Categories
AGENDA NASIONAL

Pembayaran i-Citra mulai 2 Ogos depan

SHAH ALAM, 23 JULAI: Pembayaran pengeluaran i-Citra daripada akaun ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dibuat secara berperingkat mulai 2 Ogos depan.

Berdasarkan infografik dikongsi di Twitter, agensi mengurus dana persaraan pekerja itu memaklumkan bayaran akan dimasukkan ke akaun bank pencarum dalam tempoh satu hingga tiga hari waktu bekerja.

Bagi pembayaran secara arahan bayaran pula, KWSP menjelaskan ahli akan menerima notis atau dihubungi cawangan dipilih untuk urusan pengambilan.

Semakan status bayaran boleh dibuat melalui i-akaun dan hubungi hotline i-Citra di talian 03-8922 4848 untuk pertanyaan.

28 Jun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan i-Citra yang membenarkan ahli KWSP terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuat pengeluaran sehingga RM5,000.

Ia membolehkan pengeluaran kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan selama lima bulan tertakluk kepada jumlah simpanan ahli.

Permohonan dibuka mulai 15 Julai lalu menerusi http://icitra.kwsp.gov.my

KWSP turut memaklumkan bayaran bagi program i-Sinar untuk Ogos diawalkan kepada 26 dan 27 Julai.

Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP: Permohonan pengeluaran i-Citra bermula esok

KUALA LUMPUR, 11 JULAI: Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berumur di bawah 55 tahun boleh membuat permohonan pengeluaran i-Citra bermula 12 Julai, 2021, melalui icitra.kwsp.gov.my, tiga hari lebih awal daripada tarikh jangkaan asal.

KWSP berkata, bagi memudahkan untuk mengemukakan permohonan dalam talian i-Citra, ahli dinasihatkan untuk memastikan nombor telefon bimbit mereka sama seperti dalam rekod KWSP bagi urusan penerimaan One-Time Password (OTP), di samping mempunyai akaun bank yang masih aktif untuk bayaran pengeluaran tersebut.

“i-Citra membolehkan ahli yang layak untuk membuat pengeluaran simpanan KWSP mereka sehingga jumlah maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki simpanan dalam kedua-dua Akaun 1 dan 2.

“Jumlah pengeluaran yang diluluskan akan dibayar secara sehingga lima kali bayaran bulanan sebanyak RM1,000 sebulan tertakluk kepada baki simpanan. Pembayaran pertama i-Citra dijangka dikreditkan ke dalam akaun bank ahli bermula Ogos 2021,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pengeluaran i-Citra diperkenalkan selaras dengan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun 2021, sebagai inisiatif jangka masa pendek bagi membantu ahli yang terkesan dengan cabaran ekonomi akibat pandemik Covid-19, serta mengimbangi keperluan hari ini dan masa depan ahli.

Bagi maklumat lanjut berkenaan i-Citra serta cara-cara membuat permohonan, ahli boleh merujuk saluran komunikasi rasmi KWSP, laman webnya di www.kwsp.gov.my, atau menghubungi talian hotline i-Citra di 03-8922 4848.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan benar pengeluaran KWSP sehingga RM5,000

SHAH ALAM, 28 JUN: Seramai 12.6 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pengeluaran i-Citra membolehkan pengeluaran kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan selama lima bulan tertakluk kepada jumlah simpanan ahli.

“Permohonan dibuka mulai 15 Julai ini menerusi http://icitra.kwsp.gov.my dengan bayaran pertama akan dikreditkan ke dalam akaun pada Ogos.

“i-Citra dijangka dapat menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian,” katanya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) hari ini.

Antara bantuan lain:

1. Bantuan khas Covid-19 sehingga hujung tahun

a) Keluarga miskin tegar (RM1,300) / Bujang (RM500)

b) Kaluarga B40 (RM800) / Bujang (RM200)

c) Keluarga M40 (RM250) / Bujang (RM100)

2. Bantuan RM500 kepada pekerja hilang pendapatan berdasarkan data KWSP atau Perkeso pada 2021

3. Elaun mencari kerja diperluas kepada bukan pencarum Perkeso dengan jumlah sekurang-kurangnya RM300.

4. Peruntukkan RM300,000 kepada semua ahli parlimen untuk program bakul makanan.

5. RM10 juta program bakul makanan diperuntuk kepada masyarakat Orang Asli.

6. RM15 juta untuk NGO membantu menangani masalah kesihatan mental, gelandangan, dan sosial di peringkat komuniti.

7. Diskaun bil elektrik lima hingga 40 peratus kepada penggunaan kadar elektrik maksimum 900 kilowatt jam sebulan.

8. Pemberian satu gigabait data harian secara percuma sehingga 31 Disember 2021.