Categories
AGENDA NASIONAL

Hospital Rembau mula operasi Januari 2020

SEREMBAN, 10 NOV: Hospital Rembau dijangka akan mula beroperasi sepenuhnya pada Januari tahun hadapan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Bagaimanapun beliau berkata, perkhidmatan bahagian kecemasan dan unit wad bersalin mungkin akan dibuka terlebih dahulu selewat-lewatnya bulan hadapan.

Dr Dzulkefly berkata ketika ini proses kemasukan peralatan perubatan dan bukan perubatan seperti perabut, katil dan sebagainya masih dijalankan termasuk proses ujian dan pentauliahan peralatan perubatan.

“Kita sedia maklum Hospital Rembau ini memang sangat dinanti-nantikan warga Rembau untuk mereka mendapatkan perkhidmatan kesihatan berhampiran dengan kawasan kediaman mereka.

“Sekarang proses kemasukan alat-alat perubatan dan bukan perubatan antaranya seperti perabut serta proses ujian sedang dijalankan.

“Proses pentauliahan peralatan perubatan lebih 7,000 alat perubatan dan bukan perubatan juga sedang dijalankan,” katanya .kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Gaya Hidup Sihat Dewan Undangan Negeri Paroi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata proses ujian dan pentauliahan peralatan perubatan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan.

Sebelum ini Dr Dzulkefly berkata Hospital Rembau akan mula beroperasi Jun lepas sekali gus menjadi pelengkap kepada rangkaian hospital awam di Negeri Sembilan.

Bagaimanapun pada Julai lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pembukaan Hospital Rembau yang dijadual memulakan operasinya pada Jun terpaksa ditangguhkan pada akhir tahun ini.

Katanya penangguhan operasi itu tidak dapat dielakkan walaupun pembinaan sudah siap 99 peratus kerana perlu menjalankan pemeriksaan bagi memastikan segala kelengkapan hospital mencukupi termasuk kelengkapan dan peralatan hospital.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Hospital Rembau dibuka Jun ini – Dr Dzulkefly

PUTRAJAYA, 2 APR: Hospital Rembau di Negeri Sembilan dengan kos RM104 juta akan dibuka bagi memberi perkhidmatan kesihatan mulai Jun depan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Katanya, hospital dengan kapasiti 76 katil, yang mula dibina pada September 2013 itu adalah kluster kepada Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dan pakar-pakar perubatan dari hospital berkenaan ditugaskan secara berkala di Hospital Rembau untuk rawatan tertentu.

“Pembukaan hospital ini akan memberikan nilai tambah kepada penduduk setempat dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang terbaik,” katanya, sambil menambah Hospital Rembau itu kini sudah mencapai tahap 90 peratus siap.

Pengoperasian Hospital Rembau yang sepatutnya dibuka pada September 2016 menjadi antara isu hangat yang dibangkitkan calon pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undang Negeri (DUN) Rantau yang sedang berlangsung.

Dzulkefly berkata, cadangan projek klinik kesihatan gantian jenis kelas tiga di Rantau dan Bandar Baru Sendayan, Negeri Sembilan telah diterima dan ia melibatkan kos pembinaan sebanyak RM35 juta setiap satu.

Klinik kesihatan gantian itu bakal dilengkapi kemudahan kuarters dan mampu memberi perkhidmatan sokongan dan klinikal kepada kira-kira 800 pesakit sehari, katanya.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata kementerian itu sedang melakukan perincian terhadap beberapa mekanisme sebelum mengumumkan satu mekanisme khusus bagi melaksanakan kawalan harga ke atas ubat-ubatan dalam pasaran.

Antara perkara yang perlu diberi tumpuan ialah berkaitan rantaian bekalan serta peranan yang boleh dilakukan pemain industri farmaseutikal selepas mekanisme tersebut diumumkan sebelum akhir tahun ini, katanya.

“Kementerian tidak perlu terburu-buru dalam membuat keputusan untuk memastikan hanya mekanisme yang terbaik diangkat untuk dilaksanakan kelak,” katanya.

Sebelum ini, Dzulkefly dilaporkan berkata kertas kerja bagi mekanisme pelaksanaan penyelarasan kawalan harga ubat-ubatan di seluruh Malaysia sedang dijalankan bagi mengawal kos.

Ia dibuat dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

– BERNAMA