Categories
AGENDA NASIONAL

KeTSA bantu usaha pemulihan Hutan Simpan Kuala Langat Utara

PUTRAJAYA, 15 SEPT: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan membantu usaha restorasi kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU), kata Menterinya Datuk Seri Takiyuddin Hassan susulan keputusan kerajaan Selangor menghentikan cadangan pelan pembangunan di kawasan itu.

Beliau berkata KeTSA menyambut baik keputusan kerajaan Selangor untuk menghentikan cadangan pelan pembangunan ke atas kawasan HSKLU seluas 536.7 hektar yang dinyahwartakan baru-baru ini, dan akan memulakan proses pewartaan semula sebahagian besar kawasan terbabit sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Katanya, KeTSA telah mengarahkan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Mineral dan Geosains memberikan kerjasama membantu kerajaan Selangor untuk memelihara dan memulihkan kawasan HSKLU.

“Kawasan HSKLU adalah hutan paya gambut, (kerjasama) ini adalah bagi memastikan fungsinya dalam memberikan perkhidmatan ekosistem sentiasa terpelihara di samping bagi mencegah kebakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 8 Sept lepas, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan hanya 42 hektar daripada jumlah keseluruhan 536.7 hektar kawasan HSKLU kekal dinyahwarta.

Amirudin berkata tindakan itu bagi melengkapkan pemberimilikan tanah kepada Kampung Orang Asli Busut Baru bagi menyelesaikan isu tertangguh sejak 2006 yang mana mereka telah dipindahkan dari penempatan asal mereka pada 1994 untuk tujuan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Takiyuddin berkata KeTSA juga mengalu-alukan penglibatan semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak komuniti setempat untuk memulihkan hutan simpan HSKLU.

Beliau dalam pada itu berkata KeTSA turut menyambut baik keputusan kerajaan Selangor untuk mengekalkan status kawasan gantian seluas 579.64 hektar yang diwartakan sebagai HSK iaitu Hutan Simpan Sungai Panjang, Hutan Simpan Buloh Telor Barat, Hutan Simpan Buloh Telor Timur dan Hutan Simpan Broga.

“Ini adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan Malaysia untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi kawasan berhutan selaras dengan komitmen yang dinyatakan di peringkat antarabangsa,” katanya.

– BERNAMA

Categories
PENDAPAT PILIHAN MINGGUAN RENCANA

Bijak imbangi alam sekitar dan pembangunan ekonomi

PENYOKONG dan penentang nyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) mengambil pendirian terlalu kaku berbanding usaha mencari titik tengah. Datuk Seri Wong Chun Wai mengajak kita semua berfikir isu ini dengan lebih luas dan menimbang pelbagai sudut persoalan.

Tulisan ini diterbitkan tiga hari sebelum keputusan Kerajaan Negeri membatalkan nyahwarta HSKLU pada 8 September.

Keputusan Kerajaan Selangor menyahwarta sebahagian besar hutan untuk pembangunan sememangnya tidak popular dan Dato’ Menteri Besar terpaksa berhadapan pelbagai soalan yang dilontarkan mengenainya.

Tambahan pula ketika ini pilihan raya umum semakin dekat dan Parti Keadilan Rakyat yang mengepalai Kerajaan Negeri tentunya sedar akan sentimen pengundi bandar berhubung perkara berkenaan.

Dato’ Seri Amirudin Shari kini berada pada kedudukan tidak menyenangkan dalam menguruskan tekanan dari pelbagai sudut susulan cadangan menyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) bagi tujuan pembangunan.

Lebih mudah bagi Dato’ Menteri Besar jika keputusan sama dibuat di Pahang atau Kelantan memandangkan kedua-dua negeri itu mempunyai kawasan hutan lebih luas.

Bagaimanapun bagi penduduk bandar amat sayangkan hutan, mengangkat perjuangan alam sekitar dengan penuh ghairah.
Badan bukan kerajaan dan aktivis alam sekitar menunjukkan rasa kurang senang terhadap langkah menyahwarta hutan berkenaan.

Keadaan itu semakin membahang apabila syarikat awal itu dikatakan ada hubungan dengan istana, meski ia sudah ditutup, sementara sebuah syarikat dari Sarawak pula turut berminat dengan tanah berkenaan.

Syarikat terbabit dijangka menerima 495 hektar tanah, daripada cadangan awal 931.17 hektar, untuk dimajukan kepada pembangunan bercampur.

Walaupun pelbagai cerita disajikan, senantiasa ada kisah lain di sebalik isu ini. Penyokong nyahwarta berhujah laporan perunding Universiti Putra Malaysia (UPM) mencadangkan hutan simpan ganti lebih besar, seluas 1,058 hektar berbanding HSKLU seluas 991.5 hektar.

Kawasan hutan ganti berkenaan terletak di Sabak Bernam (308 hektar), Hulu Selangor (207 hektar) dan Hulu Langat (63 hektar).

Namun, kontroversi utama bermula daripada tanggapan kononnya komuniti Orang Asli mungkin akan dipindahkan.
Orang Asli terbabit wajar mendapat layanan lebih baik apabila empat kampung berdekatan HSKLU akan diwartakan dan diberikan hak milik tanah yang mereka duduki selama beberapa tahun.

Rizab Orang Asli

Penduduk Kampung Orang Asli Busut Baru masih belum mendapat hak milik apabila mereka dipindahkan dari kawasan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA walau dahulu mereka pernah dijanjikan tanah seluas 404 hektar.

Malah penduduk kampung-kampung lain juga menunggu lebih lama untuk mendapat apa yang dijanjikan kepada mereka.
Selama 27 tahun, penduduk kampung Orang Asli terbabit tidak pernah mendapat apa yang dijanjikan atau hak milik tanah.

Ke mana perginya orang-orang yang memperjuangkan nasib mereka selama ini? Akhirnya dalam tahun ini, Dato’ Menteri Besar dan EXCO meluluskan hak milik tanah empat kampung Orang Asli yang terletak di luar HSKLU.

Kampung Orang Asli Busut, contohnya, menerima 364 hektar tanah di atas tapak penempatan sedia ada dan tambahan 41 hektar lagi dekat HSKLU.

Lebih menghairankan, pemegang taruh di Bukit Cheeding, Pulau Kempas dan Bandar Saujana Putra yang berada di sekitar HSKLU tidak membantah keputusan nyahwarta tersebut, tetapi bantahan muncul dari Kampung Busut Baru.

Ironinya, Kerajaan Negeri sudah menunaikan janji memberi tanah kepada penduduk Orang Asli kampung itu, namun penduduk berkenaan pastinya mempunyai alasan kukuh untuk membantah dan ia wajarlah dihormati.

Kebanyakan daripada kita yang membincangkan topik ini mungkin tidak pernah mendengar nama tempat-tempat berkenaan dan mungkin juga tidak pernah menjejakkan kaki di sana untuk mendapat pandangan komuniti Orang Asli itu.

Sebahagian daripada kita beranggapan Orang Asli di Selangor masih bergantung kepada hutan untuk mendapatkan makanan.

Berlainan sekali dengan tanggapan berkenaan, Orang Asli sebenarnya sudah bersama masyarakat moden negara ini. Malah di Bukit Lanjan, tidak jauh dari pusat beli belah 1 Utama, terdapat penempatan Orang Asli yang besar, majoritinya daripada suku Temuan.

Saya tahu kerana saya sering membantu kumpulan gereja mengedarkan makanan kepada sesetengah anak-anak Orang Asli dari Pahang.

Saya yakin rakyat Malaysia yang membantah penyahwartaan berniat baik kerana kawasan hutan kita semakin kurang dan kita mahu melindungi usaha pemuliharaan air dan tanah, kepelbagaian hayat dan hal-hal berkaitan alam sekitar.

Asalnya, HSKLU adalah hutan simpan paya gambut berusia 8,000 tahun yang berkeluasan 7,200 hektar pada tahun 1927.

Kebijaksanaan sebenar terletak pada usaha mengimbangi penjagaan alam sekitar, pembangunan ekonomi Selangor dan kesediaan tanah bagi tujuan berkenaan.

Tanah adalah urusan negeri dan kuasanya terletak di tangan Kerajaan Negeri seperti yang tertulis dalam Akta Perhutanan Negara 1984.

Premium tanah

Penyokong dan penentang nyahwarta HSKLU mempunyai hujah tersendiri, walau sering terlupa melihat butiran terperinci, tetapi warga Malaysia khususnya rakyat Selangor perlu tahu dan faham fakta-fakta ini.

Untuk makluman, 40 peratus HSKLU sudah merosot akibat penerokaan dan kebakaran selama beberapa tahun. Maka, kawasan ini bukanlah hutan dara dengan aliran air sungai yang jernih dipenuhi ikan dan udang seperti kita semua bayangkan.

Hakikatnya, kira-kira RM2.2 juta sudah dihabiskan hanya untuk menangani kebakaran.

Selain itu, dalam satu hektar kawasan itu, hanya ada lima atau enam pokok besar atau hanya dua atau tiga spesies ditemui berbanding beratus-ratus spesies di dalam kawasan hutan yang sihat, berdasarkan laporan UPM tersebut.

Dalam perdebatan ini tentunya ada orang akan berhujah kita boleh menanam semula dan memulihara hutan rosot.
Namun tidak ramai menyedari Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepatutnya melalui sebahagian kecil kawasan hutan berkenaan iaitu kira-kira 2 peratus keluasan hutan.

Bagaimanapun, rancangan itu diubah kerajaan Perikatan Nasional dan laluan tren sekarang dikembalikan ke jajaran asal di utara Selangor merentasi Gombak.

Kerajaan Selangor memperoleh hasil sebanyak RM2.2 bilion tahun lalu. Premium tanah menyumbang kira-kira RM1.074 bilion, iaitu sekitar 55 peratus, manakala cukai tanah mewakili 25 peratus hasil tersebut atau sebanyak RM542 juta.

Amirudin menghadapi jumlah bayaran saman mahkamah melebihi RM255 juta yang terpaksa ditanggung Kerajaan Selangor saat ini kerana ia kalah dalam tiga perbicaraan berkaitan isu pengambilan tanah ketika pentadbiran Dato’ Menteri Besar terdahulu.

Jumlah pampasan yang Selangor perlu bayar akibat pengambilan tanah yang tidak mengikut undang-undang berjumlah RM1.3 bilion. Jumlah RM220 juta itu jumlah yang perlu dibayar Kerajaan Selangor ketika ini.

Malang sekali Dato’ Menteri Besar hari ini terpaksa memikul beban kesilapan pendahulunya Tan Sri Khalid Ibrahim.

Dato’ Menteri Besar patut menerangkan kepada semua jika benar Selangor, walaupun negeri terkaya di Semenanjung Malaysia, sedang berhadapan kesukaran kewangan kerana ia telah membelanjakan RM1.1 bilion untuk memerangi wabak Covid-19.

Ekonomi yang lembab, walau Selangor menyumbang 23 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), negeri ini hanya mendapat semula kurang 10 peratus daripada kerajaan persekutuan.

Inilah pengajarannya untuk semua ahli politik – menang pilihan raya memang mudah tetapi mentadbir negeri dan mengurus belanjawan lebih sukar.

Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, Selangor mempunyai 6.55 juta penduduk dengan peningkatan purata 1.5 peratus setiap tahun, bermakna menjelang 2030, 1.05 juta orang lagi akan menjadi penduduk negeri. Saya tidak pasti sama ada pendatang tanpa izin dimasukkan dalam anggaran ini.

Rancangan Fizikal Negara Kedua menyatakan Selangor terletak di tengah-tengah bandar mega termasuk Kuala Lumpur, Putrajaya dan Seremban.

Perbendaharaan Kerajaan Negeri semakin kurang. Pulau Pinang mengadakan rundingan dengan pemaju untuk menebus guna tanah laut. Minggu lalu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berhasrat menjual tanah dan memindahkan hak milik tanahnya yang belum dimajukan kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Katanya, negeri mengutip hasil RM386 juta setakat Jun 2021, atau 76 peratus daripada anggaran hasil tahunan sebanyak RM506 juta, sekali gus mendedahkan hasil tidak dapat dikutip sepenuhnya pada 2021.

Pulau Pinang ketika ini menghadapi kritikan daripada rakyatnya dan badan bukan kerajaan atas dakwaan menghapuskan kawasan perikanan.

Untuk Selangor, cabarannya adalah mendapatkan sumber hasil tatkala kewangan semakin menguncup, membangunkan tanah untuk penduduk yang makin berkembang dan memastikan warga Selangor kekal selamat serta kilang-kilang terus dibuka.

Selangor menghadapi tekanan yang tidak dialami oleh menteri besar atau ketua menteri negeri lain kerana peluang pekerjaan di sini telah menarik jutaan orang ke negeri itu.

Pada masa sama, negeri ini perlu memuaskan tuntutan pengundi yang mahu melindungi hutan sebagai warisan dan alam sekitar. Jika tidak, pokok-pokok yang hilang itu tidak dapat diganti kelak.

Mereka yang bersetuju atau menentang langkah menyahwarta telah mengambil pendirian terlalu kaku berbanding usaha mencari titik tengah – kisah klasik kegagalan melihat keseluruhan hutan kerana hanya nampak pokok (lupa keseluruhan isu tetapi nampak beberapa perkara sahaja).

Justeru apa tindakan pemimpin politik apabila kontroversi ini tidak boleh diselesaikan? Tangguhkan keputusan dan semak semula.

Terjemahan penuh artikel ‘The Bigger Picture’(Sunday Star, 5 September 2021)

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pengarah: Tujuh tahun nilai sebelum lulus, bantahan nyahwarta HSKLU tidak kukuh

SHAH ALAM, 7 SEPT: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor mengambil masa selama tujuh tahun menilai permohonan untuk membangunkan sebahagian Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU), kata pengarahnya.

Dato’ Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata sejak menerima cadangan itu pada 2014, jabatannya melakukan kajian dan berbincang dengan pelbagai pihak sebelum bersetuju untuk menyahwarta kawasan tersebut.

“Proses ini tidak mudah kerana ambil masa sejak 2014 hingga ke 2021, untuk menyahwarta kita perlukan tujuh tahun, keputusan dilakukan bukannya dalam tempoh singkat.

“Perkara ini tidak boleh diambil enteng serta harus melalui pelbagai proses sebelum diputuskan, malah pertimbangan perlu dibuat dari segi sosioekonomi,” katanya kepada SelangorKini.

Ahmad Fadzil berkata selepas kajian, sesi penyiasatan awam dianjurkan pada September tahun lalu bagi mendapatkan pandangan individu, badan bukan kerajaan, agensi kerajaan dan pihak swasta.

Pemandangan dari udara Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) yang dinyahwarta untuk pembangunan tetapi diganti dengan hutan gambut dan bukit yang sama nilai biodiversiti. Foto oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor

“Jawatankuasa Penyiasatan Awam telah meneliti semua bantahan, namun bantahan dikemukakan tidak kukuh untuk Kerajaan Negeri mengekalkan HSKLU,” katanya.

Pada hujung 2019, Kerajaan Selangor mula merancang untuk membangunkan sebahagian HSKLU kepada pembangunan bercampur seperti perumahan.

HSKLU ingin dibangunkan susulan kemajuan pesat di kawasan sekitarnya, termasuk projek perumahan Saujana Putra, Lebuh Raya Elite, ladang Boh Bukit Cheeding dan Gamuda Cove.

Proses penukaran status tanah dibuat mengikut Seksyen 11 (b) Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 yang membenarkan negeri mengeluarkan kawasan hutan simpan jika mendapati ia ada kegunaan ekonomi yang lebih tinggi.

Kerajaan Selangor bagaimanapun diwajibkan menggantikan hutan simpan kekal di tanah lain yang lebih kurang sama saiznya seperti diperuntuk dalam Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984.

Seluas 581.48 hektar di tiga daerah disediakan bagi menggantikan 536.7 hektar HSKLU yang dinyahwarta. Ia di Sungai Panjang, Sabak Bernam (seluas 308.62 hektar), Ampang Pechah, Hulu Selangor (208.98 hektar) dan Bukit Broga, Hulu Langat (63.88 hektar).

Susulan penyiasat awam tersebut, Kerajaan Negeri meluluskan lebih kurang separuh sahaja nyahwarta HSKLU pada Mei tahun ini. Namun keputusan ini mungkin disemak dalam masa terdekat.

HSKLU yang sering terbakar mengalami kemerosotan nilai kepelbagaian flora dan fauna dan diganti dengan tiga kawasan hutan simpan yang lebih baik di tiga daerah tersebut.

Kawasan penempatan Orang Asli di Busut Baru tidak terjejas dengan nyahwarta HSKLU kerana ia terletak di luar kawasan hutan simpan berkenaan.

Malah, Kerajaan Negeri menambahkan keluasan penempatan suku Temuan di tepi hutan simpan setelah perkampungan asal mereka dibangunkan untuk lapangan antarabangsa di Sepang.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kampung Orang Asli di luar Hutan Simpan Kuala Langat Utara, bukan tanah turun-temurun

SHAH ALAM, 7 SEPT: Perkampungan Orang Asli di luar kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) bukan penempatan warisan turun-temurun seperti didakwa pihak tertentu, kata pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.

Dato’ Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata rekod dan semakan dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mengesahkan tiada rizab tanah Orang Asli di kawasan tersebut.

Masyarakat Orang Asli di situ dipindahkan lebih 20 tahun lepas dari Sepang bagi membolehkan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan dijanjikan penempatan baharu seluas 1,000 ekar.

Pengarah jabatan Perhutanan Negri Selangor, Dato’ Ahmad Fadzil Abd Majid ketika temu bual di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

“Setakat hari ini, masyarakat Orang Asli diberi tanah lebih 850 ekar untuk penempatan, manakala baki dalam 100 ekar lebih lagi akan diberikan sebaik proses penyahwartaan HSKLU selesai.

“Kerajaan Negeri akan genapkan jumlah 1,000 ekar dan melunaskan janji kepada masyarakat Orang Asli, kita (Kerajaan Negeri kini) berjaya selesaikan isu Orang Asli,” katanya kepada SelangorKini.

Ahmad Fadzil berkata dakwaan terdapat banyak kubur Orang Asli di HSKLU juga tidak tepat kerana siasatan mendapati hanya terdapat satu kubur sahaja setelah mereka berpindah ke kawasan tersebut.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadzil berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau aktivis alam sekitar bersikap terbuka dalam isu penyahwartaan HSKLU.

“Saya faham NGO mempertahankan hak Orang Asli tetapi adakah kita tidak hendak melihat Orang Asli ikuti arus pembangunan? Langkah diambil kerajaan telah banyak bawa arus pembangunan kepada Orang Asli,” katanya.

HSKLU yang sering terbakar mengalami kemerosotan nilai kepelbagaian flora dan fauna dan diganti dengan tiga kawasan hutan simpan yang lebih baik di daerah Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Hulu Langat.

Kerajaan Negeri juga meluluskan lebih kurang separuh sahaja nyahwarta HSKLU setelah mendapat maklum balas orang ramai dalam penyiasatan awam yang mengambil masa lebih setahun.

Kawasan penempatan Orang Asli di Busut Baru tidak terjejas dengan nyahwarta tersebut. Namun keputusan nyahwarta ini sedang disemak semula oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam masa terdekat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Isu hutan simpan dibawa semula ke mesyuarat MMKN

SHAH ALAM, 3 SEPT: Isu berhubung Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) akan dibawa semula ke dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) pada 8 September ini.

Menerusi kenyataan bersama pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) Selangor, mereka bersetuju agar Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membawa isu itu untuk pertimbangan selanjutnya.

“Pengerusi parti komponen PAKATAN Selangor telah bertemu pagi ini bagi membincangkan isu berkaitan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

“Semua pihak telah sependapat supaya Dato’ Menteri Besar membawa isu itu dalam MMKN pada Rabu (8 September) untuk dipertimbangkan halatuju dan keputusan dalam isu ini,” menurut kenyataan berkenaan.

Kenyataan tersebut dibuat bersama Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Selangor merangkap Pengerusi PAKATAN Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo dan Pengerusi Amanah Selangor Ir Izham Hashim.

Kenyataan sama menyebut bantahan terhadap cadangan lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) turut akan dibincang =dalam mesyuarat tersebut selain menolak sebarang usaha menghidupkan semula seumpama pembangunan Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex).

“Pengerusi parti komponen PAKATAN Selangor komited menjunjung semua prinsip asas kami berhubung alam sekitar dan agenda kepedulian rakyat sebagai pedoman dan panduan dalam setiap perancangan pembangunan negeri,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Proses lanjut nyahwarta ditangguh, pertimbang isu berbangkit

SHAH ALAM, 1 SEPT: Proses lanjut selepas penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) akan ditangguh sementara Kerajaan Negeri mempertimbang isu berbangkit.

Keputusan demikian diambil setelah Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari memberi penjelasan berhubung isu Hutan Simpan Kuala Langat kepada Biro Politik KEADILAN.

Biro Politik berpuas hati setelah mendapat makluman Amirudin, yang juga Dato’ Menteri Besar, akan berbuat demikian hingga selesai menjelaskan isu berbangkit, kata pengarah komunikasi parti itu.

“Biro Politik telah menegaskan bahawa keputusan perlu berpegang kepada beberapa prinsip asas termasuk kepentingan penjagaan alam sekitar; urus tadbir proses perolehan serta penilaian yang telus, terbuka dan baik; serta kesan penyahwartaan HSKLU terhadap masyarakat amnya yang perlu diminimakan,” kata Fahmi Fadzil.

Mesyuarat tersebut turut mendengar penjelasan EXCO Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian.

Kira-kira separuh sahaja kawasan HSKLU dinyahwarta untuk pembangunan setelah penyiasatan awam dijalankan selama lebih setahun.

Selain tidak menjejaskan perkampungan Orang Asli di situ, kawasan hutan simpan yang lebih luas diganti di tiga daerah bagi mencapai sasaran 30 peratus hutan simpan kekal.

HSKLU sering terbakar dan menyebabkan jerebu, justeru nilai kepelbagaian hayat (biodiversity) hutan tersebut sudah merosot hingga 40 peratus.

Sementara itu, kata Fahmi lagi, Biro Politik KEADILAN juga dimaklumkan Kerajaan Negeri tidak terlibat dalam projek lebuh raya PJD Link yang diluluskan kerajaan persekutuan kecuali hal-ehwal kelulusan tanah.

“Menteri besar juga telah menjelaskan bahawa pihak PJD Link harus melaksanakan perundingan awam bagi mendapatkan pandangan menyeluruh berkaitan isu-isu teknikal serta kesan-kesan sosial yang mungkin timbul daripada projek ini,” tambahnya, yang juga ahli parlimen Lembah Pantai.

“Beliau (Amirudin) memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri belum memberi apa-apa kelulusan berhubung PJD Link dan pihak PJD Link wajib melalui proses pendengaran awam semula dengan semua pemegang taruh dan harus kembali kepada Kerajaan Negeri untuk proses-proses seterusnya.”