Categories
SASTERA

Catatan yang Direnyuk ke dalam Kasut Seorang Politikus

(pada suatu pagi Tahun Baru)

 

Peparu kelabu jatuh sakit menumpangi

cuaca kota yang mahal. Betapa hayat

cuma pemetik api yang menyalakan matahari

di muncung pagi –uh, takdirnya memekat

sebagai asap dalam dada. Terima kasih Tuan,

kerna tak mau peduli. Aku terlalu kecil

untuk menjadi dendam atau api.

 

Kerana dilahirkan tanpa uniform

atau tag nama, aku hidup menjadi hal-hal

yang remeh. Alangkah, setelah mati

aku mahu pulang seperti lagu- para ibu

menyanyikannya ketika anak kelaparan

geliat di atas pangku . Atau menjadi

siaran radio yang disiulkan pemandu teksi,

di bangku belakang sepasang Kaukasian

bersenda tanpa peduli.

 

Tak perlu mencari, Tuan. Hidup jarang

berkongsi pilihan. Seribu kali mengehelkan

tengkuk dan temulang. Biar kali ini

aku menjadi gincu limunan, bekas kucupan

orang tuanya pada kening para yatim. Mimpinya

begitu manis, uh, mengapa bertaring sumpahan?

Atau menjadi sepi yang dihurung semut

di meja makan petani; kemarau nanti

mimpi usahlah menguning lagi.

 

Kalau nafas perlu dicukai, biar aku mati

menjadi hutang tertunggak. Segala

yang tak terlangsai, seperti sepasang lengan-

alas tidur para pengemis. Mimpinya,

kekasih tak kunjung datang. Betapa hidup

masih temujanji yang curang.

 

Salam hari baru, Tuan, pagi masih

menyala bagai trofi. Aku cuma hidup

demi dilupakan – tanda pangkah

pada kolum kalendar. Angka sa

pada banci yang dicicirkan;

 

Kecuali pada sekeping kertas pemilihan.

 

Fahd Razy

Bandar Baru Bangi

 

Categories
SASTERA

Bintang yang ingin terpadam

Oleh Fakhrull Halim

ADA satu kesakitan yang lahir bersama sesetengah manusia, dan takkan pergi meninggalkannya sampai bila-bila.

“Macam kembar, kan?” Pernah suatu malam Rosmah bertanya kepada aku.

“Macam bayang-bayang.”

“Bayang-bayang akan hilang apabila tiada cahaya, sedangkan di dalam gelap, kesakitan itu makin kuat terasa.”

Aku menggeleng perlahan. “Mana ada dia hilang. Kegelapan itu sendiri bayang-bayang. Bayang-bayang yang menelan keseluruhan kita.”

Kami manusia sakit, yang berkongsi kesakitan, dan mungkin cinta- selalu berjumpa di atas bumbung fakulti pada malam hari. Daripada bumbung fakulti yang terletak di atas bukit itu, kami dapat melihat hampir keseluruhan pekan yang mengecut menjadi begitu kecil, berkelip-kelip, muat jika ditekap dengan hanya sebelah tapak tangan.

“Aku pun macam kau, suka tengok bandar dari tempat tinggi. Aku pun tak tahu kenapa,” Rosmah memeluk lututnya di sebelah aku.

Aku senyum mendengar kata-katanya.

Pekan yang bercahaya di bawah sana, kelihatan seperti segugus bintang yang berhimpun.

Sedangkan di langit, bintang bertabur jauh-jauh, berkelip cuma sendiri-sendiri.

***

Malam ini, aku terserempak dengan Rosmah di sebuah pasar raya. Ini kali pertama setelah sepuluh tahun kami terpisah.

Lima saat kami berpandangan tanpa pertukaran kata- hanya membiarkan kejutan surut, memberi cukup masa untuk jantung meredam ke denyutan normal.

Bunyi tapak kaki budak kecil berlari memesongkan pandanganku ke tepi. Budak itu usianya mungkin lima tahun, menarik hujung baju Rosmah kemudian memeluk betisnya. Rosmah tunduk, kemudian mengangkat muka memandang aku semula.

Kata-kata sapaan yang tertangguh sepuluh saat, aku telan semula ke dalam perut.

Tiada kata-kata, dan tiada senyuman. Hanya pandangan yang menali-tangsi, menggodaku untuk mengail di lubuk-lubuk kenangan yang telah lama kami tinggalkan.

“Din. Jom lah,” Zam menepuk bahuku. Zin di sebelah, memegang beg plastik berisi baju Batman, hadiah hari jadi anak lelakinya minggu depan.

Aku palingkan tubuh, dan pergi.

Lebih baik begini. Sapaan atau bertanya khabar dengan Rosmah, mungkin membuka pintu ke daerah-daerah yang tidak mahu aku kunjungi.

Rosmah dah berkahwin. Sudah tak sakitkah dia? Adakah cuma aku yang masih terperangkap dalam kesakitan ini?

“Din! Kau jangan lupa datang birthday anak aku minggu depan. Nak ajak keluar bukan main susah!” Zin mengingatkan aku untuk kali ke berapa entah.

“Ye, ye. Aku pergi. Aku dah kata aku pergi, aku pergilah,” aku senyum sambil melambai. Kami bersurai di situ.

Penat.

Senyum sudah menjadi satu topeng yang sudah tidak janggal lagi untukku pakai. Sekurang-kurangnya, senyum membuatkan orang membuat tanggapan bahawa aku ‘tiada masalah’ dan tidak runsing. Begitu, mereka tidak akan bertanyakan aku hal-hal yang tidak selesa untuk aku kongsi dengan siapa-siapa.

Lebih mudah begitu. Kerana sepanjang aku hidup, aku dapati menipu itu lebih mudah daripada cuba menjelaskan. Kerana manusia lebih cenderung untuk mempercayai daripada cuba memahami.

Mengatasi semua itu, aku pun tak suka membebani kawan-kawan dengan masalah sendiri yang tak akan mungkin mereka fahami.

Aku menekan handal pintu dan masuk ke dalam rumah yang gelap gelita. Aku tidak memetik suis lampu, kerana malam ini aku ingin melihat kota di dalam gelap.

Di tepi tingkap, aku duduk di atas kerusi sambil meneguk air kosong.

Cantik.

Dari rumahku di tingkat 17 ini, kota kelihatan begitu indah. Kenapa ia berubah menjadi raksaksa bingit yang begitu memekakkan setiap kali aku berjalan menelusuri perutnya?

Bandar lebih indah jika dilihat dari tempat yang tinggi begini. Sebagaimana cahaya lampu lebih indah jika dinikmati dari tempat-tempat yang gelap.

Adakah kehidupan juga sama seperti bandar dan lampu? Lebih indah jika dilihat dari tempat yang tinggi dan gelap?

Aku memejamkan mata, cuba mengatur semula nafasku yang semakin laju.

Benarkah kesakitan ini boleh dipulihkan? Seperti Rosmah? Bagaimana dia buat? Aku tidak tahu caranya.

Bagaimana mungkin dapat aku rawat kesakitan yang tidak aku tahu dari mana berpuncanya. Tetapi tetap dapat kurasa denyut pedihnya.

Aku melepaskan nafas yang berat. Bintang-bintang yang baru hendak menyala di langit, terpadam oleh keluhanku yang panjang.

Aku menuju ke bilik dan berbaring mengiring di atas katil. Katil yang sebegitu sempit, pada malam-malam tertentu melaut luasnya, dan aku kelemasan seorang-seorang.

Aku mengekot, mengecutkan tubuh.

Aku sudah lama memilih untuk berdamai dengan kesakitan ini. Tetapi aku sering terlupa, apabila ‘ia’ memilih untuk berdamai denganku, bermakna tiada lagi ruang damai dalam kehidupanku.

Sampai bila?

Aku mengetap bibir yang menggeletar, dan air mata tumpah lagi malam ini, mengasihani diri sendiri yang terumbang-ambing dalam lautan hitam yang tidak berhujung.

Lautan halimunan yang begitu rakus menggelora.

***

“Semoga Kau ampunkan kakakku, atas dosa besar yang telah ia lakukan,” Normah menyapu tadahan tangannya ke muka.

Dia melihat suaminya yang sedang mendukung anaknya di kereta.

Hari ini dia singgah tidak lama, sekadar menyedekahkan al-Fatihah dan mencabut rumput-rumput liar yang meninggi di pusara kakak kembarnya itu. Normah mengusap-ngusap batu nisan yang terpacak di bahagian kepala.

“Rosmah binti Abd Barri, 17/09/2012”

Dalam hatinya, tidak putus Normah berdoa – “Semoga Kau ampunkan dosa besar yang telah dia lakukan, ya Allah.”

Categories
SASTERA

Kelicap Di Taring Salji

Seekor kelicap
bermigrasi dari
serigala salji.

Untuk menumpulkan
taring dingin
pelepahnya kayu api
dan percikpercik bara
memeluhkan beku.

Kepaknya rumpai
berfotosintesis
segandum mentari
mengenyangkan hari.

Sekelicap daun
meredah belukar kristal
mencari hangat benua.

Iman Danial Hakim

Categories
SASTERA

Melintasi sebuah Retrospeksi

Oleh Nasser Mikraj

Untuk kesekian kalinya, setelah tahun-tahun yang berlalu, kau melihat ada kenangan demi kenangan tumbuh melata di sepanjang jalan yang pernah dilalui. Ada juga yang tumbuh merimbun seperti waktu-waktu yang tertinggal dan rindu-rindu yang tertanggal. Sehingga biarpun kehidupan terus berpilin, berputar laju, ada waktunya kau teringin memetik sebahagian darinya; sebagai jasmin misalnya – yang berwarna polos atau merah mawar yang klise. Paling tidak pun kita jadikannya sebagai antara koleksi retrospeksi yang berbau sepi (tetapi dipenuhi duri) dan ia melingkari diri.

Melintasi rumahnya sama juga seperti menjangkaui peribadi yang kaku. Dalamnya ada ruang demi ruang tidak terisi. Kosong. Dipenuhi sawang dan serdak. Ada yang tidak terusik, entah untuk berapa lama lagi. Tapi itulah yang galak menyapa, menyuakan khabar dan berlegar, mengutip kekosongan yang ada terpencar. Satunya lagi berbentuk kaca berwarna jernih yang memantulkan resah dari segenap arah. Mungkin biarkanlah untuk kali ini kita relakan segalanya datang memperkenalkan diri – mengingatkan tentang yang lalu-lalu. Tentang yang sudah berlalu dan layu.

“Hai. Saya catatan yang tercatat sewaktu mata bertentang mata lama dahulu. Ketika itu kau membisu seribu bahasa. Tapi jiwamu meronta.”

Kau mula menyelak kembali. Lembaran-lembaran kusam dalam fikiran. Entah di halaman mana kau pun berhenti. Lama kau mengeja abjad-abjad yang ada. Lama juga kau mencongak tarikh-tarikh yang tidak ada.

“Maaf. Saya telah lupa.” Kau berbisik pada diri sendiri. Catatan yang memperkenalkan diri itu diam, sebelum menghilang.

“Assalammualaikum. Saya kata-kata yang tercipta sewaktu kau mula membaca rasa. Ketika itu malam begitu resah tetapi mimpimu indah.”

Ingatan itu pula menyapa. Mengajak kau pulang ke daerah masa lalu. Daerah yang terlalu mundur mengikut perkiraanmu. Tapi di situ kau pernah hidup dan bergelandangan. Pernah mengemis dan meminta-minta.

“Maaf. Saya seharusnya melupakanmu seperti mimpi-mimipi yang tertanggal di hening pagi.” Suara itu kau lantunkan. Bergema di corong-corong ingatan.

“Mimpi tetap akan pulang dan datang.” .

“Tidak! Saya seharusnya melupakanmu seperti hari ini meninggalkan yang kelmarin.”

“Cuma tarikh dan kebiasaan saja yang berubah. Realitinya tetap sama dan berulang-ulang.”

“Maksudmu?” Kau bertanya polos.

“Biarpun hari ini adalah hari ini, kelmarin adalah kelmarin, esok adalah esok, matahari tetap tergantung di langit.” Ingatan itu mula meraba sebuah kotak retrospeksi yang berlumur serdak dalam fikiranmu.

“Tapi, bukan selamanya, matahari, bulan mahupun bintang tergantung di langit.” Kau menghalang sebelum kotak itu sempat dibuka.

“Lihat di mana kau bertapak. Situlah realiti tempat berpijak.” Ingatan itu seperti kecewa tingkahnya tidak dapat dilanjutkan.

“Tidak. Saya tetap akan melupakanmu!” Kau akhirnya bertegas. Masa lalu juga bagimu adalah negeri yang terlalu jauh. Kau harus berhijrah. Tapi negeri itu tetap tidak dapat ditinggalkan kerana di situ asal-usulmu. Negeri itu tetap tidak akan dapat ditinggalkan biarpun kau tak mampu kembali.

“Masa lalu adalah sejarah. Sejarah yang berdiri atas fakta adalah sejarah yang mutlak. Bangsa yang ingin maju seharusnya tidak meminggirkan sejarah.” Kau meminjam kenyataan dari seorang tokoh bagi merehabilitasikan diri.

“Salam. Saya sebaris puisi yang tercipta sewaktu hujan turun mencurah. Ketika itu kau sedang kedinginan. Dia datang memberi teduhan.”

Kau terkesima. Sebuah diari tiba-tiba memunculkan diri. Menari dengan lenggok yang asyik (tetapi bagimu begitu sarkastik). Sehelai kertas dihulur. Kau menyambut dengan tangan yang terketar-ketar seperti menerima maut. Hujan tiba-tiba mencurah. Seperti dulu-dulu.

Hujan adalah puisi yang dideklamasi oleh langit. Diksinya tentang cinta yang pulang ke bumi. Cinta yang dinantikan oleh tunas, untuk tumbuh mekar. Cinta yang dinantikan oleh kudup untuk kembang mewangi. Cinta yang juga dinantikan oleh putik untuk berbuah ranum. Cinta yang dinantikan rekah tanah. Ringkasnya, hujan adalah tentang cinta yang pulang. Kau pun mula meneka, cinta yang bagaimana pula dinanti-nantikan oleh hati yang digenangi retrospeksi? Justeru, cinta yang sebegitu tidak seharusnya ditunggu. Mana mungkin meminta bencana, biarpun ia tentang penyucian – dari luka misalnya.

“Maaf kawan. Hujan dari langit sifatnya suci. Jatuh ke tanah menjadi kotor. Begitulah saya. Cinta yang kau bawa terlalu suci. Sampai kepada saya ia menjadi kotor.” Kau mengumbar resah yang tersimpan sekian lama seraya mengembalikan kertas yang dihulur. Diari tertutup sendiri. Seperti yang kau sebut-sebutkan, kau harus melupakannya seperti hari ini meninggalkan yang kelmarin.

Tapi kehidupan terus berpilin. Kau pun perlu lagi melintasi rumahnya, seperti hari-hari yang yang kau lalui. Biarpun kiri kanan jalan adalah tentang perubahan dari dekorasi alam, waktu, keadaan dan manusia yang hidup di sekitarnya. Jalan ini saja satu-satunya yang perlu dilalui dan masih serupa seperti dahulu – bougainvillaea masih berbunga, kerikil masih bertaburan. Kau berjalan seperti waktu yang tidak pernah menunggu. Kenangan demi kenangan yang tumbuh melata, memanjat pepohonan yang lebih besar. Bergayutan di sana-sini. Mahu tidak mahu, kau tahu kau perlu melepasinya.

Untuk sekali lagi, melintasi rumahnya sama seperti melintasi khatulistiwa yang memisahkan antara diri kau yang dulu dengan diri kau yang baharu.

“Tunggu. Tidak kah kau ingin bertamu?” Ada suara yang menumpang angin, sibuk-sibuk bertanya. Sibuk-sibuk juga mengajak kau bermusafir kembali ke negeri masa lalu. Angin berhembus lembut. Dedaunan kering bercempera. Seperti dulu-dulu.

“Maaf. Saya sudah penat menjadi tetamu yang nantinya perlu pulang juga.” Kau menolak dengan baik sambil berharap suara itu tidak terus-terus memaksa.

“Pergilah. Secawan kopi panas mungkin boleh membunuh rindu.” Suara itu masih mahu memujukmu.

“Tidak! Saya sudah melupakannya seperti hari ini meninggalkan yang kelmarin.” Kau menegaskan sekali lagi sebelum cepat-cepat berjalan.

Categories
SASTERA

Jalan di Hadapan

Semoga kalian pun
bukan pemilik bercabang lidah
terlalu pemurah menuturkan janji
ketika dahulu mengimpikan kerusi
tetapi payah mengotakan sesudah kini memiliki.

Kami yang telah memilih
dengan percaya
tidak ingin membaca dusta
di jalan hadapan
atau dongeng beribu alasan
yang pernah dahulu
kami harapkan
atas nama harapan.

Berikan kami rakyat
segala nikmat
meski cuma sesuap
dan bukan kata-kata lebat
tetapi penuh berulat.

Kerana demikian
kalian pemimpin
yang kami nobat.

Marsli N.O

Categories
SASTERA

Perempuan yang tidak ada

Oleh Lokman Hakim

MUNGKIN aku patut menyimpan seorang perempuan di dalam bagasi. Atau seorang perempuan di dalam almari. Tidak pun aku letak seorang perempuan selaku pintu supaya mereka tidak perlu mengetuk pintu bilik sekuat itu berulang-ulang kali. Cabut sahaja perempuan selaku pintu itu dan pergi jauh-jauh. Kekecewaan mereka ketika menggeledah bilikku tidak terungkap. Kesunyianku tanpa pelukan seorang wanita menghampakan mereka. Tetapi mengapa mereka tidak mengerti, perempuanku adalah kesunyianku? Itupun jika mereka melihatku selaku seorang lelaki heteroseksual yang mendambakan seorang perempuan di dalam hidupku.

Aneh, tidak semua laki-laki yang duduk di hotel murah memerlukan wanita di dalam dakapannya. Aku yakin, mereka tidak pernah mendengar perkataan aseksual. Perbezaan intelektual membuatkan sebarang perbincangan tidak membawa hasil. Daya pemahaman dan persepsi mereka sangat berbeza denganku. Ibarat langit dan bumi. Minyak dan air tidak akan menyatu bukan? Oleh demikian, aku membisu sahaja dalam kebanyakan waktu. Sekadar menjawab apa yang disoal. Ya atau tidak.

Aku pemburu sunyi. Membawa nota di dalam bagasi. Merawat sunyi yang menghuni di dalam setiap bilik yang aku kunjungi supaya ia dapat memeluk setiap lena yang bertandang. Cuma cara aku merawat itu tidak jelas. Sekadar berbekalkan pen dan juga kertas. Beberapa batang pen amat diperlukan kerana aku sangat ligat mengarang. Mata pen cepat pecah kerana tekanan yang dihasilkan oleh tanganku yang barangkali begitu kuat untuk memegang sebatang pen murah.

Merakamkan sunyi dalam kertas itu mampu memberinya bentuk. Bentuk yang aku nukilkan itu akan dituliskan dalam ulasan-ulasan majalah bertema pelancongan. Hotel mana yang lebih enak sunyinya dan hotel mana yang tidak mampu ditemui sunyi, semua aku tuliskan tanpa prejudis. Benar, aku seorang pemburu sunyi yang profesional. Sehinggalah malam itu tiba. Malam celaka yang begitu pekat.

Mungkin aku patut menyimpan seorang perempuan di dalam diriku, supaya yang menyerbu dan mengetuk pintu bilikku dengan kasar akan berlembut. Tetapi mereka tidak mencari perempuan untuk menghargai kelembutannya. Mereka mahu mencari maruahnya untuk dicalarkan dan ditayangkan. Kesungguhan mereka menggeledah katil, almari, bilik mandi, langsir dan luar tingkap amat aku kagumi. Bahkan tukang rakam video yang menyerbu tidak henti-henti bergerak ke segenap sudut bilik merakam apa-apa yang fikirnya, memalukan.

Mereka mencari perempuan itu. Perempuan yang tiada. Perempuan yang ada dalam laporan yang diterima, tetapi tiada pula di dunia nyata. Sudah aku katakan mungkin mereka tersilap ataupun ditipu pelapor, tetapi aku pula dimarahi. Sungguh aku tidak memahami kegilaan mereka mencari perempuan yang tidak ada itu.

Sambil mereka menggeledah, aku meneruskan pekerjaanku menulis sesuatu di atas buku nota. Tetapi pekerjaanku itu agak terganggu kerana mereka berulang kali memintaku menarik laci meja agar mereka dapat memeriksanya. Kata mereka, perempuan itu amat penting. Rahsia mereka terdapat pada perempuan itu. Lalu aku meminta mereka menerangkan ciri-ciri perempuan yang dimaksudkan. Mereka merengus marah. Mereka menuduh aku memerli mereka dengan berbuat seperti tidak tahu apa-apa. Kepalaku dihentak ke atas meja. Berdarah gusiku. Darah membentuk tompok cantik di atas permukaan kertas. Aku terdiam dan mengumpul nafas. Kepalaku terasa panas.

Aku memberitahu, mungkin perempuan yang mereka maksudkan itu sudah berada di dalam kepalaku. Aku menjelaskan, tidak mungkin untuk aku membawa perempuan itu keluar. Otak ini tidak punya pintu. Tidak mungkin aku mengizinkan mereka membelah tempurung kepalaku sewenang-wenangnya. Lalu aku diteriak. Kata mereka, setiap lelaki sentiasa ada perempuan di dalam kepala mereka. Aku membisu sekali lagi. Darah sering bergumpal dalam mulutku. Aku terpaksa pergi ke bilik mandi untuk memuntahkan darah yang begitu banyak. Tiada sekelumit kasihan terpampang pada wajah mereka.

Segera aku hubungi pengurusan hotel, meminta mereka memanggilkan ambulans. Darah tidak berhenti-henti. Aku terpaksa duduk di mangkuk tandas sementara mereka terus-terusan menggeledah bilikku. Dari dalam bilik mandi itu aku mendengar pelbagai suara. Penghuni di bilik sebelah khususnya. Aku yakin sepertimana aku, mereka juga berdepan dengan sekumpulan orang yang mencari perempuan. Mungkin situasi lebih mudah bagi mereka yang punya pasangan. Maka, segeralah mereka beroleh merit dan penghargaan kerana kejayaan mengumpulkan perempuan-perempuan yang mereka gelar jalang itu.

Aku dibawa ke hospital setelah setengah jam menunggu. Mujurlah aku sempat membawa bersama dompet dan juga bagasi milikku. Pendek kata ambulans itu telah menjadi pengangkutan yang membawaku bertukar bilik dari hotel ke wad. Aku berasa lemah. Darah telah banyak hilang. Aku bertanya pada pegawai perubatan yang merawatku di dalam ambulans. Ada ketemu perempuankah di dalam dompet saya? Dalam bagasi saya? Lalu mereka memeriksanya untuk aku. Setelah beberapa ketika, mereka menggeleng. Aku berasa lega.

Keesokan harinya, ketika aku menatal telefon bimbitku, aku terbaca perihal berita kematian sekumpulan pencari perempuan di hotel-hotel murah akibat ditembak seorang perempuan yang baru sahaja mahu menjalankan transaksi penjualan dadah dengan kesunyian yang sudah lama berkurung dalam bilik berhantu di hujung koridor. Begitulah takdir orang yang begitu biadab.

Fikirku, aku mahu menetap di bilik itu apabila kes itu selesai disiasat polis. Kesunyian itu, pastinya menanti seseorang datang dan mendengar keluhan hatinya. Perempuan itu, para pencari perempuan itu, dadah dan juga pistol yang digunakan pasti menakutkan kesunyian itu. Entah bagaimana dia mahu meneruskan kehidupan. Aku tak tahu.

Categories
SASTERA

Wabak di Kota

Pada kaca jendela sebuah rumah desa
seorang budak menghembus nafasnya;
kaca jendela lalu mengabur –
dia melukis dua titik mata
dan selengkung senyum.

Dua gerombolan beruk berkelahi
dalam kotak tivi di ruang tamu
ayah memegang alat kawalan jauh
seperti memegang pisang
menyuakan ke beruk-beruk
ternyata, beruk di kota
lebih menggemari kuasa.

Kata ayah
kota adalah kediaman
para primat berpenyakit
di sana, mereka tidak lagi
memahami belantara tetapi batu-bata
masing-masing keras bersuara tetapi tuli
banyak menjamah sampah melebihi buah
banyak makanan, tak pernah kenyang
banyak bekalan, tak pernah senang.

Kata ibu
lambat-laun
musim akan menghembus wabak itu
ke pinggir desa, ke kediaman kita
kita akan dijangkiti tanpa disedari:
tiba-tiba punya keinginan-keinginan aneh
yang tak pernah diperlukan
kau anakku, akan meradang di jalanan
meminta sesuatu yang tidak kaufahami
mengangkat sepanduk amarah
dan memecahkan cermin-cermin kehidupan.

Shafiq Said

Categories
SASTERA

Di Tangga Mahkamah

Oleh Regina Ibrahim

TEPAT 11.30 pagi semuanya selesai.

Mahkamah mengarahkan Karim membayar pampasan anak-anak sehingga usia mereka meningkat 18 tahun. Sebarang kompaun ditanggung oleh Karim. Mereka boleh memilih untuk tinggal bersama sesiapa yang mereka suka. Sijil penceraian akan disiapkan seminggu lagi. Rumah yang sedia ada milik Rozie, dia yang selesaikan segala pembayarannya sejak awal perkahwinan.

Kes memakan hampir suku hidup dewasa Rozie. Sebelum keputusan mahkamah, dia sudah membuat keputusan peribadi. Bayangkan lebih sepuluh tahun menanti segala penyelesaian. Banyak hal remeh terpaksa difikirkan, berlegar muncul tidak kira masa. Penat menjawab pertanyaan orang. Naik turun, tukar tarikh dan Karim yang sibuk mengalahkan menteri di Kuala Lumpur.

Abdul Karim Majid, yang pernah berjanji sehidup semati hari ini sah menjadi bekas suami.

Alhamdulillah Rozie masih segar sihat. Pernah kurus kering seketika tapi bingkas bangun merubah hidup dan pemikiran. Menelaah buku motivasi serta dekat pada Tuhan. Biasalah, Pencipta tetap mahu menduga, qada dan qadar kalau didakap, damailah sedikit jiwa, namun resah perempuan tetap menerpa.

Melintasi tangga batu mahkamah tradisional di Pekan Bukit Pintal, ingatan berputar kembali. Bagaimana segala yang indah boleh tamat, lenyap begitu sahaja? Di pekan ini mereka berdua merancang pertemuan, perkahwinan dan merancang macam-macam sewaktu dunia sempit. Tertanya-tanya juga, rasa belas mungkin melayang agaknya?

Rozie masuk sahaja tahun ketiga berpisah terpaksa menilai diri, belajar melepaskan segala amarah. Hakikat bahawa manusia berubah dan tidak mampu bertoleransi diterima dengan dada yang lapang. Tidak mudah mengadaptasi, perbelanjaan rumah tangga dan anak-anak yang kecil. Gaji cukup-cukup makan anak beranak. Bayangkan kalau terpaksa menumpang keluarga? Menyewa? Tidakkah bertambah beban emosi?

Orang berubah hati, kenapa, mengapa, bagaimana? Tidak mahu difikirkan lagi. Awalnya luka sangat menusuk, lama-lama Rozie tidak kuasa lagi. Makin mencuba dibawa berbincang makin terjai kata-kata jejaka yang pernah membelainya. Tidak pulang setahun, Rozie tidak gabra berusaha seperti wanita lain, untuk apa? Orang sedap-sedap bersama isteri muda, kita macam orang gila menagih di jendela. Entah-entah orang sudah lupa?

Perbualan tentang Karim dia tidak mahu. Segala dilalui anggap sahaja bagai mimpi tidak sedap panjang, tamat dengan kisah tidak gembira. Pelik sebenarnya. Usia bukan semakin muda, 32 tahun sewaktu diceraikan. Karim teman persekolahan yang sebaya. Melangkah memfailkan cerai, pihak syariah seperti biasa berpersepsi tersendiri, diarahkan hadir kaunseling berbaris nasihat. Tidak jalan, Karim tidak memberi sebarang respons. Hidup punya hidup terlupa bahawa secara undang-undang Karim masih suaminya. Rozie menggalas tugas tanpa rungutan, mahu merungut pada siapa? Siapa kita mahu marah-marah pada dunia?

Masuk tahun sembilan dia bertekad mahu menyelesaikan segalanya, tidak boleh lengai. Kembali menemui peguam syariah, membawa ugutan, SILALAH PIHAK MAHKAMAH TANGGUNG DOSA-DOSA saya kalau tidak diuruskan cepat, saya manusia bernafsu, menipu bahawa sudah punya kekasih, kalau terbabas bagaimana?

Hakikatnya dia tidak mahu sebarang lelaki dalam hidupnya lagi, serik! Hal cinta dan kerinduan sudah mati. Perasaan itu sebenarnya diminta pada Tuhan setiap menadah tangan. Siapa yang mahu kalau tahu dia bukan janda? Dia hanya isteri yang hidupnya ditergendalakan.

Di tangga mahkamah ditanya lagi bagaimana segala ini berlangsung begitu lama sekali? Mahkamah menyenaraikan perkara yang harus Karim tanggungi bila rasmi penceraian. Berdetik di hati, dia tidak mahu membantah, dia tahu Karim tidak akan mampu membayar sesenpun, semua dokumen permainan syarat sahaja. Hampir sepuluh tahun dia mampu hilang, tidak mungkin tiba tiba menjadi bertanggung jawab.

Aneh, tiada rasa marah atau geram pada Rozie, sewaktu pembicaraan pun wajah Karim dilihat sambil lewa sahaja. Mungkin itu arahan badannya yang matang. Tersenyum sumbing Rozie jadinya, lelaki yang pernah menyetubuhinya sudah berbeza, terlihat tua. Beban apa yang sedang ditanggung? Tidak teringin langsung dia mahu tahu. Kehadiran pun mungkin takut setelah tiga kali menerima amaran sapina.

Ya Tuhan, itukah lelaki yang pernah menyayanginya separuh mati, cemburu remaja serta prihatin dahulu? Kenapalah kisah mereka tamat begini? Apa ini semua hanya fatamorgana? Pelik!

Di tangga mahkamah beban di bahu serasa diangkat lenyap.

Kehidupan sederhana mahu diteruskan. Anak-anak tidak pernah bertanya banyak tentang ayah mereka, dengan mudah dianggap bahawa ini adalah tugasan peribadi, dilayannya seperti kerjaya ketika menemui pembekal dan bermesyuarat dengan teman teman sekerja, sama seperti menamatkan sebarang projek. Cuma projek kali ini sangat memakan masa, membebankan perasaan. Projek yang tidak disertai sebarang harapan.

“Itu bekas suami saya… Ya, kami sedang menguruskan harta untuk dibahagikan , nafkah anak-anak I, dia diarahkan tanggung…, legalah I lepas ni…,” itu semua harapan merepek! Kalau benarlah Karim bertanggungjawab Rozie tidak harus menanggung segala kesukaran selama hampir sepuluh tahun. Sangka baik, sangka jahat beraduk, maklumlah manusia fana.

Hari ini di tangga mahkamah, Rozie berdiri tegap. Memaafkan segalanya. Dia tidak kalah, tidak juga menang. Berselawat, mengucap dua kalimah syahadah dua tiga kali, meminta dipermudahkan jalan sebagai perempuan. Merintih pedih berdendam hanya akan menambahkan kedutan dan menjemput uban. Anggap laluan sahaja.

Di tangga mahkamah tekadnya jatuh pada hidup yang lebih cemerlang, cemerlang cara-cara dialah! Memohon dikurniakan segala kelancaran. Akhirnya ringan melangkah ringan menuju pagar mahkamah yang terang benderang, tengah hari yang bercahaya bahagia.

Lama sungguh tidak dinikmati perasaan yang begini.

Categories
SASTERA

Walang

i

Di situ lagi engkau, mengintai jumantara di balik paldu. Terduduk sepi. Memori kala kanak-kanak lekas menggamit. Jiwamu gemerencang. Dahan-dahan untuk berpaut rapuh sekali. Engkau terjatuh. Kepalamu rebeh. Darah berhamburan. Menumpahkan sisa-sisa kenangan yang tidak perlu. Matamu melolong. Seseorang telah pergi.

 

ii

Sang waktu dihenti Tuhan. Sudah terperangkap aku di dalam aku. Tidak terbayang jadi tuan pada sial sendiri. Terhuyung-hayanglah diri membawa diri. Teruslah hidup mengenang hidup. Ah siapa peduli sang waktu yang dihenti Tuhan. Biar ia menjadi kawat besi merayapi tubuh. Mencengkam leher dan perut. Terus dan terus.

 

iii

Jentayu telah kubunuh. Sangkarnya kulempar ke pantai. Kerinduan berkecamuk. Direnyuk ombak yang tidak reti berjanji. Jentayu telah kubunuh. Malam tinggal hening. Bulan berjaga hingga ke pagi. Akal busuk meratah tidur. Kumerampang. Cereka hidup diganggu huruf-huruf lapuk. Jentayu telah kubunuh. Senandung sepinya menggalaukan sukma. Mati.

 

Nursyuhaidah A. Razak

Categories
SASTERA

Cerpen Ini Belum Siap

Oleh Mirza Danish

AKU masih belum selesai lagi menulis cerpen untuk dihantar kepada rumah penerbitan. Desakan kerja harian melampau membuatkan masa mencemburui. Ah, kelihatan Fikri sedang mengangkat tiga buah kotak dan juga Hazirah yang menyiapkan poster menggunakan perisian Adobe Illustrator. Mata tidak berhenti melilau melihat mereka membuat tugas harian. Di dalam pejabat ini, sememangnya masing-masing sibuk dengan skop kerja mereka termasuklah aku. Kantuk menyelubungi aku sedari tadi meskipun kopi telah diteguk beberapa kali.

Fikri menegur aku. Pandangan dikalihkan dan sekali lagi tumpuan aku terganggu. Aku menaip beberapa perkataan pada papan kekunci sebelum memulakan bicara. Nafas dihela panjang.

“Kau buat apa tu, Mi?”

“Kerjalah. Menulis copywriting ni.”

“Nampak macam kau tulis benda lain je.”

“Tak adalah. Yang ini format baru. Eh, pergilah buat kerja kau. Menyibuk pula kau kat sini!”

Fikri berlalu pergi mengangkat stok-stok barang yang baru sahaja sampai. Pandangan aku kembali pada skrin komputer. Tajuk untuk cerpen ditulis ini masih belum difikir. Kebiasaannya aku menulis tajuk dahulu, barulah cerita. Ini benar-benar lari dari kebiasaan. Fokus mulai hilang. Buku draf dibuka dan tertancap mataku pada lukisan Doraemon yang buruk. Jari-jariku mula menari sendiri.

Satu lukisan sudah siap sepenuhnya. Lukisan Doraemon dan Nobita memegang Kain Masa. Satu kebosanan sudah dibunuh. Selakan helaian demi helaian mencari draf ditulis tempoh hari. Menulis cerpen memerlukan draf. Perkara itu diajar sendiri oleh mentorku beberapa bulan lepas. Setiap pengalaman dan ilmunya diserap dan dipraktikkan. Beberapa cerpen ditulis mengikut draf akhirnya tersiar di media cetak. Gembira bukan kepalang. Kenangan itu sudah cukup untuk diceritakan pada anak-anak satu hari nanti.

Dalam kalangan rakan-rakan, mentorku digelar sebagai alien. Aku tidak pasti dari mana datang istilah alien itu, tetapi aku tahu dia bukanlah datang dari Marikh untuk menakluk bumi. Tiada apa yang boleh ditakluk di bumi ini. Ahli kleptokrat lebih bijak menakluk bumi daripada alien sendiri. Secara ringkas, aku mengaguminya kerana dia menulis terlalu banyak karya. Tidak cukup dikira dengan jari tangan dan juga kaki.

Cerpen ini memang lain dari yang lain. Meskipun sudah ditulis drafnya, tetap tidak dapat disiapkan. Seolah-olah tiada penghujungnya! Ia tidaklah menghantui dalam mimpi namun rasa gelisah mengganggu seharian. Ia seperti seekor semut yang merayap pada telinga. Sungguh terganggu rasanya.

Hazirah masih tekun menyiapkan poster. Suasana sunyi disulami bunyi ketikan tetikus membuatkan aku terpana. Aku fikir, bagaimana seorang pereka grafik bekerja siang dan malam hanya untuk menyiapkan sesuatu grafik. Kemudian, hasil kerja mereka ditolak bulat-bulat tanpa alasan kukuh hanya kerana tidak menepati citarasa majikan. Namun, atas dasar menjaga periuk nasi sendiri mereka (pereka grafik) terpaksa bersengkang mata sekali lagi untuk memuaskan hati majikan. Begitulah kehidupan. Kadangkala perkara pahit terpaksa ditelan semata-mata untuk teruskan hidup.

Ah, pedulikan mereka! Cerpen aku ini masih belum siap. Beberapa jam lagi berbaki sebelum aku perlu mengedit dan e-melkan cerpen ini pada penerbit. Tersangkut-sangkut aku menaip pada papan kekunci. Air liur ditelan rengkung. Orang besar keluar masuk dari pejabat utama. Serasanya mereka memerhatikanku sama ada membuat kerja atau tidak. Pengurus syarikat sekadar mengangkat tangan dan aku membalasnya dengan mengangkat kening (jari-jariku masih berada pada papan kekunci ketika ini).

Beg berwarna hitam diambil. Tangan menyeluk dan aku mengeluarkan beberapa buah novel untuk rujukan. Aneh. Aku tidak membawa novel mentorku hari ini. Hanya ada beberapa buah novel cinta saja yang aku bawa. Sebelum pergi kerja pagi tadi, aku yakin yang novel mentorku sudah dimasukkan ke dalam beg.

Beg hitam dihempas kuat. Hazirah berhenti menekan tetikusnya seraya berkata:

“Kau okey ke, Mi…”

“Buat sajalah kerja kau.”

Hazirah kembali menyiapkan poster. Suhu pendingin hawa yang rendah membuatkan Hazirah menggigil. Lihat sajalah sweater berbulu tebal yang dipakai. Punggungnya diangkat dan dia menuju ke tandas. Aku hanya mencebik mencari idea yang tidak kunjung. Mungkin aku boleh dapat khidmat nasihat dari mentorku, pasti dia ada jalannya!

Nama mentor ditaip pada papan kekunci. Hasil carian gagal. Dia tidak didapati pada mana-mana enjin carian. Aku tidak berpuas hati. Telefon diambil dan namanya ditaip sekali lagi. Terkejut bukan kepalang. Nombor mentor hilang sama sekali! Telefon dicampakkan tepat ke meja.

Aku mula percaya bahawa dia benar-benar alien di dalam tubuh seorang manusia bernama… Fikiran terhenti seketika. Nama dan wajah tidak dapat diproses dalam minda. Karya-karya beliau yang dibaca sebelum ini tidak dapat kuingat. Aku mencari gambar-gambarnya di media sosial. Ia ajaib sama sekali! Dia tidak wujud pada setiap gambar yang pernah diambil. Kewujudannya seolah-olah terpadam (atau dipadam)!

Mata kembali pada buku draf. Lukisan Doraemon bertukar kepada kepala serigala. Di tangan Nobita bukan Kain Masa yang dipegang tetapi Krim Jadian Serigala. Mata digosok-gosok. Aku tidak bermimpi rupanya. Kepala tidak gatal digaru.

Aku bingkas bangun pergi ke tandas. Usai membuang air, wajah dilihat pada cermin. Kelihatan wajah mentorku. Dia memakai pakaian yang sama sepertiku. Mata digosok-gosok. Mungkin aku terlampau fokus untuk menyiapkan cerpen agaknya. Kata orang, kalau kita terlampau mengidolakan seseorang, kita akan berubah menjadi sepertinya.

Aku kembali pada meja kerja. Fail cerpen dibuka dan aku menyudahkan ayat yang terakhir sebelum menamatkan cerpen yang belum siap. Malangnya, tiada penyudahan buat cerpen ini. Adakah aku sedang menulis cerpen tentang breaking the 4th wall? Persoalan itu hanya aku pendamkan seorang diri sebelum cerpen ini dihantar pada penerbit.

Kepalaku tiba-tiba sarat dengan idea. Jari-jemariku menaip dengan pantas pada papan kekunci.

“Banyak lagi yang aku perlu tulis ni,” ujarku sebelum Hazirah dan Fikri memandangku dengan mata yang terbelalak. Mereka berbisik sesama sendiri. Kata mereka, wajahku sudah menjadi orang lain.

Oh dan cerpen ini belum siap lagi.

Categories
SASTERA

Susun Langit

(untuk nabila huda tahar)

 

Langit runtuh

bagai keping

pazel semua

lari berteduh

bersembunyi

kecuali

kita susun

padan semula

ikut sukati

wow gila

terima kasih

kata satu

suara ambiklah

 

siapa tu apa

ambik apa?

 

Langit! Langit

kita punya.

 

Md. Fariq Khir

Categories
SASTERA

Penjurian Hadiah Sastera Selangor 2018

Laporan oleh panel juri

PENGANJUR menyerahkan kepada juri 40 cerpen untuk dibaca, dinilai dan disaring bagi diberikan sebuah hadiah utama dan lima lagi hadiah penghargaan. Secara keseluruhan, cerpen-cerpen ini moodnya sama iaitu urban-kontemporari.

Meskipun kampung dipilih sebagai latar, ia masih dari sudut pandang anak muda. Satu hal yang aneh, juri mengesani terdapat banyak cerpen yang menampilkan kucing sebagai props, watak, subjek dan alat alegori pada tahun ini.

Dalam pada itu, terdapat juga cerpen yang hanya bertindak sebagai perakam zaman tanpa menunjukkan sikap. Kami juga melihat kebangkitan semula pendekatan absurd seperti yang ternampak dalam karya tahun-tahun 1980-an, namun juri juga mendapati kritikan sosial ini dihadirkan terlalu berlambang dan pengarang ralit bermain dengannya sehingga isu utama yang ingin diutus langsung tenggelam. Segelintir pengarang juga memapar sisi gelap yang pekat di dalam cerpen mereka.

Kami berpendapat sesetengah cerpen masih memiliki kelemahan yang sama, seperti karya yang dinilai pada tahun 2017, iaitu terdapat banyak karya yang mempunyai masalah kekontangan perbendaharaan kata. Kekurangan lain ialah kesukaran penulis mengimbangi had perkataan yang ditetapkan dengan muatannya, mengakibatkan terdapat rukun atau struktur cerpen terabai, melainkan penulis berusaha memanipulasi teknik dan strategi penceritaan.

Akan tetapi, hal yang membanggakan kami sebagai juri ialah dakwaan – jika ada – bahawa pengarang muda mengabaikan isu semasa dalam karya, sama sekali tidak benar. Ini kerana 40 karya ini ternyata peduli realiti dan masalah zaman meskipun karyawan hadir skepktikal, putus asa terhadap segenap aspek kehidupan melibatkan penghujungnya kematian, pembunuhan dan kekalahan. Antara isu hari ini yang diangkat adalah Malaysia Baharu, penderitaan gelandangan, pembalakan haram, pertembungan kumpulan konservatif dan liberal demokrat, kecurangan agamawan, kemiskinan bandar, isu kemerdekaan beragama, kenaikan harga barang, dan keganasan rumah tangga.

Cerpen-cerpen ini juga dipengaruhi oleh medium seni lain seperti filem, karikatur, animasi, catan, e-permainan, dan muzik yang menunjukkan pengarang generasi baharu amat terdedah kepada pelbagai bentuk pengucapan.

Kami juga mengesani cerpen-cerpen yang dikemukakan adalah medan udara bersih untuk bersuara, terdapat campur tangan editor yang minimal, dan tidak terlalu terikat dengan nilai moral.

Setelah berbincang, kami menyenarai panjang 12 cerpen untuk dibahaskan dari semua sudut. Karya-karya tersebut adalah Tuhan di Dalam Poket, Kematian Dilarang di Sini, Rahsia Bilik, Nekrofobia: Geraham Tuan Gegasi, Kelkatu dalam Kopi, Gahgha Nak Kucup Peghancis, Pulang ke Rumah Nakhoda, 9 Mei, Seperti Apakah Rasanya Pizza, Larian Zombi, Penjual Besok dan Kucing Non Partisan (12)

Proses saringan kedua untuk senarai pendek karya yang berjaya diberikan hadiah dilakukan secara pengundian memandangkan kecenderungan, kerangka pilihan dan cita rasa juri yang berbeza. Setelah perbincangan mendalam kami memutuskan untuk memberikan Gahgha Nak Kucup Peghancis sebagai penerima hadiah utama. Hadiah-hadiah Penghargaan pula diberikan kepada pengarang cerpen-cerpen berikut Rahsia Bilik, Kucing Non Partisan, 9 Mei, Penjual Besok dan Seperti Apakah Rasanya Pizza.

Cerpen Gahgha Nak Kucup Peghancis menampilkan watak Rara yang ekspresif dan berani dalam mempamerkan keinginan seksualnya. Kepuasan seks Rara terletak pada kemampuan berkucup tetapi sayang sekali lidah Mazlan, kekasihnya, pendek. Rara berusaha mencari penawar agar ia dapat menikmati hubungan seks oral yang lebih nikmat dan ia ditemukan pada keghairahan menggunakan minyak yang kononnya ajaib untuk memanjangkan lidah seseorang. Bagaimanapun sebaik Mazlan pulang dari kerja sebagai aktivis alam sekitar, Rara mendapati lidah Mazlan lebih pendek dari sebelumnya kerana ia telah dipotong sebagai protes bisu terhadap kesenyapan isu pembalakan haram dan perjuangan orang Asli.

Cerpen ini dipilih kerana kemampuan pengarang menjadikan ia begitu kompak dan seimbang sesuai dengan genre cerpen yang memerlukan penjimatan kata dan ruang. Isu-isu yang ditampilkan bersekali dan bersahaja yakni ekspresi keghairahan wanita yang merupakan salah satu cabang tuntutan gerakan feminisme dan ketidakpedulian isu alam sekitar amat sebati. Satu hal yang berbangkit pada cerpen ini ialah persoalan moral memandangkan watak-watak yang dihadirkan adalah berbangsa Melayu-Islam. Namun demikian juri memilih dengan sistem pengundian dan memihak kepada kekuatan naratif cerpen ini.

Rahsia Bilik mendapat perhatian juri kerana tema kecurangan agamawan, isu pedofilia dan masalah gangguan seksual dan liwat paksa dalam kalangan pelajar tahfiz. Terdapat perbahasan mengenai kesesuaian teknik yang digunakan pengarang. Pun juri akhirnya memilih untuk melihat keberkesanan ekspresi pengarang menerusi watak anak tahfiz yang ketakutan. Malah, kekuatan tema yang dipilih mengatasi kelemahan pilihan teknik (jika ada).

Kucing Non Partisan adalah sebuah satira politik mengenai pertelagahan antara kelompok kucing berbulu gelap dan cerah untuk menanda kawasan. Ternyata perseteruan politik tersebut bertukar ganas, malah sia-sia sehingga kedua-dua kumpulan saling berbunuhan.

9 Mei berjaya memikat juri kerana naratifnya yang bersahaja, mengalir dan pemilihan kata yang sesuai. Meskipun ia ingin memerikan perubahan yang dikecapi rakyat Malaysia pada 9 Mei lalu dan kesungguhan pengundi untuk pulang membuang undi, ia tidak dilakukan dengan jalan berkhutbah, malah terdapat aspek-aspek hidup lain yang ternyata lebih besar dari perubahan yang ingin dilakukan. Cerpen ini turut disulami bibit cinta awal yang menjadikan ia lebih berwarna.

Penjual Besok adalah antara cerpen absurd yang terwakil dalam senarai pendek untuk Hadiah Sastera Selangor 2018 kali ini. Ia mengisahkan insiden pembunuhan seorang penjual esok (besok) yang terbongkar perinciannya apabila watak Aku mengunjungi Kedai Semalam. Juri berpendapat permainan teknik dan strategi penceritaan oleh pengarang ini mewajarkan ia terpilih.

Seperti Apakah Rasanya Pizza adalah cerpen yang ringan, ringkas dan menampilkan persoalan persahabatan dan jurang kelas yang dibebankan pada objek pizza selaku juadah kelasan. Hubungan ‘bromance’ antara watak Anep dan Naim yang bersekolah dan bermain sama tetapi berlainan darjat diungkap dengan sentuhan emosi dan berjaya membangkitkan rasa. Antara karya-karya berat yang dikemukakan, cerpen ini berjaya menjadi pil kelegaan yang menunjukkan genre cerpen masih perlu dan masih boleh mengungkapkan hal-hal biasa dalam kehidupan dengan penuh keindahan.

 Kategori esei

Penganjur menyerahkan 27 esei untuk dinilai. Secara umum, terdapat peningkatan kualiti pada esei yang diterbitkan berbanding esei yang dinilai pada tahun lalu. Justeru tidak seperti tahun lalu, juri berpendapat terdapat esei yang layak diberikan hadiah utama.

Ada pelbagai isu yang diulas melalui esei berkenaan termasuk filem, novel serta isu semasa berkaitan seni, sastera dan budaya. Bagaimanapun ada antara esei berkenaan gagal menyerlahkan isu atau isi yang diharapkan, dengan sebahagian daripadanya berbentuk promosi semata-mata.

Kelemahan esei-esei ini dapat dilihat secara spontan. Ada beberapa tulisan mempunyai asas yang baik tetapi hilang fokus apabila penulisnya ternampak seperti “syok sendiri” dengan memasukkan hal-hal yang tidak membantu mengukuhkan idea. Ini misalnya banyak dilakukan pada intro esei.

Terdapat juga penulis yang berbahasa menggunakan “aku” dalam tulisan mereka, menjadikan penulis esei berkenaan seolah-oleh lebih penting berbanding apa yang mahu diulas. Beberapa esei juga kelihatan masih mentah, namun jika penulisnya berusaha lebih lagi memuatkan poin penting, ia boleh menjadi tulisan yang baik.

Kami juga mengesan ada esei yang kelihatan tergantung atau terputus. Kami percaya ia tergantung kerana penutupnya gagal memberikan sebarang kesimpulan, atau terputus apabila pembukaan/intro didapati tidak berhubungan dengan isi. Selain itu fokus tulisan kebanyakannya tertumpu kepada isu-isu domestik yang berulangan.

Esei yang diangkat sebagai pemenang mempunyai kekuatan kerana ditulis dengan lancar dan jelas, menarik dan kemas. Kematangan juga dapat dikesan pada sesetengah tulisan, dan cubaan berani untuk mengulas mengenai isu besar. Dalam pada itu terdapat juga esei berbentuk pengamatan seni budaya, yang mungkin akan lebih mantap pada masa akan datang.

Juri ingin menyarankan agar kerajaan negeri atau Selangorkini mengadakan kursus dan bengkel untuk penulis. Kami yakin penulis perlu digalakkan menulis lebih banyak isu mengenai karya dan tokoh luar, serta tidak hanya terhad dalam lingkungan dalam negara.

Pihak Selangorkini malah wajar meraikan tulisan penyumbang dengan menyediakan ruang mencukupi serta sesuai mengikut sesuatu esei. Hal ini dibangkitkan kerana kami percaya sesetengah esei gagal mencapai tahap yang diharapkan kerana berlaku penyuntingan untuk disesuaikan dengan ruang yang ada pada Selangorkini.

Juri kategori esei dengan ini memutuskan bahawa hadiah utama diberikan kepada Jentikan Semiotik Sinema One Two Jaga sementara hadiah penghargaan diberikan kepada penulis esei berikut

Puisi Jumaat Tuan Mufti, Marlina dalam Renungan ke Luar Babak, Penulis Diaspora: Bukan Sekadar Cerita,

Tentang Perang Antara Sinema dan Sastera dan Tabu dan Pelangi yang Tercarik di Dada Sastera.

Kategori Puisi

Pihak penganjur menyerahkan 45 puisi untuk diadili. Secara keseluruhan karya yang diadili ini lebih baik berbanding karya tahun 2017.

Setelah meneliti sejumlah 45 puisi dengan landas kriteria yang merangkumi pertimbangan estetika, emosi, akal budi, akal fikiran dan akal rasa yang bersifat objektif dan subjektif, tiga panel membariskan 17 puisi berlainan untuk dinilai bagi Anugerah Hadiah Sastera Selangor kategori puisi pada tahun ini. Daripada jumlah itu juga puisi telah disenarai pendek sebagai lapan puisi untuk dicadangkan diberi Hadiah Penghargaan. Lapan puisi yang dicadangkan dan dipertimbangkan adalah seperti berikut Bulbul, Mawar dan Bulan, Perempuan Samudera, Kepala Yang Menetap di Tubuh Lain, Piriya Bukan Pencuri, Cerita Kota 5, Mencuri Waktu, Perahu Kertas yang Berlayar di Bawah Rambutmu dan Matryoshka.

Secara umum, mutu puisi disandarkan pada kehadiran nilai seni yang diukur berdasarkan struktur ungkapan yang estetis berserta dengan nilai kebijaksanaan. Manakala bahasanya pula terbina daripada diksi yang relevan dan harmonis dengan ekspresi dan konteks, binaan suasana yang mengepung tanggapan, dan siratan makna yang interpretatif. Wacana dalam puisi harus pula mendukung mesej yang dapat menimbulkan kesedaran dengan sentuhan emosi dan intelektual.

Kesemua puisi yang dinilai boleh diandaikan sebagai puisi moden yang bebas dan tidak terikat dengan struktur dan gaya puisi tradisi. Malah menampilkan visual yang pelbagai; ada yang langsung, kompleks, dan ada yang abstrak. Kebanyakan puisi disampaikan dengan bahasa yang mudah, malah terdapat yang berbentuk prosaik, kecuali beberapa puisi dilihat terkehadapan dari segi pengucapan dan kematangan.

Kebanyakan puisi juga tidak berdialog sejagat sehingga kesannya menjadi lemah dan tiada kesan wacana puitik. Dari segi bahasa, rata-rata puisi kurang berupaya mengawal wacana dalam varian seni kreatif dan tidak menonjolkan nilai seni dalam aspek bahasa.

Sebilangan kecil pula memperlihatkan ujaran makna yang ekspresif dengan sentuhan emosi dan intelektual yang agak mendalam. Agak sukar sebenarnya mencari puisi yang melengkapi keseluruhan estetika gaya dan makna serta indah dari segi binaan wacana dengan simbol dan imej dalam kesatuan yang tuntas.

Bagaimanapun, lapan puisi yang dicadangkan ini adalah antara pilihan yang boleh diangkat dan diberikan justifikasi sebagai terkehadapan dengan yang lain-lain, meskipun ia tidaklah boleh diandaikan sebagai mendukung ciri terunggul dari segi keseluruhan binaan puisi itu sendiri. Ruang penambahbaikan masih besar dan luas.

Daripada lapan cadangan ini, Perahu Kertas yang Berlayar di Bawah Rambutmu mendahului cadangan sebagai hadiah utama dan diikuti lima yang berikut sebagai hadiah penghargaan iaitu Bulbul, Mawar dan Bulan, Kepala Yang Menetap di Tubuh Lain, Matryoshka, Perempuan Samudera dan Piriya Bukan Pencuri.

Perahu Kertas yang Berlayar di Bawah Rambutmu tidaklah dianggap sebagai sebuah puisi yang sempurna. Bagaimanapun, semangat ingin keluar dari zon kebiasaan dan kemampuan mengejutkan dengan retorik-retorik memukau menjadikannya istimewa. Beberapa kalimat yang segar serta imejan yang jelas telah berupaya menghantar mesej jelas kepada pengamat puisi. Pemilihan puisi yang berbentuk prosaik ini bukanlah untuk menjadi indikator sebagai sebuah puisi yang mengikut trend atau yang sepatutnya didukung oleh penyair masa kini. Puisi berbentuk prosaik bukanlah satu puisi yang mudah. Ia memerlukan tenaga serta konsistensi estetika dan makna dalam penghasilannya. Puisi Perahu Kertas yang Berlayar di Bawah Rambutmu bagaimanapun berupaya mengawal pengucapan serta memikat juri untuk dicadangkan sebagai pemenang hadiah utama pada kali ini.

Lima daripada puisi yang dipilih sebagai terbaik secara umum menunjukkan ketelitian dan kecermatan dalam pembinaannya. Dengan melihat daripada aspek ini ia bolehlah dikatakan terbaik dalam kalangan 45 puisi yang lain.

Sajak Bulbul, Mawar dan Bulan dan Matryoshka pula misalnya menunjukkan tempo, set kata dan tenaga yang sangat konsisten. Kedua-dua sajak ini memberikan saingan sengit terhadap sajak pemenang utama, Perahu Kertas yang Berlayar di Bawah Rambutmu yang lebih bersahaja. Bulbul, Mawar dan Bulan dan Matryoshka boleh dianggap hampir sempurna dalam bentuknya. Bulbul, Mawar dan Bulan mirip kepada format sastera Islam, yang disampaikan dengan gaya lebih kompleks. Gaya ini biasa dilihat. Bagaimanapun, ia berbentuk seperti kolaj dan terlihat seperti name dropping yang tidak perlu.

Matryoshka pula bercakap dengan tema yang lebih sejagat yang popular sekitar 70-an. Berlatar belakang suasana Rusia, mesej disampaikan tetap relevan di negara-negara lain, termasuk Malaysia.

Perempuan Samudera pula sebuah sajak yang sederhana tetapi romantik. Penyampaiannya tidak terlalu bersungguh-sungguh sehingga menampakkan kekok atau dibuat-dibuat.

Persamaan ini dilihat dalam sajak Kepala yang Menetap di Tubuh Lain, walaupun menyentuh tema berbeza.

Sajak Piriya Bukan Pencuri pula ialah sajak paling sederhana di antara semua pemenang. Ia mudah dicerna tetapi mampu mengheret emosi. Ia digubah berdasarkan kisah sedih adik M Vasantha Piriya yang membunuh diri setelah dituduh mencuri telefon bimbit gurunya. Meskipun ini merupakan sebuah puisi dedikasi, namun pengucapannya menyentuh emosi serta berupaya meluaskan horizon pemikiran si pengamatnya.

Akhir sekali, sajak-sajak lain yang tidak terpilih turut memperlihatkan sudut pandang menarik yakni bagaimana penyair berinteraksi dengan zamannya. Paling menonjol, sebuah sajak yang merakamkan fenomena komunikasi digital. Karya ini membandingkan bahasa binari dengan bahasa lisan.

*Panel juri Hadiah Sastera Selangor 2018 diketuai Faisal Tehrani. Panel lain ialah Wan Nor Azriq, Zaharahanum Kamarudin, Al-Abror Mohd Yusuf, Fathi Aris Omar, Noor Azam Shairi, Al-Mustaqeem Mahmod Radhi, Rozlan Mohamed Noor dan Jimadie Shah Othman