Categories
SASTERA

Kaunter Rasa di Bursa Perempuan

Emosi perempuan umpama
graf indeks di bursa jiwa
sekejap melonjak dengan tiba-tiba
sekejap menjunam tanpa dapat diterka
kekadang statik sukar diramal perasaannya.

Membaca graf perasaan perempuan
perlu kepada analisis teknikal
bukan sekadar fundamental jiwanya
soal hati, emosi dan tanggungjawab
bukan sekadar terjahan sentimen cinta
yang kadang-kadang menggoda
mainkan hati sekadar suka-suka.

Barangkali jiwa wanita terlalu halus
di papan jiwa
kadang-kadang kencang berombak
sentimen emosinya terlalu ganas
sehingga terpancar gembira
pada wajah yang mencuka
walaupun indeks atma ditutup
bercampur pada hujung dagangan
setiap kali lafaz cinta ditutup.

Tentang jiwa perempuan
hatinya bukan saham utama
untuk kita beli dan jual sesuka hati
tatkala rugi
kita tinggalkan kaunter cintanya
mencari kaunter baru yang lebih muda
tinggi, seksi dan menggoda.

Besok kita lihat paparan berita
indeks perasaan tiba-tiba menjunam
memecah lantai emosi
kerana ada lelaki mengambil kesempatan
kemudian lari sembunyi diri
habis madu sepah dibuang.

Nimoiz T.Y
Ipoh, Perak

Categories
SASTERA

Hari itu, Politik Cuti Sakit

Oleh Lokman Hakim

SAYA tidak tahu apa yang mereka lakukan di sekolah itu. Dengar ceritanya ada pilihan raya, tetapi saya tidaklah ambil berat hal remeh-temeh seperti itu. Ah, bukanlah saya tidak peka dengan senario politik negara ini. Cuma soalnya, mereka mahu mengundi siapa? Tiada calon kelihatan. Tiada sesiapapun yang muncul di paparan media mencalonkan dirinya. Tiada janji ditaburi. Tiada visi. Nihil. Tiba-tiba Suruhanjaya Pilihan Raya mengeluarkan kenyataan media memaklumkan hari ini ada pilihan raya tanpa letak sebab-musababnya.

Lalu apa pula tujuan mereka berkumpul di sekolah itu? Kotak undi sudah diusung masuk. Mereka akan mengisi kertas cabutan undi yang tidak diletakkan nama-nama calon. Tiada parti politik juga kelihatan di mana-mana. Bendera-bendera dan sepanduk digantung hanya terdiri daripada warna-warna pelbagai. Hijau, merah, biru warnanya. Ada yang nakal meletak bendera warna pelangi. Ada juga yang bubuh iklan produk kecantikan tiada kelulusan KKM pada bendera, mengiringi bendera-bendera berwarna pelbagai itu. Tiada siapa tahu makna warna-warna tersebut. Tanpa cogan kata. Tanpa nama parti. Tanpa nama calon. Kosong macam otak rakyat kebanyakan sekarang yang sudah jenuh disuruh bertahan dengan segala bentuk kesusahan tanpa usaha jelas untuk menyelesaikannya.

Rengsa juga dibuatnya. Majikan telah memberi cuti kerana sudah digazetkan hari pengundian ialah hari cuti. Saya tetap mahu bekerja kerana majikan berkata cuti tahunan terpaksa dipotong kerana hari mengundi itu. Ah, mana boleh macam itu! Tapi sebab saya makan gaji, kenalah patuh sahaja. Setakat bercuti apa masalahnya? Setakat potong gaji sehari tidak mengganggu perbelanjaan bulanan sangat.

Saya bertegas untuk tidak pergi mengundi. Biarpun setelah itu, saya diberi leteran bertele-tele mengenai pentingnya menanam rasa patriotik dalam diri. Kita harus ikhlas mengundi, demi perubahan masa hadapan generasi seterusnya, kata majikan. Sambil-sambil itu, dia menghisap cerut dan menghembuskan asapnya ke muka saya seolah-olah saya tiada masa hadapan. Saya tidak peduli akan hal itu. Saya cuma mahu bekerja menghidupkan hari ini. Menghidupkan detik kini itu lebih bermakna daripada berjuang untuk hari esok yang mungkin tak sempat saya temui pun.

Soalnya sekarang ialah bukan saya tidak mahu pergi mengundi. Cuma saya tidak nampak mana-mana parti politik pun. Bagaimana mahu mengundi sesuatu yang tidak ada? Apakah negara ini sudah gila? Saya jadi bingung. Gaji saya dipotong demi pilihan raya palsu. Ia tidak akan mengubah apa-apa. Namun, saya sudah belajar untuk bertahan hingga otak kosong. Saya juga harus menerima sesuatu yang tidak masuk akal seperti pilihan raya ini.

Kereta diparkir di bahu jalan. Saya hanya mahu menikmati sarapan di sebuah warung berhadapan dengan sekolah tersebut. Mujurlah ada beberapa gerai dibuka khas untuk para pengundi membeli makanan ringan. Sekurang-kurangnya, ketenteraman saya di warung kegemaran ini tidak begitu terganggu. Jelas, bilangan pengunjung warung berganda tiga kali berbanding hari biasa. Saya harus akur berkongsi meja dengan beberapa orang pengunjung. Masing-masing punya jari yang sudah diwarnakan menandakan undian sudah dibuat.

Ah, harapnya mereka tidak memandang serong pada diri ini yang tidak mengundi. Tanpa mahu berbual dengan sesiapa, saya ambil nasi lemak di atas meja, lalu menempah teh susu kegemaran. Namun, apabila berada semeja dengan para pengundi, pastinya saya tidak dapat mengelakkan diri daripada mendengar perbualan mereka. Saya dapat rasa cuping ini bergerak-gerak macam telinga keldai menepis lalat.

“Kau rasa siapa yang akan menang nanti?”

“Entahlah. Aku ikut sahaja arahan. Undi tetap undi. Undi demi masa depan.”

“Betul. Yang penting, kita dah laksanakan tanggungjawab kita.”

Saya menghabiskan nasi lemak mungkin hampir tiga bungkus dan tidak berasa kenyang langsung. Sepertimana ketiadaan wakil rakyat untuk diundi, begitu jugalah rasanya hilang perut ini. Saya tempah pula roti telur. Disusuli roti sardin. Teh susu yang habis digantikan pula oleh secangkir nescafe. Habis cangkir nescafe, saya minum pula kopi O gelas besar. Entah apa pula yang menghuni perut saya pada waktu ini. Mungkin ia berkait rapat dengan apa yang saya dengar.

Kedengaran seperti berintipati tetapi kosong makna. Kata-kata retorik yang dilontar sebelum ini juga puas sudah menerjang telinga. Saya patut berhenti makan. Pengunjung-pengunjung warung kian hangat membicarakan hal-hal politik tanpa menyebut nama parti dan individu. Aneh sekali. Bagaimana mereka boleh begitu konsisten? Adakah dimensi saya sudah berubah?

Rasa ingin tahu membuatkan saya pergi ke sekolah merangkap pusat mengundi tersebut. Ketika membayar harga makanan dan minuman, saya dimaklumkan bahawa seseorang telah membayarkan makan minum setiap pengunjung-pengunjung warung seikhlas hati tanpa mahu dikenali.

Saya disambut petugas pilihan raya dengan senyuman manis. Tidaklah saya berbaris sepertimana orang lain. Saya maklumkan bahawa saya sekadar mahu menumpang tandas sekolah. Jalan raya masih sesak. Semangat para pengundi amat luar biasa.

Ketika membuang air kecil, terdengar suara dari kubikel bersebelahan. Mungkin orangnya tengah bercakap di telefon. Entahlah.

“Hari ini politik cuti sakit! Tapi ramai datang mengundi sebab ketiadaan parti politik juga suatu pilihan! Kau datang ke tak?”

Betul juga, ya?  Saya patut berbaris dan menurunkan undian, yakni pada ketiadaan. “Parti yang tidak ada” juga sejenis parti, bukan? Dengan semangat berkobar-kobar saya segera menyertai barisan selama sepuluh minit sebelum teringat bahawa saya belum mendaftar selaku pengundi lagi. Tidak pernah sama sekali. <END>

Categories
SASTERA

Gadis Penjual Buku

Gadis itu senja
sunyi yang bersembunyi
dalam lipatan buku.

Dia tak peduli
mata yang melahap
wajah bukunya
mulus diratah
setelah kenyang ditinggal.

Sengaja dia membogelkan
tubuh bukunya
di pelantar pamer
untuk dijamah beramai-ramai
secara gratis.

Pabila malam tiba
buku-bukunya menangis
dalam hatinya.

Baharuddin Sairi
Sungai Nibong,Sekinchan

Categories
SASTERA

Evolusi langgam bahasa rentasi zaman

Oleh Taji Kuning

 KERANA silap membaca isi surat yang tertulis “salam paduka kekanda” tetapi dibaca sebagai “paduka kakanda empunya sembah, datang kepada paduka adinda”, Raja Pasai iaitu Raja Pahlawan mengamuk sehingga habis dibunuh seisi istana ketika itu.

Padahal si utusan dari tanah Haru telah ditegur beberapa kali oleh Raja Pahlawan sendiri yang mendengar bacaan itu kedengaran tidak sepatutnya.

Lanjutan hal itu membawa kepada peperangan antara Pasai dan Haru sehingga turut memberi kesan kepada Melaka. Tidak dapat dipastikan adakah si utusan benar-benar tersilap baca, tidak cermat baca, ada masalah penglihatan atau memang surat itu dikarang dengan perkataan sebegitu. Cerita itu dimuatkan dalam Sulalatus Salatin pada bab Akibat Salam Dibacakan Sembah.

Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh telah mengalihkan cerita itu kepada bentuk sajak bertajuk Ceritera yang Kedua Puluh Empat dan diterbit dalam buku Sajak-sajak Sejarah Melayu. Tulisnya:

 

Cih, Pasai ini tiada sayang pada bahasa,

pada rasa dan hati yang dikandunginya.

ayat dilengkungkan dengan pembacaan,

makna dipindahkan kepada kehendak.

tiada akan besar bangsa

yang tiada kasihkan bahasanya,

tiada kebenaran pada manusia

yang tidak dapat melihat kenyataan.

 

Cerita ini mengingatkan kita kepada peribahasa “kerana pulut santan binasa/kerana mulut badan binasa” yang begitu popular menggambarkan akibat kesilapan dalam percakapan. Makna baru dari perkataan yang tersilap selalunya mendatangkan fitnah yang lebih besar. Tetapi berapa ramai yang mengambil pengajaran dan cuba mengelak melakukan kesilapan dalam kehidupan seharian?

Silence is Golden kata peribahasa orang putih yang kemudiannya dinyanyikan kumpulan KRU sebagai “diam itu ‘kan pintar”.

Dalam bahasa Melayu juga ada banyak peribahasa,  pepatah dan perumpamaan berkaitan diam seperti “diam-diam ubi berisi” atau seperti “bunyi tin kosong”. Adakah ini semua sebagai respon terhadap kisah amukan Raja Pahlawan? Atau ia sebagai ingatan kepada rakyat bawahan supaya berhati-hati apabila berbahasa dengan golongan atasan?

Tidak dapat dinafikan, bahasa banyak larasnya. Laras bahasa pasar, bahasa rasmi, bahasa persuratan, bahasa istana, bahasa korporat, bahasa akhbar dan entah berapa banyak jenis lagi. Kata sesetengah orang, ini menunjukkan bahasa juga ada kastanya. Adakah ini benar? Mungkin ya mungkin tidak. Langgam, gaya dan loghat sering berevolusi selaras dengan pergerakan zaman dan perkembangan ilmu.

Ada gaya bahasa yang sudah ditinggalkan seperti penggunaan kata ganti nama diri “hamba” dan “tuan hamba” yang mungkin digunakan secara minimal pada sesetengah tempat sahaja. Namun, tetap saja ada jarak antara satu-satu golongan via laras bahasa atas beberapa faktor.

Merenung kembali kisah dari Sulalatus Salatin, di situ boleh kita boleh petik banyak pengajaran. Pertamanya supaya lekas sedar diri dan memperbetulkan keadaan kemudian meminta maaf. Itulah yang sepatutnya dilakukan si utusan. Kedua, cerita itu menunjukkan betapa seorang pemerintah yang biasa hidup dikelilingi sanjungan dan tentunya salah satu bentuk sanjungan adalah melalui laras bahasa yang diguna pakai di dalam istana yang memerlukan orang bawahan mengangkat sembah, merendah diri dan mengikut arahan, telah menyebabkan si Raja Pahlawan tidak langsung dapat bersabar sehingga terheret ke kancah perang.

Kata Azizi Abdullah, pujian adalah racun. Ya, racun yang boleh merosakkan hati dan perasaan seseorang.

Jadi, bagaimana dengan zaman sekarang? Akan berlakunya perang jika tersilap cakap? Lihat ucapan-ucapan Donald John Trump yang celupar akibat dikuasai kemarahan dan sentimen yang sedikit sebanyak menimbulkan reaksi hangat. Dan di sekeliling kita sendiri, lihat kenyataan-kenyataan menteri yang sememangnya menyakitkan hati rakyat seperti “kalau harga ikan naik, beli ayam”, “boleh menoreh di musim tengkujuh” dan bermacam-macam lagi yang tidak enak boleh didengar dalam perbahasan parlimen. Barangkali apabila berada di puncak kuasa kita menjadi kurang cermat dalam melepaskan perkataan. Tetapi, kita tidak boleh kata menteri atau ahli politik saja yang celupar dan kurang ajar dalam bercakap. Masyarakat sendiri, dek letusan maklumat terikut-ikut sama. Komen-komen atau hantaran di laman sosial tidak sedikit yang mencarut dan penuh emosi.

Rentetan isu demi isu yang sentiasa menghangatkan iklim politik kita merebas sama kejelekan-kejelekan masyarakat dalam menanggapinya. Tulisan-tulisan yang menghasut dikongsi dan tular sehingga dengan mudah dipercayai ramai pula. Lebih menyedihkan, ada juga penulis yang menulis puisi dan cerpen penuh dengan sangkaan jahat terhadap kaum yang tidak disukainya akibat tularnya cerita yang tidak benar. Padahal sastera sepatutnya medium pencerahan bukannya alat menyebar kebencian. Sewajarnya masyarakat harus ingat ayat al-Quran surah Al-Hujurat, “Jika datang kepadamu satu berita, maka selidikilah kebenarannya dahulu” agar kita menjadi manusia yang lebih bertamadun dan celik maklumat.

“Tiada akan besar bangsa/yang tiada kasihkan bahasanya,” baris sajak ini patut dihadam sedalam-dalamnya oleh penulis, orang awam atau menteri sekalipun. Ingatan dari sajak sasterawan negara seharusnya dipegang jika kita mahu melihat bangsa kita menjadi besar; besar di sini bukanlah aspek penggunaan bahasa atau kemajuan teknologi sahaja, tetapi nilai-nilai kemanusiaan yang patut membugar lalu melahirkan masyarakat bertamadun. Berbahasalah dengan baik dan berhati-hati. Ingatlah celaan Tuhan terhadap orang yang mencarut, mengumpat dan menyebar pembohongan. Menulislah dengan baik dengan ejaan penuh dan perkataan-perkataan molek kerana karya atau tulisan yang baik sentiasa menyejukkan jiwa. Jangan jadi seperti Raja Pahlawan yang lupa kuasanya cuma sementara. <END>

Categories
SASTERA

Jerat Muslihat

Oleh Abizai

LANGIT temaram. Di celah awan, bulan tergantung suram. Cerminan hatinya kepupusan tenteram. Basri masih di beranda, mendongak ke langit mega untuk mencari ketenangan yang tersisa. Namun semua itu sia-sia. Angin resah mendakapnya semakin ramah. Amanat mursyid perlu dilaksanakan walaupun hakikatnya terlalu payah. Dia umpama mendaki gunung yang curam tanpa tali. Dia laksana terapung di laut dalam tanpa pelampung. Basri tidak sanggup menjadi murid derhaka yang membela ingkar di sangkar diri. Siapakah yang mampu membantu meleraikan selirat di banir fikir? Mungkin sahaja Helmi dan Syukri sudah memperoleh ilham dan sudi berkongsi.

“Kalian harus melakukannya esok hari, tanpa boleh ditangguh lagi.” Khali setagal sebelum mursyid kembali menyambung, “Lusa, selepas zohor datang ke sini. Saya mahu tahu hasilnya.” Dia tegas mengingatkan.

Basri hanya mengangguk-angguKkan kepala biarpun kalbu ditumbuhi lumut keliru. Wajah mursyid yang sentiasa tenang, dihiasi janggut putih itu disorotinya. Helmi dan Syukri di sebelah pula dilihatnya tersenyum, berbunga mekar keyakinan.

Dingin pagi yang dibasahi embun menjadi saksi langkahan kaki Basri yang mula menapak untuk menyelesaikan tugasan. Pisau telah diasah tajam. Sebiji raga dengan isinya telah sedia untuk dibawa. Pesanan mursyid terngiang dan kembali bertandang.

​“Ini merupakan ujian. Antara amanah dengan keyakinan.”

Basri hanya mampu mengetap bibir. Dahinya berkerut – citra wajah yang kian keliru. Namun dapatkah dia menunaikan amanah seperti yang sepatutnya? Persoalan itu kian tajam menyucuk-nyuncuk kewarasannya. Ya, semua perlu dilakukan tanpa melanggar syarat yang telah ditetapkan!

Sampai di hujung simpang, langkah kakinya terhenti. Langkahan kakinya memberat tetapi tidak seberat bebanan dalam jiwa.

“Ke manakah wajar aku pergi tanpa ada siapa pun melihat perbuatanku? Perlukan aku menembus rimba pekat untuk melaksanakan amanat? Atau menunggu lewat malam menjenguk, ketika seluruh makhluk terlena oleh pukauan kantuk?” Basri bergumam keliru. Pertanyaan tanpa jawapan bertubi-tubi menerjah fikirannya. Langkah diteruskan. Di bawah sedar, kakinya menapak ke hujung kampung yang bersempadan dengan hutan.

Aroma segar kehijauan alam semakin kuat terasa ketika dia masuk ke tengah jantung belantara. Kicau burung dan jeritan lotong pun bertambah meriah. Ada sesuatu yang sukar untuk ditebaktafsirkan. Di bawah pohon beringin yang agak rimbun, dia berhenti. Pisau dikeluarkan. Basri bersedia mendepani segala cabaran yang menerjang. Direnungnya isi di dalam raga yang dibawa sejak tadi. Peluh dingin tiba-tiba membasahi belakang tubuh. Tangannya bergetar. Hatinya berdebar. Terasa ada yang memerhatikannya.

“Kamu semua mesti melakukannya tanpa ada sesiapa pun yang menyaksikan. Jika tidak, kamu akan dianggap gagal dalam ujian ini.” Amanat itu persis belati yang merapat ke rengkungnya.

Bicara mursyid kembali bertenggek di dahan ingatan. Hatinya semakin dipulas cemas. Hatinya menjadi kian was-was. Pandangan matanya berkeliaran liar ke arah daun-daun dan dahan-dahan yang bergoyang ditiup angin. Basri terasa diperhatikan. Kerling matanya menangkap kelibat orang di celah batang-batang pohon yang merapat seperti menghimpit perasaannya. Hatinya semakin berdegup laju.

Wajah ceria Helmi dengan peluh yang merenik muncul. Basri menjeling ke arah raga yang dipegang oleh Helmi. Tahulah dia, Roslan telah berjaya. Tidak seperti dirinya yang masih dibelenggu ragu dan keliru. Dia masih dibelasah resah.

“Mengapa kau masih belum lagi melaksanakan perintah mursyid? Aku sudah.” Terbentang riak kepuasan pada wajah bujur putih kuning Helmi.

​“Selepas subuh tadi lagi aku dan Syukri sudah bergerak. Sampai di tengah hutan ini kami berpecah. Aku menuju ke gua. Syukri ke arah sungai. Selepas melaksanakan tugas tadi, aku ada bertemu Syukri di tepi sungai. Dia pun telah berjaya.”

Helmi terus menjalarkan ceritanya persis akar yang membelit jiwa Basri sebelum berlalu dalam senyuman. Basri mengambil keputusan untuk pulang ke rumah sahaja. Tengah malam nanti dia akan memikirkan sesuatu, hatinya berbisik memujuk rajuk yang mengacah.

Tepat pada titik detik tengah malam, Basri menutup rapat kamar tidurnya. Lantai bilik telah dilapikkan dengan surat khabar lama. Pisau sigap di tangan. Isi raga yang dibawa ke dalam hutan siang tadi, dikeluarkan. Manusia lain tentu sudah lama terlena di peraduan, dibelai mimpi, fikirnya. Namun keyakinan Basri masih tumpul untuk menumpahkan darah. Ada sesuatu yang menghalangnya.

“Sudahkan kamu bertiga menjalankan amanat?” Suara musryid kedengaran tegas sekali.

Basri, Helmi dan Syukri duduk bersila di hadapannya. Helmi dan Syukri menyunggingkan senyuman lebar. Basri hanya menundukkan kepala. Tidak berani menatap anak mata mursyid. Terasa dirinya amat kerdil sekali seperti seekor semut di hadapan gajah yang gagah.

“Sudah tuan guru. Saya berjaya melakukannya di dalam gua, di tengah hutan. Tiada siapa di sana ketika itu.” Helmi melaporkan kejayaannya.

Mursyid diam. Riak wajah tetap tenang seperti selalu biarpun nada suaranya sebelum ini tegas.

“Kamu pula Syukri, bagaimana?”

“Saya juga berjaya. Di tepi sungai, darah telah mengalir. Saya pasti tak ada siapa yang menyaksikan.” Riak wajah mursyid tetap tidak berubah. Matanya beralih ke arah Basri yang masih separuh tunduk. Serba salah menerpa jiwa Basri. Wajahnya pucat. Tubuhnya sedikit bergetar.

“Maaf, tuan guru. Saya tak dapat melakukannya.”

“Mengapa, bukankah itu suatu arahan?”.

“Tak mungkin dapat dilakukan.” Basri berjeda, menarik nafas sebelum menghembuskannya semula.“ Saya telah mencubanya di dalam hutan. Juga cuba pada kesunyian malam. Ternyata semuanya sia-sia, tetap ada yang memandang.” Basri berusaha menjelaskan tentang kegagalannya itu.

“Siapa yang melihatmu dalam hutan yang sunyi dan malam pekat?” Mursyid menebarkan jaring duga.

“Allah tak pernah tertidur biarpun sejenak. Mana mungkin manusia dapat berbuat sesuatu, tanpa Dia mengetahui.” Jawapan Basri meluncur lancar.

Mursyid tersenyum memandang Basri dengan wajah yang penuh berseri, lalu melepaskan bicara.

“Alhamdulillah dan tahniah, Basri. Ternyata kamu telah berjaya melepasi jerat muslihat kerana sentiasa ingat, Dia maha melihat”.

Rasa syukur mengalir damai di hati Basri. Dia terkenangkan ayam kampung yang bertempiaran lari setelah dilepaskan dari raga di halaman rumahnya semalam. Dia tersenyum lega. Helmi dan Syukri dilihatnya dipinga-pinga. Ternyata mereka telah terperangkap dalam jerat muslihat. Ya, jerat muslihat. <END>

Categories
SASTERA

Sabda Hati Hitam yang Kepuraan

Dari sebatang rokok
aku bisa menembusi
ruang-ruang fizik berani
melalui jalan hitam
seberang lautan uji kaji
yang tidak bernisan
berilusikan balang fikiran Tuhan.

Kalah di meja perjudian
hanya mahukan ketenangan
yang tiada hujung noktah
lari dikain haram
hilang dalam renyai hujan
cuma kabus putih
berteman lampu kota.

Jika sekadar buih janji
jangan cuba relakan diri
tapi takut melompat dan jatuh
berteman kubur rantai alam
hanya suara keramat hutan
seakan membaham segala rusuk
yang masih bermain dalam diri.

 

Gabriel Kimjuan

Labuan

Categories
SASTERA

Baju Politik

Politik adalah
sekain janji.

Di satu hujung
manik-manik perkauman
disulam bebenang manifesto
oleh jarum sumpah.

Di hujung lain, kainnya
tercarik, bergumpal
menjadi perca ingatan.

Lalu dijahit
menjadi baju,
diraga-bangga
pada rakyat
yang telanjang.

 

Arif Zulkifli

Categories
SASTERA

Cerita Kota 10

Dia mahu jadi samsa
dalam kamar baharu
tanpa belitan darah.

Impiannya:
sebuah penthouse
di pencakar langit tertinggi
susu dan roti mentega
siap sedia terhidang
sesudah berganti kucup
gadis segar setiap pagi
setiba di pejabat jam sepuluh
pekerja berdiri di laluan merah
menagih tangga lebih tinggi
dia tidak perlu lagi gelisah
tentang hilangnya kerjaya
dialah pengatur metamorfosis
ribuan samsa dari kamar lain.

Tapi dia masih serangga
lemas dalam imago
di flat pinggir kota.

 

A’riff Mustaffa Hamzah

Categories
SASTERA

Fragmen si Tua

Oleh Sidek Rahim

Bahasa Telah Mati.

HANYA dengan tiga patah perkataan berwarna merah di atas secarik kain putih segi empat telah menjemput semangat muda Meor seusia matanya celik. Kedudukan kain tersebut betul-betul setentang dengan katil terikat pada sebatang kayu sepanjang satu setengah meter, walaupun kelihatan tersandar layu tanpa ada angin yang meniup, namun ia akan pasti terus dikibarkan di jalanan seperti hari-hari semalam.

“Pukul 9 pagi, ahh masih terlalu awal untuk bangun,” desis Meor sambil meletakkan kembali fonnya disebelah. Namun dia sedar, walaupun dia cuba untuk kembali bermimpi di atas tilam empuk, katuk gelap akan membawa sedikit demi sedikit kepalanya terawang ke dalam mimpi sedar. Ya, semua mimpinya kini dirobek kejam realiti!

Dia berjalan perlahan-lahan ke arah tingkap lalu mengintip di celah bukaan kecil cermin tingkap tersebut, kelihatan beberapa bekasan tayar dibakar yang meninggalkan besi-besi selirat dan botol kaca yang berhamburan. Di sini merupakan salah satu kawasan panas sejak bermulanya revolusi jalanan.

Meor cuba untuk membuka tingkap lebih luas, namun disebabkan terlalu lama tidak dikuak, ia tersekat dan hanya sedikit udara yang boleh melalui masuk ke dalam rumahnya menjadikan biliknya agak berbau dan terpengap. Malah dia bertambah pening apabila memikirkan wang yang semakin kurang kerana sudah berapa hari dia tidak bekerja. Namun dengan kesengsaraan inilah dia berjaya menjarakkan diri dengan dunia. Tiap keperitan yang dirasai dan tiap kesengsaraan yang dilalui menjadi saksi pada tiap darah yang mengalir.

Dia melihat sekeliling rumahnya, beberapa bekas makanan segera, buku-buku, tin-tin minuman yang kebanyakannya menjadi tempat buang abu rokok bersepah. Bila kali terakhir dia mengemas rumah, apakah selepas berlakunya revolusi? Dan adakah pengaruh buruk dari luar sedikit sebanyak mempengaruhi dirinya sendiri? Dia meninggalkan persoalan itu lalu mengambil fon di atas katilnya dan menghantar mesej kepada rakannya, “Datang sini pukul 12”.

Sambil menyalakan rokok, Meor berjalan ke arah bilik satu lagi, tempat pemprosesan gambar. Sebelum ini, ia hanya digunakan untuk pemprosesan gambar berskala kecil, untuk ruang lingkup hal-hal peribadi dirinya saja, namun apabila tulisan-tulisannya tidak lagi mampu bersuara dan difahami oleh masyarakat dan ada juga disekat oleh pemerintah, dia menggunakan medium visual untuk berekspesi. Tidak pernah terfikir perkara ini akan berjaya sebegini, hasil kerja Meor dan rakannya Musa dan Mahfuz memberi sekurang-kurangnya penglihatan baru, walaupun masih tidak jelas dan samar, namun memberi kesan penting ketika relativis penulisan tidak lagi dapat menampung makna.

Sesampainya di muka pintu, dia merenung tajam ke dalam bilik. Gelap dan kosong, semua tingkap ditutup dengan kotak dan yang ada cuma cahaya dari belakang celahan tubuh badan meor terlepas berebut masuk ke dalam. Dia berjalan terus ke meja lalu duduk. Berpuluh-puluh gambar malah mungkin beratus gambar berselerak di atas meja tersebut. Dia membelek sebuah zine foto bertajuk KAOS. Dari sebatang pen ke sebuah kamera, menculik perasaan manusia lalu dikurung ke dalam kertas. Suara baru pekikan manusia bergema di telinga setiap yang memandang. Bukan lagi teriakan zaman perang dan awal pascaperang yang hampir bisu seperti di dalam novel dan cerpen kebanyakan. Dia tidak membenci perkara itu, malah dia juga penulis dan turut menghormati mereka yang ada pada zaman tersebut, namun mengurung generasi sekarang ke dalam fantasi mereka adalah satu penghinaan.

“Jauh termenung,” tiba-tiba suara memecah sepi. Meor menoleh ke belakang lalu mengukir senyum untuk sahabat baiknya, Musa dan Mahfuz. Mereka berdua menghampiri Meor, lalu lampu meja dibuka. Mata mereka bertiga tercacap ke sebelah kiri meja, ke sebuah papan gabus yang melekat di dinding, di mana terdapat beberapa keping gambar dipinkan. Bukan itu saja, beberapa utas benang putih terikat satu sama lain di antara gambar-gambar tersebut.

Sambil menunjuk ke arah benang yang terikat di antara gambar-gambar tersebut, Mahfuz dengan jujur bertanya “Benang ini untuk apa?”

“Ia untuk memudahkan aku untuk menyusun gambar-gambar secara aritmetik ke dalam zine nanti, kau boleh anggap seperti naratif atau apa-apa saja yang memerlukan masa untuk bergerak, seperti sebuah teka-teki ruang-masa” jawab Meor sambil menyalakan sebatang rokok lagi “Aku lebih suka ia mengalir seperti sebuah cerita,yang berkaitan satu sama lain namun pada masa yang sama tidak menolak kepuisiannya,” tambah Meor lagi.

“Bagus idea ini Meor,” celah Musa. “Selain itu, struktur teknikal karya kau kali ini berbeza bukan? Maksud aku, gambar yang digunakan bukan sepenuhnya jurnalistik yang benar-benar terakam di jalanan, tetapi ada juga antaranya dilakonkan di luar set masa dan tempat yang asli, tidak seperti zine KAOS.”

Wajah Meor tiba-tiba teruja lalu bersuara “Aku ingin menukang sebuah cereka realiti dan inilah makna realiti bagi aku, apa yang kita lihat dan apa yang ingin kita lihat. Sedar dan separa-sedar. Hmm, kau faham maksud aku?’

“Perihal subjek dan objek – terbitan dari rasionalisme, empirisisme dan konstruktivisme-maksud kau? Dan antara sedar atau pun tidak, kau bukan saja merakam memori malah kau turut menanamnya” tanya Musa.

Meor mengangkat kedua-dua bahunya lalu mengalihkan pandangannya ke arah Mahfuz dan menghulur beberapa keping gambar. Mahfuz meletakkan kembali gambar tersebut di atas meja,lalu mengambil beberapa utas benang dan menyambungnya ke beberapa keping gambar di atas papan gabus-kini tiap-tiap aturan gambar tidak lagi selari, ia berselirat satu sama lain. “Aku rasa lebih baik begini, seperti yang kau cakap tadi, sedar dan separa-sedar, walaupun waktu bergerak selari tapi memori tidak, tiap gambar akan bergelut sesama sendiri dan dari pergelutan inilah tercipta ruang untuk kita bernafas dengan bebas” terang Mahfuz.

“Dan dengan simpulan bebenang halus antara memori pembaca dan karya ini, aku berharap kita dapat berkongsi rasa yang sama dan takkan diterkalahkan akan waktu sampai bila-bila”

***

Mahfuz meletakkan pen. Di sebelahnya terdapat sebuah coretan dari senaskah surat khabar tentang beberapa karya yang diharamkan oleh pihak berkuasa. Di kepalanya terakam kembali memori 20 tahun lalu, peristiwa ketika zaman mudanya bersama Meor dan Musa. Ya, kita telah berjaya! Namun simpulan tersebut telah terhurai saat kau selesa di atas singgahsana. Mahfuz memandang ke depan, kearah potret mereka bertiga, Bahasa bukan sekecil ruang antara perut dan kemaluanmu desis hati kecilnya lagi.

<END>

 

Categories
SASTERA

Hujan Berspora

Hujan menggelegak di balang cuaca

diselongkar awan

kulihat putih di mana-mana

seperti pepasir tersimbah ke corong waktu

hujan tidak pernah kecewa

menakluki lekuk sunyi

biar gelap dan terang

berspora bawang payung cinta

menanti musim menumbuh

kerana hujan itu bukan kekasih awal dan akhir

datang dan pergi berkalih setia

bumi mana tidak ditimpa hujan!

 

Siti Zaiton Ahmad

Pinggiran Tapah

Categories
SASTERA

Kain pelikat abah

Oleh Muhammad Fareed

ABAH selalu menjadi penghalang sewaktu aku hendak bersenggama dengan ilham. Setiap kali Maghrib, sewaktu ilham baru saja muncul, abah akan menerjah masuk ke dalam bilikku untuk bertanyakan tentang kain pelikatnya. Selalunya kain pelikat itu memang ada terselit dalam timbunan pakaianku di almari. Aku tak tahu bagaimana ia boleh tersesat. Tapi aku syak ada kaitan dengan ibu ataupun kak long.

Kerja melipat pakaian kerja ibu. Kadangkala kerja kak long. Semenjak jatuh sakit, ibu tidak larat lagi untuk melakukan kerja itu. Berjalan empat lima langkah pun dia tidak mampu. Masanya banyak dihabiskan dengan terbatuk-batuk di atas katil. Tanpa mengira masa; batuknya pasti akan melantun dari dalam bilik walau pada lewat malam sekalipun.

Sejak itu, kak long yang mengambil alih tanggungjawab melipat pakaian. Dek kekangan kerja, biasanya kak long akan melipat pakaian sama ada pada waktu malam atau hujung minggu. Pakaian pada hujung minggu biasanya bertimbun-timbun. Pakaian yang dikumpulkan untuk seminggu. Jadi, tidak mustahil boleh berlakunya kecelaruan dalam asingkan pakaian-pakaian itu. Lagipun, kain pelikat selalunya memiliki corak yang lebih kurang sama. Pasti sukar untuk kak long menentukan mana satu kain pelikat aku, mana satu kain pelikat abah.

Tak mahu mencetus pergaduhan, aku diamkan saja perkara itu. Sehinggalah pada suatu senja, sewaktu sedang melihat timbunan pakaian di atas sofa, aku dapat merasakan petanda kehadiran ilham agung. Otakku ligat berpusing memproses ilham itu masuk ke ruang fikiran. Tanpa berlengah, aku bergegas masuk ke dalam bilik; bersiaga di meja tulis dengan sebatang pen dan sebuah buku nota.

“Pit, nampak kain pelikat abah?”

Seperti biasa, ilhamku itu hilang serta-merta. Sambil berkemban tuala, abah menyeluruhi bilikku dari muka pintu. Selang beberapa saat, dia melangkah masuk dan mencapai kain pelikatnya yang terselit dalam celahan pakaian di almari. Untuk pengetahuan kau, almari aku memang tidak bertutup. Pintu gelangsarnya telah pecah beberapa tahun dahulu kerana ditumbuk-tumbuk aku apabila stres. Jadi, segala pakaian di dalam almari itu dari muka pintu.

Malam itu, sewaktu sedang terbaring merenung siling, aku mendapat satu idea. Hanya ada satu cara untuk menghalang abah daripada meragut ilhamku: memastikan kain pelikatnya tiada di dalam bilik dan mengunci pintu ketika hendak bermesra dengan ilham.

Keesokan harinya, seawal jam enam petang lagi aku sudah keluarkan semua kain pelikat abah. Semuanya aku letakkan di atas sofa ruang tamu. Menjelang jam tujuh, aku masuk ke dalam bilik dan duduk di meja tulis menanti ilham. Pintu ditutup dan dikunci. Aku yakin, abah pasti tidak akan menggangguku lagi. Malangnya…

Klak. Klak. Klak.

Tuk! Tuk! Tuk! Tuk!

“Kau buat apa kat dalam ni?” tanya abah sejurus pintu dibuka.

“Tak pernah-pernah pulak kunci bilik.”

“Tak buat apa-apapun. Abah nak apa ni?”

“Kau jangan macam-macam. Maghrib ni. Kau buat benda tak senonoh eh?”

“Mana ada buat benda tak senonoh. Kan orang tengah menulis ni.”

Abah berdecit.

“Baik kau ikut abah pergi masjid. Daripada duduk terperap dalam bilik ni, dapatlah jugak kau kumpul pahala.”

Aku hanya mendiamkan diri kerana malas melawan. Abah berlalu pergi apabila tidak melihat kelibat kain pelikatnya di dalam almari.

Sejak hari itu, motivasiku untuk menulis merudum bagaikan sungai mengalir deras. Tiada seorang pun pernah memandang serius dengan minatku. Aku tahu itu. Baik abah, ibu ataupun kak long; semuanya menganggap menulis itu suatu kerja yang sia-sia dan tidak menguntungkan. Disebabkan itu, mereka tidak pernah berminat langsung membaca hasil tulisanku.

Berhari-hari aku berhenti menulis semenjak dituduh melakukan perkara tak senonoh oleh abah. Masaku banyak dihabiskan dengan menonton TV, menjaga anak buahku secara percuma, dan membaca buku jika lapang. Biasanya sukar mencari waktu lapang. Melayan kerenah anak buahku lebih memenatkan daripada berjoging di taman rekreasi. Jika dia tertidur kepenatan, aku pun akan terjerumus sama.

Sepanjang tempoh tidak menulis, abah tidak pernah sekalipun masuk ke dalam bilikku untuk mencari kain pelikatnya. Menjelang Maghrib, dia akan keluar dari bilik siap berbaju Melayu dan berkain pelikat. Selepas meletakkan kopiah di atas kepala, dia akan keluar ke masjid dan pulang selepas Isyak.

Pada suatu petang, ketika aku sedang duduk termenung di muka pintu, abah datang dan mengatakan sesuatu yang di luar jangkaan.

“Lama tak nampak kau duduk dalam bilik.”

Kalau nak diterangkan, memang panjang ceritanya. Silap-silap boleh mencetuskan pertengkaran. Jadi aku memilih untuk berdiam diri dan teruskan termenung menatap langit petang berwarna pastel.

“Abah mintak maaf pasal hari tu,” ujar abah dengan nada bersalah. Abah tak patut marah kau macam tu.”

Aku hanya mendiamkan diri. Aku tak sukakan situasi sentimental. Lebih-lebih lagi bila melibatkan ahli keluarga sendiri. Perasaannya terlalu janggal.

Beberapa hari kemudian, aku memutuskan untuk menulis semula. Menjelang senja, aku bergegas masuk ke dalam bilik untuk menjalankan ritual mengorek ilham. Aku tahu abah tidak akan mengganggu. Sudah beberapa hari dia tidak masuk ke bilik untuk mencari kain pelikatnya. Selepas mengunci pintu, aku duduk di meja tulis sambil menghadap halaman kosong di dalam buku nota. Pen dipegang sekemas-kemasnya. Sebaik saja mata pena mencium permukaan kertas…

Klak! Klak! Klak!

Tuk! Tuk! Tuk! Tuk!

Ilhamku sekonyong-konyong hilang. Dari luar, teriakan abah berpusu-pusu menujah gegendang telinga. Pen diletakkan. Buku nota ditutup. Tatkala bangun untuk membuka pintu, mataku tertancap pada sesuatu di pinggir katil. Sehelai kain pelikat bercorak kotak-kotak terlipat tenang di situ. Bukan kain pelikat aku. Tapi kain pelikat abah.

Categories
SASTERA

Perbualan tentang jati diri lukisan

Oleh Abdullah Jones

Kejahilanlah sebenarnya yang membuatkan saya ingin berbual dengan pelukis ini.

Saya tertarik dengan subjek dalam siri lukisan abstark pelukis Norlisham Nor. Beliau memilih squatters atau setinggan sebagai tema dalam kebanyakan karyanya. Berasal dari Singapura tetapi beliau kini menetap di Kuala Lumpur. Itulah yang saya hairankan, bagaimana seseorang yang berasal dari sebuah kota metropolitan yang gah memilih setinggan sebagai subjek.

Kejahilan saya mengenai hal ehwal sebenar Kota Singa membuatkan melanjutkan rasa ingin tahu. Mengapa seniman ini menjadikan rumah haram sebagai saluran untuk meluahkan rasa seninya.

Berikut adalah cerita dari mulut beliau sendiri mengenai mengapa beliau memilih subjek berkenaan.

Saya dilahirkan di Kampung Wak Tanjong, Kallang, kampung setinggan di Singapura. Sebab itu setinggan menjadi subjek utama dalam karya saya.

Dalam tahun-tahun 70-an, masih banyak setinggan di sana. Sama seperti setinggan di mana-mana dan di kawasan setinggan inilah saya belajar mengenali kehidupan.

Sebenarnya setinggan di Singapura sama seperti setinggan di tempat lain — keluarga besar tinggal berhimpit dalam sebuah rumah yang asal ada — berteduh dari hujan dan panas serta tempat merehatkan badan setelah penat bekerja.

Kalau dilihat karya-karya saya, hampir semuanya menggunakan warna kusam. Memang agak tidak menarik pada mata umum tapi saya mahu mengekalkan semangat ‘buruk’ binaan rumah-rumah segera siap ini. Saya mahu true kepada keadaan sebenar tanpa perlu dihias atas kanvas. Inilah jati diri anak setinggan yang mahu saya kekalkan dalam karya.

Mungkin jika saya berkarya hanya kerana mahu menarik minat pembeli, boleh saja saya mencantikkan karya tetapi itu bukan perkara jujur sedangkan jujur dalam berkarya sangat penting. Apa yang dihasilkan dari hati sendiri pasti juga mengusik hati (orang lain).

Masa awal Pasar Seni Kuala Lumpur dulu saya masih di Singapura selalu berulang-alik ke Kuala Lumpur bertemu kawan-kawan. Seorang kawan yang melukis di Pasar Seni telah meminta saya menghasilkan karya sebagai hiasan belakang kedainya yang kelihatan kosong.

Setelah lukisan itu siap, saya pun berikan kepada beliau. Melalui beberapa panggilan telefon beliau memberitau ada seorang budak lelaki yang kelihatan tidak terurus datang setiap hari untuk melihat karya tersebut.

“Dia penat berdiri, dia duduk. Penat duduk dia berdiri,” kata kawan empunya kedai kepada saya.

Bertahun-tahun lamanya pemuda berkenaan datang ke kedai kawan saya hinggalah pada suatu hari – saya datang dari Singapura dan kebetulan pemuda itu sedang asyik memandang karya berkenaan.

Sebelum memperkenalkan diri sebagai pelukis karya tersebut, saya bertanya mengapa beliau setiap hari datang untuk melihat lukisan itu? Beliau mengatakan karya itu seakan-akan bercakap dengannya. Memberitahu seribu macam cerita dan lukisan itu sangat menenangkan jiwanya, saya lalu menghadiahkan karya tersebut kepadanya.

Tidak dapat dibayangkan betapa gembiranya beliau. Dikeleknya lukisan itu sebagaimana seorang ayah yang berjalan bangga bersama anaknya.

Setelah beberapa tahun, saya mendapat panggilan telefon dari kawan yang berniaga di Pasar Seni. Beliau mengatakan ada seseorang mahu bertemu dan setelah janji dibuat, saya pun ke Kuala Lumpur.

Seorang lelaki yang agak tegap dengan rambut dipotong pendek tersenyum kepada saya dan memperkenalkan diri sebagai Sufian. Saya tidak mengecam beliau sehingga Sufian memberitahu yang beliaulah pemuda yang sering datang melihat karya saya dulu.

Menurut beliau, setelah membawa pulang lukisan itu beliau seolah-olah mendapat kekuatan baru dan mula meninggalkan tabiat sia-sia lalu mendaftar diri sebagai seorang tentera.

Perubahan diri beliau dari seorang penagih dadah kepada seorang tentera adalah suatu hadiah yang tidak ternilai harganya.

Sufian berkeras mahu membayar harga lukisan berkenaan namun saya menolak. Cuma saya meminta beliau belanja saya kari kepala ikan di kedai mamak di bahagian atas Pasar Seni.

Setelah menamatkan pengajian seni halus di Nanyang Academy of Fine Art di Singapura, beliau memulakan karier sebagai pereka grafik. Apabila syarikat tempat beliau berkhidmat membuka cawangan di Kuala Lumpur beliau menawarkan diri untuk datang bertugas di sini.

Kemudian beliau meletak jawatan di syarikat tersebut dan mula bertugas sebagai pensyarah seni grafik di Institut Seni Malaysia ( MIA).

Beliau menjadikan melukis sebagai kerjaya kedua dan kini sangat aktif dalam berpameran.

Mengenai mengapa pelukis malaya amat sukar untuk menembusi pasaran antarabgsa, ini kata beliau:

Pelukis kita kurang jati diri. Kita tidak mahu berbangga dengan apa yang kita ada. Kita lebih suka meniru kerja-kerja seniman luar yang pada pandang kita telah berjaya tetapi kita lupa bahawa mereka mengukir nama sebab kuatnya jati diri mereka kepada ehwal negara mereka sendiri.

Kita juga masih menaruh harap kepada bantuan dari banyak pihak sambil tidak mahu berkerja keras dalam mempromosi hasil kerja kita. Kita terlalu mengharapkan kerajaan, mengharapkan galeri dan sebagainya sedangkan dengan adanya perhubungan tanpa batas hari ini, kita sepatutnya boleh melakukannya sendiri – jika kita mahu.

Malangnya, kita lebih senang berkeluh-kesah kononnya tidak mendapat dorongan dari pihak berwajib.

Ketika beliau berusia 12 tahun beliau pernah menaiki keretapi api seorang diri ke Kuala Lumpur untuk melihat sendiri karya-karya pelukis terkenal Malaya.

Beliau menaiki kereta api Senandung Malam dan tiba di Kuala Lumpur pada awal pagi. Ketika itu, Balai Seni Negara terletak betul-betul bersebelahan bangunan stesen kereta api.

Sejurus sampai, beliau pergi ke Balai Seni Negara dan menaiki pula kereta api Senandung Malam dari Kuala Lumpur untuk pulang ke Singapura setelah selesai menyaksikan pameran di balai seni berkenaan.

Dua pameran besar yang pernah beliau hadiri ketika berusia antara 12 dan 14 tahun ialah pameran seniman terkenal Latiff Mohidin dan Ibrahim Hussien.

Emak saya tak sedar pun saya hilang. Kami sebelas adik beradik, hilang satu dia tak perasaan, katanya sambil ketawa.

Apabila ditanya mengenai harapan masa depan beliau dalam berkarya, beliau menjelaskan yang cita-cita besarnya hanyalah karya-karya beliau dapat menyentuh naluri mereka yang melihatnya. Jika pun mereka tidak memilikinya sekurang-kurangnya mereka menghargai.

Saya melukis kerana Tuhan. Tentu sekali saya mahu ia diterima Tuhan katanya, mengakhiri perbualan kami.