Categories
AGENDA NASIONAL

Jabatan hutan diarah kenal pasti lokasi risiko, pasang sistem amaran elak bencana

KUALA LUMPUR 11 JAN: Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) diarah supaya segera mengenal pasti kawasan berisiko tinggi dilanda bencana di seluruh Semenanjung Malaysia.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata langkah itu sebagai tindakan serta-merta untuk mengelakkan insiden lambakan kayu hanyut, puing, gelinciran tanah dan kejadian kepala air di beberapa buah negeri ekoran berlakunya hujan lebat serta banjir besar, baru-baru ini.

Beliau berkata setakat ini JPSM telah menggunakan aplikasi sistem Forest Monitoring using Remote System (FMRS) termasuk penggunaan dron bagi tujuan penguatkuasaan, pemantauan dan pengesanan perubahan litupan kawasan hutan secara masa nyata.

“Saya juga telah mengarahkan JPSM untuk mengemukakan laporan tersebut serta langkah-langkah mitigasi yang boleh dilaksanakan dalam tempoh sebulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata JPSM juga diminta mengenal pasti kawasan Taman Eko Rimba dan hutan-hutan lipur yang belum dipasang dengan sistem amaran awal untuk pemasangan segera bagi memastikan kawasan berkenaan selamat kepada penduduk setempat serta orang awam.

Takiyuddin menjelaskan dalam sektor pengurusan perhutanan, dasar Kerajaan Persekutuan adalah jelas iaitu berasaskan amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan.

Beliau berkata SFM merangkumi pelaksanaan sistem tebangan memilih (SMS), Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dan persijilan pengurusan hutan berdasarkan Malaysian Criteria and Indicators for Forest Management Certification (MC&I).

“Selain itu, urus tadbir sektor perhutanan dikawal selia melalui Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] dan ordinan atau enakmen perhutanan di negeri-negeri,” katanya.

Takiyuddin berkata kerajaan turut memastikan pengawalan aktiviti pengusahasilan di hutan tanah kerajaan melalui Pekeliling Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia bertajuk ‘Panduan Amalan Baik Hutan untuk Pengusahasilan Kayu Kayan Tanah Kerajaan’ pada tahun 2016.

Justeru, beliau berkata Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) komited dalam memastikan kekayaan sumber asli kita terus dijaga, diuruskan secara mampan dan digunakan secara bertanggungjawab.

“Saya menyeru semua pemegang taruh, termasuk kerajaan negeri selaku pengurus sumber asli di peringkat negeri untuk bersama-sama KeTSA memastikan dasar Kerajaan Persekutuan dilaksana dan dipantau demi pembangunan negara yang mampan dan masa depan generasi akan datang,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata tindakan meningkatkan kawasan berhutan sedia ada di Semenanjung Malaysia daripada 43.41 peratus kepada 50 peratus menjelang tahun 2040, selaras dengan Rancangan Fizikal Negara Keempat dipersetujui dalam Mesyuarat Pertama Pasukan Petugas Kebangsaan Bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF) di Putarajaya yang dipengerusikan beliau.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KeTSA bantu usaha pemulihan Hutan Simpan Kuala Langat Utara

PUTRAJAYA, 15 SEPT: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan membantu usaha restorasi kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU), kata Menterinya Datuk Seri Takiyuddin Hassan susulan keputusan kerajaan Selangor menghentikan cadangan pelan pembangunan di kawasan itu.

Beliau berkata KeTSA menyambut baik keputusan kerajaan Selangor untuk menghentikan cadangan pelan pembangunan ke atas kawasan HSKLU seluas 536.7 hektar yang dinyahwartakan baru-baru ini, dan akan memulakan proses pewartaan semula sebahagian besar kawasan terbabit sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Katanya, KeTSA telah mengarahkan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Mineral dan Geosains memberikan kerjasama membantu kerajaan Selangor untuk memelihara dan memulihkan kawasan HSKLU.

“Kawasan HSKLU adalah hutan paya gambut, (kerjasama) ini adalah bagi memastikan fungsinya dalam memberikan perkhidmatan ekosistem sentiasa terpelihara di samping bagi mencegah kebakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 8 Sept lepas, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan hanya 42 hektar daripada jumlah keseluruhan 536.7 hektar kawasan HSKLU kekal dinyahwarta.

Amirudin berkata tindakan itu bagi melengkapkan pemberimilikan tanah kepada Kampung Orang Asli Busut Baru bagi menyelesaikan isu tertangguh sejak 2006 yang mana mereka telah dipindahkan dari penempatan asal mereka pada 1994 untuk tujuan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Takiyuddin berkata KeTSA juga mengalu-alukan penglibatan semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak komuniti setempat untuk memulihkan hutan simpan HSKLU.

Beliau dalam pada itu berkata KeTSA turut menyambut baik keputusan kerajaan Selangor untuk mengekalkan status kawasan gantian seluas 579.64 hektar yang diwartakan sebagai HSK iaitu Hutan Simpan Sungai Panjang, Hutan Simpan Buloh Telor Barat, Hutan Simpan Buloh Telor Timur dan Hutan Simpan Broga.

“Ini adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan Malaysia untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi kawasan berhutan selaras dengan komitmen yang dinyatakan di peringkat antarabangsa,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Tiada kelulusan lombong bukan radioaktif di hutan simpan kekal

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) tidak mengeluarkan sebarang kelulusan untuk aktiviti perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di kawasan Hutan Simpan Kekal, kata menterinya Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata kelulusan di kawasan selain dari Hutan Simpan Kekal adalah tertakluk kepada penilaian dan kelulusan teknikal yang diperoleh terlebih dahulu.

“Setakat ini, masih belum ada mana-mana pihak yang memohon dan diberikan kelulusan untuk menjalankan perlombongan NR-REE.

“Mana-mana pihak yang melakukan perlombongan tanpa kebenaran dan kelulusan akan diambil tindakan mengikut sistem perundangan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, kawalan tatacara operasi piawai (SOP) dan perundangan adalah penting bagi memastikan aktiviti berkaitan perlombongan NR-REE tidak memberi kesan negatif terhadap kelestarian alam sekitar, keselamatan, kesihatan pekerjaan dan kesejahteraan masyarakat.

Beliau berkata kementerian akan terus memastikan aktiviti perlombongan diusahakan secara mampan dan perlu mematuhi SOP yang ditetapkan.

Menurutnya, ketika ini SOP perlombongan NR-REE dalam proses akhir untuk dimuktamadkan.

-BERNAMA