Categories
AGENDA NASIONAL

Saya tidak malu berkongsi kesukaran dapat anak – Tunku Azizah

PETALING JAYA, 8 NOV: “Saya tidak malu untuk memberitahu atau berkongsi dengan dunia semua masalah dan kesukaran yang perlu saya lalui untuk mendapat anak.”

Itulah kata-kata Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika bertitah pada majlis perasmian pusat fertiliti, Alpha IVF and Women’s Specialists di Encorp Strand Mall di sini hari ini.

Tunku Azizah bertitah semua kesukaran yang dialami membuat baginda memahami perasaan wanita atau pasangan lain apabila mereka tidak dapat memiliki anak mereka sendiri dan itulah yang menjadi pendorong untuk menubuhkan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).

“Sekarang, rasanya saya menjadi satu-satunya Permaisuri di dunia yang mempunyai empat bayi IVF (In vitro fertilization). Saya memutuskan untuk mempunyai yayasan fertiliti sendiri kerana mahu membantu semua wanita dan pasangan di luar sana yang tidak dapat melahirkan anak kerana masalah perubatan tertentu.

“Saya tahu bagaimana rasanya apabila tidak mempunyai anak, stigma yang kita ada mengenai wanita sentiasa dipersalahkan (untuk keadaan itu), tetapi ia sebenarnya adalah persamaan jantina,” titah baginda.

Semasa menzahirkan kesyukuran doanya dimakbulkan, Tunku Azizah juga berterima kasih kepada pasukan perubatan dan para doktor atas usaha mereka dalam memperkenalkan teknologi berkenaan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Tengku Puteri Diraja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah Al-Sultan Abdullah, serta Pengasas dan Pengarah Urusan Alpha IVF and Women’s Specialists, Datuk Dr Colin Lee dan penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Majlis itu juga menyaksikan pusat fertiliti itu memberi penajaan 15 rawatan IVF kepada TAFF.

Sementara itu, pada sidang media, Dr Lee berkata pusat berkenaan menyediakan program Smart IVF untuk membantu pasangan dari golongan berpendapatan rendah (B40) yang menghadapi masalah untuk hamil.

“Kos program bermula dari RM13,888. Ini adalah bentuk IVF yang dipermudah yang efektif dan mempunyai kadar kehamilan kira-kira 50 peratus bagi mereka yang berumur di bawah 35 tahun. Mereka juga boleh mendapatkan bantuan dari TAFF, ” jelasnya.

Dr Lee berkata semakin moden masyarakat hari ini, semakin tinggi risiko ketidaksuburan dan kesukaran untuk mereka hamil.

Dalam banyak kes, beliau berkata wanita di kawasan bandar kebanyakannya berkahwin selepas mencapai umur 35 tahun dan mempunyai masalah kesuburan kerana gaya hidup moden.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Malaysia antara destinasi pilihan rawatan IVF

ALOR SETAR, 7 APRIL: Malaysia kini menjadi antara destinasi pilihan bagi pasangan dari negara luar untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan persenyawaan in vitro (IVF), kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, hal itu kerana kadar kejayaan kelahiran bayi IVF pada lebih 30 peratus di negara ini dianggap sebagai peratusan kejayaan yang sangat baik bagi bidang itu.

“Kalau kita ukur dengan prestasi di seantero dunia, kita berada dalam kalangan sangat membanggakan dan kejayaan (kelahiran melalui IVF) menunjukkan pencapaian yang tinggi.

“Dalam teknologi IVF ini banyak kekangan dan parameternya, jadi bagi 30 peratus, itu adalah sangat at par, diiktiraf setara (dengan perkembangan IVF di lain-lain negara),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Unit Perubatan Reproduktif dan Tabung Uji di Hospital Sultanah Bahiyah di sini, hari ini.

Menurut beliau, terdapat 52 pusat Perkhidmatan Reproduktif dan Tabung Uji dalam sektor swasta dan empat di hospital-hospital kerajaan yang memberi perkhidmatan berasaskan zon iaitu Hospital Sultanah Bahiyah di Kedah, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas di Sabah dan Hospital Sultanah Nur Zahirah di Terengganu.

“Dijangkakan dalam masa terdekat ini, satu lagi pusat IVF bawah kementerian akan beroperasi di Hospital Raja Perempuan Bainun di Ipoh, Perak,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata program subkepakaran Perubatan Reproduktif juga diperkasa untuk melatih lebih ramai pakar dalam bidang berkenaan bagi memenuhi keperluan semasa.

“Saya harap dapat penuhi keperluan tenaga, perjawatan dalam bidang IVF iaitu pegawai-pegawai sains, embryologist khususnya yang kita alami kekurangan buat masa ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihak kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana kontraktor yang terlibat dalam pembangunan fasiliti kesihatan yang gagal menjalankan kerja-kerja mereka mengikut jadual.

Beliau berkata, pihaknya sedaya upaya akan memastikan pembinaan fasiliti kesihatan seperti Hospital Pendang yang bakal memuatkan 126 katil, dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.

Katanya pembinaan hospital yang menelan belanja RM222 juta itu bermula pada 7 Mei tahun lepas dan dijangka siap pada 1 Nov 2021.

Sementara itu, katanya pembinaan bangunan tambahan di Hospital Baling yang melibatkan kos sebanyak RM108 juta dimulakan pada 4 Mei tahun lalu dan dijangka siap pada 29 April 2021. –BERNAMA