PETALING JAYA, 29 MEI : Kempen kitar semula oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) lebih menarik perhatian kali ini dengan kotak 3R tenaga solar baru.
Bukan sahaja rupanya yang mencuri perhatian, kotak tersebut boleh ditaja oleh syarikat-syarikat swasta untuk menjadi papan iklan sekaligus menjadikannya satu bahan untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman berkata diharapkan kotak 3R ini akan memberi lebih peluang kepada warga Petaling Jaya untuk mempratikan budaya kitar semula dengan betul.
“Kotak 3R diperkenalkan ini menjadi kawasan MBPJ lebih baik disebabkan kemudahan terbaru ini memberi ruang yang lebih untuk bahan kitar semula iaitu plastik, aluminium, bateri dan kertas selain kotak yang cantik dengan paparan iklan yang jelas.
“Kita berharap penduduk memberi kerjasama dengan menggunakan kemudahan ini mengikut peraturan dengan membuang bahan kitar semula di dalam kotak disediakan dengan betul.?
Beliau berkata demikina dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Projek Perintis Kotak 3R Sempena Kitar Semula 2012 di sini hari ini.
Majlis dirasmikan Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong Keat Ping dan dihadiri Pengarah Jualan Tyewei Marketing Sdn Bhd, Johnson Yoon dan Ketua Pengedar Ingress Auto Sdn Bhd, Rabian Ab Rahman.
Elizabeth berkata kotak kitar semula 3R meletakkan MBPJ sebagai bandar raya perintis dalam pelbagai program hijau.
Katanya, masyarakat sememangnya memerlukan kemudahan itu kerana banyak bahan hari ini boleh dikitar semula.
“Masyarakat harus menyokong program ini supaya ianya berjaya digunakan secara efektif.
?Saya yakin rakyat akan memberikan respon baik kerana bahan yang dibuang seperti plastik, kertas, bateri dan aluminium sudah disediakan ruang yang betul,” katanya.
Sementara itu, Johnson berkata, program pengenalan kotak 3R tersebut sudah menunjukkan kesan positif selepas kali pertama diperkenalkan di Pulau Pinang tahun lalu.
Jelasnya, kotak 3R di Petaling Jaya boleh berfungsi lebih baik dengan ketahanan tenaga solarnya mencapai tahap tiga jam berbanding sebelumnya hanya satu jam.
“Program ini adalah program sosial yang kita perkenalkan menerusi kerjasama pihak kerajaan dan swasta. Kita meletakkan sasaran menempatkan 300 kotak 3R ini di kawasan Petaling Jaya dalam tempoh enam bulan.
“Sepertimana dialami di Pulau Pinang, pada awalnya memang terdapat sampah bukan kitar semula di dalam kotak ini tetapi lama kelamaan keadaan berubah dengan pengguna memahami penggunaan kotak disediakan ini,” jelasnya.
Kotak 3R pertama diletakkan di Kota Damansara manakala selebihnya akan diagihkan di kawasan komersil di sini.
Bagi permulaan pengedar kereta BMW Ingress Auto Sdn Bhd telah membeli Sebanyak 50 kotak.