Categories
SELANGOR

Muhammad Farhan Wijaya dilantik Imam Besar Masjid Negeri

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 15 OKT: Muhammad Farhan Wijaya secara rasminya dilantik sebagai Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, bermula 1 Oktober lalu.

hqdefaultDalam satu kenyataan, Pengarah Jabatan Agama Selangor (JAIS), Datuk Bakhtiar Hussin berkata, pelantikan itu dilakukan bagi menggantikan Imam Besar Ahmad Mustafa Mohd Sidin yang meninggal dunia, pada 9 Jun lalu.

Sehubungan itu, sebarang urusan rasmi untuk perhatian Imam Besar boleh dikemukakan untuk tindakan selanjutnya.

Imam Farhan boleh dihubungi melalui talian telefon tetap, 03-5519 9988 atau faks, 03 5510 1317 atau melalui e-mel [email protected].

-NFN-

Categories
SELANGOR

Masjid Negeri tidak sekadar berdakwah, laksana program tingkat penghayatan

Oleh AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 5 OKT: Mimbar Aidiladha hari ini menyentuh soal tanggungjawab menangani gejala sosial yang semakin meruncing.

Dalam khutbah Aidiladha bertajuk ‘Pengahayatan Aidiladha’ yang disampaikan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid menyentuh sikap masyarakat yang menjauhi syariat Islam disebalik kemewahan dan kesenangan yang dikecapi.

Mengulas khutbah hari ini, Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang baru, Ustaz Farhan Wijaya berkata masjid mengambil peranan melalui beberapa program sempena cuti sekolah bagi menerapkan penghayatan masyarakat kepada nilai-nilai keagamaan.

Ustaz Farhan“Masjid mengambil peranan mengenai gejala sosial dan kita menyediakan pelbagai persiapan-persiapan sempena cuti sekolah bagi menangani bersama gejala sosial yang berlaku.

“Kita mengingatkan kepada masyarakat supaya gejala sosial ini dapat di atasi bersama dan masjid mengambil peranan yang besar khususnya di Shah Alam bagi meningkatkan akhlak remaja malah kesemua akhlak umat Islam supaya bersama-sama menghayati sejarah Akhlak Nabi Muhamad SAW,” katanya kepada Selangor Kini.

Menceritakan pengalaman pertama melihat majlis ibadah korban yang dilakukan di Masjid Negeri beliau melahirkan kegembiraan dengan perjalanan program yang berlangsung baik seperti yang dirancangkan.

“Alhamdulillah hari ini majlis berjalan lancar seperti yang dirancangkan dengan baik. Kita nampak (majlis) kali ini lebih teratur malahan ia telah berlaku setiap tahun.

“Alhamdulillah peningkatan peserta dan pengunjung yang hadir untuk menyaksikan majlis ibadah korban untuk tahun ini,” katanya lagi.

Sebagai saranan sempena Aidiladha beliau berkata orang Islam perlu berkorban kerana Allah SWT.

“Hari raya korban bukan bererti korban binatang semata-mata tetapi mengorbankan jiwa raga kita, penat lelah, masa, duit kepada Allah dan korbankan juga nafsu kita supaya perpaduan di Selangor ini terjalin lebih baik,” tambahnya lagi.

Ustaz Farhan Wijaya menerima surat lapor diri untuk bertugas di Masjid Negeri pada 1 Oktober lalu menggantikan Ustaz Ahmad Mustafa Mohd Sidin yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 10 Jun lalu.

HM

Categories
SELANGOR

Isteri hasrat tunai hajat Allahyarham Imam Besar Masjid Negeri

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 OGOS: “Saya akan menunaikan hasrat terakhir arwah suami saya. Dia mahu saya meneruskan hajatnya yang tidak kesampaian untuk mencetak naskah Mushaf Tartil untuk diwakafkan kepada sekolah pondok, rumah anak yatim dan masjid serta surau,” kata balu Imam Besar Masjid Negeri, Allahyarham Ahmad Mustafa Al- Muqri.

Nurazira Ahmad Bashir, 35, ibu kepada lima orang anak ketika ditemui pemberita begitu cekal menghadapi dugaan yang menimpa.

Bagaimanapun, untuk berkongsi kisah keluarganya, beliau menganggap ia perlu dirahsiakan kerana tidak mampu untuk meneruskan perbualan kerana masih lagi bersedih.

DSC_4338Dalam kejadian 9 Jun lalu, Allahyarham Ahmad Mustafa menghembuskan nafas terakhir pada usia 39 tahun di Institut Jantung Negara akibat komplikasi jantung selepas enam hari dimasukkan ke institut itu.

Beliau dilantik menjadi Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sejak 2008 dan banyak pembaharuan dilakukan termasuk program mengimarahkan masjid.

Menceritakan hajat suaminya itu, beliau yang lebih disenangi dengan panggilan Kak Zira berkata, sebelum Allahyarham meninggal dunia, Ahmad Mustafa sangat sibuk dengan naskah Mushaf Tartil dan rakaman cakera padat, bacaan doa, tahlil serta yassin.

“Apabila saya melihat tajuk VCD, ‘hadiah buat yang tersayang’ benar-benar menyentuh hati saya. Ia seakan seperti tahu beliau akan pergi meninggalkan kami.

“Sebelum Allahyarham pergi, selain meminta saya menjaga anak dengan baik, itu adalah perkara yang keluar daripada mulutnya untuk saya meneruskan niat dalam mencetak semula naskah Mushaf Tartil.

DSC_4350“Manakala, VCD itu juga saya mungkin boleh menjualnya semula sebagai pendapatan untuk menyara keluarga,” katanya.

Selain itu, Nurazira berkata, ketika Allahyarham masih hidup, beliau sangat mementingkan solat jemaah bersama keluarga.

“Menjaga solat lima waktu, itu juga adalah antara pesanan terakhir arwah. Semasa hayatnya, beliau sangat menitik beratkan solat,” katanya.

Beliau berkata, Ahmad Mustafa juga seorang bapa yang sangat penyayang dan lemah lembut dengan semua anaknya.

“Apabila beliau pulang dari masjid atau sebarang tempat, perkara pertama selepas menjejakkan kaki ke dalam rumah adalah bertanya di mana anaknya. Itu yang menjadikan beliau sangat rapat dengan mereka,” katanya.

Mengakhiri perbualan, Nurazira memberitahu, beliau bersyukur kerana semua anaknya begitu tabah dengan pemergiannya walid mereka itu.

“Alhamdulillah, anak saya boleh menerimanya,” katanya.

-NFN-