Categories
GLOBAL

Hujan lebat di selatan China ragut 19 nyawa

GUANGZHOU, 12 JUN: Sekurang-kurangnya 19 orang maut selepas hujan lebat menyebabkan banjir di selatan China, lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan.

Di Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, hujan lebat selama seminggu mencetuskan banjir di enam bandar, yang meragut 12 nyawa dan menjejaskan lebih 570,000 orang, kata jabatan pengurusan kecemasan serantau dalam makluman terkini pada petang Selasa.

Banjir meruntuhkan lebih 1,300 rumah dan merosakkan 33,500 hektar tanaman, menurut jabatan itu.

Biro meteorologi serantau meramalkan hujan lebat antara malam Selasa dan Khamis.

Hujan lebat melebihi 300 mm diramalkan berlaku di bahagian timur laut Guangxi.

Di Wilayah Guangdong, tujuh orang maut manakala seorang masih hilang setakat pukul 10 pagi Selasa selepas hujan lebat menyebabkan jalan raya rosak dan rumah roboh.

Tiga daerah di bandar Heyuan adalah antara kawasan paling teruk terjejas dalam pusingan hujan ribut terkini yang berterusan selama seminggu.

Lebih 110,000 orang terjejas dan 956 rumah rosak.

Pihak berkuasa meteorologi China pada Selasa mengekalkan amaran biru bagi hujan lebat serta meramalkan berlaku hujan ribut di Guizhou, Chongqing, Guangxi, Guangdong, Hunan, Fujian dan Gansu.

Sesetengah wilayah selatan akan mengalami hujan lebat sehingga 150 mm di beberapa bahagian di Guizhou, Guangxi dan Guangdong.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Alor Setar dilanda banjir kilat, hujan lebat lebih 3 jam

ALOR SETAR 11 OKT: Hujan lebat lebih tiga jam pagi tadi, menyebabkan beberapa kawasan sekitar bandar raya ini dinaiki air antara 0.3 hingga hampir satu meter.

BH ONLINE melaporkan antara lokasi dinaiki air ialah Bukit Pinang, Kepala Batas, Taman Mergong, Jalan Sultanah Bahiyah, Jalan Teluk Wanjah dan Kampung Tok Jalai.

Dua jalan utama yang ditenggelami air ialah Jalan Alor Setar-Hutan Kampung dan Alor Setar-Kepala Batas, manakala jalan alternatif atau jalan kampung turut dinaiki air.

Difahamkan, air mula melimpah selepas beberapa longkang utama dan sungai gagal menampung jumlah air yang banyak susulan hujan lebat melanda sejak jam 4.30 pagi itu.

Malah, lebih 100 murid Sekolah Kebangsaan Bukit Pinang terpaksa dipindahkan sebelum dibenar pulang ke rumah masing-masing berikutan air naik ke paras lutut.

Penyelaras Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Kapten (PA) Saifuddin Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai banjir kilat yang berlaku di SK Bukit Pinang, jam 10.30 pagi.

“Sepasukan unit kecemasan bergerak menggunakan kenderaan pacuan empat roda bergegas ke lokasi bagi membantu memindahkan murid yang terkandas.

“Semua murid terbabit dipindahkan ke kawasan tinggi sebelum diambil keluarga masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Saifuddin berkata, pihaknya menjangkakan banjir surut menjelang petang kerana hujan mula beransur reda.

“Buat masa ini, semua anggota APM diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi memastikan bantuan dapat disalurkan segera,” katanya.

 

 

GAMBAR: SUMBER FB ADUAN RAKYAT KEDAH

=EZY=

Categories
NASIONAL

MET: Amaran hujan lebat peringkat jingga dikeluarkan

SHAH ALAM 26 DIS: Amaran hujan lebat peringkat jingga dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berlaku di pantai timur Semenanjung Malaysia.

MetMalaysia dalam satu kenyataan menyatakan hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana lebat berlaku di negeri Pahang (Daerah Maran, Bera, Rompin, Pekan, Kuantan dan Jerantut) dan Terengganu dijangka berterusan sehingga Rabu, 28 Disember.

amaran-jingga

Sementara amaran hujan lebat peringkat kuning dijangka berlaku di Kelantan mulai sehingga Rabu, 28 Disember.

Hujan lebat dijangka berlaku di Johor dan Sarawak (Bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah dan Bintulu) mulai dari Rabu, 28 Disember sehingga Jumaat, 30 Disember.

MetMalaysia melalui laman web dikemas kini pada jam 6.15 pagi tadi, melaporkan Nock-Ten  dicerap pada jam 5 pagi itu berada di latitud 13.4 Utara dan longitud 122.0 Timur, kira-kira 179km ke tenggara Manila, Filipina.

Taufan (Nock-Ten) bergerak ke arah barat dengan kelajuan 20 kilometer sejam (km/j).

Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang dengan kelajuan 40 hingga 50 km/j dan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter di kawasan perairan Laut China Selatan.

=EZY=