Categories
AGENDA NASIONAL

TH lantik 22 syarikat sebagai Pengelola Jemaah Haji musim 2021

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Lembaga Tabung Haji (TH) memberi lesen haji kepada 22 syarikat pelancongan tempatan termasuk anak syarikatnya Tabung Haji Travel and Services Sdn Bhd (THTS) untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi 2021.

Pengarah Eksekutif Haji TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata pelantikan itu adalah sebahagian daripada pelan persediaan awal haji yang dilakukan oleh lembaga berkenaan.

“Setakat hari ini, kerajaan Malaysia dan TH masih lagi menunggu makluman rasmi berkaitan urusan haji untuk tahun 1442H/2021M (2021) daripada pihak berkuasa Arab Saudi.

“Oleh itu, semua PJH yang dilesenkan tidak dibenarkan lagi mengeluarkan sebarang iklan pakej-pakej haji sehingga kebenaran rasmi dikeluarkan oleh TH,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan TH hari ini.

Selain THTS, syarikat berkenaan ialah Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Alif Travel & Tours Sdn Bhd, Al-Balad Travel & Tours Sdn Bhd, Az Zuha Group Travel & Tours Sdn Bhd, Batuta Travel & Tours Sdn Bhd, C.S Holidays Sdn Bhd, Citra Travel & Tours Sdn Bhd, Eiman Travel & Tours Sdn Bhd, Gemilang Travel And Tours Sdn Bhd dan Jad Travel & Tours (M) Sdn Bhd.

Syarikat lain ialah Juara Travel & Tours Sdn Bhd, Masmas Travel & Tours Sdn Bhd, MIMM Travel & Tours Sdn Bhd, MKM Ticketing Travel & Tours Sdn Bhd, Rayhar Travels Sdn Bhd, Syarikat Pelancongan Yaskin Sdn Bhd, TM Tours & Travel Sdn Bhd, TRI-D Travel & Tours Sdn Bhd, UTAS Travel & Tours Worldwide Holidays Sdn Bhd, Wira Saujana Travel & Tours Sdn Bhd dan Zahafiz Travel & Tours Sdn Bhd.

Syed Saleh seterusnya mengingatkan mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa memperoleh kelulusan daripada TH merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

“TH berharap orang ramai sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, kerana lembaga itu tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai ejen dalam hal berkaitan tawaran serta pakej haji,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, semua wakil PJH yang hadir pada majlis penyerahan lesen PJH di Menara TH baru-baru ini telah diberikan taklimat berkaitan norma baharu pelaksanaan ibadah haji pada musim pandemik COVID-19.

Senarai PJH yang menerima lesen daripada TH boleh disemak di laman web rasmi TH (www.tabunghaji.gov.my) manakala bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC) di talian 03-6207 1919.

– BERNAMA

 

Categories
EKONOMI

Hutang dan liabiliti kerajaan berjumlah RM1.1 trilion setakat akhir 2018

 

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 JUN: Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan hutang dan liabiliti kerajaan adalah berjumlah RM1.1 trilion atau kira-kira 75.4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara setakat akhir 2018.

Jumlah itu berikutan peningkatan hutang langsung Kerajaan Persekutuan sebanyak RM54.2 bilion kepada RM741.0 bilion daripada RM686.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Katanya, peningkatan hutang langsung ini adalah untuk membiayai defisit fiskal, terutamanya bagi menampung komitmen pajakan PPP dan perbelanjaan off-budget yang sebelum ini tidak dimasukkan ke dalam penyata kewangan kerajaan secara telus.

“Jumlah jaminan yang ditanggung dan dibayar oleh kerajaan juga meningkat, khususnya bagi membiayai projek pengangkutan awam sedia ada yang sedang diteruskan seperti ECRL, MRT dan LRT.

“Peningkatan liabiliti ini bukanlah bagi membiayai projek infrastruktur baharu, tetapi adalah untuk menampung pembiayaan projek-projek yang sedang dilaksanakan.

“Dengan kata lain, peningkatan liabiliti ini adalah bagi menampung keperluan projek-projek yang diluluskan oleh pentadbiran terdahulu,” katanya dalam kenyataan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Hutang (JPH) bersama sembilan anggota lain di MOF, Putrajaya.

MOF menyatakan, JPH akan mengenal pasti langkah-langkah untuk mengurangkan hutang dan liabiliti kerajaan ke paras yang lebih terkawal, sambil meningkatkan kecekapan pengurusan hutang dan liabiliti.

Ini termasuklah pengkajian semula projek berkos tinggi dan pengenalpastian jaminan yang ditanggung dan dibayar kerajaan yang boleh distruktur semula.

“Kerajaan komited terhadap langkah konsolidasi fiskal, serta konsolidasi hutang dan liabiliti secara menyeluruh.

“Langkah ini diperlukan kerana caj pembayaran balik hutang daripada pelbagai obligasi kewangan mengekang kerajaan daripada menyediakan peruntukan kepada program dan projek lain yang lebih produktif.

“Pada masa kini, terdapat hutang dijamin kerajaan yang mempunyai kadar pembiayaan yang sama dengan entiti korporat tempatan bertaraf ‘AAA’.

“Bagaimanapun, kos pembiayaan ke atas hutang yang dijamin kerajaan seharusnya hampir setara dengan kos terbitan kertas hutang Kerajaan seperti Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS).

“Setakat 31 Mei 2019, kadar kupon MGS bagi tempoh 10 tahun adalah 3.78% setahun dan ini adalah antara kadar terendah sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.

Di samping itu, jawatankuasa juga akan menyemak semula segala akta, prosedur dan perundangan yang berkaitan dengan hutang langsung kerajaan, jaminan kerajaan serta komitmen lain.