir,” kata Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi.

Beliau berkata hospital itu berusaha mengurangkan stres dan kelesuan dalam kalangan tenaga kerjanya dengan menetapkan setiap petugas berehat sehari selepas tiga hari bekerja, selain menggalakkan mereka mendapatkan terapi daripada ahli psikoterapi hospital.

Bagaimanapun sesetengah petugas mungkin keberatan untuk berbuat demikian kerana khuatir akan menerima padah sekiranya mendapatkan bantuan dalaman hospital.

Dr Hariyati berkata setakat ini, lebih 160 petugas barisan hadapan HTAR mendapatkan perkhidmatan psikososial daripada MERCY Malaysia, dan menambah ramai yang bimbang tentang aspek kerahsiaan.

Beliau juga berkata Covid-19 menekankan kepentingan kesihatan mental, justeru tabu atau stigma tidak seharusnya wujud terhadap sesiapa sahaja termasuk petugas barisan hadapan yang mendapatkan sokongan emosi.

Tambah beliau, semua tempat kerja harus menyediakan ruang yang selamat untuk pekerja mereka mendapatkan bantuan selain memberikan jaminan tidak ada akibat buruk yang menanti mereka.

“Kesihatan mental tidak harus dikesampingkan. Perkara ini bukan sesuatu yang hanya kita bincang apabila ada kes bunuh diri,” ujarnya.

“Kesimpulannya, adalah amat penting untuk kita meyakinkan mereka bahawa okey untuk mereka mendapatkan sokongan dan okey bagi mereka berjumpa ahli psikologi.”

SISIPAN

TANDA-TANDA MASALAH MENTAL

Kesedihan, stres dan keresahan melampau yang berpotensi menjadi kecelaruan mental seperti kecelaruan stres pascatrauma (PTSD) boleh dicegah menerusi pelbagai cara.

Perunding psikologi yang juga penasihat MERCY Malaysia Dr Haryati Abdul Majid berkata antara tanda-tanda utama yang perlu diperhatikan ialah perubahan sikap dan corak hidup yang berlaku dalam jangka panjang.

“Perhatikan tanda-tanda seperti perubahan selera – sesuatu yang sangat biasa. Kadang-kadang kita dengar ‘saya tak nak makan, tak ada selera’. Kalau sehari tidak mengapa, namun jika mereka menunjukkan penurunan selera makan yang ketara, mengalami susut berat badan selama lebih dua bulan, ini bermakna ada sesuatu yang lebih serius,” jelasnya.

Begitu juga jika sebaliknya, yang mana peningkatan selera makan secara berterusan turut menandakan kewujudan masalah emosi dan kesihatan mental yang serius.

Dr Hariyati berkata satu lagi tanda ialah gangguan corak tidur seperti mengalami mimpi ngeri serta sukar tidur atau tidur yang berpanjangan hingga berminggu-minggu dan berbulan.

Menurutnya, sesetengah individu juga mungkin menjauhkan diri daripada orang lain, termasuk kawan dan ahli keluarga.

Mereka mungkin perlukan ruang untuk bersendirian buat seketika, namun jika berterusan hingga dua bulan atau lebih, ini juga menandakan wujud masalah, katanya, menambah pada waktu tersebut, orang yang tersayang perlu mendekati dan menasihati mereka agar mendapatkan kaunseling.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Hospital Medan ATM di HTAR diserah, guna Rabu depan

SHAH ALAM, 31 JULAI: Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang dibangunkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang akan diserahkan untuk penggunaan pada Rabu ini.

Menerusi hantaran di Facebook hospital berkenaan hari ini, HTAR memaklumkan projek itu kini mencapai tahap 35 peratus siap dan dijangka meningkat kepada 40 peratus menjelang tengah malam ini.

“Projek ini telah selesai lima peratus lebih awal daripada jadual dan akan diserahkan untuk penggunaan pada 4 Ogos ini,” menurut hantaran itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Asrama doktor, kompleks rawatan harian HTAR jadi wad sementara pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 11 JULAI: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang mengubah fungsi asrama doktor pelatih dan Kompleks Rawatan Harian kepada wad sementara bagi menempatkan pesakit Covid-19 bermula Jumaat lepas.

HTAR menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan tindakan itu bagi menampung keperluan semasa susulan lonjakan kes di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan.

“Pimpinan tertinggi HTAR serta semua ketua jabatan dan unit mengambil inisiatif itu setelah semua penilaian risiko dianalisa, beberapa kawasan telah diubah suai fungsi menjadi wad sementara bagi menempatkan pesakit Covid-19.

“Antara kawasan yang telah dijadikan tempat rawatan pesakit Covid-19 adalah asrama doktor pelatih dan Kompleks Rawatan Harian, kedua-dua tempat ini mula menerima pesakit bermula 8 malam 9 Julai lepas,” menurut kenyataan itu.

Menurut HTAR bilangan kes harian di Selangor yang mencecah 4,000 sehari bukanlah petanda baik bagi hospital itu kerana kes harian di Jabatan Kecemasan turut meningkat mendadak sehingga tiada lagi katil untuk menempatkan pesakit-pesakit berkenaan.

HTAR berkata kakitangannya bagaimanapun tidak berputus asa untuk terus bersiap sedia dan bertindak dalam menangani lonjakan jumlah pesakit Covid-19 di hospital itu.

“Tanpa usaha dan sokongan daripada semua kakitangan HTAR yang sentiasa bertungkus lumus dan bersedia menghadapi krisis ini bersama, inisiatif ini tidak dapat direalisasikan. Pihak HTAR mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan yang membantu. Anda semua adalah Wira HTAR,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

HTAR lancar MeCheck, langkah bendung penularan Covid-19

SHAH ALAM, 17 JUN: Pengunjung Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang perlu melakukan saringan dalam talian, MeCheck HTAR sebagai langkah membendung penularan Covid-19 mulai 1 Julai ini.

HTAR memaklumkan pengunjung perlu memuat naik aplikasi QR Scanner di telefon pintar masing-masing untuk melakukan imbasan.

“Pengunjung perlu melengkapkan data peribadi yang diminta serta menjawab beberapa soalan.

“Keputusan akan terus diterima. Tangkap layar keputusan terbabit dan tunjukkan kepada petugas di pintu masuk bangunan,” katanya di Facebook hari ini.

Tambah HTAR, keputusan saringan berkenaan hanya sah untuk hari lawatan sahaja.

(KEMAS KINI) Seorang Maut, 5 Cedera Dalam Kejadian Runtuhan Bumbung Banglo

SHAH ALAM, 19 OKT : Polis mengesahkan seorang mangsa maut dalam kejadian runtuhan bumbung konkrit sebuah banglo yang sedang diubah suai di Seksyen 7 di sini. Kesemua enam mangsa adalah pekerja binaan warga Indonesia.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob berkata, pada mulanya pihaknya mendapat maklumat terdapat lapan pekerja terperangkap dalam kejadian itu tetapi kemudian dimaklumkan rakan sekerja mereka dikenali sebagai Supardi bahawa hanya enam mangsa yang terlibat.

Mangsa terakhir dikenali sebagai Kasmuji berjaya diselamatkan pada 10.15 malam dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

Sementara buruh yang maut dikenali sebagai Totok Mochamad Anthony maut.

Mayat mangsa dikeluarkan pasukan penyelamat pada kira-kira 6.24 petang dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat.

Empat lagi pekerja binaan berusia lingkungan 30-an yang dikenali sebagai Afifin, Waras, Kabir dan Ghadami, yang putus kaki kanan, turut dihantar ke HTAR.

Polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada kira-kira 4.29 petang berhubung kejadian di banglo No. 15, Jalan Jed 7/5A, Seksyen 7, milik seorang ahli perniagaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Othman Abdullah berkata operasi menyelamat dihentikan pada 10.45 malam selepas mangsa keenam dibawa keluar dari runtuhan.

Beliau berkata pihaknya menggunakan kren dengan kekuatan 40 tan bagi mengangkat runtuhan konkrit selain membuat terowong secara manual untuk menyalur bantuan gas oksigen kepada mangsa terakhir sebelum dibawa keluar.

Operasi menyelamat, yang bermula kira-kira 5 petang, diteruskan walaupun hujan lebat bermula 9 malam.

Selain itu, khidmat anjing pengesan Unit K9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor digunakan sepanjang operasi tersebut.

Anggota SMART juga turut membantu dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat.

Sementara itu, Exco Selangor, Dr Yaakob Sapari yang turut turun padang melihat kejadian itu menasihati warga Shah Alam yang berhasrat melakukan pengubahsuaian rumah agar mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa.

Beliau yang juga Adun Kota Anggerik berkata, ia adalah untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku di masa hadapan yang boleh mengorbankan nyawa.