Oleh : Afeeqa Afeera
SHAH ALAM 3 DIS : Kenaikan tarif elektrik sebanyak 15 peratus yang diumumkan kerajaan pusat bukansesuatu yang “luar biasa” sebaliknya sudah dijangka sejak Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), pada Mei lalu.
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad, berkata tindakan secara drastik itu dilihat sebagai tidak wajar, apatah lagi rakyat kini semakin terbeban dengan kenaikan harga barang dan petrol.
“Memang kita akui perlu kenaikan (tarif elektrik) tetapi harus melihat kemampuan rakyat terutama dalam keadaan sekarang.
“Namun, sudah faham BN memang sinonim dengan “barang naik” dan kita jangka lebih banyak barangan serta perkhidmatan lain yang akan naik,” katanya di sini, semalam.
Iskandar berkata, kerajaan pusat seharusnya mengambil langkah mengawal perkhidmatan elektrik seperti yang dilakukan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) terhadap pengurusan air di Selangor.
“BN harus mencontohi Pakatan Rakyat (PR) terutama dalam mengawal perkhidmatan seperti air dan elektrik. Contohnya kerajaan negeri sudah mengambil tindakan di mana kita kawal syarikat konsesi supaya tarif air tidak dinaikkan atau disaman.
“Begitu juga dengan elektrik, kerajaan pusat harus berbuat demikian supaya tarif itu dapat dikawal,” katanya.
Putrajaya hari ini mengesahkan kenaikan kadar tarif elektrik sebanyak 14.98% atau 4.99 sen hingga 38.53 sen per kWh bagi Semenanjung Malaysia dan lima sen bagi Sabah dan Labuan yang akan berkuatkuasa, pada Januari 2014.
Kenaikan itu diumumkan Menteri Tenaga Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dalam satu sidang media di Parlimen, hari ini.
Kadar elektrik semasa adalah 33.5 sen per kWh dan 3.5 sen atau 25.3% di bawah kos asal pada kadar 42 sen kWh.
-NFN-