Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor ke China jana pelaburan tinggi, realisasi Negeri Pintar

SHAH ALAM, 8 SEPT: Delegasi Kerajaan Negeri bertemu konglomerat di China bagi menarik lebih banyak pelaburan ke Selangor, sekali gus merealisasikan hasrat Negeri Pintar 2025.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kolaborasi dengan dua entiti besar seperti Huawei dan Tencent Holdings sedang dalam perancangan.

“Tencent adalah pengelola atau pengendali operasi sistem berkualiti tinggi dan menawarkan perkhidmatan software yang banyak digunakan dunia masa kini.

“Saya tawarkan mereka datang ke Selangor dan membina pangkalan data di sini, jadi ia sedang dibincangkan untuk melihat kesesuaiannya,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Amirudin berkata, hasrat Selangor menjadi Negeri Pintar 2025 mudah tercapai sekiranya kerjasama (dijalin) dengan kedua-dua pemain industri utama itu.

“Penting untuk kita menarik pelaburan besar daripada pemain utama industri ini, apatah lagi mereka adalah pemain Smart City.

“Untuk menjadi Negeri Pintar, kita harus berkolaborasi dengan pemain utama ini bagi meningkatkan kefahaman kita bagaimana mekanisme dan dirangkumkan dalam Belanjawan 2020,” katanya.

Katanya, agensi seperi SMARTSel, Smart Selangor Delivery Unit, Invest Selangor dan Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (SITEC) akan menawarkan projek baharu dengan kolaborasi itu nanti.

“Kita sedang aturkan dan semua rangkuman di bawah tawaran yang saya rasa kukuh dan sangat menarik,” katanya.

Pada 7 April lalu, EXCO Pelaburan, Dato’ Teng Chang Khim mengumumkan China mencatatkan pelaburan tertinggi di Selangor dengan nilai pelaburan RM3.93 bilion setakat ini menerusi pelaburan dalam barangan berasaskan logam.

Turut sama pada delegasi itu ialah Chang Khim dan EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian serta Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris.

Terdahulu, delegasi itu mengadakan lawatan ke Tencent – syarikat pertama di Asia berjaya mencatat nilai syarikat tertinggi mencecah USD 500 bilion dengan memberi pengkhususan terhadap sektor rangkaian sosial, pembayaran digital, hiburan, kecerdasan dan teknologi.

Manakala, Pertemuan empat mata antara Kerajaan Selangor dan Huawei adalah bagi meneroka peluang baharu bagi membolehkan misi bergelar Negeri Pintar di ASEAN berjaya, tidak lama lagi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ke arah Negeri Pintar, Selangor-Huawei teroka peluang baharu

SHAH ALAM, 4 SEPT: Pertemuan empat mata antara Kerajaan Selangor dan Huawei adalah bagi meneroka peluang baharu bagi membolehkan misi bergelar Negeri Pintar di ASEAN berjaya, tidak lama lagi.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau kagum dengan inovatif ‘Smart City Solution’ yang dilakukan syarikat teknologi utama China itu dengan mewujudkan aplikasi digital serta menempatkannya melalui pusat arahan yang sistematik.

“Perjalanan Huawei mengagumkan kerana ia bermula daripada sebuah syarikat kecil di China dan kini menjadi kuasa besar dunia bagi teknologi global,” katanya dalam kenyataan.

Turut serta dalam lawatan itu ialah EXCO Kerajaan Negeri, Dato’ Teng Chang Khim dan Hee Loy Sian serta Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris.

Delegasi berkenaan sebelum itu turut bertemu dengan beberapa syarikat terkemuka antaranya Tencent Holdings, CANBOT Robotics dan Nine Dragons (Dongguan) Plant.

Sebelum ini, dilaporkan Amirudin yang mengetuai delegasi Kerajaan Selangor ke Shenzen China adalah bagi menumpukan usaha menarik pelaburan dari negara itu terutamanya dari syarikat alat telekomunikasi terkenal, Huawei.

Kerajaan Selangor juga menyatakan kesediaannya untuk menawarkan kemudahan daripada segi infrastruktur.

Pada masa sama, Selangor akan memperkukuhkan persediaan daripada segi jalur lebar untuk menarik pelaburan, sekali gus menjana lebih banyak peluang pekerjaan.

Categories
NASIONAL

UMS-Huawei kolaborasi pacu pembangunan pelajar

KOTA KINABALU, 11 JUL: Kerjasama pintar antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. kini giat dilaksanakan merangkumi pelbagai aspek termasuk pembangunan pelajar UMS dengan memberi latihan khusus dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Naib Canselor UMS, Prof Dr D Kamarudin D Mudin berkata, bagi tujuan itu Huawei telah mewujudkan Huawei Authorized Information Network Academy (HAINA) di UMS.

“Melalui HAINA, Huawei mengiktiraf UMS sebagai pusat latihan dan pensijilan bagi sijil profesional Huawei seperti Huawei Certified Network Academy (HCNA) dan Huawei Certified ICT Associate (HCIA).

“Huawei juga menyumbang peralatan ICT di pusat HAINA untuk aktiviti latihan, selain memberi bantuan dalam latihan pelajar UMS untuk tujuan pensijilan HCNA/HCIA serta mempersiapkan staf UMS sebagai tenaga pengajar yang bertauliah dan diiktiraf,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

D Kamarudin berkata, sehingga Jun lepas terdapat tiga kumpulan terdiri daripada 107 pelajar mendapat pensijilan sama ada dalam HCNA atau HCIA.

Beliau berkata, kos keseluruhan untuk kursus dan pensijilan dianggarkan RM15,000 bagi setiap pelajar namun, buat masa ini percuma bagi pelajar UMS.

Huawei juga akan menjadi penasihat teknikal bagi merealiasikan keperluan UMS berdasarkan industri 4.0.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Huawei cadang lawat Perpustakaan Digital Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 6 JUL: Syarikat teknologi utama China, Huawei bakal mengadakan lawatan ke Perpustakaan Digital Pulau Pinang (PDL) untuk menerokai peluang pelaburan dalam bidang teknologi.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, PDL adalah satu-satunya perpustakaan digital di Malaysia yang tidak mempunyai sebuah buku dan beroperasi selama 24 jam sehari.

Menurutnya, dalam lawatannya ke ibu pejabat Huawei di Shenzhen, China baru-baru ini, beliau telah mempelawa syarikat itu supaya melawat perpustakaan digital di Malaysia untuk melihat sejauh mana mereka boleh memberi sumbangan dalam mempertingkatkan sistem teknologi di sini.

“Selepas diberi taklimat oleh Huawei di China, saya juga jemput mereka untuk datang dan melihat sendiri sama ada mereka boleh memberikan sokongan, iaitu dengan memberi imbuhan atau tambahan dalam unsur-unsur teknologi 5G,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, PDL kini sedang menawarkan sistem Internet berkelajuan 4G dan beliau berharap dengan adanya sokongan Huawei ini, sistem Internet PDL bakal diperhebatkan.
“Kemungkinan mereka akan datang dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi bagi melihat dengan lebih lanjut berkenaan dengan PDL,” katanya.

Tambahnya, sekiranya Huawei boleh membantu, ini akan menjadi satu projek perintis dalam usaha untuk meningkatkan sistem Internet berkelajuan 5G.

Terdahulu, Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan mengumumkan kejayaan PDL bersama projek prinsipal arkitek, Tan Bee Eu yang telah memenangi pingat emas yang dianugerahkan oleh Persatuan Arkitek Malaysia.

Katanya, anugerah itu adalah sebagai memberi pengiktirafan kepada arkitek bangunan PDL yang telah diusahakan oleh kerajaan negeri dalam usaha kerjasama awam dan swasta sejak tiga tahun lepas.

“Anugerah itu jelas menunjukkan projek PDL telah menerima perhatian bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi di luar negeri. Kita juga bakal memperluaskan model pembinaan PDL ini ke negeri Kedah dengan bekerjasama dengan arkitek yang sama,” katanya.

Dalam laporan bulan lepas, Lim telah mengumumkan kerajaan melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) meluluskan peruntukan RM15 juta bagi pembinaan perpustakaan digital di Alor Setar, Kedah.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

Malaysia akan terus guna teknologi Huawei

TOKYO, 30 MEI: Malaysia tidak terancam dengan dakwaan pengintipan ke atas syarikat teknologi utama China, Huawei, dan akan terus menggunakan teknologi mereka seluas mungkin, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

“Kami terlalu kecil untuk menerima impak syarikat besar seperti Huawei, yang membuat penyelidakan jauh lebih besar daripada keseluruhan keupayaan penyelidikan Malaysia.

“Oleh itu, kami akan memanfaatkan teknologi mereka seluas mungkin. Ya, mungkin ada bentuk intipan, tapi apa yang nak diintap di Malaysia?” katanya pada sesi dialog pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia (Nikkei Conference) di sini pada Khamis.

Dr Mahathir tiba di Tokyo pada Rabu untuk lawatan kerja tiga hari.

Perdana Menteri berkata Malaysia mengamalkan pintu terbuka.

“Semua orang tahu jika mana-mana negara mahu menyerang Malaysia, mereka boleh lakukan..,” katnya berseloroh.

Pada sesi itu, beliau juga menggesa pentadbiran AS membuat konsesi membabitkan pertikaiannya dengan China, termasuk beberapa dakwaan mengenai aktiviti pengintipan oleh Huawei.

Perdana menteri juga memberi amaran bahawa kegagalan untuk berunding boleh membawa kedua-dua negara itu terlibat dalam konflik ketenteraan.

(Sebagai contoh), saya faham Huawei mempunyai kelebihan yang besar terhadap teknologi Amerika.

“Namun, jika anda mahukan situasi anda sentiasa berada di hadapan, atau jika anda tidak berada di hadapan, saya akan mengharamkan anda dan menghantar kapal perang ke negara anda, ini bukan persaingan, ini mengancam orang dan itu bukan pendekatan untuk digunakan,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
GLOBAL NASIONAL

AS senarai hitam Huawei dan entitinya

WASHINGTON, 16 Mei: Huawei Technologies dan entitinya disenaraihitamkan oleh Amerika Syarikat kerana terbabit dalam aktiviti yang bertentangan dengan kepentingan keselamatan negara itu, lapor agensi berita Sputnik memetik kenyataan akhbar Jabatan Perdagangan.

“Hari ini, Biro Industri dan Keselamatan (BIS), Jabatan Perdagangan mengumumkan ia akan memasukkan Huawei Technologies Co. Ltd. dan anak syarikatnya dalam Senarai Entiti Biro,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

Jabatan berkenaan mendapati Huawei terbabit dalam aktiviti yang bercanggah dengan kepentingan keselamatan Amerika atau dasar luar, menurut kenyataan itu.

Awal Rabu, Presiden Donald Trump mengeluarkan perintah eksekutif bagi mengisytiharkan darurat kebangsaan berhubung teknologi telekomunikasi dan perkhidmatan yang mempunyai kaitan dengan musuh asing serta menghalang syarikat Amerika terbabit dengan sebarang transaksi dengan syarikat daripada negara musuh.

Setiausaha Perdagangan, Wilbur Ross dalam kenyataan akhbar itu menyatakan, keputusan menyenaraikan Huawei dan entitinya dalam senarai hitam sekatan dagangan akan menghalang teknologi Amerika daripada dipergunakan oleh entiti milik asing kerana mungkin boleh mengancam keselamatan atau kepentingan dasar luar Amerika.

Jualan atau pemindahan sebarang teknologi Amerika kepada syarikat atau individu yang tersenarai dalam senarai berkenaan memerlukan lesen khas yang dikeluarkan oleh BIS, dan permohonan itu boleh ditolak jika transaksi itu boleh menjejaskan keselamatan atau kepentingan dasar luar Amerika.

Huawei sebelum ini berdepan siasatan antarabangsa dengan sejumlah negara mendakwa syarikat itu mempunyai kaitan dengan China dan mungkin mengintip bagi pihak kerajaan.

Meskipun Huawei dan Kerajaan China menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu, Australia, Japan, New Zealand dan Amerika pada 2018 mengharamkan Huawei daripada menyertai kontrak kerajaan negara terbabit. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

PM lawat Pusat Penyelidikan Huawei di Beijing

BEIJING, 25 APRIL: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diberi peluang melihat lebih dekat teknologi canggih syarikat Huawei apabila beliau dibawa melawat ke Pusat Penyelidikan Beijing milik syarikat itu di Taman Sains Zhongguancun, di sini.

Ketibaan beliau di pusat itu, kira-kira sejam perjalanan dengan kenderaan dari daerah pusat peniagaan Beijing, disambut pengasas Huawei, Ren Zhengfei.

Huawei ialah syarikat penyedia infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan peranti pintar, dengan penyelesaian bersepadu meliputi empat domain iaitu rangkaian telekom, IT, peranti pintar dan perkhidmatan awan.

Dalam kenyataan, Huawei berkata, Dr Mahathir diberi taklimat oleh Zhengfei dan pakar teknikal syarikat berhubung perkembangan terbaru perniagaan serta teknologi 5G.

“Kedua-dua pemimpin (Dr Mahathir dan Zhengfei) berbincang panjang lebar mengenai bagaimana untuk memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi bagi memudahkan ekonomi Malaysia berkembang dengan lebih baik dan memenuhi keperluan masyarakat tempatan,” katanya.

Dr Mahathir tiba di Beijing malam tadi untuk memulakan lawatan kerja lima hari dan untuk menghadiri Forum Kerjasama Antarabangsa Satu Jalur Satu Jalan kali ke-2, yang akan bermula esok.

Perdana menteri pada lawatan itu turut merasai pengalaman menggunakan perkhidmatan awan Huawei serta aplikasi industri merangkumi bandaraya pintar, pembuatan pintar dan pengangkutan pintar.

Dr Mahathir, yang diiringi isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, turut bercakap dengan pelajar daripada syarikat Seeds mengenai program Future, yang terletak 4,300km jauhnya di pejabat Huawei Malaysia dan Pusat Latihan Global Malaysia, menggunakan teknologi telepersidangan syarikat itu.

Zhengfei dalam kenyataan sama mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia atas sokongan diberikan terhadap pembangunan perniagaan syarikat itu di Malaysia sejak 18 tahun lepas.

“Kami sentiasa bersedia untuk belajar dan memenuhi keperluan kerajaan dan berkongsi pengalaman kami dalam ICT. Kami percaya pembangunan 5G yang tersebar luas akan meningkatkan lagi penggunaan teknologi digital ICT di Malaysia, ” katanya.

Huawei mula beroperasi di Malaysia pada 2001 dan kini mempunyai 11 pusat khidmat yang dikongsi di negara itu, menggaji kira-kira 2,400 pekerja.

Turut serta pada lawatan itu ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamarudin dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking.

-BERNAMA