Categories
EKONOMI

Hutang dan liabiliti kerajaan berjumlah RM1.1 trilion setakat akhir 2018

 

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 JUN: Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan hutang dan liabiliti kerajaan adalah berjumlah RM1.1 trilion atau kira-kira 75.4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara setakat akhir 2018.

Jumlah itu berikutan peningkatan hutang langsung Kerajaan Persekutuan sebanyak RM54.2 bilion kepada RM741.0 bilion daripada RM686.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Katanya, peningkatan hutang langsung ini adalah untuk membiayai defisit fiskal, terutamanya bagi menampung komitmen pajakan PPP dan perbelanjaan off-budget yang sebelum ini tidak dimasukkan ke dalam penyata kewangan kerajaan secara telus.

“Jumlah jaminan yang ditanggung dan dibayar oleh kerajaan juga meningkat, khususnya bagi membiayai projek pengangkutan awam sedia ada yang sedang diteruskan seperti ECRL, MRT dan LRT.

“Peningkatan liabiliti ini bukanlah bagi membiayai projek infrastruktur baharu, tetapi adalah untuk menampung pembiayaan projek-projek yang sedang dilaksanakan.

“Dengan kata lain, peningkatan liabiliti ini adalah bagi menampung keperluan projek-projek yang diluluskan oleh pentadbiran terdahulu,” katanya dalam kenyataan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Hutang (JPH) bersama sembilan anggota lain di MOF, Putrajaya.

MOF menyatakan, JPH akan mengenal pasti langkah-langkah untuk mengurangkan hutang dan liabiliti kerajaan ke paras yang lebih terkawal, sambil meningkatkan kecekapan pengurusan hutang dan liabiliti.

Ini termasuklah pengkajian semula projek berkos tinggi dan pengenalpastian jaminan yang ditanggung dan dibayar kerajaan yang boleh distruktur semula.

“Kerajaan komited terhadap langkah konsolidasi fiskal, serta konsolidasi hutang dan liabiliti secara menyeluruh.

“Langkah ini diperlukan kerana caj pembayaran balik hutang daripada pelbagai obligasi kewangan mengekang kerajaan daripada menyediakan peruntukan kepada program dan projek lain yang lebih produktif.

“Pada masa kini, terdapat hutang dijamin kerajaan yang mempunyai kadar pembiayaan yang sama dengan entiti korporat tempatan bertaraf ‘AAA’.

“Bagaimanapun, kos pembiayaan ke atas hutang yang dijamin kerajaan seharusnya hampir setara dengan kos terbitan kertas hutang Kerajaan seperti Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS).

“Setakat 31 Mei 2019, kadar kupon MGS bagi tempoh 10 tahun adalah 3.78% setahun dan ini adalah antara kadar terendah sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.

Di samping itu, jawatankuasa juga akan menyemak semula segala akta, prosedur dan perundangan yang berkaitan dengan hutang langsung kerajaan, jaminan kerajaan serta komitmen lain.

 

Categories
NASIONAL

Selebriti terkejut, hutang negara cecah RM1 trilion

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 22 MEI: Selebriti tempatan, Chef Wan melahirkan rasa terkejut berhubung laporan bebanan hutang RM1 trilion yang terpaksa ditanggung Putrajaya kini.

Di Instagram, Chef Wan berkata, pentadbiran kerajaan terdahulu ternyata gagal dan hanya bijak memanipulasi fakta sebenar kepada rakyat.

“Harapkan pagar, pagar makan padi! Segala hutang ini akan menyusahkan lagi masa depan kita semua sampai ke cucu cicit kita,” kesalnya.

Kebimbangan sama turut dinyatakan penyanyi Kaer Azami yang turut berkongsi kesukarannya terpaksa bergelut dengan bebanan pentadbiran Kerajaan Putrajaya sebelum ini.

“Rakyat terpaksa membayar kadar pencukaian yang tinggi. Kita semua berhempas pulas berharap negara makin maju dan makmur,” katanya pada catatan balas di ruangan comment media sosial Chef Wan.

Semalam Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan nilai liabiliti hutang sebenar Kerajaan Malaysia yang ditinggalkan pentadbiran Umno Barisan Nasional.

Nilai terkini yang disebut Tun Mahahir, mencecah RM1 trilion, berbanding pentadbirannya sebelum ini yang tidak melebihi RM300 bilion.

“Bagaimana kita hendak menyelesaikan hutang ini adalah bergantung kepada usaha dan daya fikir kita untuk menghadapi cabaran ini.

“Justeru, kita perlu ada kerjasama antara pihak yang menjadi kerajaan menerusi wakil rakyat yang dipilih dan anggota pentadbiran kerajaan bagi menyelesaikan masalah itu,” katanya.

Categories
NASIONAL

Pakar Ekonomi: Peningkatan hutang Malaysia ancam masa depan ekonomi

SHAH ALAM 9 JUN: Pakar ekonomi dari United Kingdom, Sarah Fowler berkata Malaysia menghadapi risiko kejatuhan ekonomi dan kehilangan pasaran dunia dalam sektor eksport utama jika ia gagal mengawal hutang awam dan luar negara.

Sarah Fowler dari Oxford Economics berkata, wujud kerisauan dalam akaun utama Malaysia akibat kenaikan hutang luar, yang melonjak kepada 40 peratus daripada Keluaran Dalan Negara Kasar (KDNK) dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

hutangSementara itu hutang awam negara berbanding KDNK menjadi tertinggi sepanjang masa iaitu lebih 50 peratus sejak 2010 ekoran besarnya difisit fiskal akibat pelancaran pakej stimulasi yang agresif untuk memperkasakan ekonomi negara ketika krisis kewangan dunia.

“Menyelesaikan kebimbangan ini akan membolehkan Malaysia mencapai tahap peningkatan yang lebih tinggi, mencapai pendapatan per kapita secepat mungkin.

“Kami menjangka ekonomi hanya akan berkembang pada kadar 4 peratus untuk lima tahun akan datang, tetapi jika kebimbangan ini diselesaikan ia boleh meningkat kepada 4.5 [eratus,” katanya dipetik The Malaysian Insider.

Sarah Fowler yang mengeluarkan laporan “Kenapa Malaysia lebih berisiko berbanding Indonesia” dijadikan sumber laporan utama oleh kolumnis William Pasek melalui laman ekonomi dunia, Bloomberg minggu lalu, beliau menggunakan 17 penunjuk aras bagi membangunkan kad laporan menilai kerapuhan pasaran baru muncul kepada kejutan ekonomi dan kewangan luar.

Antara penunjuk arasnya adalah kemasukan modal, kewangan luaran, keseimbangan akaun semasa dan bajet, pasaran kredit dan ekonomi.

“Penilaian melalui penunjuk aras kami terhadap ekonomi Malaysia menunjukkan ia lebih rapuh berbanding Indonesia, Thailand atau India,” tulisnya dalam laporan itu.

Menyentuh mengenai hutang luar, Fowler melaporkan purata kemasukan modal bukan asing adalah 6.6 peratus daripada KDNK setahun antara 2009 dan 2012, tertinggi dalam sampel 13 peningkatan pasaran dan lebih berbanding Indonesia kira-kira 2.2 peratus.

“Lebih separuh kepada semua portfolio pelaburan di Malaysia pergi kepada sekuriti hutang antara 2010 ke 2012, meningkat hampir kepada ketiga antara 2005 dan 2009,” katanya.

Tentang hutang awam, Fowler berkata, walaupun Putrajaya berjaya mengurangkannya defisit fiskal dalam KDNK dari 6.5 peratus pada 2009 kepada 3 peratus tahun lalu, menjadi keperluan untuk mengawal kewangan awam secara berhati-hati untuk mengurangkan lagi defisit.

Katanya, ini boleh dilakukan dengan melebarkan tapak hasil cukai untuk cuba meningkatkan pendapatan.

“Hutang awam meningkat beberapa tahun kebelakangan ini dan mengurangkannya akan memberikan kebaikan kerana wang yang sekarang digunakan untuk membayar faedah hutang boleh digunakan untuk bahagian yang lebih produktif,” katanya.

EZY