Categories
AGENSI SELANGOR

Rapatkan jurang digital realisasi Negeri Pintar 2025

BESTARI JAYA, 19 FEB: Kerajaan Negeri berhasrat merapatkan jurang digital antara pelajar di bandar dan luar bandar bagi merealisasikan agenda Selangor menjadi Negeri Pintar 2025.

Setiausaha Bahagian Pengurusan Maklumat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Fazlina Hashim berkata Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) bekerjasama menganjurkan ICT Boot Camp (ICTBC) Selangor 2019 bagi memberikan pendedahan terhadap dunia teknologi maklumat serta revolusi industri 4.0 (RI 4.0).

“Kita menyediakan geran terus kepada Unisel dan Kuis mengadakan ICT Boot Camp 2019 bagi memberikan pendedahan teknologi maklumat kepada pelajar sekolah menengah di kawasan luar bandar.

“Dengan cara itu kita dapat membangunkan modal insan dalam bidang teknologi selain mengatasi jurang digital,” katanya di Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Perkomputeran di sini hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri memperuntukkan geran RM200,000 untuk penganjuran kem disertai dari enam sekolah meliputi daerah Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor.

Fazlina sebelum itu menyempurnakan majlis Perasmian dan Penutup Pameran Projek Akhir Pelajar Fakulti Seni Visual serta Minggu ICT 2020 sambil disaksikan Timbalan Presiden dan Timbalan Naib Canselor (Pentadbiran dan Jaringan Global) Unisel, Prof Dr Mohd Nor Nawawi.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: ICT Boot Camp platform terbaik pelajar bangunkan aplikasi

KAJANG, 13 JAN: Program ICT Boot Camp Selangor 2019 landasan terbaik kepada pelajar sekolah memupuk minat untuk membangunkan aplikasi digital selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna berkata program yang memasuki tahun keempat pelaksanaannya itu adalah inisiatif Kerajaan Negeri dengan peruntukan sejumlah RM220,000.

Katanya, ia bertujuan merangsang daya kreativiti dan inovasi pelajar terutama berkaitan bidang Sains dan Multimedia selain membangunkan potensi pelajar melalui kemahiran komunikasi.

“Memandangkan zaman sekarang ramai pelajar kurang minat terhadap ilmu sains dan teknologi jadi Kerajaan Negeri mengambil inisiatif membuat program ini supaya dapat memupuk minat mereka.

“Malah, saya dimaklumkan sepanjang enam hari pelaksanaannya ia mendapat sambutan memberangsangkan dengan penglibatan seramai 300 pelajar dari seluruh Selangor,” kata Hee Loy Sian selepas merasmikan Program ICT Boot Camp Selangor 2019 di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Selain itu, Loy Sian berkata pihaknya optimis program itu akan ditambah baik lagi pada masa akan datang dengan pembabitan lebih ramai pelajar.

Menerusi program ICT Boot Camp Selangor 2019 pelajar akan didedahkan dengan empat kursus iaitu Kursus Pembangunan Infografik dan Videografik; Kursus Rekabentuk Aplikasi Mudah Alih; Kursus Pembinaan Laman Sesawang dan Pembentangan Kreatif serta Kursus Pembangunan Permainan Mudah Alih.