Categories
AGENDA NASIONAL

Sengaja berada dalam kawasan wabak, lapan lelaki didenda

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Lapan lelaki termasuk empat warganegara Bangladesh didenda RM800 dan RM1,000, oleh Mahkamah Majistret di sini dan Selayang, kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), iaitu dengan sengaja berada dalam kawasan tempat jangkitan tanpa alasan munasabah.

Di Mahkamah Selayang, Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tiga bulan terhadap R.Thayalan, 24; S.N Lugantran, 25; K.Gukan, 24; dan Muhammad Khan Abdullah, 24; kerana bergerak dari Jalan Bandar Country Homes ke Kundang, Gombak di sini, pada 8.30 malam, 3 April lepas.

Mereka didakwa gagal mematuhi PKP dengan bergerak dari satu tempat ke tempat lain, dalam kawasan jangkitan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Thayalan dan Lugantran juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersama-sama menghalang penjawat awam iaitu seorang anggota polis, semasa menjalankan fungsi awamnya pada tempat, tarikh dan masa sama mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Thayalan turut mengaku tidak bersalah memandu kereta dengan cuai, hingga menyebabkan cedera ke atas seorang anggota polis pada tempat, masa dan tarikh sama, mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau dengan denda sehingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 9 Jun untuk sebutan kes Thayalan dan Lugantran.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni, manakala semua tertuduh diwakili peguam M.Mariappan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, empat warganegara Bangladesh didenda RM800 atau penjara satu bulan kerana melanggar PKP dengan bergerak dari satu tempat ke tempat lain di dalam kawasan tempat jangkitan.

Majistret Mohamad Fared Abdul Latif menjatuhkan hukuman itu terhadap Nazir Tayyab, Hassan Bilal, Mahmood Nasir dan Ramzan Mustafa selepas mereka mengaku bersalah melakukan kesalahan tersebut di Taman Miharja, Cheras pada 11.45 malam, 1 April lepas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Denda RM10,000 jika tidak mahu kerjasama dengan pihak berkuasa

SHAH ALAM, 11 APRIL: Individu yang tidak mahu berkerjasama dengan pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan ditangkap, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata ia tidak hanya bagi yang ingkar arahan pegawai kesihatan atau polis tetapi termasuk doktor dan jururawat.

“Mesyuarat hari ini memutuskan bahawa tindakan tegas akan diambil kepada mereka iaitu di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

“Kesalahan mereka boleh dihukum penjara maksimum dua tahun dan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: 1,095 individu ditahan, 815 kompaun dikeluarkan

SHAH ALAM, 11 APRIL: Seramai 1,095 individu ditahan polis menerusi sekatan jalan raya semalam kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut sebanyak 815 kompaun dikeluarkan dengan denda RM1,000, manakala 245 individu direman serta 38 lagi dijamin.

“Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP dari 18 Mac hingga 10 April adalah sebanyak 7,759 individu. Seramai 373 dituduh di mahkamah,” kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Sementara itu, Ismail Sabri menegaskan bermula semalam pihak polis mengambil ketetapan tidak lagi berkompromi terhadap sesiapa sahaja.

Menurut beliau tangkapan akan dilakukan kepada mereka yang masih ingkar serta degil arahan PKP.

“Mereka yang ditangkap dan dituduh di mahkamah bawah Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

Melalui hukuman tersebut kata beliau, mereka boleh dipenjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua pula, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda atau kedua-duanya.

Categories
AGENDA JENAYAH

Ingkar PKP, lima lelaki dikompaun RM1,000

KEPALA BATAS, 9 APRIL: Lima lelaki yang berkumpul tanpa alasan yang munasabah di Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga di sini, pada Rabu masing-masing dikompaun RM1,000 kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata mereka yang berusia antara 20 dan 40 tahun itu diberi masa dua minggu untuk menjelaskan kompaun berkenaan dan sekiranya gagal membayar, mereka akan dihadapkan ke mahkamah.

“Sejak pelaksanaan PKP sehingga semalam, kami telah menahan seramai 589 individu di seluruh negeri kerana gagal mematuhi PKP dan polis akan meneruskan sekatan jalan raya, rondaan serta operasi bagi mengesan mereka yang ingkar,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pemantauan dan tinjauan di Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga di sini, hari ini.

Beliau berkata pemantauan pihaknya mendapati nelayan dan peraih yang datang membeli hasil laut di situ mematuhi arahan dengan mempraktikkan jarakan sosial malah hanya 10 orang sahaja boleh berada dalam Pasar Bisik Kuala Muda pada satu-satu masa.

“Setakat ini nelayan mengakui pendapatan mereka tidak terjejas walaupun tidak lagi menjual dengan cara berbisik, tradisi yang diamalkan sejak puluhan tahun lalu, malah ketika PKP ini hanya peraih sahaja dibenarkan berniaga manakala orang ramai tidak boleh datang membeli seperti sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Sahabudin berkata kadar pematuhan penduduk Pulau Pinang terhadap PKP kini mencecah 98 peratus terutama selepas fasa dua dilaksanakan dan pihaknya juga mendapati tiada lagi pemandu kenderaan memberikan alasan tidak munasabah seperti sebelum ini.

Beliau berkata jumlah kenderaan juga semakin berkurangan di jalan raya negeri ini iaitu kurang 50 peratus berbanding pada minggu pertama pelaksanaan PKP dan kebanyakan yang keluar adalah kerana keperluan antaranya pekerja daripada perkhidmatan penting serta mereka yang ingin membeli keperluan barangan asas serta makanan.

“Saya pernah hadir memantau sekatan jalan raya dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari dan daripada (kenderaan) ditahan, hanya dua buah kereta sahaja yang tidak mematuhi (PKP), yang tiada surat…macam di Pasar Bisik Kuala Muda ini, tiada lagi orang ramai hadir berkumpul beramai-ramai,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kompaun RM1,000 jika ingkar arahan PKP – Ismail Sabri

SHAH ALAM, 9 APRIL: Berkuatkuasa semalam orang ramai yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikenakan kompaun RM1,000, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata setakat ini sebanyak 95 notis denda telah diserahkan kepada individu terbabit.

“Mereka yang didapati ingkar PKP akan dibawa ke balai polis sebelum diberikan kompaun dan bayaran perlu diselesaikan di pejabat kesihatan daerah dalam tempoh dua minggu.

“Sesiapa yang gagal membayar kompaun akan dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA JENAYAH

PKP: 974 individu ingkar ditahan di Selangor

SHAH ALAM, 5 APRIL: Seramai 974 individu di negeri ini ditahan kerana melanggar arahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu, kata jurucakap polis Op Covid-19 Selangor.

Asisten Komisioner Mohd Ismail Muslim berkata, pihaknya juga menerima 737 laporan berhubung salah laku PKP dan 484 kes sudah disiasat.

“57 individu sudah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya dalam kenyataan di Facebook Polis Selangor semalam.

Tambah Ismail sepanjang PKP ini 89 sekatan jalan raya dibuat hasil kerjasama Angkatan Tentera Malaysia.

“Jumlah ini akan bertambah dari semasa ke semasa. Polis juga tutup 34 jalan alternatif bagi mengawal pergerakan penduduk,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ingkar PKP: 24 penuntut kolej ditahan ketika main bola sepak

GEORGE TOWN, 1 APRIL: Sejumlah 24 penuntut sebuah kolej di sini ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan bermain bola sepak di padang kolej itu di Jalan Cengai, Tanjung Bungah semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata kesemua penuntut terbabit ditahan sepasukan anggota polis yang bergegas ke lokasi kejadian pada 7.14 malam selepas menerima aduan daripada orang awam.

“Ketika tiba di lokasi, pintu pagar berkunci dan ia dibuka 15 minit kemudian. Pemeriksaan polis mendapati kesemua mereka yang sedang bermain bola di padang itu adalah warganegara tempatan dan penuntut yang tinggal di asrama kolej tersebut,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua penuntut berusia lingkungan 20-an itu ditahan kerana melanggar PKP dan disyaki dengan cuai melakukan perbuatan yang boleh merebakkan jangkitan penyakit berbahaya.

“Mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan polis dan kami sedang melengkapkan kertas siasatan kes itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua warga emas daki gunung ditahan ingkar PKP

JOHOR BAHRU, 31 MAC: Tindakan dua lelaki warga emas mendaki Gunung Lambak dekat Kluang petang semalam membawa padah, apabila kedua-duanya ditahan kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Kluang Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata lelaki berusia 64 dan 66 tahun itu ditahan pada kira-kira 2 petang oleh sepasukan polis hasil daripada maklumat yang diterima.

“Ketika rondaan, pihak polis menerima maklumat bahawa terdapat dua lelaki warga tempatan sedang mendaki Gunung Lambak.

“Hasil siasatan awal kedua-duanya tidak dapat memberi alasan yang munasabah mengapa mereka berada di luar rumah ketika dalam tempoh PKP. Justeru itu, mereka ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kluang untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Gunung Lambak ditutup sepenuhnya sejak arahan PKP dikeluarkan pada 18 Mac lepas.

Katanya kes disiasat mengikut Peraturan (7) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Doktor didakwa ingkar PKP, halang tugas penjawat awam

GEORGE TOWN, 30 MAC: Seorang doktor perubatan di sebuah klinik swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menghalang tugas penjawat awam dan melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19.

Dr Ong Hean Teik, 61, dari Tanjung Bungah membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menghalang penjawat awam iaitu penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Muhd Alif Aizad Abd Latiff dalam menjalankan fungsi awamnya di Taman Bandaraya Pulau Pinang, Jalan Persiaran Kuari pada 6 petang, 19 Mac lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Dr Ong dituduh keluar dari rumah di Tanjung Bungah ke Taman Bandaraya Pulau Pinang bukan bertujuan untuk melakukan perkara diperuntukkan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, pada 4.45 petang, tarikh sama.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Peraturan 7(1) peraturan sama, yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 bagi kedua-dua pertuduhan serta pasport diserah kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 9 Jun bagi sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan manakala tertuduh diwakili peguam Bala Mahesan

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Ingkar PKP, lelaki dipenjara empat bulan

KAJANG, 27 MAC: Tindakan seorang lelaki yang menunggang motosikal tanpa sebarang tujuan dan cuba meloloskan diri, dalam sekatan jalan raya Ops Covid-19 di Jalan Hulu Langat di sini membawa padah, apabila dia dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Syahrul Sazli Md Sain menjatuhkan hukuman itu, terhadap Ahmad Fauzan Jais, 31, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu, melanggar sekatan jalan raya yang dilakukan pihak polis dan menunggang motosikal tanpa sebarang tujuan dalam kawasan jangkitan Covid-19, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak tersebut dikuatkuasakan.

Bagi kesalahan melanggar sekatan jalan raya, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan, manakala hukuman penjara sebulan bagi kesalahan menunggang motosikal tanpa tujuan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang tidak diwakili peguam, menjalani kedua-dua hukuman penjara secara berasingan, bermula dari tarikh tangkap pada 24 Mac lalu.

Lelaki itu yang bekerja sendiri didakwa tidak memberhentikan motosikalnya ketika diminta Kpl Haslanni Sabtu dalam satu sekatan jalan raya Ops Covid-19, di Jalan Hulu Langat-Ampang pada 10 pagi, 24 Mac lalu dan dikenakan hukuman mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis 1967, yang membawa hukuman penjara yang boleh sampai 12 bulan atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa telah berada dalam kawasan jangkitan tanpa sebarang tujuan, yang diperuntukkan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di tempat dan masa sama.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Peraturan 7(1) peraturan sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara yang boleh sampai enam bulan atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon mahkamah, menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh mengambil kira faktor kepentingan awam yang melebihi kepentingan peribadi, ketika negara sedang mengadapi masa krisis.

“Hukuman yang dijatuhkan diharap dapat memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia, bahawa kerajaan Malaysia sedang dalam usaha untuk membendung pandemik Covid-19, yang semakin serius,” katanya.

Tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang datang dari arah Bukit Ampang, enggan memberhentikan motosikalnya sewaktu diarahkan pihak polis ketika melalui satu sekatan jalan raya Ops Covid-19, malah dia telah memecut laju dan berlaku kejar-mengejar antara tertuduh dan pihak polis, sebelum lelaki itu terbabas dan berjaya ditangkap.

– BERNAMA