Categories
NASIONAL

Brickfields Perlukan Balai Polis, Bukan Pondok Polis

SHAH ALAM 24 AUG : Retorik dan laungan Kerajaan Pusat tentang keprihatinannya menangani jenayah dipersoal apabila ia bercadang menggantikan Ibu Pejabat Daerah Polis di Brickfields (IPD Brickfields), dengan hanya sebuah pondok polis.

Ini kerana Brickfields adalah antara kawasan di Kuala Lumpur yang mempunyai kadar jenayah yang tinggi di samping merupakan kawasan tarikan pelancong.

Walau bagaimanapun, balai polis tersebut telah ditutup sejak setahun bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembangunan semula tanah dan tapak kompleks bangunan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Little India S Pathavachalam menganggarkan terdapat 15 kes ragut dan peras ugut yang berlaku di Brickfields setiap hari.

?Kemungkinan besar ia sebabkan ketiadaan balai polis bagi menjaga ketenteraman awam,? Pathavachalam berkata apabila dihubungi TvSelangor.

Beliau yang juga naib ketua PKR cabang Lembah Pantai, antara aktivis dan pemimpin komuniti yang membantah usaha membangun semula tapak IPD Brickfields.

Mereka mendakwa mengikut papan tanda di tapak projek tersebut, sebuah pemaju diberi kelulusan untuk membina lot komersial di atas tanah tersebut.

Manakala IPD Brickfields akan digantikan dengan hanya sebuah pondok polis.

“Saya bukan meminta mewujudkan semula IPD Brickfields. Saya cuma minta satu balai polis yang lebih efisyen bagi menampung keperluan di kawasan Brickfields bukannya hanya pondok polis sahaja.”

“Saya minta satu balai polis supaya mangsa-mangsa jenayah mudah untuk pergi membuat laporan polis supaya suatu tindakan segera dapat diambil.?

“Brickfields sudah menjadi suatu kawasan perlancongan dan menjadi tumpuan pelancong untuk datang khususnya ke kawasan Little India di sini,” Pathavachalam berkata.

Beliau menambah, niat Kerajaan Pusat yang beria-ria mahu menurunkan indeks jenayah tidak selari dengan perbuatannya seperti yang dilihat di dalam kontroversi IPD Brickfields.

?Bukankah tanggungjawab Kerajaan Pusat menyediakan perkhidmatan dan kemudahan yang sepatutnya kepada orang awam?

“Dengan ketiadaan balai polis, kadar jenayah di kawasan ini meningkat semula dan kesannya pelancong sudah semakin berkurangan.”

Sebelum ini, MP Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mendakwa projek pembangunan semula IPD Brickfields telah diberikan kepada syarikat swasta untuk pembangunan lot komersial.

Malah pegawai tertinggi syarikat tersebut juga didakwa mempunyai hubungan dengan pemimpin Umno Bahagian Bukit Bintang.

Persoalan juga timbul tentang hubungan pegawai syarikat tersebut dengan ahli lembaga penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Senator Dewan Negara Mariany Mohamad Yit.

Categories
NASIONAL

PKR Mahu SPRM Siasat Pemberian Tanah IPD Brickfields Kepada Syarikat Swasta


PETALING JAYA 23 OGOS : Kontroversi berhudung pembangunan semula Ibu Pejabat Daerah Brickfields, Kuala Lumpur akan dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) minggu depan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata tanah yang sepatutnya digunakan untuk mendirikan IPD Brickfields yang baru akan sebaliknya digunakan untuk bangunan perniagaan.

Nurul Izzah berkata status tanah IPD Brickfields tidak boleh ditukar dari tanah untuk institusi kepada tanah komersial.

Beliau berkata bangunan perniagaan yang bakal dibina di atas tapak asal IPD Brickfields hanya akan mempunyai sebuah pondok polis.

“(Raja) Nong Chik harus faham bahawa penduduk di kawasan sekitar memerlukan balai polis.

?Ia penting bagi mengawal jenayah yang semakin meningkat di kawasan itu, katanya dalam sidang media di pejabat PKR di sini.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata tapak IPD Brickfields akan digunakan untuk membangun semula pejabat polis tersebut.

Akan tetapi papan tanda di tapak projek tersebut menunjukkan tanah itu akan ditukarkan statusnya daripada tanah institusi kepada tanah perdagangan (pembangunan bercampur).

Lebih serius lagi, pegawai tinggi syarikat yang mendapat tanah tersebut dikatakan ada hubungan dengan pemimpin Umno Bahagian Bukit Bintang.

Persoalan juga timbul tentang hubungan pegawai syarikat tersebut dengan ahli lembaga penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Senator Dewan Negara Mariany Mohamad Yit.

Nurul Izzah berkata kebisuan Nong Chik berhubung penjelasan perkara itu turut dipertikaikan penduduk.

Ini kerana pertukaran status tanah dan lokasi IPB Brickfields berlaku di dalam keadaan jenayah yang semakin meningkat di kawasan itu.