Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pakar ekonomi: Inisiatif industri aeroangkasa langkah tepat majukan negeri

SHAH ALAM, 15 DIS: Langkah Kerajaan Negeri mewujudkan pelbagai inisiatif dalam industri aeroangkasa adalah langkah bijak ke arah kesinambungan ekonomi negeri.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pelaksanaan pelbagai program termasuk industri tersebut mampu menarik minat pelabur sekali gus membawa aspirasi negeri ini.

“Kita perlu menarik mereka untuk melabur dengan negara ini, membuka kilang dan akhirnya memberi peluang dengan mewujudkan proses pertukaran teknologi.

“Apabila membentangkan berkaitan aeroangkasa ini menunjukkan Kerajaan Negeri bersedia dan penganjuran Pameran Udara Selangor (SAS) membantu membaiki kedudukan dalam industri ini,” katanya pada program Table Talk secara langsung melalui Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV baru-baru ini.

Menerusi pembentangan Belanjawan #Selangor2022, Dato’ Menteri Besar mengumumkan program kepintaran buatan dan pembangunan dron serta ijazah sarjana muda dalam kejuruteraan penerbangan di Universiti Selangor (Unisel).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri akan memberi nafas baharu dengan menubuhkan Selangor Aviation and Technology Innovations Sdn. Bhd. (Selati), Pusat Kecemerlangan Selati Unisel dan Sekolah Penerbangan Selati-Unisel selain mewujudkan rangka kerja kemahiran serta kerjaya Selangor bagi industri aeroangkasa.

Beliau berkata usaha itu bakal mewujudkan peluang pelaburan baharu bagi syarikat pembekal aeroangkasa, kepintaran buatan (AI) dan pembangunan dron di Unisel, Bestari Jaya.

Selain itu, SAS yang julung kali dianjurkan tahun ini juga akan diteruskan tahun depan dengan peruntukan RM5 juta selain menghimpunkan pemain aeroangkasa dan penerbangan terbaik di dunia.

Categories
BERITA UTAMA

Selangor kekal dominasi pasaran industri aeroangkasa

KUALA LUMPUR, 23 JUL: Selangor mahu terus mengekalkan dominasi pasarannya dalam industri aeroangkasa dengan meningkatkannya pada kadar 70 peratus menjelang 2020 dalam masa terdekat.

EXCO Pelaburan, Perindustrian, dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim berkata, sehingga kini industri itu berada pada kadar 62 peratus hasil peningkatan permintaan terhadap bahan aeroangkasa di seluruh dunia dan peremajaan Subang Skypark.

Katanya, peningkatan itu sekali gus akan turut menyumbang secara positif kepada ekonomi negeri.

“Pembangunan industri aeroangkasa juga akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan mahir lebih tinggi untuk penduduk tempatan di Selangor serta seluruh negara khasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Sesi Perbincangan Pembuat Dasar dan Pemimpin Industri: Memajukan Ekonomi Bersama melalui Forum ‘Selangor: Regional Powerhouse’ di sini, hari ini.

Sebelum itu, forum berlangsung di Hotel Hilton dirasmikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Mengulas lanjut, Teng berkata, Selangor kini mempunyai kira-kira 200 syarikat berkaitan aeroangkasa dan menetapkan tiga kawasan khusus untuk sektor terbabit iaitu di Serendah, Subang dan Sepang.

Katanya, Kerajaan Negeri terus berusaha mencari pelaburan langsung asing (FDI) yang dipacu teknologi tinggi dan berjangka panjang.

“Kami mempunyai pelan tindakan yang menumpukan beberapa sektor termasuk pembuatan, aeroangkasa dan lain-lain.

“Berasaskan pelan ini, kami mengetengahkan Selangor sebagai destinasi bagi tujuan menjalankan perniagaan memandangkan negeri ini memiliki ekosistem lengkap,” katanya.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

Categories
SELANGOR

MB cari solusi terbaik sedia ruang industri aeroangkasa

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 2 JUL: Kerajaan Negeri masih berbincang dengan pihak berkaitan termasuk Khazanah Nasional Bhd dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi mencari solusi terbaik untuk menyediakan ruang serta keperluan mewujudkan industri aeroangkasa.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, secara asasnya jumlah tanah di Selangor amat terhad dan keperluan yang diperlukan pelabur agak tinggi.

“Memandangkan keperluan ini sangat perlu dalam industri, jadi beberapa cadangan mereka masih dibincangkan dan kita akan mengemukakan cadangan baharu jika mereka setuju.

“Jika ia berjaya dicapai, maka Malaysia sebagai negara pertama di Asia Tenggara menawarkan khidmat terbabit sekiranya ia menjadi kenyataan.

“Ini membabitkan pelaburan yang banyak, justeru kita mahu memastikan situasi menang-menang dan mampu menjalankan operasi yang baik selain mewujudkan pelaburan tinggi serta peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Invest Selangor Berhad di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini.

Terdahulu, Kerajaan Negeri kini dalam proses perbincangan dengan pengeluar pesawat terkemuka Eropah, Airbus bagi meneroka peluang mengembangkan industri aeroangkasa dalam sektor perkhidmatan merungkas pesawat dan komponennya di negeri ini.

Katanya, perbincangan dijangka berlangsung untuk tempoh sekurang-kurangnya lapan bulan atau lebih sebelum sebarang perkara diputuskan.

“Pada masa ini, kami masih dalam proses mengenal pasti lokasi sesuai yang perlu berhampiran dengan landasan kapal terbang khususnya di Sepang dan Subang.

“Apa yang saya boleh kata, di Selangor kita hampir lengkap dengan ekosistem dengan adanya penerokaan ini,” katanya.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)

Categories
SELANGOR

RM12 bilion potensi pendapatan industri aeroangkasa

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 26 FEB: Lebih RM12 bilion adalah potensi jumlah pendapatan yang mampu diraih dalam industri aeroangkasa dan penerbangan di peringkat nasional berdasarkan kajian Frost & Sullivan.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim berkata, melihat kepada pulangan itu, industri berkenaan sewajarnya terus diperkembangkan memandangkan ia mempunyai masa depan cerah dengan kedudukan strategik Malaysia, khususnya Selangor dalam rantau ini.

“Kedudukan kita begitu baik, malahan daripada aspek kemahiran yang kita miliki buat masa ini juga amat memberangsangkan berbanding negeri dan negara lain dalam rantau ini.

“Ini adalah satu peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan meskipun kita menghadapi persaingan daripada negara seperti Filipina, Thailand, Singapura dan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Townhall Selangor Aerospace Action Plan Invest Selangor, di The Saujana Hotel Kuala Lumpur di sini, semalam.

Terdahulu, sesi ‘Town Hall’ itu adalah inisiatif Kerajaan Negeri yang dicadangkan Majlis Aeroangkasa Selangor menerusi Invest Selangor dalam merangka strategi dan kaedah terbaik bagi memperkas serta menambah baik ekosistem industri aeroangkasa di Selangor.

Disertai kira-kira 150 peserta terdiri daripada agensi kerajaan Persekutuan dan Negeri, sesi itu selaras visi membantu syarikat tempatan memperoleh akreditasi antarabangsa untuk meneroka pasaran antarabangsa, selain memperkasa industri terbabit melalui pelbagai segmentasi.

Dalam perkembangan berkaitan, Chang Khim berkata, pelan tindakan itu signifikan bagi menjadikan Selangor sebuah hab aeroangkasa dengan menjadikan kawasan di Sepang, Subang dan Serendah sebagai lokasi utama industri berkenaan.

Katanya, ia turut berperanan sebagai satu pelan perancangan komprehensif dan garis panduan dalam menentukan hala tuju pembangunan menjadikan Selangor sebagai pilihan utama hab pelaburan dan perdagangan industri itu.

“Kita mempunyai banyak kekuatan dalam bidang ini, maka kita mahu memastikan bahawa kita dapat memperkukuhkan kedudukan ini.

“Justeru, kita memerlukan input daripada pelbagai pihak untuk menjalin kolaborasi bagi memastikan industri ini akan berkembang menjadi penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris dan Pengarah Urusan Malaysia of Frost & Sullivan, Hazmi Mohd Yusof.

Categories
SELANGOR

Kemudahan TVET tarik golongan muda cebur industri aeroangkasa

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 25 FEB: Kemudahan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) adalah langkah terbaik mengatasi masalah kurang penyertaan golongan muda dalam industri aeroangkasa.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri memperuntukan RM25 juta bagi membangunkan sumber tenaga manusia berkemahiran melalui Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS).

“Sejak tahun lalu, kita telah memperkenalkan latihan TVET di bawah Kerajaan Negeri.

“Antara rakan kerjasama adalah Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang memberi latihan TVET, sekali gus menarik golongan muda terbabit dan partisipasi dalam industri aeroangkasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) diantara Invest Selangor Berhad dan UMW Development Sdn Bhd di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Negeri turut membentangkan lebih 30 pelan tindakan bagi memajukan industri aeroangkasa merangkumi pemerkasaan TVET.

Beliau berkata, dengan pelan tindakan itu, industri aeroangkasa di Selangor akan lebih dipandu tepat ke arah sasaran.

“Antara sasarannya adalah penambahan pekerja, syarikat dan jumlah kitaran peniaga,” katanya.

Categories
SELANGOR

MB: Semua pihak perlu bekerjasama jaya industri aeroangkasa

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 25 FEB: Kerajaan Negeri mahu semua pihak bekerjasama bagi mencapai sasaran memperoleh RM175 bilion pendapatan industri aeroangkasa menjelang 2030.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, piha berkaitan seperti institusi pengajian tinggi, pusat latihan, sektor swasta dan sebagainya harus bergabung bagi membantu Kerajaan Negeri dalam menjayakan sasaran itu.

“Universiti dan pusat latihan diperlukan bagi menyediakan tenaga kerja dan modal insan, manakala syarikat swasta mewujudkan ekosistem.

“Kerajaan Negeri pula sedikit sebanyak akan memudahkan proses pendaftaran syarikat dan kapal terbang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) diantara Invest Selangor Berhad dan UMW Development Sdn Bhd di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, masih ada banyak lagi ruang yang boleh diteroka bagi membangunkan industri aeroangkasa di Selangor.

Terdahulu, Selangor turut mensasarkan menjadi tiga hab aeroangkasa terbaik dalam usaha menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negeri itu.