Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Rawatan imunoterapi berita baik untuk pesakit barah

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Pandemik Covid-19 yang masih melanda negara turut memberi kesan kepada pengurusan kanser paru-paru di banyak hospital, baik dari segi saringan kepada diagnosis hinggalah kepada rawatan.

Memandangkan hospital di seluruh negara terpaksa menangguhkan atau membatalkan prosedur perubatan tertentu kerana pengendalian kes Covid-19, keadaan ini pastinya mengganggu penjagaan pesakit kanser.

Dalam situasi ini, pesakit kanser secara umumnya dan mereka yang menderita kanser paru-paru sudah tentu akan menanggung akibat kerana keadaan diri mereka serta penjagaan yang diperlukan, terjejas.

Bagaimanapun, Naib Presiden, Rangkaian Kanser Paru-Paru Malaysia, Dr Tho Lye Mun berkata, dalam zaman kemajuan serta inovasi perubatan, kanser bukan lagi satu hukuman mati memandangkan terdapat pendekatan inovatif untuk rawatan kanser.

“Dengan mengkaji setiap pesakit secara teliti, kami boleh mengenal pasti rawatan yang sesuai untuk setiap pesakit dan tidak lagi mengambil pendekatan trial-and-error,” kata beliau pada forum media maya mengenai ‘No Patient Left Behind: Improving Lung Cancer Care in Malaysia’, anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) baru-baru ini.

“Sebagai contoh imunoterapi. Ia adalah cara inovatif baharu untuk menggunakan sistem imun pesakit bagi melawan kanser,” tambahnya.

Menurut Dr Tho, terdapat kajian yang menunjukkan pesakit yang menerima imunoterapi mempunyai kadar kelangsungan hidup sebanyak 32 peratus dalam tempoh lima tahun jika menerima rawatan imunoterapi.

“Ini menunjukkan perubahan paradigma, dan bukan setakat itu sahaja, pesakit berkenaan juga mampu mengekalkan kehidupan yang berkualiti dan hidup bertahun-tahun lamanya di samping keluarga dan orang tersayang.

“Ubat-ubatan tertentu mungkin memerlukan perbelanjaan yang tinggi tetapi anda mungkin dapat manfaat jangka panjang, ” tambahnya.

Dr Tho yang mengakui bahawa akses kepada imunoterapi mungkin terhad, menyeru sektor awam dan swasta untuk berganding bahu serta membuat “penilaian yang bersungguh-sungguh” mengenai manfaat kos bagi setiap rawatan.

Ini, katanya, adalah untuk memastikan setiap rawatan boleh memanjangkan umur, tetapi bukan mengorbankan kualiti kehidupan.

Diagnosis lewat

Menurut Kajian Malaysia Mengenai Kelangsungan Hidup Kanser (MySCan), kelangsungan hidup untuk tempoh lima tahun bagi pesakit kanser paru-paru adalah hanya 11 peratus berbanding kanser prostat (73 peratus) sementara kanser payudara, 67 peratus.

“Faktor utama untuk keadaan ini adalah diagnosis lewat. Kira-kira 80 peratus pesakit kanser paru-paru didiagnos pada tahap empat, yang berbeza sungguh berbanding kanser payudara yang kebanyakannya didiagnos pada tahap awal.

“Covid-19 adalah penyebab utama kepada diagnosis lewat kanser di Malaysia, memandangkan kemudahan kesihatan awam terpaksa digunakan untuk merawat pesakit Covid-19, ” tambah Dr Tho, yang juga ahli onkologi klinikal.

“Pembedahan elektif yang perlu dirujuk kepada hospital lain ditangguhkan dan sudah tentunya, unit kanser yang sedia menghadapi banyak tekanan.

“Kebanyakan kes yang tidak didiagnos mempunyai akses yang lewat untuk biopsi dan imbasan diagnostik,” keluh beliau.

Dr Tho berkata, meskipun ada pesakit kanser yang dimasukkan ke hospital swasta untuk mengurangkan beban kemudahan penjagaan kesihatan awam, pesakit berkenaan masih kekal sebagai ‘minoriti’ kerana kebanyakan mereka masih tidak mendapat akses kepada platform rawatan yang betul.

“Pesakit kanser atau pesakit yang mempunyai gejala kanser di hospital, mungkin enggan untuk mendapatkan rawatan perubatan kerana bimbang dijangkiti Covid-19.

“Pada pandangan saya, dalam beberapa hal, keadaan ini mungkin menyebabkan kelewatan untuk mengesan serta merawat kanser pada tahap awal, ” katanya, sambil menambah, antara gejala awal kanser paru-paru ialah batuk yang berterusan, batuk berdarah, hilang berat badan, sakit dada dan jangkitan paru-paru yang berulang.

Menurut beliau, laporan Daftar Pesakit Kanser Kebangsaan (NCPR) mungkin tidak menyatakan kesan Covid19 ke atas pesakit kanser untuk beberapa tahun akan datang kerana data ini dibentangkan setiap lima tahun sekali.

“Kemungkinan lebih ramai pesakit yang menunjukkan kepada kami penyakit yang lebih advance berbanding yang kami lihat sebelum berlaku wabak Covid-19, ” katanya.

Sementara itu, pengarah perubatan NCSM, Dr M. Murallitharan berkata, epidemik semasa adalah penghalang utama untuk pesakit kanser yang pesakit yang berpotensi menghidap kanser mendapat akses kepada perkhidmatan hospital agar dapat didiagnos lebih awal.

“Pembedahan hampir tiada langsung di kebanyakan hospital kerajaan pada masa ini, kerana semua bilik pembedahan digunakan sebagai unit rawatan intensif bagi kes Covid-19.

“Sekiranya mereka tidak buka kembali bilik pembedahan, mungkin tidak ada peluang untuk merawat dan mengawal tahap kanser paru-paru dan keadaan pesakit terhenti di situ, ” katanya.

Menurut Dr Murallitharan, semasa pandemik Covid-19, kekeliruan mungkin timbul antara gejala awal kanser paru-paru dengan gejala Covid-19 yang mungkin menyumbang kepada diagnos lewat kanser paru-apru.

“Gejala kanser paru-paru mungkin serupa dengan Covid-19, jadi mereka membuat ujian polymerase chain reaction (PCR) dan bila kesannya negatif, mereka berasa gembira dan tak buat apa-apa lagi.

“Tapi ia mungkin gejala kanser paru-paru dan mungkin tiga atau empat tahun akan datang, mereka akan melihat diagosis lewat (kanser paru-paru) . Kita mungkin terpaksa menangani keadaan ini untuk beberapa tahun, ” katanya.

Perkongsian awam-swasta

Bagaimanapun, menurut Dr Murallitharan, tidak ramai pesakit akan mendapat manfaat daripada rawatan inovatif, seperti imunoterapi di Malaysia kerana kos yang tinggi serta sumber yang terhad dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan.

“Hanya mereka yang mempunyai liputan insurans yang baik serta diirawat di hospital swasta akan mendapat akses kepada rawatan seumpama ini, tetapi di hospital kerajaan, aksesnya terhad dan sebahagian besarnya kerana isu kewangan, ” katanya.

Ketua Pusat Galen Untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib berkata, lewat berjumpa doktor bukan sahaja menghalang pesakit kanser daripada mendapat rawatan yang berkesan tetapi juga mengehadkan pilihan rawatan dalam ketika penyakit mereka mula merebak.

Menurut beliau, sektor awam perlu melabur dalam rawatan inovatif kanser memandangkan 70 peratus rakyat Malaysia mempunyai akses kepada sistem kesihatan awam.

Sebagai contoh, beliau berkata, semasa pandemik, kedua-dua sektor kesihatan awam dan swasta bekerjasama melawan penularan Covid-19 dengan meminimumkan birokrasi dan berkongsi sumber.

“Untuk kita bergerak ke hadapan, kita perlu mencari jalan untuk memperbaiki cara membiayai sistem penjagaan kesihatan kita dan memastikan semua orang membuat sumbangan dan semua boleh mendapat manfaat.

“Untuk itu, sektor kesihatan awam dan swasta jangan menjadi dua sistem yang bersaing antara satu sama lain. Kedua-duanya perlu bekerjasama untuk menangani jurang dalam perkhidmatan yang disediakan, ” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rawatan imunoterapi, kaedah pilihan rawat kanser

MELAKA, 28 JUN: Jika sebelum ini rawatan imunoterapi merupakan kaedah efektif merawat kanser kulit atau melanoma, namun ia kini digunakan secara meluas untuk pelbagai penyakit kanser antaranya paru-paru dan payudara.

Pakar Onkologi Hospital Pantai Ayer Keroh Dr Abel Zachariah berkata imunoterapi merupakan rawatan alternatif baharu bagi merawat pesakit kanser selain rawatan konvensional melalui kaedah kemoterapi yang kerap digunakan bagi mengawal sel kanser daripada merebak.

Beliau berkata sekiranya imunoterapi digandingkan bersama kemoterapi untuk merawat pesakit kanser misalnya kanser paru-paru, ia boleh memberi kesan lebih efektif bagi mengawal sel kanser seterusnya pesakit dapat menikmati jangka hayat yang lebih panjang.

“Kedua-dua rawatan ini bertindak balas dengan sel kanser dalam cara berbeza. Imunoterapi merupakan satu ubat khas untuk memperkuatkan atau mengubah suai sistem imun tubuh pesakit agar dapat bertindak balas dengan serangan kanser manakala kemoterapi menyerang apa-apa sel berganda yang membahagi dalam tubuh dengan cepat.

“Kesan sampingan bagi rawatan imunoterapi biasanya lebih rendah atau tidak seteruk kemoterapi, dan ada kesan sampingan yang berbeza daripada kemotherapi. Pesakit yang menggunakan rawatan konvensional itu mudah letih dan boleh mengalami penurunan jumlah sel darah merah, sel darah putih dan trombosit,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Beliau yang berpengalaman selama 10 tahun sebagai Pakar Onkologi di Shrewsbury, United Kingdom, pulang ke tanah air untuk menyambung khidmat sebagai pakar di Hospital Pantai Ayer Keroh, sejak 3 Mei lepas.

Dr Zachariah berkata konsep rawatan imunoterapi juga berbeza dengan kemoterapi iaitu kadangkala dalam proses rawatan imunoterapi, sel kanser dilihat seolah-olah tidak berkurang atau kanser semakin membesar tetapi hakikatnya ia berlaku sebaliknya kerana sistem imunisasi sedang bertindak balas atau menyerang sel kanser tersebut.

Beliau berkata berdasarkan pengalamannya, menerusi rawatan imunoterapi, kesan ke atas sel kanser dapat dikawal dalam tempoh yang agak panjang selepas rawatan dihentikan seketika berbanding melalui rawatan kemoterapi.

Katanya bagaimanapun, keberkesanan rawatan imunoterapi terhadap kanser yang dihidapi bagaimanapun bergantung pada daya ketahanan sistem imunisasi seseorang pesakit itu.

“Pesakit kanser perlu mendapatkan pandangan atau nasihat daripada pakar onkologi mereka dan ia memerlukan beberapa ujian klinikal ke atas tumor atau sel kanser tersebut untuk melihat kesesuaian rawatan itu sebelum ia dilakukan ke atas mereka.

“Di Hospital Pantai Ayer Keroh, rawatan imunoterapi telah mula digunakan kira-kira lima tahun lepas namun saya percaya ia akan menjadi alternatif pilihan pesakit pada masa hadapan,” katanya menambah disebabkan kos rawatan yang agak tinggi berbanding kemoterapi, menyebabkan kaedah ini kurang mendapat sambutan.

— BERNAMA