Categories
NASIONAL

Brickfields Perlukan Balai Polis, Bukan Pondok Polis

SHAH ALAM 24 AUG : Retorik dan laungan Kerajaan Pusat tentang keprihatinannya menangani jenayah dipersoal apabila ia bercadang menggantikan Ibu Pejabat Daerah Polis di Brickfields (IPD Brickfields), dengan hanya sebuah pondok polis.

Ini kerana Brickfields adalah antara kawasan di Kuala Lumpur yang mempunyai kadar jenayah yang tinggi di samping merupakan kawasan tarikan pelancong.

Walau bagaimanapun, balai polis tersebut telah ditutup sejak setahun bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembangunan semula tanah dan tapak kompleks bangunan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Little India S Pathavachalam menganggarkan terdapat 15 kes ragut dan peras ugut yang berlaku di Brickfields setiap hari.

?Kemungkinan besar ia sebabkan ketiadaan balai polis bagi menjaga ketenteraman awam,? Pathavachalam berkata apabila dihubungi TvSelangor.

Beliau yang juga naib ketua PKR cabang Lembah Pantai, antara aktivis dan pemimpin komuniti yang membantah usaha membangun semula tapak IPD Brickfields.

Mereka mendakwa mengikut papan tanda di tapak projek tersebut, sebuah pemaju diberi kelulusan untuk membina lot komersial di atas tanah tersebut.

Manakala IPD Brickfields akan digantikan dengan hanya sebuah pondok polis.

“Saya bukan meminta mewujudkan semula IPD Brickfields. Saya cuma minta satu balai polis yang lebih efisyen bagi menampung keperluan di kawasan Brickfields bukannya hanya pondok polis sahaja.”

“Saya minta satu balai polis supaya mangsa-mangsa jenayah mudah untuk pergi membuat laporan polis supaya suatu tindakan segera dapat diambil.?

“Brickfields sudah menjadi suatu kawasan perlancongan dan menjadi tumpuan pelancong untuk datang khususnya ke kawasan Little India di sini,” Pathavachalam berkata.

Beliau menambah, niat Kerajaan Pusat yang beria-ria mahu menurunkan indeks jenayah tidak selari dengan perbuatannya seperti yang dilihat di dalam kontroversi IPD Brickfields.

?Bukankah tanggungjawab Kerajaan Pusat menyediakan perkhidmatan dan kemudahan yang sepatutnya kepada orang awam?

“Dengan ketiadaan balai polis, kadar jenayah di kawasan ini meningkat semula dan kesannya pelancong sudah semakin berkurangan.”

Sebelum ini, MP Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mendakwa projek pembangunan semula IPD Brickfields telah diberikan kepada syarikat swasta untuk pembangunan lot komersial.

Malah pegawai tertinggi syarikat tersebut juga didakwa mempunyai hubungan dengan pemimpin Umno Bahagian Bukit Bintang.

Persoalan juga timbul tentang hubungan pegawai syarikat tersebut dengan ahli lembaga penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Senator Dewan Negara Mariany Mohamad Yit.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pemimpin PKR Diugut Bunuh Kerana Kontroversi IPD Brickfields


PETALING JAYA 23 OGOS : Lantang dalam mempertikaikan pengantian Ibu Pejabat Daerah (IPD) Brickfields dengan hanya sebuah pondok polis menyebabkan seorang pemimpin PKR Lembah Pantai di ugut bunuh.

Malah lelaki yang mengugut bunuh S. Pathavachalam mendakwa polis dan Kerajaan Malaysia tidak boleh menyelamatkan beliau.

Menurut Pathavachalam, beliau menerima ugutan daripada lelaki tersebut selepas beliau membantah usaha Kerajaan Pusat membangunkan tapak tanah yang dulunya diduduki oleh IPD Brickfields.

Pathavachalam, yang merupakan ketua cabang PKR Lembah Pantai, mendakwa Kerajaan Pusat merancang untuk meluluskan pembinaan bangunan komersial di tapak tersebut manakala IPD itu akan digantikan dengan hanya sebuah pondok polis.

Beliau menerima ugutan bunuh tersebut menerusi panggilan telefon pada 16 Ogos selepas menghadiri majlis dialog bersama Menteri Pembangunan Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Di dalam majlis dialog tersebut, beliau menyuarakan tentangannya terhadap perancangan pembangunan tanah IPD Brickfields.

Lelaki itu yang memperkenalkan diri sebagai ?Sudukattu Ravi? mengugut untuk membunuh Pathavachalam dan keluarganya.

Katanya, pengugut itu juga akan menghantar keranda ke rumahnya dan akan bertindak datang ke rumah beliau sekiranya bertindak mencabar pengugut.

“Semua ini adalah berkaitan dengan dialog saya bersama Raja Nong Chik,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

Hadir bersama MP Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan MP Subang Sivarasa Rasiah.

“Saya dan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) hanya membantah penubuhan pondok polis sedangkan kami mahukan balai polis.

“Mereka harus faham kadar jenayah di Brickfields amat tinggi jadi penduduk memerlukan balai polis bukannya pondok polis,” katanya.

Beliau membuat laporan polis di Balai Polis Travers selepas menerima ugutan tersebut.

Bagaimanapun, pengugut itu kemudiannya memberi amaran untuk membunuh Pathavachalam pada bila-bila masa disebabkan laporan polis itu.

“Pengugut itu juga berkata saya hanya membuang masa membuat laporan polis kerana polis dan Kerajaan Malaysia adalah hak beliau dan telah membayar RM10,000 sebagai upah untuk membunuh saya,” katanya.

Projek pembangunan semula Ibu Pejabat Daerah Brickfields, Kuala Lumpur mengundang kontroversi kerana tapak tanah projek itu didakwa telah diberikan kepada sebuah syarikat swasta untuk pembangunan lot komersial.

Pegawai Tertinggi syarikat tersebut juga didakwa mempunyai hubungan dengan pemimpin Umno Bahagian Bukit Bintang.