Categories
SASTERA

Pleksus, ibu dan delirium

Oleh Ani Aziz

DALAM arus kesedaran, di luar hujan dan petir membelasah Kuala Lumpur semahu-mahunya. Aku mainkan album Sepultra, Machine Messiah untuk berikan ambien tenaga dalam suasana yang depressing ini.

Duit gajiku sudah habis. Aku terasa nak ketawa, tetapi bila fikir balik untuk siapa? Ketawakan diri sendiri? Huh, itu terlalu sinikal. Aku muak dengan masyarakat moden yang sinikal ini. Mereka semua adalah kutukan zaman. Kayu, daun, atau biji kelapa dalam arus zaman yang mengalir. Fatalis. Obsesif. Kompleksiti.

Aku bangun dan berdiri melihat badanku di cermin. Cengkung. Luka di dadaku belum kering. Aku menyentuhnya dengan jari dan melekit. Darah itu aku lapkan dengan tisu. Ia luka yang dah lama di badanku. Aku tak tahu apa-apa tentangnya. Bila aku bangun suatu pagi, ia ada dan tak pernah sembuh. Kering, berdarah kembali, dan begitulah sehingga kini.

Aku sarungkan sweater Adidas klasik merah keluaran Jerman Barat tahun 80-an. Rambutku kelihatan serabai dan aku betulkannya sedikit. Cuaca sejuk dan buatkan aku ingin keluar, dapatkan secawan kopi dan merokok di kedai mamak berhadapan flat. Aku matikan alat muzik. Rumah kembali jadi sunyi. Lampu ditutup. Dan bila aku hendak keluar, dan tutup pintu, aku dapat rasa satu hembusan nafas. Ada gelombang dalam kegelapan ini. Ia datang dari sudut yang paling gelap, berdekatan almari  pakaian. Aku tak pedulikannya.

Pelanggan kurang ramai di kedai mamak. Beberapa pekerja sedang berbual sesama mereka. Aku pilih untuk duduk di kawasan luar untuk dapatkan udara merokok. Salah seorang pekerja, lihat aku. Dia tersenyum aneh.

Aku minta kopi panas. Dia angguk. Dia pergi menekan sesuatu di monitor eletronik dan seterusnya ada pekerja lain yang hantar. Pekerja itu letak dan juga beri senyum aneh sebelum berlalu pergi. Aku mengesyaki sesuatu, tetapi persoalan abstrak sebegini tidak akan memberikan jawapan yang objektif.

Di meja depan, seorang lelaki pertengahan 30-an, memakai jaket khaki berwarna kelabu, jenis berwajah tipikal revolusioner, sedang berbincang serius dengan seorang kanak-kanak lelaki sekitar 11 tahun. Ia menarik perhatianku untuk mencuri dengar perbualan mereka.

Perbualan mereka agak rawak dan melompat-lompat. Aku hanya tangkap beberapa kata kunci yang jelas,: genesis, fear culture, paradox nature, homosex, anti-migran, Victorian.

Aku beri tumpuan pada perbincangan mereka, namun budak lelaki itu sedar aku sedang mencuri dengar perbualan mereka. Dia pandang tajam padaku. Aku hanya terpaku. Di dalam mata hitamnya, ada satu bebola putih, dan ia seolah-olah mengunciku di tempat dudukku. Dia buka mulutnya: Anjing hitam/korban/setan-bertempik/hujan terbalik/hatihari.

Perkataan itu mengetarkanku. Ia meresap dan mencengkam hatiku. Aku terasa lemah dan hendak muntah. Kesan luka di dadaku terasa ngilu secara tiba-tiba. Kesakitan ini menyeksaku. Aku segera bangun. Apa yang aku fikirkan sekarang adalah untuk ke tandas. Aku perlu muntah, periksa luka di dadaku atau basuh muka sekarang ini.

Aku bangun dan berjalan lemah untuk ke tandas, melintasi budak lelaki yang masih renungku tajam. Auranya kuat. Lelaki berwajah revolusionis hanya merokok dan ketawa sambil geleng-geleng kepala sahaja. Aku tangkap imejnya dari hujung mata.

Dalam tandas kubikel. Ada tisu dalam mangkuk yang belum diinjap. Juga kesan contengan di dinding yang beri efek lebih kotor. Dari kata-kata lucah, rasis, iklan tenaga batin dan kritikan politik. Dunia di dalam tandas vulgar tapi jujur.

Aku basuh muka. Air meresap ke dalam liang roma. Terasa lebih sejuk.

Aku cuba buang muntah yang ditahan namun yang keluar hanya angin dan rasa mual.  Di dalam cermin nampak wajahku yang pucat. Luka di dadaku yang berdenyut segera aku periksa dengan menyelak baju. Ia makin menyakitkan. Tempat yang sakit itu aku beri tekanan, dengan harapan ia akan hilang. Bila ditekan, ada ulat keluar, sejenis ulat Hag, yang bentuknya sangat jijik. Ia buat kupanik. Aku tarik sebanyak mungkin tisu-tisu yang ada dan genyehnya dari badanku. Apa yang telah terjadi?

Figur budak lelaki tadi muncul di dalam cermin. Bila aku amati kembali, ia terus hilang. Aku rasa nak menjerit. Menjerit pada ketidakberdayaanku. Keterasingan. Kutukan yang ngeri. Tak ada sesiapa yang boleh kuhubungi. Aku perlu pulang. Pulang ke pangkuan ibu. Kembali selamanya jadi anak kecil.

Lelaki dan budak kecil itu telah tiada bila aku keluar dari tandas. Ada kesan kopi tumpah dan habuk rokok di meja. Aku ke kaunter dan bayar harga kopi. Pekerja itu ambil duitku dan pulangkan baki. Buat masa ini, apa yang ada dalam fikiranku sebuah katil. Aku ingin tenggelam di dalamnya.

Perempuan berpurdah keluar dari Seven Eleven. Tangannya memimpin budak lelaki 11 tahun yang kutemui di kedai mamak tadi. Mereka menghalang langkahku. Dia menyingkap purdahnya. Terpacul taring hitam. Budak lelaki itu ketawa nyaring melihat aku pucat. Aku lari sekuat hati pulang ke rumah.

Aku kunci pintu. Ambil meja dan menghadangnya. Hari yang teruk. Aku nyalakan lampu. Ibu sedang berada di sudut almari yang gelap tadi. Ia mengejutkan, ibuku telah lama hilang selepas diceraikan ayah. Wajahnya tidak berubah semenjak kali terakhir aku jumpa dengannya 25 tahun dulu.

Dia minta aku tanggalkan pakaian. Aku menuruti permintaanya. Dia arahkan aku baring di atas katil. Ibu meneliti dan mengusap kesan luka. Ada genangan pada air matanya. Bapa telah tikam aku dengan pisau pemotong dapur semasa mereka bergaduh, kata ibu. Ibu larikan diri selepas kejadian itu.

Aku masih ingat. Kali terakhir memoriku dengan ibu ketika ibu membawaku keluar untuk membeli mi segera di Seven Eleven.

Categories
SASTERA

Kuasa sebuah cerita

Oleh Abdullah Hussaini Mohd Ghazali

CERPEN membesarkan kita dan kita dibesarkannya. Daripada cerita-cerita yang pernah kita dengar, kita mengutip banyak hal baik pengajaran, hiburan, atau pengalaman silam. Ada yang kata cerpen lebih awal disebar luas di Amerika; ada yang kata ia berakar di Jepun. Tapi, saya yakin cerpen lebih awal lagi daripada itu menjangkau ke peringkat pratamadun sesuatu bangsa. Kita boleh mengambil contoh bagaimana susunan kisah-kisah di dalam Sulalatus Salatin atau Hikayat Hang Tuah.

Kedua-dua khazanah penting bangsa kita itu bukan berbentuk seumpama novel yang menyatukan cerita atau bersifat berangkai tetapi lebih berbentuk kumpulan cerita. Ia memperisakan sejarah bangsa dengan magis, jenaka serta permainan bahasa indah. Sebab itu, dalam Sulalatus Salatin kita dapat menemui kisah ular Saktimuna, Badang yang gagah, adik-beradik cantik Wan Empuk dan Wan Malini, Sang Sapurba, kerajaan Melaka, Tun Teja dan serangan Feringgi.

Sebelum kita terlebih dulu membaca Sulalatus Salatin dalam bentuk buku, saya percaya sebahagian besar daripada kita diwarnakan dengan cerita-cerita ini daripada mulut emak atau nenek kita pada waktu-waktu tertentu seperti sebelum tidur, contohnya. Dan dengan cerita-cerita itulah, yang berskala pendek, menyusup imaginasi di kepala dan membina bangunan tidur.

Sebahagian besar masyarakat membudayakan sesi cerita sebelum tidur atau bed time story. Perkara itu bukan sekadar bertujuan memudahkan seseorang kanak-kanak untuk tidur tapi ia turut dianggap sebagai suatu hal keintiman keluarga dan pengisian masa yang berkualiti. Banyak filem atau drama terutamanya dari Barat yang memaparkan babak sedemikian. Tidakkah yang diceritakan kepada anak sebelum tidur berupa cerita pendek?

Kebiasaannya cerita-cerita yang kita dengar sewaktu kecil penuh dengan pengajaran tapi disulamkan dengan pengembaraan, magis dan juga keseronokan. Cerita-cerita tersebut mengisi ruang imaginasi kita dan menggerakkan roda keseronokan untuk menuju kepada sikap keyakinan diri, kepercayaan kepada kebolehan serta keyakinan kepada kebaikan. Dengan nilai moral yang disisip secara tidak langsung cerpen membesarkan seorang manusia dengan kemanusiaannya tersendiri. Begitulah hebatnya kuasa sesebuah cerita. Begitulah hebatnya gubahan cerpen.

Ada banyak sebab mengapa kita suka kepada cerpen. Antaranya kerana ia pendek. Pada zaman yang singkat pada waktu dan terikat pada tubuh jadual kerja, tidak ramai yang mendedikasikan masanya untuk membaca buku. Namun, lain ceritanya dengan cerpen. Kerana tempoh bacaan cerpen tidak memakan masa yang lama; maka cerpen masih ditulis dan dibaca. Dengan kemunculan internet, cerpen terus berkembang dan nampaknya tidak berhenti. Laman web Cukaria sebagai contoh, menerbitkan cerpen tiga kali seminggu. Begitu juga Selangor Kini, Jalan Telawi, Portal Ilham, I Am Lejen dan banyak halaman Facebook penerbit buku yang turut menerbitkan cerpen daripada penulis mereka sebagai strategi mengikat pembaca.

Malah dengan adanya aplikasi Wattpad dan Novel Plus, ribuan penulis lahir dan setiap hari banyak cerita baru tersangkut di muara internet. Cerpen boleh dibaca semasa berdiri di dalam gerabak MRT, menunggu ketibaan Grab atau di dalam bas ekpsres sewaktu pulang ke kampung. Kita tidak perlu terikat dengannya seperti novel yang mengerah masa lebih panjang untuknya. Kata Lorrie Moore, “cerpen adalah percintaan dan novel ialah perkahwinan.” Perumpamaan itu adalah gambaran tepat terhadap perbezaan cerpen dengan novel dari segi kapasitinya; idea, kepanjangan dan tempoh bacaan.

Selagi ada manusia selagi itulah adanya cerita, adanya cerpen. Dan kepesatan internet, perkembangan aplikasi laman sosial, memberi kita aneka pilihan cerpen. Yang membezakannya adalah berkualiti atau tidak. Dan satu lagi faktor juga adalah populariti si penulisnya. Prof Emeritus Muhammad Haji Salleh dalam eseinya menulis, sekarang adalah zaman setiap orang berasakan dirinya penting dan perlu menuliskannya. Jadi, diari bukan menjadi perbuatan rahsia lagi. Dengan kemajuan internet, semua orang diberitahu ke mana kita pergi, makan, minum, siapa pasangan kita dan selalu juga meluahkan perasaan diri.

Dengan corak sebegini, sempadan realiti dan fiksyen menjadi terlalu nipis. Kadangkala segala yang kita baca di ruangan hantaran Facebook atau ciapan Twitter terasa seperti fiksyen. Apakah ia jatuh dalam kategori fiksyen atau sekadar cerita sebenar yang ditokok tambah? Hal ini menjadi persoalan baharu tentunya. Sementara itu di sisi lain, genre autofiksyen makin berkembang. Apakah ia tempias daripada kepesatan internet? Tiada jawapan yang pasti.

Tetapi, bagaimanakah realitinya cerpen dalam bentuk buku? Kalau di ruang maya genre itu mendapat sambutan menggalakkan dan ramai pembacanya, justeru kita menyangka tentulah juga dengan jualan buku himpunannya. Namun, banyak tulisan melaporkan betapa antologi cerpen gagal di kedai-kedai buku. Lebih banyak novel terjual dan terpamer di rak.

Di Malaysia sendiri situasinya menyedihkan. Baru-baru ini, ITBM yang banyak menerbitkan kumpulan cerpen khabarnya tidak akan menerbitkan lagi karya asli penulis tempatan. Syarikat popular Buku Fixi juga tidak lagi meneruskan lpenerbitan antologi Cerpen Terbaik yang dimulakan sejak 2014 kerana sambutan tidak memuaskan. Malah penerbit ranggi, Roman Buku yang banyak menerbitkan kumpulan cerpen pada 2017 juga berura-ura untuk tidak menerbitkan lagi kumpulan cerpen walaupun buku-buku mereka berkualiti belaka. Kita boleh katakan majoriti penerbit mengalami kemerosotan jualan dan orang ramai juga boleh beri seribu sebab mengapa mereka tidak membeli buku. Namun buku yang menghimpunkan cerpen memang tidak diminati walau ketika situasi ekonomi kita kukuh sekalipun.

Saya percaya ini sikap pembaca sendiri yang lebih suka tinggalkan keseronokan membaca cerpen itu di ruang lain. Dan ini bagi saya berkait rapat dengan fikiran pembaca bahawa cerpen itu sekadar sebahagian daripada ruang lain yang menempatkan berita, rencana atau iklan. Saya tidak fikir akan adanya penyelesaian yang benar-benar tuntas untuk melariskan sesebuah buku cerpen. Kalau hendak bercakap tentang strategi pemasaran, banyak sudah yang diperkatakan dan dilakukan oleh ramai pihak.

Mungkin jawapan paling biasa kita dengar, ia berakar dari budaya pendidikan baik di rumah atau di sekolah. Betapa budaya membaca dan mengenal penulisan yang baik itu perlu sentiasa disegarkan seiring perkembangan zaman dan menitikberatkan nilai-nilai kemanusiaan. Tanggungjawab ini dipikul penulis dan penyunting yang peka, tentunya. Jika tidak, kita, pembaca, sekadar membesar dan tidak didewasakan oleh cerpen.  

Categories
SASTERA

Bicara secangkir kopi O

Tamu di pekan fana
menghirup debar
secangkir kopi O
meresap perlahan
pekat getirnya;
hujah pun bermula.

Di atas meja impi
meneguk pahit
perisa cerita
bicaranya isu semasa
tika uncang semangat
berkocak di piring tabiat.

Secangkir kopi O
tidak semanis madu
namun, rasanya asyik
di bibir yang tak serik;
kami saling hormat
walau selisih pendapat
di hujungnya tetap berjabat.

Kata pak tua;
bicara teman kopi O
tak pernah gusar dan gentar
kerana wanginya
meresap ke dalam jiwa
penghujah tua seperti kita.

Menghirup secangkir kopi O
kami bermusyawarah
tidak menjemput Tuah
kami berdebat
tidak mengundang Jebat;
hanya mencongak politik canggung
dan kami beruntung
tidak tersandung
di pentas condong.

 

Shamsul Idzam Jamil
Kuching, Sarawak

Categories
SASTERA

Seperti apakah rasanya pizza?

Oleh Haniff Yusoff

 SAYA masih terkenangkan kata-kata Naim suatu ketika dahulu, di bawah pohon jambu air yang selalu sahaja membasahkan tekak kami selepas lelah berkejaran ke sana-sini mengisi perwatakan sebagai kanak-kanak. Kata Naim, “pohon jambu air ini selalu menemani petang hari kita dan pohon jambu air ini sudah merakam beribu-ribu, mungkin berjuta-juta patah kata yang kita luahkan.” Saya menganguk, mempersetujui kata-kata Naim ketika itu. Memang benar, pohon jambu air ini bukan sekadar berbudi menghilangkan kehausan kami, malah pohon jambu air ini menjadi saksi segala perbualan kami tentang kesukaan kami, tentang ragam rakan-rakan di sekolah kami, tentang gelisah kami hendak ke kelas mengaji dan juga tentang tulus persahabatan kami.

Naim ialah watak sahabat baik saya ketika saya dalam lingkungan usia lima hingga tujuh tahun sebelum Naim sekeluarga berhijrah meninggalkan desa kami. Setiap kali berada di bawah pohon jambu air yang begitu nostalgik ini, segala percakapan Naim kembali menemani. Saya terasa Naim masih ada, menunggu saya di bawah pohon jambu air pada setiap petang dan ketika saya betul-betul merindukannya, Naim hadir tanpa jasad menuturkan bait-bait nasihat. Sebetulnya, saya lebih muda daripada Naim dan selalunya Naim akan bertindak sebagai seorang abang yang suka melarang dan juga melindungi.

Pada suatu petang, Naim tidak muncul-muncul di bawah pohon jambu air yang kian merimbun dengan buah-buahnya. Saya tahu Naim tidak keluar ke mana-mana apatah lagi seliparnya tersusun kemas di ruangan rak kasut. Kereta Volvo putih milik ayahnya juga ada diparkir di sisi rumah mereka.

Saya mengintai keadaan ruang tamu rumah Naim dari atas pohon jambu air secara tidak sengaja. Ketika sedang menikmati jambu air yang tidak pernah kami jemukan, saya melihat kelibat Naim dan keluarganya sedang menikmati pizza di ruang tamu rumah mereka. Dan ketika itu, saya pun tertanya-tanya dalam hati bagaimanakah rasanya makanan yang dipanggil pizza itu? Saya tidak berlama-lama bergayut di atas pohon jambu air, lalu bergegas pulang mencari jawapan.

Ketika sedang mandi sebelum waktu menginjak Maghrib, dan ketika air pun menyiram seluruh tubuh, saya masih terfikir, bagaimana rasanya pizza. Persoalan yang satu itu berlegar-legar di dalam fikiran tanpa sudah sehinggalah saya terdengar suara ibu dari dapur yang menyuruh saya segera menghabiskan mandian, memandangkan azan Maghrib sudah berkumandang. Saya lekas-lekas bersiap, menyimpan persoalan sedari petang itu dalam kocek baju Melayu saya.

Mata saya tidak berkedip memandang siling asbestos di dalam bilik. Bunyi dengungan angin dari kipas betul-betul dapat didengari telinga capang saya. Suasana malam yang begitu aman, tetapi fikiran saya masih tidak tenteram. Saya masih memikirkan bagaimanakah rasanya pizza. Adakah rasanya seperti mi goreng yang dijual di Restoran Mee Abu yang terletak di Jalan Sultanah, Alor Setar?

Saya lihat ibu belum tidur dan sedang membaca surat khabar di ruang tamu, saya terus mendapatkan ibu. “Ibu, pizza tu rasanya macam mana ya?”

“Harga pizza tu mahal, nak. Orang kaya-kaya sahaja yang memakannya.”

Keesokan harinya, saya ke sekolah bersama Naim seperti biasa. Saya akan menumpang basikal yang ditunggangi Naim. Sejak Naim mempunyai basikal, saya tidak perlu lagi berkejar-kejar untuk ke sekolah pada awal pagi. Naim akan mengayuh dengan tidak terlalu laju dan kami menikmati udara pagi yang dingin yang mengusap-ngusap wajah kami.

Ketika Naim asyik mengayuh basikal, saya bertanyakan soalan yang begitu mengganggu kehidupan saya sehari dua itu. “Naim, pizza tu rasanya bagaimana ya?”

Naim tidak memberikan jawapan, sebaliknya mengayuh basikal dengan lebih laju. Kami ke kelas masing-masing dan persoalan saya bergentayangan di mana-mana tanpa sebarang jawapan. Naim melangkah laju menuju ke bangunan kelasnya, dan saya mengatur langkah bertentangan dengan Naim memadangkan kelas saya berhampiran sahaja dengan bangsal tempat meletak basikal pelajar.

Ketika loceng berbunyi nyaring, saya nampak kelibat Naim dari jendela. Naim lekas-lekas mengayuh basikal meninggalkan perkarangan sekolah. Ya, Naim meninggalkan saya dengan mata terkebil-kebil, yang masih berada di dalam kelas.

“Adakah Naim marah tentang pertanyaan saya pada pagi tadi?”

“Naim sudah mempunyai sahabat baharu, lalu memilih untuk melupakan saya yang tidak pernah merasai keasyikan menikmati pizza?”

Begitukah? Syaitan menghasut saya dengan bermacam prasangka ketika saya mengatur langkah satu persatu pulang ke rumah.

Petang itu, saya juga tidak nampak kelibat Naim, basikalnya juga tiada. Saya seakan-akan mahu mengeyakan segala anggapan yang kian tumbuh melata di kepala. Mungkin Naim sudah mempunyai sahabat baharu dan pohon jambu air yang memayungi saya ini hanya kenangan yang menjadi perhiasan dalam muzium memori.

Ketika saya betul-betul hendak meninggalkan pohon jambu air dengan segala kepasrahan, Naim memanggil nama saya dengan begitu kuat dari kejauhan.

“Anep, jom kita makan pizza!”

Saya betul-betul terkedu. O Tuhan, saya berdosa mendengar bisik-bisik syaitan. Sebenarnya, selepas waktu persekolahan, Naim mengayuh basikalnya menuju ke pekan kerana  mahu melihat harga pizza yang ada. Kemudian, Naim terus pulang ke rumah dan mengambil duit tabungnya untuk kembali ke pekan dan membeli pizza. Petang itu, kami menikmati pizza bersama-sama di bawah pohon jambu air. Hati saya terasa sebak, saya tahu bukan kerana akhirnya saya dapat menikmati Pizza, tetapi kerana Tuhan yang Maha Baik mengirimkan seorang abang yang baik kepada saya.

Setelah berbelas-belas tahun, pohon jambu air ini masih ada, cuma tidak seperti dahulu merimbun dengan buahnya. Saya kembali ke sini dan terkenangkan Naim yang mungkin masih mengingati saya atau sudah melupakan saya. Saya tidak pasti, kerana saya sudah tidak lagi menghubunginya, apatah lagi bertemu dengannya selepas Naim sekeluarga berpindah.

Kalaupun seorang Naim membaca narasi ini, ketahuilah bahawa persahabatan kita lebih terasa nikmatnya sekalipun jika dibandingkan dengan pizza yang tersedap di dunia. Saya benar-benar merindukan kebaikannya!

Categories
SASTERA

Lelaki dan sekawan burung putih (ii)

Pagi menggelingsir
di dalam gebar seorang lelaki
ketika sekawan burung putih
telah jauh menerbangkan mimpi
ke dunia realiti.

Di sini kanak-kanak kelaparan
laman rumahmu ditumbuhi lalang
paruh mentari membakar rezeki
yang tumbuh subur di setiap ceruk negeri
di poket seluarmu hanya ada angan-angan
tanpa gizi keberanian.

Dingin pagi inikah yang mengikatmu
atau tiada siapa yang pernah membisik,
“Bangkitlah, ubahlah”
ketika kepulan asap memenuhi ruang
pinggan kusam di tangan anak-anakmu
masih kosong sekosong masa hadapannya
yang retak di tanganmu.

 

Kamal Sujak
Jalan Puisi, Alam Sari

 

Categories
SASTERA

Jentikan semiotik sinema One Two Jaga

Oleh Za’im Yusoff

 TIDAKLAH berlebihan jika prop sinema One Two Jaga (2018) dinilai sebagai kejayaan sebuah sinema tempatan dalam melahirkan simbol metafora puitis menurut kaca mata semiotik.

Semiotik secara ringkas adalah kajian tentang tanda, pelahiran dan komunikasi yang terkait dengan fungsi sosialnya. Tanda dalam semiotik pula meliputi bahasa ujaran dan bukan ujaran. Bahasa ujaran melibatkan percakapan dan bunyi sementelahan bahasa bukan ujaran adalah berkenaan gerak lakonan watak dan kod budaya ditandai prop-prop yang diletakkan dalam rupa adegan (mise-en-scène).

Kualiti percakapan menerusi skrip lakon layar One Two Jaga adalah “sudah terang lagi bersuluh” tatkala penonton usai tontonan mengemas kini akaun media sosial masing-masing dengan dialog tentang ketam, anjing, akar dan pohon selain lontaran bersahaja pertembungan prinsip antara watak. Begitu juga runut bunyi yang minimalis namun impaknya maksimum.

Jika dalam Traffic (2000) arahan Steven Soderbergh, seri warna kuning digunakan bagi menggambarkan keadaan yang hangat, berdebu lagi usang di Mexico selari dengan watak penyangaknya yang agah, One Two Jaga memilih tona kuning kelam bersesuaian dengan naskhah kisah gelapnya. Begitu pun, ada babak tertentu warna hijau sengaja dimunculkan ketika eksposisi watak sekaligus mencetuskan tanda tersendiri.

Contohnya, dinding hijau di dalam bilik triaj sewaktu Hussein disoal ketika prolog, bingkai awal pepohon pisang hijau di belakang kereta Adi juga hutan hijau ketika mayat dibakar. Warna hijau di dalam bingkai yang dipaparkan terang lagi segar seperti memaklumkan watak itu tidak bermula dengan sifat semula jadi yang korup sebaliknya dengan kementahan nan polos, sepolos wajah Adi ketika membalas soal siasat dengan, “Saya tidak tahu apa-apa pasal ini”.

Dalam One Two Jaga, posisi watak dan objek simbol menawarkan maksud bertelingkah. Perekat “I’m a bribe free Malaysian” berada di sebelah kiri bingkai, Adi pula diposisikan di sebelah kanan.

Dari sudut semiotik budaya Melayu-Islam, kanan mengisyaratkan kebenaran sebaliknya kiri itu kebatilan. Darihal itu, posisi perekat dan Adi memberikan makna ironi seraya pertelingkahan nilai di mana pesanan perekat itu tidak lebih hanya slogan palsu, sebaliknya tindakan Adi membela kerja korupsi bapanya sepanjang naratif adalah benar dalam pandangannya dek tersepit antara keperluan pekerja luar dalam melangsungkan perniagaan dengan tekanan anggota pihak berkuasa yang korup.

Jukstaposisi One Two Jaga juga dibina dengan meremangkan lagi realiti. Joko cedera ditembak secara rambang oleh Hussein namun dek tidak dapat ke hospital lantaran statusnya yang tidak sah di sisi undang-undang, Joko terkorban.

Ironinya, sekalipun Hassan ditembak secara tepat oleh Sugiman namun kerana Hassan tidak ada masalah untuk dibawa ke hospital, dia terselamat sambil menunggu perbicaraan. Penonton memamah adegan realis dengan begitu pahit lantaran jukstaposisinya tidak menawarkan ekspetasi palsu tetapi realiti yang berlaku.

Jukstaposisi juga berlaku dengan indah dalam One Two Jaga untuk menggambarkan prarasa Sugiman bagi adegan tragedi yang diisyaratkan dalam mimpi malah setelah tersedar darinya.

Imej darah mengalir dalam genangan air menggambarkan tragedi berdarah ketika hujan. Wajah anjing melengking menggambarkan simbol utama naratif selain di hujung, dalam satu bingkai Sugiman melihat ke belakang jip Adi dibelakangi seekor anjing melengking sebelum tragedi itu berlaku.

Fabrik trampoline biru yang menjadi tempat Joko bersembunyi pula digambarkan sebelumnya dengan selimut yang menyelimuti Joko oleh Sugiman setelah tersedar dari mimpi dilatari azan pada laungan Hayya ‘Alal Falah”. Harapan untuk berjaya dalam migrasi yang payah seraya punah dengan tragedi berdarah itu.

Keindahan jukstaposisi seperti dalam One Two Jaga inilah yang memvisualkan apa yang penulis lakon layar Hollywood, David Mamet sebutkan betapa mimpi dan filem adalah jukstaposisi imej dalam memberikan khalayak jawapan kepada persoalan yang diutarakan.

Dalam One Two Jaga, Namron menggambarkan keterpurukan pasangan Sugiman-Sumiati juga gandingan Rico-Marzuki dengan simbol haiwan tersangkar. Ketika Sugiman membawa Sumiati mencari jalan untuk kembali ke Indonesia dengan bertemu Pak Sarip, mereka dilatari imej burung-burung yang tersangkar.

Sekalipun imej ini dilihat seperti prop asing di luar naratif yang dibawa ke dalam bingkai tidak sepuitis imej tangki air yang dinaiki watak Ah Qiang lakonan Jack Tan yang merupakan naratifnya dalam Shuttle Life (2017), namun konsep simbol terperangkap itu diulang guna secara berkesan dalam memerikan nasib Rico-Marzuki pula.

Ketika Zul mengejar Marzuki di pasar, bingkai kamera menangkap imej bakul-bakul ayam yang diniagakan dan ternyata Marzuki tertangkap dan dibawa ke hadapan James untuk ‘diniagakan’ bagi memeras wang yang lebih daripada majikannya yang bergelar Datuk itu.

Ramai pengkritik memuji lakonan Vanidah Imran bagi watak Rozita, isteri Hassan sekalipun muncul dalam tiga babak singkat. Selain lakonan bersahaja dengan ekspresi naif seorang isteri golongan marhaen yang terdesak menjaga air muka keluarga dan imej polis si suami, pakaian Vanidah “I Love Phuket” juga pakaian anaknya “I Love Tioman Island” menatijahkan kesan emotif yang selari dengan naratif mereka yang beria-ia mahu melancong.

Malah jika diperhatikan, pemakaian baju tersebut bermotifkan perbelanjaan hal kehendak bertelingkah dengan prinsip berbelanja mengikut keperluan buat golongan marhaen jika disorot dengan anjuran mengukur baju di badan sendiri! Ini selari dengan pandangan tokoh semiotik Perancis, Roland Barthes yang menanggapi pakaian sebagai tanda heterogen bagi memperlihatkan bukan sekadar tabiat eksentrik seseorang malah darjah konformis watak-watak yang diperankan.

Begitulah juga, pakaian Joko bersimbolkan “Eagle” memvisualkan tingginya cita-cita Sugiman untuk melihat anaknya itu meraih peluang di tanah bumi bertuah, Malaysia. Tetapi sayang, sang helang tidak sempat terbang tinggi lantaran terkorban waktu hujan deras membasahi.

Cita-cita itu sebelumnya diperincikan sebagai peluang pendidikan yang ditelahi Sumiati sebagai hanya sekadar bersekolah di jalanan. Keinginan berpelajaran itu ternyata bukan sekadar pada Sugiman dan Sumiati, malah ketika bermain-main dengan anak-anak kucing di jalanan, Joko dibingkaikan dengan memakai kasut sekolah berkapurkan putih serlah.

Tuntasnya, sekalipun Namron menyifatkan One Two Jaga sebagai sinema arahannya yang ringan, namun terbukti Namron tidak sesekali meringan-ringankan karyanya. Jika George Lucas berpendapat rahsia bagi filem adalah ilusi, ternyata bagi Namron, rahsia untuk menjentik penontonnya dengan berbisa dalam filem adalah semiotik realiti.

Categories
SASTERA

Ghagha nak kucup Peghancis

Oleh Syafiq Ghazali

 Rara cintakan Mazlan. Cuma lelaki itu berlidah pendek. Hal itu tidak akan menjadi masalah buat Rara kalau bukan kerana dia seorang yang sangat suka berkucup.

Mazlan tidak pernah menyorok soal lidah pendeknya itu kepada Rara, malah sesiapa pun. Mereka berdua bertemu buat pertama kali di sebuah kafe, di mana Rara datang selaku seorang klien dan Mazlan pula seorang designer. Hari itu, Mazlan sudah pun memanggil Rara sebagai “Ghagha” sewaktu perkenalan nama masing-masing. Setelah berborak beberapa ketika,  Rara sedar lelaki itu tidak boleh menyebut huruf R dengan sempurna. Namun itu langsung tidak mengganggu percakapannya. Rara juga merasakan sebutan canggung R itu kedengaran comel di telinganya. Tapi yang lebih penting lelaki itu melontar pendapatnya dengan yakin, tanpa rasa inferior sedikit pun. Adalah hal itu yang membuatkan Rara tertarik kepada Mazlan, lebih-lebih lagi di hujung perbualan mereka, lelaki itu dengan bersahaja mengaku kekurangan lidahnya. Saat itu, Rara yakin Mazlan adalah material teman lelaki yang baik.

Pertemuan itu berganjak menjadi beberapa pertemuan lagi, sehinggalah mereka secara rasminya bercinta. Memilih Mazlan, Rara sedikit pun tidak menyesal. Tambahan pula apabila dia menyedari kekasihnya itu hidup bukan sekadar untuk hidup. Selain pekerjaan hakiki selaku designer, Mazlan juga seorang aktivis alam sekitar di waktu lapangnya. Begitupun, dia sangat serius melakukannya, hingga temu janji mereka berdua selalu dikorbankan jika sebarang aktiviti melibatkan alam sekitar muncul dalam jadual Mazlan. Tapi Rara tidak pernah kisah atau bersungut. Malah dia sendiri pernah menyertai Mazlan dan rakan-rakan aktivisnya ketika berdemonstrasi mini di depan pejabat Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Waktu itu, isu pembalakan haram sedang hangat.

Tapi itulah, Rara seorang yang suka berkucup. Dan Mazlan sendiri mengerti kesukaan teman wanitanya itu. Mereka berdua sering berkucupan jika masa dan situasi membenarkannya. Dari kucupan seringkas Eskimo, seintim kucupan bibir atas bawah, hinggalah sehangat kucupan gigitan, semua mereka sudah mahir mempraktikkannya. Cuma Rara rasa pengalaman kucupannya belum sempurna, kerana tinggal satu lagi kucupan yang belum berjaya dikuasainya. Kucupan itu kucupan Perancis, dan sebabnya adalah lidah pendek Mazlan.

Semua orang tahu tahu ia kucupan paling agung dalam hierarki kucupan. Hanya dengan membacanya dalam novel atau menontonnya di kaca TV, Rara sudah dapat membayangkan keenakan kucupan itu. Kerana itu dia benar-benar mahu melakukannya sesempurna mungkin, tapi hanya dengan Mazlan, cinta sejatinya.

Sudah tentulah dia pernah berkucupan Perancis dengan Mazlan. Tapi setiap kalinya Rara merasa tidak puas. Kerana kependekan lidah Mazlan, Rara tidak dapat menikmatinya secara menyeluruh.  Dari pihaknya, dia dapat meneroka setiap inci lidah Mazlan, tapi lelaki itu pula sebaliknya. Lidah pendeknya hanya mampu mencuit sedikit bahagian dalam lidah Rara. Sedangkan Rara mengharapnya lidah Mazlan dapat menjangkau hingga ke pangkal lidahnya dan mengulum dan meratah seluruh bahagian indera pengecapnya itu dengan penuh keghairahan dan kecintaan.

Pelbagai cara difikirkan Rara untuk mengatasi masalah itu, namun semuanya menemui jalan buntu. Kebuntuan itu berlarutan sehinggalah, satu hari, dia terlihat rakan sekerjanya, Candice, sedang berkucupan dengan seorang lelaki di sebuah kafe. Sudah tentulah ia kucupan Perancis. Yang menakjubkan Rara bukanlah hakikat lelaki itu bukannya Richard, kekasih Candice, tetapi tempoh masa kucupan itu yang begitu panjang, dan keghairahan yang belum pernah disaksikannya selama ini. Ia umpama kucupan Perancis yang hanya akan ditemui sekali sepanjang hidupmu.

Esoknya, di pejabat, Rara menyindir Candice tentang hal itu. Candice sedikit pun tidak terkejut, juga tidak berdolak-dalik. Dia malah menawarkan lelaki itu kepadanya. “He’s a really good kisser. No one compares to him,” kata Candice, tersengih-sengih. “I boleh bagi nombor dia, kalau you nak. I tak kisah. And don’t worry, Mazlan will never know.”

Rara menyalin nombor lelaki itu—Eric namanya—tapi bukan atas tujuan sepertimana dibayangkan Candice. Dia mahu bertemu Eric semata-mata kerana ingin mengetahui rahsia kucupannya. Dia menelefon lelaki itu, dan satu malam, di kafe di mana dia terlihat Candice, mereka membuat janji temu.

Waktu dia tiba, Eric sudah pun menunggu di meja. Lelaki itu, selayaknya seorang gentleman, bangkit dan mahu menarik kerusi bagi pihaknya, tapi cepat-cepat duduk sebaik Rara menyatakan dia tiada niat selain ingin mengetahui rahsia kucupannya saja. Eric pamerkan riak kecewa, hinggalah Rara menjelaskan duduk perkara yang terjadi.

Eric berfikir seketika, sebelum bibirnya mengukir senyuman halus. Kemudian dia membuka mulut. Lidahnya terjelir keluar. Rara tergamam: ia lidah terpanjang yang pernah dilihatnya.

Setelah memastikan Rara sudah cukup terpegun, Eric menutup mulut. Kemudian dia menggagau kocek seluarnya dan mengeluarkan sebiji botol bersaiz kelingking. Dia meletaknya di depan Rara. Isinya cecair berwarna hitam.

Melihat kerut pertanyaan muncul di dahi Rara, Eric berkata: “Lidah I jadi sepertimana you lihat sekarang disebabkan minyak ni lah—minyak ular.”

Rara masih berkerut. Eric pun menjelaskan minyak itu dibelinya daripada seorang pengamal perubatan mistik, dan ia sangat sukar diperolehi. Tapi cara gunanya sangat mudah: lumur saja pada lidah. Lama-kelamaan ia akan memanjang dengan sendiri. “Macam lidah ular,” sambung Eric dengan senyuman nakal.

Mendengarnya, Rara sedikit kecewa. Sebagai wanita urban, dia tak sangka penyelesaian kepada dilemanya selama ini begitu konservatif. Namun dia tiada pilihan. Ini demi kepuasannya, dan juga kualiti hubungannya dengan Mazlan. Lalu dia terus mendesak untuk membeli minyak itu. Eric keberatan mulanya, tapi setelah melihat kesungguhan Rara dan merasakan tawarannya lumayan, dia bersetuju.

Malam itu Rara pulang dengan sebotol penyelesaian bersaiz kelingking. Sekarang tinggal soal bagaimana mahu melumurnya ke lidah Mazlan. Lakukannya ketika Mazlan tidur? Atau berterus-terang saja dan membiarkan Mazlan melumurnya sendiri? Dia berfikir dan merasakan hal itu boleh ditangguh kemudian. Mazlan sekarang berada di Gua Musang, sedang berkampung di penempatan orang Asli yang telah dijarah pembalak haram. Dia hanya akan pulang dua hari lagi.

Dua hari itu digunakan Rara untuk menimbang-nimbang keputusan terbaik, dan akhirnya dia mencapai kata putus. Berterus-terang adalah solusi paling ideal. Dia percaya ia yang terbaik untuk hubungan mereka berdua, malah boleh jadi akan lebih mengeratkannya.

Hari Mazlan pulang, Rara sudah pun menunggu di depan pintu. Minyak ular ketat dalam genggamannya. Pintu terbuka dan wajah kekasihnya muncul dalam pandangan. Rara tersenyum lebar. Mereka berdua berpeluk, dan Rara merasa bahagia dalam pelukan itu. Dan dia tahu bahagianya itu akan makin melonjak bila impian untuk berkucup Perancis dengan Mazlan terlunas.

Sebaik pelukan terlerai, Rara bersedia membuka genggamannya. Segala hal-hal yang manis dan berwarna pelangi melintas di ekor matanya.

Waktu itulah Mazlan menjelir lidahnya.

Botol minyak ular terlucut dari tangan Rara dan jatuh ke lantai, berderai. Dia ternganga. Matanya terpaku pada lidah Mazlan—ia tinggal suku, dan ada kesan jahitan di hujungnya.

Rara masih terlopong waktu Mazlan mengangkat tangan dan menggerak-gerakkan jarinya. Dia tak pernah belajar bahasa isyarat, jadi dia langsung tak mengerti apa yang sedang dikatakan Mazlan saat itu.

“Ini protes bisu, sayang. Sebab telinga mereka tuli!”

Categories
SASTERA

Jalan pintas ke podium sastera

Oleh Roslan Jomel

 Seo Ji-Woo tergelincir ke jalan hitam yang meremukkan harga dirinya. Desakan cemburu dan rimas berada di balik topeng ikon menghasut emosi mudanya. Suatu hari dia menjumpai manuskrip cerpen mentornya, Lee Jeok-yo, sasterawan legenda 70 tahun. Seo Ji-Woo masih hijau, menginginkan bakat serta namanya meniti harum dalam radius sastera. Tanpa rasa bersalah dia menerbitkan cerita bertajuk Eun-Gyo di bawah nama sendiri. Pelangi melengkung di mata Seo Ji-Woo, demikian minat Eun-Gyo, gadis 17 tahun terbias kepadanya. Cerita itu menyuntik perhatian pengkritik fiksyen dan memenangkannya untuk menerima hadiah sastera. Kebahagiaan estetik penulis tidak bermoral itu sementara. Kereta milik mentor yang dipandunya terjerumus ke jurang dalam kemalangan maut. Namun hukuman karma itu hanyalah sedutan daripada kisah dari filem Eun-Gyo arahan Ji-Woo Jung, dari Korea Selatan.

Majalah Dewan Sastera suatu ketika dahulu pernah beberapa kali memfokuskan perkembangan sastera Sarawak. Sejak kebelakangan ini, jika ada pun penulisan  menyorot perkembangan kesusasteraan Sarawak, ia sekadar laporan artifisial untuk diselipkan dalam akhbar-akhbar. Aktiviti sastera dan bahasa aktif diadakan melalui majlis-majlis formal seperti penyampaian hadiah, forum, seminar pemikiran tokoh, perkampungan penulis atau melalui siri pembentangan kertas kerja. Malahan majlis memperkatakan karya-karya penyair penting mutakhir Sarawak, Abizai, di sekolah menengah. Ini tindakan proaktif untuk memperkenalkan kesusasteraan dan penulisnya sendiri. Di samping meminimumkan kos perbelanjaan, pelajar-pelajar berkesempatan bersemuka dengan penulis secara santai.

Barisan penulis Sarawak seperti Awangku Merali Pangeran Mohamed, Saie Driss, Jong Chian Lai, Zainal Abidin Suhaili (Abizai), Jaya Ramba, Rosani Hiplee dan beberapa nama lain turut sama dengan sahabat-sahabat di Semenanjung memperkayakan khazanah persuratan kebangsaan. Mereka berkarya secara serius dalam genre seperti novel, cerpen, drama dan sajak sejak era mesin taip lagi. Malahan karya kreatif mereka diperakui apabila meraih anugerah berprestij kebangsaan dari dahulu sehingga kini, misalnya Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan atau pengiktirafan pada peringkat negeri. Sungguh malang sebahagian penulis Sarawak menghentikan penerokaan bakat mereka terlalu awal. Bahkan sudah tidak berupaya untuk mengadaptasikan diri dengan perkembangan gaya naratif masa kini. Sebaliknya semakin statik dengan ekspresi tahun 60-an.

Saya sering berasa gelisah mengenangkan pembentang-pembentang kertas kerja yang masih dilapisi nostalgia silam. Apakah erti menyebut nama-nama penulis yang tidak lagi menyumbangkan fikiran, idea, imaginasi dan wawasannya dalam media massa semasa? Mereka dihormati kerana senioriti dan pengalaman sebagai perintis kerja penulisan. Namun sumbangan sasterawan ditagih lebih daripada itu. Dan paling mengerikan ialah andai penulis-penulis sedia ada lebih memfokuskan kepada kejayaan peribadi dengan hadiah-hadiah penulisan. Karakter ini mengecewakan. Ego mengembangkan dengan sikap parokial. Besarlah pengharapan agar penulis-penulis mapan tidak dikendurkan oleh bakat dan darjah renungan. Namun siapakah pula yang membicarakan perkembangan sastera kontemporari generasi baharu Sarawak? Apakah bakat dan kehadiran mereka dicemburui?

Saya meletakkan harapan intelektual yang tinggi kepada generasi baharu Sarawak. Gelombang suara, idea, pemikiran dan naratif mereka seharusnya lebih canggih, kompleks dan mengatasi kehebatan karya-karya penulis terdahulu. Dengan hidup di bawah cengkaman rejim digital dan ilmu percuma di skrin komputer, landskap sastera sepatutnya lebih bertenaga dan cemerlang di tangan mereka. “Waktu muda ialah tingkap untuk masa depan,” kata SN Muhammad Haji Salleh. Lebih mustahak daripada itu ialah mentaliti mereka melepasi sasaran materialisme penulis sedia ada. Jika hadiah, gelaran, populariti membingkai dalam fikiran mereka, tiadalah bezanya dengan sikap segelintir pengarang ternama yang begitu taasub dengan kejayaan personal. Tiada jalan tikus untuk segera menghasilkan karya mantap dan luar biasa.

Lokman Hakim, Karl Agan, Frankie Latit dan Mohammad Zakri Zakaria adalah beberapa contoh nama penulis generasi baharu yang menyegarkan naratif fiksyen dan sajak pada peringkat nasional. Karya-karya mereka merombak orbit sastera yang tidak pernah dilakukan oleh penulis-penulis Sarawak sebelumnya. Mereka bereksperimen melawan realiti, memerdukan diksi dengan suasana urban dan menyuntik jarum perubatan dengan istilah-istilah perubatan dari makmal operasi. Inilah anjakan impresif untuk menawar kepelbagaian bidang sastera yang dilihat semakin monotonous dalam kalangan penulis sedia ada. Saya juga mengenali nama-nama baharu yang berkarya dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera untuk siaran akhbar Utusan Sarawak. Bahkan penulis-penulis muda Sarawak turut menyumbangkan bakat kreatif mereka dalam majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Tunas Cipta atau di akhbar-akhbar kebangsaan selain menebitkan dalam zine. Syabas.

Menoleh ke seluruh dunia demi mempertingkatkan skil dan keluasan imaginasi sesuatu tuntutan kepada penulis. Ia pelaburan artistik berharga berbanding ganjaran di podium. Muhammad Asad dalam buku Islam at the Crossroads, mengatakan “ilmu pengetahuan bukanlah kepunyaan Barat atau Timur. Ia bersifat universal.” Saya sungguh kagum dengan beberapa penulis generasi baharu yang menelaah buku-buku penulis besar luar negara tanpa melupakan karya-karya tempatan. Contohnya, Frankie Latit, yang berusaha menyingkap jendela sastera seluas mungkin. Bakat dan kerja keras seiringan. “The artist is nothing without the gift, but the gift is nothing with out work,” kata Emile Zola. Namun apa yang mustahak, mentaliti. Karakter penulis-penulis baharu Sarawak perlu lebih kosmopolitan dan positif ke hadapan. Berakar di bumi namun berpandangan universal dan tidak dibius tropi serta sijil anugerah sebagai aksesori kebanggaan. Suatu hari nanti saya berharap mereka antara creme of the creme dalam ranah sastera Malaysia.

 

 

Categories
SASTERA

Adalah api di ranah diri (episod perkenalan di ranah diri)

(jiwa) api yang tumbuh tidak kenal arah
dari mana angin dan air datang
kerana air, besarnya
dan hilangnya kerana angin
– atau sebaliknya?

siapa memandang api yang kecil?

walau muasalnya haba dan panas
hanya kerana, biar (jiwa) api kecil itu
merupa semarak, besarnya
ah, jangan
sampai memakan diri.

siapa (jiwa) yang tidak mengenal luas ranah diri lagi,
ketika jiwa adalah api?

 

Raden Qurratu‘Aini
Lembah Pantai

Categories
SASTERA

Meneropong Nikolas

Oleh Nik Aidil Mehamad

PANGGIL saja aku; Kumira. Dengan sepasang mata yang jernih dan bibir gigil, tanganku juga gigil, aku meneropong Nikolas dari jendela pangsapuri milikku. Lebih kurang 20 minit tempoh yang dipersetujui Nikolas untuk aku bersiap, keluar rumah dan turun lif yang pengap dengan bau peluh buruh-buruh imigran pulang kerja.

Nikolas dengan secawan kopi di meja. Duduk menyendiri jauh dari kehidupan dalam kafe di hadapan pangsapuri milikku. Kekaburan yang lahir dari kanta teropong buat aku gelisah. Kadang ia bagus untuk diriku, seperti membaca puisi-puisi kabur sebelum lelap. Insomnia ingin berteman lewat malam tidak diendahkan dan mataku katup dengan persoalan dan makna yang sedang dicari dalam puisi. Puisi masuk ke dalam tidur-mengalir dalam mimpiku.

Satu hal yang aku kurang selesa dengan Nikolas. Dia akan merokok sebanyak yang boleh ketika dalam talian video dua hari lepas. Kepulan asap yang bikin paru-paru aku terasa lemas. Kejelekannya itu aku diamkan saja dengan dada bogel yang sengaja memaparkan bulu dadanya sebelum aku terperangkap dengan Nikolas dalam hutan belantara kelmarin. Aku akan menghilang apabila Nikolas menghirup kopi pertama kali dengan bunyi hirupan semacam iklan-iklan minuman di tivi dan radio – bunyi khas hirupan yang grotes.

Buih-buih kopi terapung apabila aku mengacau kopi sesuai dengan melodi The Strokes. Is This It lagu pilihan apabila Nikolas sedang mengintai di tetingkap Skype. Buih-buih kopi akhirnya bertukar visual hutan – visual itu tidak ubah seperti bulu dada Nikolas yang aku rasa lucu, aneh dan kadang aku rasa ia sangat menggoda tetapi tidak seksi kerana aku perempuan dan aku tahu lelaki tidak seksi. Sepasang mataku terjun ke dalam cawan kopi-mengamati visual hutan yang teroleng-oleng apabila tanganku gigil. Efek tidur yang tidak cukup barangkali. Nikolas menyedarkan aku sesuatu hal yang aku sudah lupa. Sekali hirupan aku rasa terjaga-sepenuhnya.

Nikolas masih menunggu aku di tetingkap skype. Kemerahan wajahnya yang berubah dengan drastik apabila aku bersetuju piknik dalam hutan dengannya menaiki Nissan Bluebird milik ibu tirinya. Nikolas dalam keriangan yang kemuncak apabila pipinya kemerahan. Rahsia itu Nikolas yang bongkar seperti juga parut di kening kirinya – tidak terlihat janggal. Parut itu juga sebahagian daripada dirinya dan tidak harus diajukan soalan-soalan aneh tentang parut yang menempel di keningnya.

Nikolas pernah memberitahu aku bahawa cerita yang penulisnya belum tahu akan alur cerita adalah kenikmatan menulis. Dan aku mengerti ungkapan Nikolas itu apabila kami tersesat dalam hutan belantara ditemani kucing belaan ibu tirinya – aku panggil kucing itu dengan gelaran Seno. Seno haiwan peliharaan yang manja, pendiam dan tahu berlari dengan pantas apabila kami berlari dalam rentak kepanikan seperti gelombang musik Transmission dari kugiran legenda post-punk, Joy Division. Alur kecil yang kami tempuhi adalah sifar pengetahuan destinasi yang kami tujui – menemukan kami dengan pelbagai kesukaran.

Ego diri wujud dalam diri aku dan Nikolas; tentang alur jalan mana yang kami harus pilih untuk keluar dari hutan belantara dan pada waktu itu dalam kepalaku lahir pemandangan pantai sepanjang perjalanan pulang ke Kuala Lumpur – puisi yang estetik. Keinginan menikmati kehidupan magis dalam hutan belantara dengan perasaan lain yang bertarung dengan keinginan kenikmatan iaitu perasaan terperangkap sedangkan yang mengejar kami hanyalah Seno yang naif dan patuh. Kami sasau – memberontak dengan definisi pemberontakan yang tidak jelas lahir dalam diri kami. Ego diri akan lenyap jika hujan renyai turun – pelangi wujud dalam diri apabila matahari menerangi pemikiran – menjernihkan alur lorong yang kami harus tempuhi tanpa gaduh yang membawa gundah dan pentengkaran akan tamat seusai hujan renyai berhenti.

Kami terpisah dalam hutan belantara. Seingat aku; aku dibawa keluar dari hutan belantara oleh seorang pemuda yang tidak jelas rupanya. Pemuda itu memandu kereta milik ibu tiri Nikolas dan Seno tidur nyaman di kerusi penumpang belakang. Aku menanyakan tentang Nikolas kepada pemuda itu – suaranya agak berat seperti baru saja sembuh dari batuk. Kedengaran seperti ada kahak yang tersisa melekat di kerongkongnya dan kebingungan aku pada waktu itu apabila pemuda itu mengatakan bahawa Nikolas sedang tersesat dalam hutan absurdisme – absurdisme dalam kepalanya membiakkan khayalan-khayalan peribadi sehinggakan keintimannya khayalan itu dapat dimaknai oleh dirinya sendiri. Aku mengatakan kepadanya bahawa Latiff Mohidin berpendapat bahawa abstraksi emosional bertitik tolak dari imaginasi terhadap dirinya, esksistennya, benda-benda di sekelilingnya, proses pengalamannya dan alamnya. Barangkali imaginasi Nikolas berkeliaran dan terperangkap dalam tubuhmu, kata pemuda itu.

Pili air hujan membasahi seluruh tubuh selepas aku masuk ke dalam pangsapuri dengan sepasang kaki bogel. Sisa-sisa lumpur tertanggal dari kulit – menempel di pergelangan tangan dan juga pada rambut luntur pelan-pelan. Bau lumpur terapung dalam bilik mandi – tidak melenyapkan memori tersesat dalam hutan belantara dengan Nikolas. Kegilaan apa yang aku dengar dari pemuda itu dan yang aku impikan hubungan jika ada tragedi antara kami biarlah akhirnya tragedi tergelincir jatuh ke dalam komedi.

Kebosanan mula tumbuh dalam sepasang mata sekarang. Aku berhenti mengintai Nikolas dari kanta teropong. Nikolas mencucuh rokok – wajahnya bercahaya. Kepulan asap rokok yang dihembus bibir Nikolas seolah-olah rahim – seekor merpati putih terbang keluar dari kepulan asap rokok dengan daya terbangan yang romantis. Momen itu terasa lama dan seluruh ingatan selepas momen itu tamat, melekat dalam ingatan; kekal. Waktu membeku seketika sebelum aku mengatup tingkap dan tidak lagi membukanya. Merpati putih bertenggek di tingkap.

Categories
SASTERA

Tabu dan pelangi yang tercarik di dada sastera

Oleh Arif Zulkifli

 CUBA bayangkan, suatu hari tatkala anda mahu keluar dari rumah, tak kiralah mahu ke tempat kerja atau ke kedai atau ke mana saja — anda terpegun apabila kaki pelangi berada betul-betul di hadapan pintu yang anda buka. Rasa ingin tahu menguasai diri, lalu anda pun mula memanjat pelangi itu, dan panjat, dan panjat, dan panjat; sebelum anda menggelungsur sebaik saja tiba di puncak tertinggi. Dan di hujung pelangi tersebut, anda tidak temukan bongkah-bongkah emas seperti yang pernah anda dengar daripada cerita mitos Ireland, sebaliknya anda cuma temukan seorang tua yang sedang tenang duduk di batu.

Lalu, anda pun mengambil tempat di sebelah si tua itu — berjubah lusuh dengan tampalan kain perca di sana-sini, dan janggut putih panjang hingga ke dada. Tak semena-mena, tangannya mencapai kaki pelangi, dan dia merenggut kasar. Pelangi yang nampak cantik bersinar tujuh warna membelah langit itu, tiba-tiba menjadi sehelai bendera yang berkibar megah ditiup angin.

Lelaki tua itu berdehem sekali-dua, sebelum tanpa disuruh, bersyarah di hadapan anda, dan anda pun terpaksa (atau sebenarnya secara sukarela) mendengar syarahannya yang berbunyi begini:

Tanggal 26 Jun 2015 merupakan tarikh keramat buat komuniti LGBTQ (lesbian, gay, bisexual, transgender, queer) apabila Mahkamah Agung Amerika Syarikat meminda perlembagaan baru yang membenarkan perkahwinan antara pasangan sejenis sebagai perkahwinan yang sah. Dan berkibaranlah bendera pelangi saat itu, menjadikan momen tersebut paling penting dalam lipatan sejarah – selain rusuhan  di kelab The Stonewall Inn pada tahun 1969 – perjuangan komuniti itu.

Selajur dengan peristiwa itu, buku bertema LGBTQ atau sekurang-kurangnya mempunyai watak LGBTQ  terlahir dengan begitu banyaknya, dan penerimaan terhadap buku itu sangat menggalakkan sehingga ada yang memasuki carta paling laris seterusnya diadaptasi ke layar perak.

Kibaran bendera pelangi di dalam dunia penulisan bukanlah sesuatu yang baru di Barat, malah hal ini dapat kita lihat dalam karya yang ditulis beberapa abad ke belakang, dalam kisah epik Iliad yang terkenal karya Homer, mengenai kisah percintaan pahit-manis antara Achilles dan Patroclus. Plato kemudian menjelmakan semula watak Achilles dalam teks falsafahnya, Symposium, yang menyatakan kesediaan anak dewa itu untuk berkorban apa saja demi cinta hatinya.

Tetapi apabila kita melihat suasana penulisan dalam Malaysia pula, bendera tujuh warna itu tidaklah gah berkibaran — mungkin kerana negara kita memang sudah terlarut sebati dengan adat ketimuran pekat yang mengutamakan santun dan sopan dalam kehidupan seharian, atau mungkin juga disebabkan gerakan islamisasi pada era 70-an yang menyebabkan pandangan kita terhadap apa-apa isu yang bertentangan dengan Islam menjadi terlebih ekstrem. Kisah-kisah mereka tak banyak diperbincangkan, mungkin kerana pembaca Malaysia tidak berasa isu itu penting untuk dibincangkan? (Atau boleh juga jadi kerana hal ini masih tabu, dan pengarang takut-takut mahu menulisnya di dada sastera).

Apabila penerbitan alternatif mula tumbuh subur beberapa tahun lepas, barulah ada suara-suara yang berani memuntahkan isi pelangi di atas lembaran kertas (atau mungkin mereka baru diberi platform?).

Orang Macam Kita, sebuah antologi yang menghimpunkan berbagai-bagai penulis, mungkin antara buku terawal yang membawa dan membincangkan perihal LGBTQ dalam bentuk cetakan. Matahari Books dengan beraninya mempersembahkan sebuah buku yang sangat jujur, dengan harapan pembaca dapat menghayati apa yang dilalui orang-orang ini dalam sehari-harian mereka, dan sebenarnya, jauh dalam diri insan-insan ini, mereka juga seorang manusia biasa, sama seperti kita.

Kemudian, kemunculan rumah penerbitan Fixi pula mengambil alih tugas Matahari Books dengan memberi platform kepada penulis-penulis ini untuk melaungkan suara-suara berbagai warna mereka — tujuh warna, jika kita mahu lebih spesifik – dengan lebih kuat. Novel Kelabu karya Nadia Khan antara novel terawal terbitan Fixi yang mempunyai watak mewakili komuniti LGBTQ. Selepas itu, semakin banyak juga karya yang membawa isu LGBTQ diterbitkan FIXI antaranya Dosa (Nuril Basri), Perjalanan & Budiman (Regina Ibrahim), Laknat & Amsterdam (Fahmi Mustaffa), dan Profesor (Faisal Tehrani). Selain Fixi, terdapat juga rumah penerbitan lain yang menerbitkan karya sebegini seperti Rumah Lipur Lara yang menerbitkan Selumbar (Ikmal Ahmad) dan DuBook Press yang menerbitkan A. I. D. S (Aidi Aidil, yang saya difahamkan adalah nama pena lain untuk seorang penulis terkenal di Malaysia).

Patutkah kita membenarkan karya sebegini terus dicetak dan diedar di Malaysia? Atau patutkah kita carik-carikkan bendera pelangi dari terus berkibar di  dada sastera? Allahualam.

Dan anda pun terpisat-pisat, terlopong, menganga, melihat si tua itu yang kelihatannya sudah berhenti bercakap. Tidak dapat tidak, syarahan si tua itu membuat anda terfikir, mengapa karya bertema LGBTQ selalunya diterbitkan oleh penerbitan alternatif? Adakah rumah penerbitan arus perdana melihat isu tersebut sebagai jijik atau tak layak untuk diperkatakan terang-terangan?

Mengapa tiada karya sastera — jika kita tidak menganggap buku penerbitan alternatif sebagai karya sastera. Tetapi apakah itu sastera? Bukankah sastera sifatnya melemparkan sesuatu isu penting ke tengah-tengah masyarakat, kemudian membiarkan mereka berbincang dan berfikir, seterusnya membuka fikiran mereka?

Lihat saja bagaimana sastera mengangkat isu penderitaan manusia ketika peperangan dalam Sungai Mengalir Lesu, dan tatkala lampu limpah sastera menyuluh kehidupan jerih-perih masyarakat kampung dalam Ranjau Sepanjang Jalan, serta apabila sastera bercakap-cakap tentang pengorbanan seorang si alim yang ingin membawa perubahan di kampungnya dalam Imam.

Jadi di manakah sastera tatkala mereka yang berada di bawah panji pelangi ingin bersuara? Mengapa tiada yang sudi membawa mereka ke tengah masyarakat agar dapat mengenali mereka dengan lebih dekat lagi —  bukannya terus mengaitkan mereka dengan penyakit berbahaya? Atau adakah topik ini tak sepatutnya dibincangkan langsung kerana ia berlawanan dengan norma masyarakat dan sekiranya ada karya sastera yang membawa isu LGBTQ terbit, bumi bakal terbalik? Soalan-soalan itu berlegar dan berpusing di dalam kepala hingga membuatkan anda menjadi semakin pening.

Akhirnya, si tua itu mengangkat punggung dan sebelum dia menjauh, anda bertanya si tua itu akan namanya. Dengan lancar — ibarat roh yang ditarik keluar daripada tubuh orang beriman, dia menjawab, namaku Sastera.

Categories
SASTERA

Doa dan kata yang tak diperkenan Tuhan

Tentang doa dan kata yang tak diperkenan tuhan;
adalah rintik hujan yang menjadi ribut di laut
dan banir-banir yang tenggelam dek daunan gugur
di hutan dalam.

Kita seperti koloni lebah yang riuh dan girang
di musim semi, mencari bunga yang paling harum
dan manis, sebelum pulang ke sarang dan menghulur
makan, menjadi taat kepada ibu lalu mati.

Ibu, bunga paling manis dan harum, sering berdoa
tentang hujannya yang jarang pulang. Ributnya selalu
tenggelam dek riuh dan girang si lebah. Tuhan perkenankan kita mencari makan dengan kata yang gugur dari sarangnya.

Seperti laut dan banir, kematian adalah hutan yang semi; taat menghulur rintik daun sebelum menjadi musim yang dalam.

Api Husien