Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

Khidmat i-Asuh boleh ditawar semula kepada ibu bapa bekerja – EXCO

PUCHONG, 20 JUN: Pengasuh berdaftar menerusi program i-Asuh di negeri ini boleh menawarkan semula perkhidmatan itu kepada ibu bapa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

EXCO kebajikan berkata ibu bapa yang mahu menghantar anak-anak mereka ke rumah pengasuh tidak perlu bimbang kerana penjaga akan menjalani saringan Covid-19.

“Apabila Taska (Taman Asuhan Kanak-Kanak) dibenarkan beroperasi semula, saya beri cadangan untuk mereka berpengalaman mengasuh boleh guna semula (khidmat asuhan) kepada ibu bapa yang kembali bekerja,” kata Dr Siti Mariah Mahmud selepas program Jom Jelajah Kampung Dalam Bandar MPSJ di Kampung Tengah Puchong di sini hari ini.

Sementara itu, beliau menjangkakan sukar untuk mencapai sasaran 1,000 pengasuh berdaftar dengan sistem pangkalan data i-Asuh tahun ini berikutan kebanyakan suri rumah tidak sanggup melaksanakan tugas berkenaan.

“Idea kita adalah untuk mencari individu (suri rumah) yang memerlukan dan memiliki kemahiran mengasuh,” katanya.

I-Asuh dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor diwujudkan bagi memberi keyakinan kepada ibu bapa mencari pengasuh berpengalaman dan sah.

Program itu juga bertujuan memudahkan penjaga serta mengelak kejadian tidak diingini demi keselamatan.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

i-Asuh mudahkan ibu bapa cari pengasuh, lebih diyakini

BANTING, 18 JAN: Program i-Asuh diperkenal tahun lalu memberi keyakinan kepada ibu bapa mencari pengasuh berpengalaman dan sah, kata EXCO wanita dan keluarga.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata ia bertujuan memudahkan penjaga serta mengelak kejadian tidak diingini demi keselamatan.

“Kita (Kerajaan Negeri) berusaha supaya kes pengabaian kanak-kanak hingga berlakunya kematian dielakkan,” katanya pada Program i-Asuh di Dewan Orang Ramai Kampung Jenjarom di sini hari ini.

Dr. Mariah Mahmud bercakap kepada media ketika Majlis Pelancaran Program i-Asuh Selangor di Dewan Kampung Jenjarom, Jenjarom pada 18 Januari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Hadir sama Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor, Gan Pei Nei dan Ahli Dewan Negeri Banting, Lau Weng San.

Mariah berkata sehingga kini 500 pengasuh didaftarkan menerusi program itu.

“Tahun ini kita sasar 1,000 lagi pengasuh mendaftar,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Sistem cari pengasuh berdaftar dilancar 18 Januari

SHAH ALAM, 12 JAN: Sistem pangkalan data i-asuh yang membolehkan ibu bapa mengesan pengasuh berdaftar akan dilancarkan pada 18 Januari ini.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga berkata langkah mencari penjaga sesuai dan terlatih dibuat bagi menjamin keselamatan anak-anak ketika ibu bapa bekerja.

“Data lengkap sudah diperolehi dan Kerajaan Negeri akan menganjurkan aktiviti serta kursus bersesuaian kepada pengasuh berdaftar,” kata Dr Siti Mariah Mahmud.

I-asuh dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor diwujudkan susulan insiden kematian bayi dan kanak-kanak yang menyayat hati di rumah pengasuh.

Katanya sistem sama turut mengumpulkan data suri rumah yang bekerja dari rumah di bawah program Kasih Ibu Smart Selangor.

Categories
AGENSI SELANGOR

YAWAS lancar i-Asuh 18 Januari, sasar 1,000 pengasuh didaftar

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 JAN: Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) bakal melancarkan program i-Asuh pada 18 Januari ini di Dewan Orang Ramai, Kampung Jenjarom.

Pengurus Besarnya, Gan Pei Nei berkata program itu bertujuan membantu ibu bapa mencari pengasuh yang sesuai dan terlatih bagi menjaga anak mereka.

Beliau berkata pihaknya mengalu-alukan pengasuh seluruh Selangor untuk mendaftarkan diri mereka menerusi portal YAWAS selepas pelancarannya nanti.

“Buat permulaan, kita menyasarkan kira-kira 1,000 pengasuh didaftarkan dalam program i-Asuh dan mereka akan diberikan kursus berkaitan pendidikan kanak-kanak secara percuma bawah seliaan YAWAS serta Kerajaan Negeri.

“Penting program ini dilancarkan kerana daripada situ ibu bapa boleh merujuk, menyemak dan menghantar anak mereka kepada pengasuh yang berdaftar dengan program i-Asuh,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Katanya, i-Asuh adalah program Kerajaan Negeri yang akan bekerjasama bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor selaku agensi pemantau.

“Melalui kerjasama ini kita akan mengumpulkan maklumat berkaitan pengasuh dan rekodkan data mereka supaya ia dapat dimanfaatkan oleh ibu bapa berkerjaya.

“Malah, menerusi i-Asuh, kita turut membuat pemeriksaan saringan kepada setiap pengasuh bagi mengenal pasti tahap tekanan seseorang individu melalui beberapa kategori,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

i-asuh kesan pengasuh berdaftar

OLEH SHEEDA FATHIL

SEPANG, 29 OGOS: Kerajaan Negeri bakal menubuhkan pangkalan data i-asuh, bermula tahun depan bagi membolehkan ibu bapa mengesan pengasuh berdaftar untuk menjamin keselamatan anak mereka.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, langkah itu penting bagi memudahkan ibu bapa menyemak dan menghantar anak mereka di bawah pengasuh berdaftar, di Selangor.

Katanya, Kerajaan Negeri akan menganjurkan pelbagai aktiviti dan kursus bersesuaian kepada pengasuh berdaftar dengan i-asuh, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat selaku agensi pemantau.

“Perlunya i-asuh ini memandangkan pada masa kini terlalu banyak kes tidak diingini berlaku terhadap anak asuhan sehingga menyebabkan kematian.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri komited melaksanakan i-asuh kerana ia dapat mengelakkan ibu bapa daripada terus bimbang menghantar anak ke pusat asuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian PAWE Pelangi Impian Sepang, di Dewan Orang Ramai, Kampung Ulu Chuchoh, Sungai Pelek, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Dr Siti Mariah berkata, masyarakat tidak perlu berterusan menuding jari menyalahkan pihak JKM menjadi punca kepada insiden kanak-kanak didera.

Katanya, Kerajaan Negeri optimis setiap pengasuh di negeri ini akan mendaftarkan diri menerusi i-asuh bagi mengelakkan perkara tidak diingini daripada terus berlaku.

Sementara itu, mengulas berkenaan masalah mental pengasuh yang menyebabkan punca kematian kanak-kanak, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan membuat saringan kepada setiap pengasuh bagi mengenal pasti tahap tekanan seseorang individu itu.

“Kita sedang dalam proses perbincangan bagi memastikan setiap pengasuh mempunyai latar belakang baik dan bebas daripada gejala negatif,” katanya.