Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka kukuh 4.2600/2660 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar AS hari ini, seiring dengan pasaran Asia lain ketika dolar terus lemah berikutan kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya gelombang kedua penularan Covid-19 di negara maju itu.

Pada 9 pagi, ringgit disebut pada paras 4.2600/2660 berbanding 4.2730/2780 sewaktu ditutup semalam.

Seorang penganalisis menyifatkan dolar AS diasak tekanan selepas pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) membatalkan status penggunaan hydroxychloroquine – ubat yang dilabelkan oleh Presiden Donald Trump sebagai penawar Covid-19.

“Berikutan ketiadaan ubat itu, peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan Covid-19 dan kadar pengangguran di AS hanya melemahkan lagi dolar tersebut,” katanya.

Pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) sebelum ini menggambarkan keadaan ekonomi lebih suram dan mengakui sistem kewangan negara maju itu dalam keadaan tertekan susulan pandemik Covid-19.

Malah, kemungkinan AS mencatat pertumbuhan stabil serta pasaran buruh yang terkawal juga sukar dipastikan pada masa ini.

Dalam pada itu, mata wang Asia seperti bhat Thailand, yen Jepun dan won Korea Selatan juga meningkat berbanding dolar US hari ini.

Sementara itu, berbanding kumpulan mata wang lain, ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0696/0737 daripada 3.0620/0662 sewaktu ditutup semalam.

Ringgit juga susut berbanding pound Britain pada 5.3867/3935 daripada 5.3571/3655 sebelumnya.

Berbanding yen Jepun, ringgit mengukuh kepada 3.9721/9778 daripada 3.9816/9870 namun susut berbanding euro kepada 4.8337/8398 daripada 4.8067 / 8128 semalam.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Lima penawar Covid-19 rawat pesakit di Malaysia

SEKURANG-KURANGNYA ada tiga jenis ubat digunakan untuk merawat pesakit Covid-19 di Malaysia iaitu Chloroquine, Hydroxychloroquine dan kombinasi Lopinavir/Ritonavir.

Ketiga-tiganya berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) serta Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). Dua lagi ubat,  Favipiravir dan Remdesivir juga berpotensi menyembuh pesakit.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mengumumkan mereka dipilih Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menjalankan kajian ubat Remdesivir sebagai vaksin wabak itu. Wartawan NAZLI IBRAHIM merumuskan potensi lima jenis ubat itu berdasarkan maklumat umum.

1. Chloroquine
Berbentuk pil dan digunakan untuk merawat pesakit malaria. Ia bersifat antiradang dan dianggap sesuai merawat penyakit Covid-19 yang mengalami radang pada bawah saluran pernafasan pesakit.

KKM menggunakan ubat jenis ini ke atas pesakit Covid-19 sejak gelombang pertama. Ia juga digunakan secara meluas untuk merawat malaria di Amerika Syarikat sejak 1949.

Beberapa negara luar termasuk China, Korea Selatan dan Belgium menamakan ubat ini dalam garis panduan rawatan Covid-19 berikutan keberkesanannya.

2. Hydroxychloroquine
Sama seperti Chloroquine, Hydroxychloroquine digunakan merawat pesakit malaria dan ia juga bersifat antiradang. Kajian praklinikal pada haiwan menunjukkan ia mampu membunuh coronavirus baharu.

Syarikat pengeluar ubat berpangkalan di Switzerland, Novartis sedang berusaha menghasilkan lebih banyak hydroxychloroquine.

University of Washington dan New York University akan membuat ujian ke atas 2,000 individu kontak rapat yang dijangkiti bagi memastikan keberkesanannya. Keputusan mengambil masa lapan minggu. Ia dijangka diketahui pada Jun ini.

3. Kombinasi Lopinavir/Ritonavir
Kombinasi Lopinavir dan Ritonavir juga digunakan untuk merawat jangkitan HIV. Ia mampu melawan Covid-19 dengan menyasarkannya pada molekul khusus. Namun, keberkesanan selepas percubaan pada awal bulan lalu menimbulkan keraguan.

Antara jenama ubat kombinasi itu adalah Kaletra yang mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) untuk merawat penghidap HIV.

Namun, sesetengah ubat penyakit lain boleh menyebabkan kesan sampingan apabila digunakan bersama Kaletra termasuk masalah hati, keradangan pankreas, degupan jantung dan alergi teruk.

4. Favipiravir
Pusat Pembangunan Bioteknologi Kebangsaan China mengatakan ia berkesan terhadap pesakit Covid-19 di China. Ia juga digunakan di Jepun bagi merawat influenza.

Mengikut Zhang Xinmin, pegawai di Kementerian Sains dan Teknologi China, ia memberi hasil menggalakkan dalam ujian klinikal di Wuhan dan Shenzhen melibatkan 340 pesakit pada Mac lalu.

Favipiravir dibangunkan Fujifilm Toyama Chemical pada 2014 di Jepun. Ia pernah dibekalkan sebagai bantuan kecemasan bagi memerangi wabak ebola di Guinea pada 2016. Ia dianggap lebih selamat, bahkan peluang sembuh lebih tinggi dan cepat.

Penghidap Covid-19 di Shenzhen yang menggunakannya sembuh dalam empat hari berban-ding 11 hari rawatan menggunakan ubat lain. Imbasan sinar-x turut mengesahkan paru-paru pesakit bertambah baik pada kadar 91 peratus berbanding 62 peratus tanpa pengambilan Favipiravir.

5. Remdesivir
WHO melabelkan ubat ini sebagai antivirus “paling menjanjikan”. Namun, keberkesanannya belum diketahui sehingga ujian klinikal dijalankan di China.

Dibangunkan syarikat pengeluar ubat, Gilead Science di Amerika Syarikat dan institut tentera ketika wabak ebola menyerang Afrika pada 2014.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Daniel O’Day berkata ubat ini berkesan dan bersifat mampu milik.

Namun, penggunaannya di Afrika gagal akibat kelewatan pemantauan dan rawatan terhadap pesakit ebola.