Categories
AGENDA NASIONAL

FDA beri kelulusan penuh penggunaan Pfizer

WASHINGTON, 24 OGOS: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Isnin menggesa individu yang belum divaksinasi untuk segera mendapatkan suntikan di tengah-tengah penularan varian Delta.

Biden berkata demikian selepas Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) memberikan kelulusan penuh terhadap vaksin Pfizer, lapor Xinhua.

“Jadi, biar saya katakan dengan jelas: Sekiranya anda antara satu daripada berjuta-juta orang Amerika yang sebelum ini tidak mahu disuntik selagi tidak mendapat kelulusan penuh dari FDA, sekarang saat yang dinanti telah tiba.

“Inilah masanya untuk anda divaksinasi dan dapatkannya hari ini,” kata Biden.

Sejak beberapa minggu lalu, pentadbiran Biden melancarkan keperluan vaksin dalam kalangan pekerja persekutuan, anggota tentera, kemudahan perubatan persekutuan dan pekerja rumah penjagaan.

Sehingga Ahad, 51.5 peratus daripada jumlah penduduk AS telah lengkap divaksin, menurut data CDC.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Thailand rekod satu lagi kematian, 198 kes baharu

BANGKOK, 24 JAN: Thailand merekodkan 198 kes baharu Covid-19 dan satu kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara itu sebanyak 3,500 dengan 73 kematian.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata daripada 198 kes baharu itu, 191 adalah penularan tempatan, termasuk 118 yang melibatkan mereka yang mengunjungi kawasan berisiko tinggi manakala 73 dikesan positif melalui pengesanan kes aktif.

Beliau berkata, tujuh kes diimport termasuk dua kes – seorang lelaki Myanmar dan seorang wanita Thailand – yang memasuki negara itu dari Malaysia melalui sempadan selatannya.

“Kes kematian tunggal itu melibatkan wanita warga Thailand berusia 73 tahun yang merupakan kontak rapat pesakit Covid-19 dalam keluarganya. Beliau didapati positif pada 9 Januari. Wanita yang kesihatannya merosot itu telah meninggal pada Sabtu,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Wabak terbaharu di Thailand bermula di pasar makanan laut di Samut Sakhon, sebuah wilayah di selatan Bangkok sejak pertengahan Disember lepas dan hingga kini telah mengakibatkan 9,263 kes dan 12 kematian.

Sementara itu, Thailand akan membenarkan sektor swasta memperoleh vaksin Covid-19, namun perlu terlebih dahulu mendapat persetujuan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) negara itu.

Jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri berkata Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha telah memberi lampu hijau kepada syarikat swasta untuk mengimport vaksin Covid-19.

“Pihak FDA akan menilai kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin sebelum membenarkan syarikat swasta memvaksinasi orang ramai,” katanya sebagaimana dipetik dari The Nation English.

Pada Khamis, FDA Thailand telah meluluskan penggunaan kecemasan penggunaan vaksin Covid-19 yang dibangunkan oleh AstraZeneca Plc dan University of Oxford dan kumpulan pertama sebanyak 50,000 dos vaksin berkenaan, dijangka tiba pada Februari.

Sehingga kini, Thailand turut memesan 61 juta dos vaksin Oxford-AstraZeneca COVID-19 dan dua juta dos lagi dari Sinovac Biotech kerana ia merancang untuk memvaksinasi 50 peratus penduduknya pada akhir 2021.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka kukuh 4.2600/2660 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar AS hari ini, seiring dengan pasaran Asia lain ketika dolar terus lemah berikutan kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya gelombang kedua penularan Covid-19 di negara maju itu.

Pada 9 pagi, ringgit disebut pada paras 4.2600/2660 berbanding 4.2730/2780 sewaktu ditutup semalam.

Seorang penganalisis menyifatkan dolar AS diasak tekanan selepas pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) membatalkan status penggunaan hydroxychloroquine – ubat yang dilabelkan oleh Presiden Donald Trump sebagai penawar Covid-19.

“Berikutan ketiadaan ubat itu, peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan Covid-19 dan kadar pengangguran di AS hanya melemahkan lagi dolar tersebut,” katanya.

Pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) sebelum ini menggambarkan keadaan ekonomi lebih suram dan mengakui sistem kewangan negara maju itu dalam keadaan tertekan susulan pandemik Covid-19.

Malah, kemungkinan AS mencatat pertumbuhan stabil serta pasaran buruh yang terkawal juga sukar dipastikan pada masa ini.

Dalam pada itu, mata wang Asia seperti bhat Thailand, yen Jepun dan won Korea Selatan juga meningkat berbanding dolar US hari ini.

Sementara itu, berbanding kumpulan mata wang lain, ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0696/0737 daripada 3.0620/0662 sewaktu ditutup semalam.

Ringgit juga susut berbanding pound Britain pada 5.3867/3935 daripada 5.3571/3655 sebelumnya.

Berbanding yen Jepun, ringgit mengukuh kepada 3.9721/9778 daripada 3.9816/9870 namun susut berbanding euro kepada 4.8337/8398 daripada 4.8067 / 8128 semalam.

-BERNAMA