Categories
ADN PBT SELANGOR

Penguat kuasa MPSJ, lelaki warga emas berdamai

SHAH ALAM, 14 FEB: Isu membabitkan penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bersama seorang lelaki warga emas di USJ 9, Subang Jaya yang tular di media sosial dianggap selesai apabila mereka berdamai hari ini.

Kedua-dua individu itu bertemu di pejabat Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze pada jam 4 petang tadi ditemani Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohammad Zulkurnain Che Ali.

Michelle berkata, pihaknya berbangga kerana pertemuan berlaku secara sukarela dan salah faham mengenai kejadian itu dapat diselesaikan.

“Mereka juga bersetuju supaya kes tersebut dikira selesai secara muktamad,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, video memaparkan petugas MPSJ meminta lelaki itu tidak berkeras namun sebaliknya berlaku apabila dipukul dengan payung lalu beliau menumbuk serta menjatuhkan warga emas tersebut ke lantai hingga cedera berdarah di bahagian kepala.

Categories
PBT SELANGOR

MPSJ siasat isu video tular libat anggota penguat kuasa

SHAH ALAM, 14 FEB: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan menjalankan siasatan dalaman yang adil dan terperinci mengenai insiden anggota penguat kuasanya bersama seorang warga emas yang tular di media sosial, kata yang dipertuanya.

Noraini Roslan berkata pihaknya memandang serius kejadian itu dan tindakan awal diambil adalah tidak membenarkan anggota terbabit dari melaksanakan tugasan di luar.

“Sekiranya orang awam tidak berpuas hati atas sebarang tindakan penguatkuasaan dikenakan, mereka boleh mengemukakan aduan secara rasmi kepada MPSJ atau Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, satu rakanan video tular di media sosial kejadian seorang warga emas tidak berpuas hati kerana kenderaannya ditunda dan beliau dipercayai cuba melepaskannya daripada alat tunda serta memarahi juga memukul petugas MPSJ dengan payung menyebabkan tindakannya dibalas.

Noraini berkata bagaimanapun kesalahan trafik dan memukul pegawai bertugas adalah jelas dan kejadian ketika anggota penguat kuasa sedang menunda kenderaan yang menghalang lalu lintas di kawasan komersial USJ 9, Subang Jaya.