Categories
NASIONAL SELANGOR

Pemimpin PKR Diugut Bunuh Kerana Kontroversi IPD Brickfields


PETALING JAYA 23 OGOS : Lantang dalam mempertikaikan pengantian Ibu Pejabat Daerah (IPD) Brickfields dengan hanya sebuah pondok polis menyebabkan seorang pemimpin PKR Lembah Pantai di ugut bunuh.

Malah lelaki yang mengugut bunuh S. Pathavachalam mendakwa polis dan Kerajaan Malaysia tidak boleh menyelamatkan beliau.

Menurut Pathavachalam, beliau menerima ugutan daripada lelaki tersebut selepas beliau membantah usaha Kerajaan Pusat membangunkan tapak tanah yang dulunya diduduki oleh IPD Brickfields.

Pathavachalam, yang merupakan ketua cabang PKR Lembah Pantai, mendakwa Kerajaan Pusat merancang untuk meluluskan pembinaan bangunan komersial di tapak tersebut manakala IPD itu akan digantikan dengan hanya sebuah pondok polis.

Beliau menerima ugutan bunuh tersebut menerusi panggilan telefon pada 16 Ogos selepas menghadiri majlis dialog bersama Menteri Pembangunan Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Di dalam majlis dialog tersebut, beliau menyuarakan tentangannya terhadap perancangan pembangunan tanah IPD Brickfields.

Lelaki itu yang memperkenalkan diri sebagai ?Sudukattu Ravi? mengugut untuk membunuh Pathavachalam dan keluarganya.

Katanya, pengugut itu juga akan menghantar keranda ke rumahnya dan akan bertindak datang ke rumah beliau sekiranya bertindak mencabar pengugut.

“Semua ini adalah berkaitan dengan dialog saya bersama Raja Nong Chik,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

Hadir bersama MP Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan MP Subang Sivarasa Rasiah.

“Saya dan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) hanya membantah penubuhan pondok polis sedangkan kami mahukan balai polis.

“Mereka harus faham kadar jenayah di Brickfields amat tinggi jadi penduduk memerlukan balai polis bukannya pondok polis,” katanya.

Beliau membuat laporan polis di Balai Polis Travers selepas menerima ugutan tersebut.

Bagaimanapun, pengugut itu kemudiannya memberi amaran untuk membunuh Pathavachalam pada bila-bila masa disebabkan laporan polis itu.

“Pengugut itu juga berkata saya hanya membuang masa membuat laporan polis kerana polis dan Kerajaan Malaysia adalah hak beliau dan telah membayar RM10,000 sebagai upah untuk membunuh saya,” katanya.

Projek pembangunan semula Ibu Pejabat Daerah Brickfields, Kuala Lumpur mengundang kontroversi kerana tapak tanah projek itu didakwa telah diberikan kepada sebuah syarikat swasta untuk pembangunan lot komersial.

Pegawai Tertinggi syarikat tersebut juga didakwa mempunyai hubungan dengan pemimpin Umno Bahagian Bukit Bintang.

Categories
NASIONAL

PKR Mahu SPRM Siasat Pemberian Tanah IPD Brickfields Kepada Syarikat Swasta


PETALING JAYA 23 OGOS : Kontroversi berhudung pembangunan semula Ibu Pejabat Daerah Brickfields, Kuala Lumpur akan dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) minggu depan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata tanah yang sepatutnya digunakan untuk mendirikan IPD Brickfields yang baru akan sebaliknya digunakan untuk bangunan perniagaan.

Nurul Izzah berkata status tanah IPD Brickfields tidak boleh ditukar dari tanah untuk institusi kepada tanah komersial.

Beliau berkata bangunan perniagaan yang bakal dibina di atas tapak asal IPD Brickfields hanya akan mempunyai sebuah pondok polis.

“(Raja) Nong Chik harus faham bahawa penduduk di kawasan sekitar memerlukan balai polis.

?Ia penting bagi mengawal jenayah yang semakin meningkat di kawasan itu, katanya dalam sidang media di pejabat PKR di sini.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata tapak IPD Brickfields akan digunakan untuk membangun semula pejabat polis tersebut.

Akan tetapi papan tanda di tapak projek tersebut menunjukkan tanah itu akan ditukarkan statusnya daripada tanah institusi kepada tanah perdagangan (pembangunan bercampur).

Lebih serius lagi, pegawai tinggi syarikat yang mendapat tanah tersebut dikatakan ada hubungan dengan pemimpin Umno Bahagian Bukit Bintang.

Persoalan juga timbul tentang hubungan pegawai syarikat tersebut dengan ahli lembaga penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Senator Dewan Negara Mariany Mohamad Yit.

Nurul Izzah berkata kebisuan Nong Chik berhubung penjelasan perkara itu turut dipertikaikan penduduk.

Ini kerana pertukaran status tanah dan lokasi IPB Brickfields berlaku di dalam keadaan jenayah yang semakin meningkat di kawasan itu.

Categories
NASIONAL

Pemimpin Umno Terlibat Dalam Pembangunan Semula IPD Brickfields?

SHAH ALAM, 4 OGOS : Projek pembangunan Semula Ibu Pejabat Daerah (IPD) Brickfields di Kuala Lumpur mengundang kontroversi apabila kenyataan Menteri Pembangunan Wilayah bercanggah dengan apa yang dipaparkan pada papan tanda tapak projek itu.

Lebih serius lagi, kontraktor yang didakwa terlibat di dalam projek itu ada kaitan degan Umno Bahagian Bukit Bintang.

MP Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar berkata papan tanda projek lot 18 itu menunjukkan cadangan menukar zon kegunaan tanah daripada institusi kepada perdagangan (pembangunan bercampur) dan bukannya sebagai tapak IPD Brickfields.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata tapak tersebut akan digunakan untuk membangun semula IPD Brickfields.

Nurul Izzah menyifatkan kenyataan Raja Nong Chik bukan sahaja mengelirukan, malah mengundang rasa tidak puas hati penduduk Brickfields dan Bangsar.

“Saya mendesak Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar untuk bercakap benar tentang hal IPD Brickfields dengan menyatakan apakah status sebenarnya?

?Dan mengapakah kenyataan beliau bercanggah dengan apa yang kelihatan pada papan tanda yang didirikan di Lot 18?,? Nurul Izzah berkata di dalam satu kenyataan media.

Dalam pada itu, Nurul Izzah turut mendesak Raja Nong Chik  memperjelaskan kedudukan Pengarah Primamuda Holdings Sdn Bhd, Mariany Mohamad Yit.

Syarikat tersebut terlibat dalam pertukaran tanah Lot 18 sebagai balasan membangunkan Lot 55 (Balai Polis Jalan Travers).

“Apakah kedudukan Mariany yang juga Ketua Wanita Umno Bukit Bintang telah mempengaruhi pemberian projek pembangunan Lot 55 dan landswap Lot 18?

“Dan jika didapati perkara tersebut adalah benar, maka Menteri Wilayah seharusnya meminta maaf kepada warga Lembah Pantai dan penduduk Brickfields khususnya kerana mengecewakan penduduk yang mengharapkan IPD Brickfields dikembalikan ke lokasi asal di Jalan Tun Sambanthan,” katanya lagi.

Jika Raja Nong Chik tidak jelaskan perkara tersebut, satu demonstrasi aman penduduk akan diadakan di depan Lot 18 pada 10 Ogos.

Categories
NASIONAL

Anwar : Umno-BN Serang Ceramah Pakatan Kerana Takut

KUALA LUMPUR 25 MEI : Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kejadian provokasi daripada Umno-BN sehingga menyebabkan seorang warga emas cedera di kepala sebagai perbuatan samseng dan tidak berakhlak.

Katanya, tindakan pemuda Umno-BN itu dilakukan bagi menghalang pimpinan PKR untuk memberi ceramah sempena Pelancaran Jentera Baru Keadilan Lembah Pantai.

“Kenapa Umno-BN takut kita bagi ceramah? Sanggup upah orang untuk baling batu. Ini Malaysia negara rakyat bukan negara samseng, kita ada adat,” katanya.

Dalam kejadian itu, seorang warga emas cedera di kepala akibat terkena balingan batu oleh pemuda Umno-BN yang menghadiri ceramah dianjurkan oleh ?TIBAI? bersebelahan dengan khemah PKR.

Sementara itu, Anwar turut mengulangi janji Pakatan untuk menurunkan harga minyak, menghapuskan tol dan memberi pendidikan percuma sekiranya gagasan itu menang pada pilihanraya umum akan datang.

Beliau menambah Umno-BN bukan sahaja pandai mengamalkan budaya memfitnah tetapi juga mengadaikan tanah melayu di Kampung Baru.

Katanya, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menyerahkan 40 peratus tanah Kampung Baru kepada pemaju bukan melayu.

“Siapa yang minta kawasan itu? Pemaju mana? Atau tauke-tauke yang dia jaga sebab itu senang beliau bagi,” katanya.

Tambah Anwar, taraf kewarganegaraan juga tidak diberi kepada kaum bukan melayu di kawasan ini walaupun mereka dilahirkan di negara ini.

“Jika dibawah Pakatan Rakyat, kita akan jaga semua kaum dan kita tidak akan bagi rakyat dari negara lain yang baru tiga bulan datang ke negara ini tetapi menerima taraf kewarganegaraan seperti yang dilakukan oleh Umno-BN,” katanya.

Katanya, rakyat juga boleh menilai banyak perkara yang dilakukan Umno-Bn masa kini termasuk kes fitnah ke atas dirinya mahupun pemimpin Pakatan yang lain.

“Saya dihina sudah 14 tahun, tetapi ramai rakyat pelbagai kaum sanggup menerima saya.

“Budaya ini kita tidak akan bawa dalam pakatan, kerana tuan guru selalu berpesan, jika kita hendak membawa perubahan, kita mestilah membawa contoh yang baik kepada rakyat,” katanya.

 Turut hadir pada malam itu MP Lembah Pantai dan Naib Presiden Nurul Izzah Anwar yang menyampaikan hadiah pelajar cemerlang Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Sebelum itu, kira-kira 9 malam, seramai 80 orang yang berpakaian baju-T merah, berkumpul di luar tempat Anwar berceramah, sambil melaungkan  “Tibai (Tolak individu Bernama Anwar Ibrahim).”

Ini adalah kali kedua dalam tempoh seminggu di mana ceramah Pakatan menjadi sasaran balingan batu dan telur. Sebelum ini ia berlaku di Merlimau, Melaka pada May 19.