Categories
AGENDA NASIONAL

Inkues kes Adib: Polis akan panggil dua saksi pakar

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Polis akan memanggil dua saksi pakar inkues kes kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Muhammad Adib Mohd Kassim, dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Dua individu tersebut ialah Pakar Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid dan pakar fizik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Amir Radzi Ab Ghani.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, seorang daripada mereka akan hadir hari ini bagi dirakam keterangan manakala seorang lagi akan dipanggil dalam masa terdekat.

“Semasa inkues di Mahkamah Koroner, 30 saksi telah dipanggil dan 28 daripadanya merupakan saksi yang telah dirakam percakapan oleh polis.

“Polis juga telah membuat janji temu dengan beberapa saksi dan akan meneruskan siasatan selepas menerima arahan daripada pejabat Peguam Negara pada Jumaat lepas (4 Okt),” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.

Sementara itu, Huzir turut meminta semua pihak berhenti membuat spekulasi berhubung empat suspek yang terbabit dalam kes pembunuhan Muhammad Adib.

Katanya, empat individu berkenaan ditahan atas kesalahan insiden merusuh di MCT berhampiran lokasi kejadian serangan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya.

“Salah faham berhubung empat suspek yang dibebaskan dalam kes kematian Muhammad Adib sebelum ini adalah disebabkan kekeliruan dalam laporan beberapa media tempatan,” katanya menambah empat suspek terbabit adalah daripada enam orang ditahan di lokasi kejadian.

Jelasnya, empat suspek yang dibebaskan itu sebenarnya disiasat di bawah Seksyen 147, 427 dan 447 Kanun Keseksaan iaitu merusuh, pencerobohan jenayah dan mendatangkan bencana.

Selain itu, 56 daripada 66 orang yang disiarkan gambar mereka sebelum ini diminta tampil membantu siasatan kes kematian Muhammad Adib.

Katanya, individu terbabit diminta tampil sebelum polis menyiarkan kembali gambar mereka dalam masa terdekat.

Pada 27 Sept lepas, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu, selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil berkenaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Inkues Adib: Punca sebenar kematian diketahui esok

SHAH ALAM, 26 SEPT: Selepas 41 hari prosiding inkues berhubung kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dijalankan, esok adalah detik yang amat ditunggu pelbagai pihak apabila keputusannya akan diumumkan di Mahkamah Koroner di sini kira-kira jam 10 pagi.

Inkues, yang dimulakan pada 11 Februari lalu, di hadapan Koroner Rofiah Mohamad itu adalah bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya.

Prosiding inkues berkenaan dijalankan ekoran punca sebenar yang meragut nyawa wira bomba itu dieksploitasi pelbagai pihak.

Pada 27 November lalu, Muhammad Adib parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, dekat sini.

Bagaimanapun, selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

Sepanjang inkues itu dijalankan, 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dipanggil dan 137 bahan bukti dikemukakan dengan pelbagai hujahan dilontarkan oleh pihak terbabit sebelum prosiding berkenaan ditutup pada 24 Julai lalu.

Antara saksi pakar yang dipanggil ialah Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi dan Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid.

Susulan insiden itu, pada 28 Disember lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) secara simbolik menyerahkan kenaikan pangkat Gred KB22 kepada bapa Muhammad Adib iaitu Mohd Kassim Abdul Hamid.

KPKT menyifatkan pengorbanan Muhammad Adib sehingga terkorban ketika rusuhan itu sebagai wira negara.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pakar fizik UiTM akan dipanggil bantu inkues Adib

SHAH ALAM, 5 JUL: Mahkamah Koroner di sini memutuskan untuk memanggil seorang pakar fizik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk membantu prosiding inkues Muhammad Adib Mohd Kassim berhubung pengiraan daya hentaman.

Koroner Rofiah Mohamad berkata pakar berkenaan, Amir Radzi Ab Ghani yang merupakan pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal di universiti berkenaan, dijadual memberi keterangan sebagai saksi ke-30 pada 16 dan 17 Julai ini.

“Pastikan saksi dimaklumkan dan bersetuju untuk membantu mahkamah dari segi persoalan dalam prosiding inkues yang diperlukan pada 16 Julai nanti,” katanya dalam prosiding inkues yang masuk hari ke-40 hari ini.

Keperluan untuk memanggil pakar fizik bagi memberi keterangan dalam prosiding berkenaan wujud selepas terdapat perbezaan daripada dua pakar yang memberi keterangan dalam prosiding inkues iaitu formula dikemukan Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi (saksi ke-24) dan Perunding Kanan Patalogi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd. Wahid (saksi ke-29) berhubung pengiraan daya hentaman.

Sementara itu, keputusan atas cadangan Pegawai Pengendali inkues, Faten Hadni Khairuddin supaya seorang lagi pakar patologi dipanggil dalam prosiding inkues berkenaan, Rofiah berkata keputusan itu akan diputuskan selepas mahkamah mendengar keterangan Amir Radzi.

“Berhubung untuk memanggil pakar patologi lain seperti dicadangkan pegawai pengendali, ia masih dipertimbang dan perlu selesaikan dahulu keterangan daripada pakar fizik nanti,” katanya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Metodologi pakar forensik HKL salah – Saksi ke-29

SHAH ALAM, 3 JUL: Perunding Kanan Patalogi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid hari ini memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa metodologi yang diguna pakai Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), dalam eksperimen untuk mengetahui punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, adalah salah.

Dr Shahrom yang merupakan saksi ke-29 itu berkata demikian di hadapan Koroner Rofiah Mohamad, kerana menyifatkan eksperimen yang dikemukakan Pakar Forensik HKL Dr Ahmad Hafizam Hasmi, tidak dapat menentukan objek yang boleh menyebabkan kecederaan Muhammad Adib.

“Orang yang buat eksperimen ini tiada pengalaman, sebab metodologinya salah.

“Untuk kita buat eksperimen bukan main suka-suka…dia kena tahu konsepnya dan dalam konsep ini kena tahu objek atau bahagian mana yang paling bersentuhan dengan si mati (yang menjadi punca kecederaan di bahagian dada kanan mangsa),” katanya pada hari ke-38 prosiding inkues kematian Muhammad Adib di sini, hari ini.

Beliau turut berpendirian laporan berhubung punca kematian Muhammad Adib yang dikemukakan Dr Ahmad Hafizam juga tidak lengkap.

Katanya, kejadian yang menimpa Muhammad Adib itu adalah kes yang rumit dan seharusnya hasil laporan eksperimen tersebut perlu bagus dan cemerlang.

“Untuk saya kalau kes rumit macam ini tidak lengkap kena buat complete investigation…bagi saya laporan ini sekadar memuaskan tetapi tidak bagus dan cemerlang,” katanya.

Dalam keterangan hari ini, Dr Shahrom yang juga bekas Pakar Perunding Kanan dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz berkata, beliau turut turun ke lokasi kejadian bagi mendapatkan gambaran sebenar punca kejadian.

Dr Shahrom berkata beliau bertindak sedemikian selepas melihat keterangan dan laporan yang berubah-ubah ketika prosiding inkues itu berjalan.

“Dalam inkues ini saya tengok laporan dan keterangan (pihak berkaitan) berubah-ubah sebab ada alasan mahu bantu mahkamah.

“Seperti keterangan mula-mula kata arwah (Muhammad Adib) jatuh di bahu jalan dekat sini (lokasi pertama dipercayai mangsa jatuh dan cedera), tiba-tiba keluar pula punca di bahu jalan yang lain.

“Nasib baik saya sudah buat (eksprimen) di dua-dua tempat. 100 peratus saya tolak bahu jalan sebagai punca (kecederaan)…itu tak masuk akal,” katanya.

Dalam inkues hari ini, Dr Shahrom turut memberitahu mahkamah bahawa beliau yakin kecederaan di dada Muhammad Adib adalah disebabkan tendangan daripada pintu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Saya melihat setiap kenderaan yang sama paras atau objek yang bersesuaian dengan kecederaan dialami. Saya mendapati hanya objek pada pintu EMRS yang sama dengan kecederaan dialami Muhammad Adib.

“Saya yakin 80 hingga 90 peratus berhubung kecederaan di dada adalah disebabkan tendangan pintu EMRS,” katanya.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas, dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember, di Institut Jantung Negara. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Peguam bebas perlu wakili KPKT dan JBPM dalam inkues Adib

SHAH ALAM, 28 Jun : Kerajaan perlu melantik seorang peguam bebas dan bukan daripada Pejabat Peguam Negara (AGC) bagi mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dalam pendengaran inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pengerusi Persatuan Pesara Pegawai Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor Zainal Wagimin berkata ini kerana tindakan AGC menamatkan perkhidmatan Syazlin Mansor yang mewakili KPKT dan JPBM dilihat mencampuri perjalanan prosiding inkues.

“Sebagai pesara bomba kami berasa amat sedih dan terkilan dengan tindakan berkenaan, dia (Syazlin) telah menjalankan tugas dengan baik.

“Pada hemat kami juga bomba tidak seharusnya diwakili peguam dari AGC kerana bomba seharusnya berdiri teguh bagi membela kematian anggotanya, Adib mati ketika menjalankan tugas dan kematiannya harus dibela oleh bomba dan pesalah harus dihukum,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Zainal, pihak bomba perlu terus perjuangkan keterangan Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid yang mengesahkan kematian Muhammad Adib adalah disebabkan oleh perusuh.

“JBPM perlu bersatu hati menentang teori kononnya Adib dilanggar, maka amat tidak kena dan salah jika sekarang JBPM ingin menukar pendirian dan arah,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Mahkamah Koroner pada Rabu lepas diberitahu mengenai pelantikan empat peguam baharu bagi mewakili KPKT dan JPBM dalam pendengaran inkues berkenaan.

Mereka adalah tiga Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan; Mazlifah Ayob; dan Fadzilatul Isma Ahmad Refngah dan Peguam Persekutuan Afiq Zainal Abidin.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis di Institut Jantung Negara. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Inkues Adib: Zuraida tunggu tiga nama DPP ganti Syazlin

PUTRAJAYA, 3 JUN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) masih menunggu tiga nama timbalan pendakwa raya (DPP) yang dicadangkan Jabatan Peguam Negara untuk menggantikan peguam Syazlin Mansor dalam inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Sehubungan itu, Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata beliau sendiri akan memilih seorang daripada mereka untuk mewakili KPKT dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Saya sudah bertemu dengan Peguam Negara Tommy Thomas pada Sabtu lepas bincang soal inkues Adib…jadi cara yang betul adalah KPKT melantik seorang peguam daripada pihak Jabatan Peguam Negara yang akan memberi nama daripada kalangan DPP kanan.

“Ketika ini mereka belum lagi beri nama kepada saya dan bila saya dapat nama saya akan lihat dan buat keputusan,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan sekumpulan Orang Kelainan Upaya di pejabatnya di sini hari ini.

Minggu lepas, peguam negara mengemukakan beberapa sebab kenapa Syazlin tidak boleh mewakili KPKT serta Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam inkues ke atas kematian Muhammad Adib, antaranya konflik kepentingan kerana Syazlin juga mewakili keluarga Allahyarham. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Inkues Adib: Mahkamah tetapkan 26 Jun sebutan semula inkues

 

SHAH ALAM, 27 Mei: Mahkamah Koroner di sini menetapkan 26 Jun depan untuk sebutan semula bagi prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Koroner Rofiah Mohamad menetapkan tarikh itu sementara menunggu pelantikan peguam baharu yang akan mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan keluarga anggota bomba tersebut.

Mahkamah menetapkan tarikh itu, selepas peguam Syazlin Mansor yang mewakili KPKT, JBPM dan keluarga anggota bomba itu, menarik diri dalam prosiding inkues yang memasuki hari ke-37, hari ini.

‘’Dalam tempoh tiga minggu (sebelum tarikh sebutan) isu ini (pelantikan peguam baharu) perlu diselesaikan, oleh itu pihak berkenaan perlu ‘liaise’ dengan KPKT dan bomba untuk mencari peguam.

‘’Peguam yang dilantik juga mestilah mahir dalam mengendalikan kes ini,’’ katanya.

Rofiah memaklumkan pada tarikh berkenaan, pihaknya akan menentukan sama ada saksi ke-29 yang juga bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Prof Dr Shahrom Abd Wahid dibenarkan untuk memberi keterangan semula atau sebaliknya.

Beliau turut meminta pegawai pengendali inkues, Faten Hadni Khairuddin mencadangkan nama pakar fizik yang berpadanan dengan bidang itu untuk dipanggil ke mahkamah.

“Pada tarikh itu, saya juga mahu nama pakar fizik (yang mahu dipanggil). Saya harap pakar itu diberitahu berkenaan skop inkues ini supaya mereka dapat menjangkakan apa soalan akan ditanya.

“Berkenaan panggil semula saksi ke-29, saya juga akan menyemak keterangan saksi ke-24 (Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi). Pada 26 Jun nanti, saya akan putuskan saksi ke-29 dipanggil semula atau tidak,” katanya.

Terdahulu, berhubung penarikan diri peguam itu, Syazlin memberitahu akan ada penggantinya berikutan beliau difahamkan KPKT dan JBPM masih kekal sebagai pihak berkepentingan dalam kes tersebut.

‘’Ada lantikan (peguam baharu) nanti, saya percaya Peguam Negara akan berbincang dengan menteri (KPKT) berhubung hal itu,’’ kata Syazlin.

Susulan penarikan Syazlin sebagai peguam juga, Dr Shahrom yang sepatutnya memberi keterangan kali kedua hari ini berhubung teori punca kematian Muhammad Adib, terbatal.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Inkues Adib: Peguam tarik diri

SHAH ALAM, 27 MEI: Peguam Syazlin Mansor, yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta keluarga anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, menarik diri daripada prosiding inkues kematian anggota bomba itu.

Perkara itu dimaklumkan Syazlin di hadapan Hakim Rofiah Mohamad, yang bersidang sebagai Koroner, ketika prosiding hari ke-37 di Mahkamah Koroner di sini.

“Dengan penarikan diri, saya percaya langkah untuk memanggil semula saksi ke-29, Perunding Kanan Patalogi Forensik di United Kingdom, yang juga bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, terbatal,” katanya.

Seorang lagi peguam mewakili keluarga Muhammad Adib, Ahmad Taufiq Baharun, memaklumkan kepada mahkamah pihaknya tidak mempunyai saksi lain untuk dipanggil memberi keterangan ketika ini.

Pada 17 Mei lepas, Rofiah membenarkan Dr Shahrom dipanggil semula memberi keterangan berikutan permohonan Syazlin.

Prosiding inkues itu bersambung petang ini.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Inkues Adib: Doktor pakar forensik kesal ‘dimalukan’ di mahkamah

SHAH ALAM, 17 MEI: Seorang saksi doktor pakar forensik menyatakan kekesalannya kerana ‘dimalukan’ di dalam mahkamah ketika memberi keterangan pada inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pakar Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi berkata, niatnya hanya ingin membantu mahkamah untuk membuat pengiraan formula daya berhubung kecederaan dialami Muhammad Adib.

Saksi ke-24 yang dipanggil semula memberi keterangan itu juga beberapa kali menegaskan bahawa beliau bukan pakar fizik dan meminta mahkamah merujuk kepada pakar dalam bidang berkenaan untuk sebarang pengesahan berhubung pengiraaan formula daya itu.

“Saya sentiasa tegaskan saya bukan pakar fizik…mungkin saya tersalah faham (tentang permintaan membuat kiraan formula daya). Apabila diminta sesuatu oleh peguam, saya anggap saya perlu jelaskan kepada koroner.

“Ini bukan perbicaraan dan saya juga tidak sepatutnya dimalukan di mahkamah tentang pengiraan ini,” katanya pada prosiding ke-36 inkues di Mahkamah Koroner di sini, hari ini.

Terdahulu, saksi itu bertikam lidah dengan peguam Syazlin Mansor yang mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, apabila peguam tersebut mendakwa keterangannya berhubung pengiraan formula daya mengelirukan mahkamah.

Syazlin: Pengiraan daya yang doktor kemukakan di mahkamah berkenaan graviti salah, biar pakar yang bercakap tentang perkara ini. Tidak perlulah doktor nak tambah kelirukan mahkamah.

Dr Ahmad Hafizam: Saya tidak kelirukan mahkamah, semalam saya anggap saya disuruh buat pengiraan yang betul, sebab itu saya buat pengiraan baharu. Saya juga tidak sepatutnya dimalukan di mahkamah tentang pengiraan ini.

Syazlin: Sebelum ini doktor cakap pengiraan Prof Shahrom (Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom Prof Dr Shahrom Abd Wahid) salah, tetapi bila doktor tunjukkan pengiraan baru mengenai tarikan graviti saya lihat tidak betul, jadi saya tunjukkan yang doktor salah, bukan niat nak malukan cuma cakap doktor nak kelirukan mahkamah.

Menjawab soalan lain Syazlin, Dr Ahmad Hafizam berkata, lebam pada badan Muhammad Adib bukan disebabkan kesan cengkaman akibat ditarik tetapi berkemungkinan berlaku ketika mangsa dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

“Dalam kes ini, mangsa meninggal dunia selepas 21 hari menerima rawatan dan dalam jangka masa rawatan ada pergerakan tertentu seperti mangsa digerakkan ke kiri, kanan sewaktu dia tidak sedarkan diri. Berdasarkan bedah siasat, kesan lebam itu tidak padan akibat ditarik,” katanya.

Saksi itu juga tidak bersetuju dengan teori Muhammad Adib ditarik pada siku kiri atau dari bahagian depan baju mangsa, berdasarkan beberapa faktor seperti situasi van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang sedang bergerak, kawasan kejadian berbahaya, mangsa ialah seorang anggota bomba yang ‘fit’ dan pemeriksaan klinikal serta dapatan bedah siasat yang telah dijalankan terhadap mayat mangsa.

Muhammad Adib yang merupakan anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di IJN.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung pada 27 dan 28 Mei ini. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Inkues Adib: Prof Dr Shahrom dipanggil semula beri keterangan

SHAH ALAM, 17 MEI: Mahkamah Koroner di sini hari ini menetapkan 27 dan 28 Mei ini untuk memanggil semula seorang saksi doktor pakar forensik bagi memberi keterangan pada inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Saksi itu ialah Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom yang juga bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof Dr Shahrom Abd Wahid.

Koroner Rofiah Mohamad memutuskan sedemikian selepas membenarkan permohonan peguam Syazlin Mansor yang mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Terdahulu, Syazlin membuat permohonan untuk memanggil semula saksi ke-29 itu berikutan terdapat dakwaan teori yang dikemukakannya di mahkamah berhubung punca kematian Muhammad Adib adalah salah.

“Pihak kami percaya tiada bantahan daripada pegawai pengendali inkues berdasarkan persetujuan ketika permohonan memanggil semula saksi ke-24, Pakar Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi, dikemukakan di Mahkamah Tinggi bulan lalu,” katanya.

Peguam itu juga mencadangkan supaya seorang saksi pakar dalam bidang kejuruteraan mekanikal dipanggil memberi keterangan berhubung formula daya melibatkan kecederaan dialami Muhammad Adib yang menjadi isu dalam mahkamah.

Pegawai pengendali inkues, Faten Hadni Khairuddin pula memohon mahkamah mempertimbangkan supaya saksi itu hanya dipanggil memberi keterangan berhubung teorinya dan bukan mengemukakan eksperimen baharu untuk menyangkal (rebut) eksperimen yang dijalankan oleh pasukan forensik HKL.

“Kami turut cadangkan seorang pakar kejuruteraan mekanikal bebas dipanggil, kaedah pemilihan pakar terserah kepada mahkamah (untuk putuskan) sama ada dilakukan oleh pihak berkepentingan atau mahkamah yang tentukan,” katanya.

Rofiah kemudian mencadangkan supaya Dr Shahrom hanya memberi keterangan dalam bentuk soal jawab dan bukan mengemukakan eksperimen baharu.

Berhubung permohonan memanggil saksi pakar kejuruteraan mekanikal, beliau meminta semua pihak berkepentingan berbincang terlebih dahulu cadangan nama pakar yang akan memberi keterangan selain soalan-soalan yang akan dikemukakan.

“Mahkamah perlukan cadangan nama, kelayakan (sebelum membuat keputusan). Jika mahu kemukakan (saksi), bagi keterangan dalam bentuk bertulis pun tidak apa seperti 112 kenyataan (pernyataan bersumpah) atau mungkin kemukakan soalan dan biar dia jawab, sebab ada beberapa isu termasuk kesediaan dan mungkin jika (saksi) dicadangkan oleh KPKT, orang akan beranggapan dia saksi berbayar,” katanya.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Inkues Adib: Saksi guna van EMRS terang insiden kejadian

SHAH ALAM, 15 MEI: Inkues menyiasat kematian Muhammad Adib Mohd Kassim hari ini melihat demonstrasi insiden yang berkemungkinan berlaku terhadap anggota bomba itu menggunakan sebuah van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang dibawa khas ke Mahkamah Shah Alam.

Van itu bagaimanapun bukan van sama dinaiki Allahyarham ketika kejadian pada 27 Nov tahun lepas.

Demonstrasi hampir setengah jam bermula pukul 10.30 pagi itu dilakukan oleh saksi ke-24, pakar Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi.

Demonstrasi berkenaan bertujuan mengukuhkan dapatan teori saksi itu yang menjelaskan mengenai kecederaan patah tulang rusuk yang dialami Muhammad Adib akibat dilanggar van EMRS ketika kejadian.

Koroner Rofiah Mohamad dan pihak-pihak berkepentingan dalam inkues tersebut turut ditunjukkan demonstrasi van tersebut bergerak secara mengundur seperti dapatan saksi itu.

Difahamkan kelajuan van EMRS tersebut mengundur adalah 17 km/j iaitu sama dengan situasi pada malam kejadian.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis di Institut Jantung Negara.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Inkues Adib: Pakar Forensik HKL sangkal fakta saksi ke-29

SHAH ALAM, 10 MEI: Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang dibenarkan untuk memberi keterangan semula pada prosiding inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, di Mahkamah Tinggi di sini hari ini menyangkal beberapa fakta yang dibentangkan pakar lain sebelum ini.

Dr Ahmad Hafizam, yang juga saksi ke-24, berkata, terdapat kiraan salah pada formula yang digunakan saksi ke-29 iaitu Perunding Kanan Patalogi Forensik, Prof Dr Shahrom Abd Wahid dalam mengira daya untuk mendapat impak kecederaan terhadap anggota bomba itu.

Dr Ahmad Hafizam berkata, Prof Dr Shahrom, bekas pakar Perunding Kanan Forensik dan Patalogi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz itu, mungkin tidak mengambil kira berat van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dalam mengira daya terbabit.

“Formula ini memang ada dan selalu digunakan untuk kes membabitkan jatuh dari tempat tinggi. Sebab itu kita tidak masukkan langsung mengenai jarak si mati kerana kita tidak tahu si mati jatuh di mana. Bagaimanapun, berdasarkan kiraan ini, apa yang berlaku sudah cukup kuat untuk patahkan tulang rusuk terbabit,” katanya pada hari ke-32 prosiding inkues berkenaan.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan semula dan eksperimen dijalankan pada 12 April lepas, beliau dan juga saksi ke-27, Ketua Jabatan Forensik HKL, Datuk Dr Mohd Shah Mahmood, tetap tidak bersetuju dengan teori dikemukakan Prof Dr Shahrom iaitu Muhammad Adib ditarik dan tersepit antara pintu dan jenang pintu van EMRS.

Dr Ahmad Hafizam menjawab soalan Pegawai Pengendali, Faten Hadni Khairuddin pada inkues menyiasat punca kematian arwah Muhammad Adib.

Saksi itu berkata, struktur pintu yang dikatakan mengenai dada Muhammad Adib adalah sepanjang 28 sentimeter (cm) sedangkan saiz kecederaan di badan mangsa hanyalah 15 cm.

Katanya, kecederaan itu jelas sekali tidak berpadanan dengaan panjang struktur pintu.

“Saya juga tidak bersetuju dengan kenyataan Prof Dr Shahrom mengenai luka calar siku kiri akibat jatuh ke belakang. Ini kerana luka pada lutut kanan menunjukkan mangsa terjatuh ke hadapan dan luka pada siku kiri juga boleh terhasil akibat terjatuh ke hadapan.

“Isu patah tulang rusuk kanan ketiga dan keempat pada bahagian belakang, yang mana saksi ke- 29 menyatakan ia disebabkan impak langsung dan menghasilkan patah oblik.

“Saya tidak bersetuju kerana saya yang memeriksa kepatahan itu dan ia memang patah pilin di mana mekanismenya adalah akibat pergerakan tulang rusuk ketiga dan keempat disebabkan impak pada bahagian hadapan rusuk terbabit,” katanya.

Terdahulu, mahkamah membenarkan permohonan pegawai pengendali untuk membawa van EMRS yang berlainan ke perkarangan mahkamah bagi menguji kelajuan van berkenaan pada Rabu depan.

Pada 23 April lepas, Mahkamah Koroner di sini menolak permohonan pegawai pengendali untuk memanggil semula saksi ke-24 bagaimanapun, pada 30 April lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ab Karim Ab Rahman membenarkan permohonan pegawai pengendali untuk memanggil semula saksi ke-24 itu.

Muhammad Adib yang juga anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas dan meninggal dunia pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara.

Inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung Selasa depan.

SUMBER: BERNAMA