Categories
AGENDA NASIONAL

Bapa Adib harap jawatankuasa khas ‘sungguh-sungguh’ siasat kes kematian

ALOR SETAR, 9 OKT: Keputusan kerajaan mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh dan telus berhubung kes kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim adalah berita gembira yang dinanti-nantikan seluruh rakyat Malaysia.

Bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, 65, berkata penubuhan jawatankuasa itu disifatkannya memberi sinar baharu kepada keluarganya sejak sekian lama menantikan pembelaan bagi kematian anaknya itu.

“Ini menunjukkan kerajaan sudah mula mengambil berat dengan apa yang berlaku terhadap arwah. Perkara ini juga merupakan berita gembira buat seluruh negara kerana mereka juga tidak pernah putus berdoa untuk arwah dan keluarga saya.

“Tapi, apa yang saya harap ialah bila sudah tubuh jawatankuasa itu mereka yang terlibat perlulah bersungguh-sungguh, takut nanti senyap pula,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mohd Kassim berkata penubuhan jawatankuasa khas tersebut memang ditunggu-tunggu sejak dulu lagi dan semestinya memberi sedikit kelegaan kepada keluarganya yang sentiasa merindukan arwah Muhammad Adib.

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mesyuarat Jemaah Menteri, semalam memutuskan untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya dapat dijalankan dalam kes kematian Muhammad Adib.

Beliau berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan turut dianggotai Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

Muhammad Adib yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya mengalami kecederaan parah ketika berada di lokasi kejadian rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Muhammad Adib meninggal dunia pada 17 Disember 2018 selepas 21 hari bertarung nyawa di Institut Jantung Negara (IJN).

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib adalah perbuatan jenayah dilakukan lebih dua individu tidak dikenali.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Adib: Cadangan buka semula inkues, tuduh 12 suspek

KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Kertas siasatan berhubung kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lepas, disusuli dengan beberapa cadangan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata rujukan semula kes berkenaan antara lain mencadangkan supaya 12 suspek yang sebelum ini disyaki terlibat dalam kematian Adib pada 17 Disember 2018 itu dituduh mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Hamzah berkata antara cadangan yang dikemukakan ialah membuka semula inkues untuk siasatan sekiranya mendapat persetujuan Peguam Negara.

“Ia akan dibuat mengikut peruntukan Seksyen 339(2) Kanun Tatacara Jenayah dan tindakan ini susulan keputusan yang dicapai Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September lepas.

“Mahkamah memutuskan punca kematian Adib bukan disebabkan kemalangan tetapi perbuatan jenayah oleh dua orang atau lebih suspek,” katanya ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Hamzah berkata berdasarkan keputusan itu, Polis Diraja Malaysia menjalankan siasatan selari arahan Jabatan Peguam Negara dan mengumpul bukti yang ada untuk dikemukakan semula kepada pihak pendakwaan.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018 dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara selepas 21 hari menerima rawatan.

Pada 27 September tahun lepas, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Inkues kes Adib: Polis akan panggil dua saksi pakar

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Polis akan memanggil dua saksi pakar inkues kes kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Muhammad Adib Mohd Kassim, dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Dua individu tersebut ialah Pakar Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid dan pakar fizik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Amir Radzi Ab Ghani.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, seorang daripada mereka akan hadir hari ini bagi dirakam keterangan manakala seorang lagi akan dipanggil dalam masa terdekat.

“Semasa inkues di Mahkamah Koroner, 30 saksi telah dipanggil dan 28 daripadanya merupakan saksi yang telah dirakam percakapan oleh polis.

“Polis juga telah membuat janji temu dengan beberapa saksi dan akan meneruskan siasatan selepas menerima arahan daripada pejabat Peguam Negara pada Jumaat lepas (4 Okt),” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.

Sementara itu, Huzir turut meminta semua pihak berhenti membuat spekulasi berhubung empat suspek yang terbabit dalam kes pembunuhan Muhammad Adib.

Katanya, empat individu berkenaan ditahan atas kesalahan insiden merusuh di MCT berhampiran lokasi kejadian serangan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya.

“Salah faham berhubung empat suspek yang dibebaskan dalam kes kematian Muhammad Adib sebelum ini adalah disebabkan kekeliruan dalam laporan beberapa media tempatan,” katanya menambah empat suspek terbabit adalah daripada enam orang ditahan di lokasi kejadian.

Jelasnya, empat suspek yang dibebaskan itu sebenarnya disiasat di bawah Seksyen 147, 427 dan 447 Kanun Keseksaan iaitu merusuh, pencerobohan jenayah dan mendatangkan bencana.

Selain itu, 56 daripada 66 orang yang disiarkan gambar mereka sebelum ini diminta tampil membantu siasatan kes kematian Muhammad Adib.

Katanya, individu terbabit diminta tampil sebelum polis menyiarkan kembali gambar mereka dalam masa terdekat.

Pada 27 Sept lepas, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu, selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil berkenaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah Koroner benarkan prosiding komital terhadap Peguam Negara

SHAH ALAM, 27 OGOS: Mahkamah Koroner di sini hari ini membenarkan prosiding permohonan perintah komital (menghina mahkamah) yang difailkan keluarga anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas dijalankan.

Koroner Rofiah Mohamad membuat keputusan itu selepas meneliti semua dokumen serta afidavit dikemukakan oleh kedua-dua pihak iaitu pemohon yang diwakili peguamnya, Mohamed Haniff Khatri Abdulla serta peguam kanan Persekutuan, S Narkunavathy, yang mewakili Tommy dalam prosiding sebelum ini.

Dalam penghakimannya, Rofiah berkata, keputusan itu juga dibuat selepas beliau berpuas hati dengan hujahan kedua-dua pihak berhubung wujudnya prima facie dalam perjalanan prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib.

Beliau berkata, kes kematian anggota bomba itu diketahui sebagai satu kes berprofil tinggi dan berkepentingan umum.

“Dalam prosiding inkues sebelum ini, terdapat perkembangan untuk memberhentikan peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta keluarga Muhammad Adib iaitu Syazlin Mansor yang boleh mencacatkan dan memudaratkan kelancaran inkues.

“(Malah) Afidavit yang dikemukakan (bekas) pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah pada 3 April lepas pula menimbulkan gesaan supaya inkues ini digantikan dengan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Keadaan itu sekaligus mewujudkan persepsi negatif terhadap inkues yang dijalankan oleh saya atas kuasa peguam negara sendiri untuk mengetahui apakah punca dan hal ehwal di mana Muhammad Adib menemui ajalnya.

“Ia (afidavit) meletakkan seolah-olah inkues satu permainan wayang dan integriti (mahkamah) dipertikaikan,” katanya.

Rofiah kemudian menetapkan 23 September ini bagi pendengaran dan pengurusan kes permohonan perintah komital berkenaan.

Mohamed Haniff Khatri yang ditemui pemberita di luar mahkamah sekali lagi menegaskan permohonan perintah komital itu bukan mahu menghukum sesiapa sebaliknya untuk menuntut keadilan dan menjernihkan keadaan bahawa keputusan inkues kelak tidak dianggap sebagai suatu ‘wayang’ kepada rakyat.

Malah katanya, permohonan perintah komital itu juga dibuat atas permintaan keluarga Muhammad Adib yang mahu peguam negara memohon maaf kepada mereka dan mahkamah berhubung kenyataannya sebelum ini.

Dalam permohonan perintah komital yang difailkan keluarga Muhammad Adib pada 16 Julai lepas itu, bapanya, Mohd Kassim Abdul Hamid, 65, mendakwa Tommy telah membuat penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 3 April lepas berhubung punca kematian anaknya.

Permohonan sebelah pihak (ex-parte) itu dibuat melalui Tetuan Mohd Zubir Embong Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Koroner.

Pada Rabu lepas, Tommy menerusi Narkunavathy yang mewakilinya memberitahu mahkamah, dakwaan keluarga anggota bomba itu bahawa afidavit Peguam Negara dikatakan mengganggu inkues serta menghina mahkamah, tidak diberikan secara terperinci.

Bagaimanapun, Mohamad Haniff Khatri pula memberitahu, afidavit peguam negara pada 3 April lepas yang menyatakan Muhammad Adib meninggal dunia bukan disebabkan kecederaan akibat serangan, jelas menggangu prosiding inkues.

Katanya, Tommy selaku Peguam Negara tidak boleh mengeluarkan keputusan berhubung punca kematian Muhammad Adib.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Peguam Negara nafi fail afidavit berhubung punca kematian Adib

SHAH ALAM, 24 JUL: Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan kepada bekas Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah untuk memfailkan afidavit di Mahkamah Rayuan berhubung punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Tommy berkata demikian dalam jawapannya kepada permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang dibuat bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid pada 16 Julai lepas.

Beliau berkata, pihaknya tidak mengarahkan atau memberi arahan berhubung tugas harian kepada 1,200 pegawai undang-undangnya.

“Dalam perkara ini, apa-apa yang diikrarkan dan difailkan oleh Hamdan dalam prosiding inkues kematian Muhammad Adib adalah di bawah bidang tugasnya.

“Tanggapan dan rumusan pemohon terhadap afidavit Hamdan adalah ‘mischievous’, suatu salah tanggapan dan tanpa sebarang asas atau merit, ” katanya di sini.

Terdahulu, Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini menetapkan 9 Ogos ini sebagai tarikh untuk menyelesaikan isu membabitkan permohonan perintah komital (hina mahkamah) yang dibuat Mohd Kassim.

Mohd Kassim, 64, sebelum ini memfailkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) melalui Tetuan Mohd Zubir Embong dan Associate di Mahkamah Koroner.

Dalam permohonan itu, beliau mendakwa Tommy telah membuat penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit yang difailkan oleh Jabatan Penguam Negara pada 3 April lepas yang mana menyatakan kematian Muhammad Adib bukanlah dipukul.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Selesai isu permohonan komital terhadap Peguam Negara 9 Ogos

SHAH ALAM, 24 JUL: Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini menetapkan 9 Ogos ini untuk menyelesaikan dua isu membabitkan permohonan perintah komital (hina mahkamah) yang dibuat bapa anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim kepada Peguam Negara, Tommy Thomas.

Koroner Rofiah Mohamad berkata, dua isu itu ialah sama ada peguam negara boleh memberi pandangan atau hujahan terhadap permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang dibuat bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid serta sama ada boleh atau tidak, dua afidavit oleh peguam negara dan pegawai pengendali terdahulu yang difailkan sebelum ini diterima.

Ia susulan, peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib, Mohamed Hanif Khatri Abdulla mempersoalkan sejauh mana penglibatan pejabat peguam negara kerana permohonan mereka adalah ex-parte (sebelah pihak).

Beliau berkata, pihaknya turut dimaklumkan pejabat peguam negara telah memfailkan dua afidavit berhubung kes itu.

Terdahulu, Mohamed Haniff Khatri memaklumkan kepada mahkamah bahawa dua isu itu wujud susulan permohonan perintah komital berkenaan.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, S Narkunavathy berkata, pihaknya berpendirian peguam negara mempunyai hak untuk mendengar permohonan komital itu.

Pada 16 Julai lepas, Mohd Kassim telah memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding komital terhadap Tommy berhubung punca kematian anaknya.

Mohd Kassim, 64, memfailkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) melalui Tetuan Mohd Zubir Embong dan Associate di Mahkamah Koroner.

Dalam permohonan itu, beliau mendakwa Tommy telah membuat penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 3 April lepas.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Prosiding inkues Adib ditutup hari ini

SHAH ALAM, 24 JUL: Prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, ditutup hari ini selepas tiada lagi saksi yang akan dipanggil memberi keterangan berhubung kes itu.

Koroner Rofiah Mohamad berkata, mahkamah berpuas hati dengan semua keterangan daripada saksi yang di panggil sebelum ini.

“Setelah meneliti keterangan sedia ada, mahkamah tidak akan memanggil saksi lain,” katanya ketika membaca keputusan untuk menutup prosiding itu, di sini.

Bagaimanapun, Mahkamah koroner belum menetapkan tarikh keputusan inkues berkenaan.

Dalam prosiding hari ini, Rofiah turut membenarkan pihak berkepentingan untuk mengemukakan hujahan bertulis.

Katanya, hujahan berkenaan perlu dikemukakan kepada mahkamah sebelum atau pada 21 Ogos depan.

Sehubungan itu, hanya keluarga Muhammad Adib yang bercadang memasukkan hujahan bertulis tersebut.

Prosiding inkues bagi mencari punca kematian Muhammad Adib telah diadakan selama 41 hari bermula 11 Februari lepas.

Sepanjang prosiding itu, seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dipanggil selain 137 eksibit dikemukakan.

Antara yang dipanggil ialah Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi dan Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Keluarga Muhammad Adib boleh lantik peguam pemerhati

KUALA TERENGGANU, 30 MEI: Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim boleh melantik peguam untuk bertindak sebagai “watching brief” atau peguam pemerhati dalam inkues kematian anggota bomba berkenaan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata, bagaimanapun peguam tersebut hanya boleh bertindak sebagai pemerhati sahaja.

“Keluarga boleh boleh melantik (peguam) sebagai ‘watching brief’ tetapi bukan sebagai peguam yang mengambil peranan aktif dalam kes ini. Kalau peguam daripada kerajaan ambil peranan aktif dia seolah-olah kerajaan bertembung dengan kerajaan. Ini anehlah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Raya Aidilfitri 2019 dan Majlis Berbuka Puasa anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, di sini semalam.

Pada Isnin, Peguam Syazlin Mansor, yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta keluarga Allahyarham Muhammad Adib menarik diri daripada prosiding inkues kematian anggota bomba itu.

Penarikan diri beliau mencetuskan pelbagai spekulasi dan persoalan mengenai kedudukan inkues berkenaan dalam memberi keadilan kepada Allahyarham Muhammad Adib.

Semalam, Peguam Negara Tommy Thomas berkata Syazlin berada dalam kedudukan konflik kepentingan kerana beliau mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim dalam inkues kematian anggota bomba itu.

Muhammad Adib, 24, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Peguam keluarga Adib tidak patut tarik diri – PM

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Peguam Syazlin Mansor tidak sepatutnya menarik diri daripada prosiding inkues kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim walaupun beliau diarahkan tarik diri daripada mewakili Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Bomba, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, individu itu seharusnya meneruskan tugasnya sebagai peguam bagi keluarga Allahyarham Muhammad Adib jika betul ingin mencari kebenaran dalam kes itu.

“Peguam Negara sudah mengeluarkan kenyataan apa yang berlaku. Peguam ini adalah peguam keluarga Adib. Lepas itu jadi peguam kerajaan. Mana boleh. Sebab kerajaan melalui prosiding itu ingin tentukan sebab-sebab Adib meninggal.

“Pihak yang memilih peguam itu tidak sedar, dia sudah menjadi peguam untuk keluarga Adib. Apabila sudah diketahui, dia mesti tarik diri daripada mewakili kerajaan dan terus jadi peguam untuk keluarga Adib, tetapi dia tarik diri daripada semua dengan beranggapan ingin mencari kebenaran.

“Kebenaran boleh dapat dalam mahkamah kita. Sekarang ini perdana menteri tidak lagi berkuasa di mahkamah. Kalau kita tidak percaya di mahkamah, kepada siapa kita ingin percaya untuk buat keputusan,” katanya.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu di sini hari ini yang turut dihadiri presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan kepimpinan parti.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata peranan Syazlin tidak diperlukan lagi dalam prosiding inkues kematian Muhammad Adib.

Zuraida berkata, ini kerana Peguam Negara bertindak mewakili kerajaan termasuk kementerian serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Syazlin mengumumkan menarik diri daripada prosiding inkues kematian anggota bomba itu di hadapan Hakim Rofiah Mohamad, yang bersidang sebagai Koroner, ketika prosiding hari ke-37 di Mahkamah Koroner di Shah Alam, semalam.

Penarikan diri beliau mencetuskan pelbagai spekulasi dan persoalan mengenai kedudukan inkues berkenaan dalam memberi keadilan kepada Allahyarham Muhammad Adib.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah ketika kekecohan dalam insiden berhubung Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lepas di Institut Jantung Negara.

Kepada soalan sama ada Peguam Negara Tommy Thomas perlu dipecat seperti didesak sesetengah pihak kerana isu penarikan diri peguam itu, Dr Mahathir berkata : “Ada orang menyasarkan individu ini tanpa sebab. Apa jua yang beliau lakukan, mesti ada sebab.

“Sebabnya ialah, peguam itu mewakili dua pihak yang bertelingkah. Jadi setidak-tidaknya harus menarik diri dari menjadi peguam bagi pihak kerajaan”.

“Menteri berkenaan tidak tahu beliau juga menjadi peguam bagi keluarga Adib, awak mahu saya pecat (menteri) Zuraida juga?,” tanya Dr Mahathir.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Inkues Adib: Orang awam kata seorang anggota bomba dipukul

SHAH ALAM, 13 FEB: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa beberapa orang awam yang berada di lokasi semasa insiden kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, tahun lalu memaklumkan kepadanya bahawa seorang anggota bomba telah dipukul.

Amirrul Adli M Yussli, 26, pelatih pramugara di syarikat penerbangan AirAsia berkata, beliau juga melihat anggota bomba itu, yang memakai pakaian celoreng, duduk dalam keadaan melunjurkan kaki.

Saksi keempat itu berkata, beliau bertanyakan mengenai keadaan anggota bomba itu kepada beberapa individu dan seorang daripada mereka menjawab ‘dia kena bantailah, apa lagi’.

Amirrul Adli berkata, setelah menyedari keretanya yang diletakkan pada bahu jalan dilanggar oleh jentera bomba, beliau dan rakannya bergegas lari melihat ke arah kenderaan.

“Sewaktu memeriksa kereta, dari jarak 40 meter, saya nampak seorang anggota berada dalam keadaan duduk dan kedua-dua kaki berlunjur ke hadapan sambil memeluk tubuh seolah-olah sedang mengalami kesakitan,” katanya pada prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember tahun lalu di Institut Jantung Negara.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Faten Hadni Khairuddin pada hari ketiga prosiding inkues itu.

Faten: Apa kamu nampak?

Amirrul: Saya nampak seorang anggota bomba duduk melunjur di bahu kiri jalan. Dia memakai baju-T dan berseluar celoreng.

Faten: Terduduk macam mana?

Amirrul: Kaki melunjur dan memeluk badan.

Faten: Tangan dia macam mana?

Amirrul: Peluk badan dalam keadaan sakit

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Amirrul berkata, beliau nampak anggota bomba itu dibaringkan di ruang kosong hadapan keretanya (Amirrul) dan beberapa individu ada mengatakan beliau (anggota bomba) hampir pengsan.
“Saya jenguk sekejap nampak dia seperti nak pengsan,” katanya.

Ketika ditanya mengapa beliau berada di lokasi kejadian, saksi itu berkata, dia dan rakannya dalam perjalanan ke rumah kawan di Putra Heights kira-kira jam 12.30 pagi, pada 27 November.

Amirrul berkata, rakannya yang memandu kereta memberhentikan kenderaan di sebelah kiri bahu jalan setelah melihat sebuah kereta terbakar.

Katanya beberapa minit selepas kejadian, beliau melihat sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) tiba untuk memadamkan kebakaran.

Saksi itu berkata, beliau juga melihat jentera FRT itu diserang sekumpulan individu dengan membaling botol ke arah cermin jentera bomba itu.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung petang ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Inkues Adib: Jentera bomba dibaling objek keras – saksi pertama

SHAH ALAM, 11 FEB: Prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner di sini yang bermula hari ini menyaksikan anggota polis yang menerima laporan mengenai kejadian kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield pada November tahun lalu, menjadi antara saksi awal memberi keterangan.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Subang Jaya, Deputi Superintendan Mohamad Nasir Drahman berkata, Jentera Fire Rescue Tender (FRT) yang tiba untuk memadam kebakaran sebuah kereta di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 Subang, November lalu, dikelilingi orang ramai dan dibaling dengan objek keras sehingga pecah cermin hadapan.

“Jentera FRT hadapan dikelilingi oleh orang ramai dan dibaling batu. Jentera kemudian berundur dan melanggar van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) sebelum ke hadapan dan kembali mengundur, mengundur hingga hilang daripada penglihatan saya,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah.

Inkues dijalankan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai Koroner,

Beliau berkata, di lokasi kejadian, seramai 3,000 ke 5,000 individu berkumpul di kuil berkenaan.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov lepas, dan menghembuskan nafas terakhir di Insttut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Zhafran Rahim Hamzah yang terbabit dalam inkues itu berkata, selain Mohamad Nasir, dua saksi lain yang dijangka turut memberi keterangan hari ini adalah anggota bomba yang memandu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan jentera pemadam api FRT.

“Sehingga kini pihak kami menyenaraikan tujuh saksi yang akan dipanggil dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui pemberita sebelum prosiding bermula.

Dalam pada itu, Zhafran berkata, permohonan 50 penganut agama Hindu dan Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman Seafield untuk menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini pada minggu lalu.

Tinjauan di luar mahkamah mendapati beberapa saksi antaranya beberapa anggota bomba dan seorang lelaki dipercayai abang Muhammad Adib tiba di mahkamah sekitar jam 9.30 pagi.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Prosiding inkues kematian Adib bermula 11 Februari

SHAH ALAM, 18 JAN: Mahkamah Koroner, di sini hari ini menetapkan 11 Februari hingga 12 April ini sebagai tarikh prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Hakim Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai Koroner, menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes, hari ini.

Beliau menetapkan 11 hingga 28 Februari; 1, 4 dan 5 Mac; 19 Mac hingga 29 Mac dan 1 April hingga 12 April sebagai tarikh prosiding inkues itu.

Pegawai pengendali inkues berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah memberitahu mahkamah seramai 30 saksi termasuk enam doktor dan pakar forensik akan dipanggil memberi keterangan, pada prosiding itu.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), pada 17 Disember 2018.

*Sumber: BERNAMA