Categories
AGENDA NASIONAL

Indeks Persepsi Rasuah Malaysia 2020 jatuh ke tangga 57

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Malaysia jatuh enam anak tangga ke kedudukan ke-57 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) bagi 2020.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Dr Muhammad Mohan berkata skor Malaysia juga menurun dua mata kepada 51 daripada 100 mata berbanding tahun sebelumnya, dalam tinjauan CPI itu.

“Kita mungkin jatuh dua mata yang secara statistiknya tidak signifikan, tetapi kita harus bimbang dengan penurunan skor dan kedudukan. Kita perlu pertingkatkan lagi dan saya yakin kita boleh melakukan yang lebih baik daripada negara seperti Rwanda, Poland dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media secara maya bagi mengumumkan CPI Malaysia untuk 2020. CPI dikeluarkan oleh Transparency International, sebuah gabungan antirasuah global, hari ini.

Skor dan kedudukan CPI adalah berdasarkan 13 tinjauan dan penilaian pakar yang mengukur persepsi tahap rasuah dalam sektor awam negara ini pada skala sifar (dianggap paling rasuah) sehingga 100 (dianggap paling bersih).

Muhammad berkata Denmark dan New Zealand berkongsi tangga pertama dengan 88 mata sebagai ‘negara bersih’ manakala negara yang berada di kedudukan terbawah dengan mencatat skor terendah ialah Syria (14 mata) serta Sudan Selatan dan Somalia masing-masing dengan 12 mata.

“Dalam kalangan negara Asean, Singapura berada di tangga teratas diikuti Brunei (ke-35) dan Malaysia (ke-57). Satu-satunya negara dari Asia yang berada di kedudukan 10 teratas ialah Singapura,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Malaysia di tangga ke-61 Indeks Persepsi Rasuah 2018

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Malaysia berada di tangga 61 daripada 180 buah negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tahunan pada 2018, berbanding kedudukan ke-62 pada 2017.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Seri Akhbar Satar berkata, berdasarkan laporan dikeluarkan Transparency International (TI), negara berjaya mengekalkan skor 47 daripada 100 dalam tinjauan CPI, pada tahun lalu dan 2017.

Katanya, skor dalam CPI ditentukan mengikut tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara berdasarkan skala sifar (dianggap paling rasuah) kepada 100 (paling bersih).

“Kedudukan Malaysia setakat ini agak memuaskan dan masyarakat meletakkan keyakinan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN).

“PAKATAN baru mengambil alih pentadbiran negara tujuh bulan lalu dan sekiranya kerajaan kekalkan momentum dalam memerangi rasuah, tidak mustahil kedudukan negara boleh meningkat.

“Paling utama, kerajaan perlu memperkasakan integriti dan membanteras rasuah dengan lebih berani,” katanya dalam sidang media di Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI), semalam.

Denmark dan New Zealand diumumkan sebagai negara paling bersih rasuah dengan catatan skor masing-masing sebanyak 88 dan 87 manakala Somalia, Sudan Selatan dan Syria menduduki tangga terbawah.

Mengulas lanjut, Akhbar berkata, PAKATAN PH perlu bekerja keras menunaikan janji manifesto bagi meningkatkan lagi kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan.

“Masyarakat sedar akan usaha Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memerangi rasuah dan pemimpin lain sewajarnya sama-sama berjuang ke arah negara yang lebih baik.

“Selain itu, kerajaan perlu mengekalkan pemberian kontrak secara tender terbuka bagi membanteras gejala rasuah.

“Langkah itu dapat memastikan kontrak diberikan kepada syarikat yang benar-benar layak menerimanya,” katanya.

*Sumber: BHOnline

Categories
NASIONAL

Akta Ketelusan Maklumat Jamin Ketelusan Tadbir Urus Negara

SHAH ALAM, 7 DIS : Pemuda PAS menyokong saranan Transparency International Malaysia (TI-M) bagi menggesa kerajaan memperkenalkan Akta Ketelusan Maklumat bagi menjamin ketelusan dalam tadbir urus negara.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, akta ini perlu kerana ia akan memperuntukkan hak rakyat untuk mengetahui dan menyemak dokumen-dokumen berkaitan.

“Ia adalah supaya sebarang ketirisan dan penyelewengan duit rakyat tidak boleh diklasifikasikan ?rahsia kerajaan?,” kata Nasrudin dalam kenyataan medianya.

Beliau berkata, walaupun Indeks Persepsi Rasuah yang baru diumumkan dengan Malaysia naik enam anak tangga ke tangga 54 daripada 183 negara.

Namun peningkatan ini masih mengecewakan apabila melihat markah keseluruhan Malaysia hanya 49 daripada 100 markah.

“Kalau dinisbah kepada pencapaian anak-anak kita dalam peperiksaan 49/100 belumpun mampu meraih markah C.

“Pencapaian itu, Malaysia berada di belakang negara membangun yang lain seperti Rwanda (50), Botswana (30), Bhutan (33), Taiwan (37) dan Brunei (46) dengan negara jiran, Singapura berada di tempat ketiga keseluruhan.

Menurut Hassan berdasarkan markah 49/100 yang diperolehi, rata-rata rakyat berpandangan bahawa rasuah masih membelenggu sektor awam negara.

Ia bermakna rakyat masih cenderung berpandangan bahawa keberangkalian berlakunya rasuah yang melibatkan jentera pentadbiran adalah tinggi.

“Pendapat ini sememangnya bukan semata-mata perpepsi atau ilusi, sebaliknya urus tadbir negara khususnya berkait dana awam sememangnya sangat membimbangkan,” katanya.