Categories
AGENDA NASIONAL

Ubah mentaliti untuk tingkat keberhasilan TVET

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Keberhasilan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bukan hanya terletak pada aspek sistem, malah memerlukan perubahan mentaliti dan kerjasama erat dengan industri, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata, reformasi sistem pendidikan TVET di negara ini harus mencontohi dan meneroka sistem pendidikan sama di Jerman, kerana menurutnya gelombang revolusi perinduatrian 4.0 (IR4.0) menuntut pembaharuan dalam perspektif serta cara berfikir, dan masyarakat Jerman dalam aspek ini pula adalah ’perfectionist’.

“Industri Jerman mahukan produk yang terbaik sahaja dan untuk memungkinkan perkara ini, industrilah yang turun (bantu) ke institusi dan merangka sistem pendidikan TVET yang diperlukan. Kita sedang gigih menggerakkan segalanya, ke arah TVET berasaskan industri.

“…urus tadbir, sistem, keterlibatan industri, kualiti dan penjenamaan, semuanya sedang digerakkan,” katanya dalam ucaptama pada majlis Menandatangani Perjanjian Sekunder Program Kolaborasi Industri (ICP) di Bangsar South, di sini hari ini.

Hadir sama di majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Technology Depository Agency (TDA), Datuk Zailani Safari dan CEO Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Abdul Yazid Kassim.

Di bawah program ICP, pemain industri akan bekerjasama dengan bidang akademik untuk meningkatkan keupayaan penyelidikan dan teknologi (R&T) serta pemindahan ilmu dari industri ke IPT.

Pada majlis itu, enam Institut Pengajian Tinggi (IPT) menerima geran penyelidikan dan geran biasiswa pasca siswazah dengan jumlah keseluruhan RM4 juta daripada beberapa pemain industri.

IPT berkenaan ialah Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), UniKL Malaysian of Chemical and Bioengineering Technology (UniKL MICET) dan Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KSM hasrat wujud bandar integrasi TVET di Tanjung Malim

MELAKA, 19 JUL: Kementerian Sumber Manusia (KSM) berhasrat mewujudkan sebuah bandar integrasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang menghimpunkan universiti, industri dan pusat penjanaan inovasi bagi memartabatkan bidang TVET pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, bandar tersebut akan dicadang dibangunkan di Tanjung Malim, Perak atas tanah milik kementerian itu melibatkan keluasan kira-kira 24.28 hektar namun pembangunan bandar itu bergantung pada kejayaan program atau inisiatif yang dilaksanakan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

“Cadangan ini termasuk pembinaan universiti TVET baharu dilontarkan kepada Menteri Sumber Manusia dan beliau memberi respons positif kerana melihat ia adalah satu inisiatif positif selain kementerian mempunyai tanah kosong di Tanjung Malim.

“Saya fikir lokasi tersebut sangat sesuai sebab di situ ada Proton, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan sebagainya dan ia boleh menjadi satu bandar hebat dari aspek akademik, kemahiran dan industri,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kerjasama Staretgik Artikulasi Program Diploma Kemahiran dan Vokasional ke Ijazah Sarjana Muda Teknologi dan Jerayawara Program Sarjana Muda Teknologi di MTUN di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Suimi Abdul Majid dan Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Prof Dr Raha Abdul Rahim.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata bandar integrasi TVET itu merupakan satu daripada usaha kementerian untuk meningkatkan keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak mereka melanjutkan pengajian dalam bidang TVET selain memberi jaminan masa depan yang lebih baik untuk lepasan graduan bidang itu.

Beliau berkata pembangunan bandar itu juga selaras dengan harapan untuk meningkatkan pemikiran rakyat khususnya generasi muda ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar pada masa hadapan dan bukannya menjadi negara pengguna.

“Kita baru hendak merangkak ke arah Revolusi Industri (IR) 4.0 sedang negara lain telah melepasinya dan ada yang telah mencapai IR 5.0,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata 10 program Sarjana Muda Teknologi yang akan ditawarkan di rangkaian MTUN selama tiga tahun bermula September depan akan memberi nafas baharu kepada pemegang Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) di bawah Kementerian Pendidikan.

“Program ini julung kali diperkenalkan dan ia dibentuk berasaskan ‘asas pekerjaan’ yang mirip kepada asas pembentukan DKM, DLKM dan DVM dan pemegang diploma tersebut mempunyai potensi tinggi diterima menyambung pelajaran di rangkaian MTUN iaitu di UTeM, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Malaysia Perlis,” katanya

Katanya 10 program Sarjana Muda Teknologi itu ialah Pembinaan Bangunan; Penyejukan dan Penyaman Udara Industri; Hospitaliti; Pemesinan Industri; Kimpalan; Automotif; Penyelenggaraan Sistem Elektrik; Automasi Elektronik Industri; Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas; serta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja.

Sementara itu, Raha berkata UTeM akan menawarkan dua program Sarjana muda Teknologi dalam bidang Kimpalan dan Permesinan bermula September depan. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pelan Pembangunan 2025 perkasa Tahfiz TVET

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KLANG, 1 JUL: Kementerian Sumber Manusia sudah menyiapkan Rangka Pelan Pembangunan (blueprint) 2025 untuk menggerakkan projek Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) secara lebih meluas.

Timbalannya, Datuk Mahfuz Omar berkata, pelan tindakan di bawah Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan itu membabitkan enam kementerian bagi memperluas latihan kemahiran kepada pelajar Tahfiz sekali gus mampu memenuhi keperluan industri semasa.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk merancakkan TVET secara lebih baik melalui elemen Tahfiz yang dibawa.

“Kita akan masukkan pelan ini ke dalam Rancangan Malaysia Ke-12 supaya menjadi persediaan untuk kita lebih bersungguh-sungguh menyediakan dana terutama dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0.

“Dengan adanya TVET Tahfiz ini, perhubungan dua latar belakang berbeza dapat dipertemukan dan tenaga pengajar tahfiz akan dapat manfaat dengan mempelajari ilmu kemahiran Industri Automasi dan Robotik, manakala guru TVET dapat memahami pendidikan Tahfiz,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian TVET Tahfiz dan Sambutan Aidilfitri Encounter Corridor Training Centre (ECTC), di Galleri Klang Sentral, di sini hari ini.

Turur hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Enter Coridor Sdn Bhd, Ahmad Radzi Yusof; Pengetua Maahad Tahfiz Al Quran Wa As Sunnah (MTAQWA’S), Ahmad Zaki Abdul Latif; Ahli Dewan Negeri Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar serta Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Dr Mohd Rashid Buyong Hamzah.

Dalam majlis sama, ECTC dan MTAQWA’S turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mewujudkan hubungan dalam memastikan kualiti pelaksanaan modul hafazan di pusat terbabit sentiasa di tahap terbaik.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, pihaknya menyokong pendekatan ‘MenTVETkan tahfiz dan MenTahfizkan TVET’ sebagai salah satu agenda dibawa kerajaan untuk memperkasa pendidikan Tahfiz.

Katanya, pendekatan itu bakal membuka peluang lebih luas kepada pelajar tahfiz untuk menceburi bidang kemahiran yang diiktiraf JPK tanpa mengabaikan hafazan mereka.

“Saya mengharapkan jabatan zakat untuk tampil membantu anak tahfiz dalam program TVET ini yang sudah tentu akan memberikan satu pemikiran baharu di luar kotak kerana mereka tidak semestinya menjadi imam dan bilal apabila keluar bekerja.

“Kita akan terus menyokong usaha ini melalui JPK dan Jabatan Tenaga Manusia kepada Enter Coridor Training Centre serta pusat bertauliah yang lain dalam merealisasikan hasrat ini,” katanya.

Categories
NASIONAL

Lepasan TVET digalak sambung pengajian

KOTA BHARU, 17 JUN: Lepasan diploma program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) digalakkan menyambung pengajian kemahiran ke peringkat Sarjana Muda yang ditawarkan universiti tempatan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, pelbagai universiti tempatan kini menawarkan pengajian ijazah yang bersesuaian melalui kerjasama dengan Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dalam usaha memperkasa TVET.

“Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menjadi universiti kelima yang menerima lepasan pelajar Diploma Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM).

“Sebelum ini, tawaran pengajian Ijazah ini dijalankan di bawah rangkaian Universiti Teknologi Malaysia dengan gabungan empat universiti iaitu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP),” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara UMK dan JTM di UMK Kampus Bachok di sini hari ini.

Mahfuz menyaksikan pemeteraian MoU itu yang ditandatangani Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar dan Naib Canselor UMK, Prof Dr Noor Azizi Ismail.

MoU selama tiga tahun itu bermatlamat untuk membolehkan graduan diploma melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, penawaran itu antara lain memberi peluang kepada pelajar kemahiran mendapat pekerjaan yang lebih baik dengan pendapatan yang lebih tinggi.

“Kerjasama sebegini membentuk semula keyakinan ibu bapa terhadap bidang TVET, kalau dulu tidak berapa yakin dengan pendidikan bidang kemahiran, kini pelajar boleh sambung pengajian hingga ke peringkat ijazah sarjana muda.

“Cuma kita mahu graduan TVET ini mencipta peluang pekerjaan baru atau mencipta produk,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama bagi tempoh tiga tahun itu juga merangkumi kerjasama kedua-dua pihak dalam perkongsian teoritikal, teknikal dan praktikal dalam bidang teknik dan vokasional.

“Antara bidang pengajian yang jadi tumpuan kita pula di bidang pemasaran internet, sebab mahu memenuhi keperluan industri dalam menghadapi arus Gelombang Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).

“TVET bukan hanya kemahiran teknikal tapi kita juga seiringkan kemahiran lain seperti sektor pertanian yang kita pertingkatkan menggunakan teknologi semasa sebab itu kita juga mahu kementerian lain seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk bawa pelaburan yang boleh mengguna pakai kemahiran yang dimilik pelajar TVET,” katanya. – BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kemudahan TVET tarik golongan muda cebur industri aeroangkasa

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 25 FEB: Kemudahan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) adalah langkah terbaik mengatasi masalah kurang penyertaan golongan muda dalam industri aeroangkasa.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri memperuntukan RM25 juta bagi membangunkan sumber tenaga manusia berkemahiran melalui Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS).

“Sejak tahun lalu, kita telah memperkenalkan latihan TVET di bawah Kerajaan Negeri.

“Antara rakan kerjasama adalah Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang memberi latihan TVET, sekali gus menarik golongan muda terbabit dan partisipasi dalam industri aeroangkasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) diantara Invest Selangor Berhad dan UMW Development Sdn Bhd di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Negeri turut membentangkan lebih 30 pelan tindakan bagi memajukan industri aeroangkasa merangkumi pemerkasaan TVET.

Beliau berkata, dengan pelan tindakan itu, industri aeroangkasa di Selangor akan lebih dipandu tepat ke arah sasaran.

“Antara sasarannya adalah penambahan pekerja, syarikat dan jumlah kitaran peniaga,” katanya.

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Terap TVET dalam sistem sekolah, seawal usia pelajar 16 tahun

OLEH NORHAYATI UMOR

PUTRAJAYA, 13 NOV: Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu diterapkan kepada pelajar seawal usia 16 tahun supaya golongan berkenaan bersedia memasuki pasaran pekerjaan.

Pengerusi Gerakan TVET Nasional, Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, ia diusulkan selepas mengambil kira beberapa buah negara maju yang menerapkan proses pembelajaran TVET di sekolah mereka.

“Dalam perbincangan siri ke dua ini, kita mahu ia diubah mengikut kehendak semasa.

“Negara memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk berdepan Revolusi Perindustrian 4.0.

“Justeru, kita mahu kerangka asal tahap pembelajaran ini diubah terlebih dahulu dan diterapkan di sekolah pada usia 16 tahun supaya pada usia 19 tahun, mereka sudah bersedia masuk ke pasaran kerja,” katanya yang juga Presiden Majlis Profesor Negara (MPN).

Beliau berkata demikian selepas Sesi Pembentangan Cadangan Kerangka TVET Nasional di Ibu Pejabat MPN , di sini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Gerakan TVET Nasional, Dato’ Ahmad Tajudin Jab dan Presiden Gabungan Kerjasama Institut Latihan Kemahiran Bumiputera, Nordin Abdul Malek.

Sementara itu, Ahmad Tajudin yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan) berkata, di luar negara, tenaga kerja teknikal dan vokasional memasuki institusi-institusi latihan seawal usia 15 tahun dan mula bekerja ketika berumur 18 tahun, antaranya Austria dan Jerman.

Terdahulu, kajian ke atas pelajar yang memasuki alam persekolahan (Darjah Satu) pada 2006 yang kemudiannya tamat Tingkatan Lima pada 2016 menunjukkan fakta yang mengejutkan.

Daripada 500,178 pelajar yang mendaftar pada 2006, hanya 70.2 peratus iaitu 352,756 menamatkan pelajaran dengan Sijil Pelajaran Malaysia.

Ini bermakna negara kehilangan kira-kira 30 peratus pelajar dalam sistem persekolahan formal sepanjang proses itu dan hanya 6 peratus pelajar masuk ke TVET.