Categories
AGENSI SELANGOR

Lanjut PKPB: SOP akad nikah, solat Jumaat kekal – Jais

SHAH ALAM, 8 NOV: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) masih mengekalkan tatacara operasi piawai (SOP) sama bagi upacara akad nikah di negeri ini susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad berkata arahan itu termasuk pelaksanaan solat fardu Jumaat dan solat lima waktu di masjid, surau kebenaran Jumaat serta surau seluruh negeri.

Menurutnya, ketetapan lama diteruskan berikutan kebimbangan terhadap situasi semasa pandemik Covid-19 di Selangor ketika ini.

“Tiada perubahan SOP (akad nikah, solat Jumaat dan solat lima waktu) memandangkan keadaan (Covid-19) tidak bertambah baik.

“Oleh itu, kita mengguna pakai SOP terakhir yang dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Ditanya sama ada perlu pertimbangan untuk memperketatkan lagi SOP sedia ada, Shahzihan berkata kemungkinan ada keperluan untuk berbuat demikian namun bukan dalam tempoh terdekat.

Sebelum ini, Jais memberi kelonggaran majlis akad nikah di Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) seluruh negeri dengan kehadiran dan jumlah janji temu terhad pada satu-satu masa mulai 2 November.

Kelonggaran tertakluk beberapa syarat iaitu pemohon lelaki dan perempuan sudah mendapat Kebenaran Berkahwin mengikut Seksyen 17 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 dari Paid.

Selain itu, hanya tiga orang dibenarkan hadir upacara akad nikah iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan dan wali manakala hanya lima akad nikah dibenarkan dalam satu hari pada hari Isnin hingga Jumaat (hari bekerja) bermula 9 pagi hingga 4 petang.

Jabatan tersebut juga menetapkan untuk tidak membenarkan solat Jumaat di masjid dan surau kebenaran Jumaat di daerah yang dikategorikan zon kuning serta merah.

Manakala, hanya enam orang sahaja dari kalangan pegawai dan ahli jawatankuasa dibenarkan mendirikan solat fardu lima waktu di masjid, surau kebenaran Jumaat serta surau.

Categories
AGENSI SELANGOR

Selangor tangguh majlis akad nikah di masjid, surau mulai esok

SHAH ALAM, 13 OKT: Selangor menangguhkan pelaksanaan majlis akad nikah di masjid dan surau seluruh negeri ini berkuat kuasa esok.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memaklumkan keputusan itu selaras pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini yang bermula esok.

“Pelaksanaan majlis akad nikah dengan kehadiran fizikal tidak melebihi tiga orang di pejabat agama Islam daerah hanya akan dilaksanakan setelah mendapat kelulusan khas,” kata Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad menerusi kenyataan.

Semalam Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula esok hingga 27 Oktober.

Keputusan dibuat selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes serta penularan yang berlaku seperti di Klang, Petaling dan Gombak.

Categories
AGENSI SELANGOR

Jais hanya tangguh aktiviti masjid di Salak Tinggi

SHAH ALAM, 7 OKT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hanya menangguhkan aktiviti sebuah masjid di Sepang kerana pernah menerima kunjungan menteri hal ehwal agama yang disahkan positif Covid-19.

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad berkata masjid dan surau lain di negeri ini dibuka seperti biasa manakala aktiviti di Masjid Jamek Sultan Hisamuddin Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang ditangguhkan untuk proses sanitasi.

“Kita tangguh aktiviti di masjid ini sehingga satu tarikh dimaklumkan kemudian. Jais sentiasa berhubung dengan pihak kesihatan daerah untuk perkembangan terkini bagi mengelak masjid dan surau jadi tempat penyebaran wabak,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hadir menyampaikan kuliah di Masjid Jamek Sultan Hisamuddin pada 3 Oktober.

Berikutan itu pengurusan masjid meminta jemaah yang hadir menjalani saringan Covid-19.

Zulkifli turut menghadiri beberapa program di Selangor antaranya di Darul Quran di Kuala Kubu Baru pada 3 Oktober dan kolej kediaman Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada 4 Oktober 2020.

Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: Jais terus pantau aktiviti rumah ibadat

SHAH ALAM, 4 OKT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sedia mengambil langkah pencegahan yang sesuai jika berlaku pertambahan kes positif Covid-19 membabitkan surau atau masjid.

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad berkata pemantauan masih dilakukan dan berharap ia tidak membabitkan rumah ibadat.

“Jais juga akan mengambil apa jua langkah pencegahan yang sesuai jika kes-kes melibatkan aktiviti di surau, masjid termasuk semua aktiviti berkaitan hal ehwal Islam di Selangor,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan tiga operasi rumah ibadat ditangguhkan buat sementara waktu selepas terdapat kes positif dan keadaan setakat ini terkawal.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

PKP: Jais anjur aktiviti agama pada Ramadan guna media sosial

SHAH ALAM,9 APRIL: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan menganjurkan aktiviti keagamaan melalui media sosial sepanjang Ramadan ini jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan, kata pengarahnya.

Mohd Shahzihan Ahmad berkata, sepanjang PKP dikuatkuasakan ketika ini beberapa penceramah sudah menggunakan kaedah tersebut.

“Kita tetap akan mengimarahkan bulan Ramadan dengan aktiviti keagamaan seperti sebelum ini.

“Kaedah tersebut akan diteliti, namun secara tidak rasmi beberapa ustaz ada memberikan ceramah dan tazkirah yang dibuat melalui cara itu sekarang,” katanya.

Pada 16 Mac lalu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan sepanjang PKP semua rumah ibadah hendaklah ditutup serta penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk solat Jumaat.

Susulan itu, Mufti Selangor, Dato’ Mohd Tamyes Abd Wahid turut menyarankan orang ramai melakukan solat tarawih secara berjemaah atau bersendirian di rumah sekiranya PKP disambung.

Categories
AGENSI SELANGOR

1,062 upacara akad nikah ditangguhkan – Jais

SHAH ALAM, 8 APRIL: Sebanyak 1,062 upacara akad nikah di Selangor terpaksa ditangguhkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bagi mencegah penularan Covid-19.

Menurut Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), daerah Klang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 190 pasangan, diikuti Petaling sebanyak 187 dan Hulu Langat 180.

Gombak pula merekodkan 134 pernikahan tertangguh, diikuti Kuala Langat (94), Hulu Selangor (85), Sepang (83), Kuala Selangor (72) dan Sabak Bernam (37).

Mulai 20 Mac, dua hari selepas PKP diperkenalkan, Jais menangguhkan urusan berkaitan permohonan kebenaran berkahwin dan juga majlis akad nikah sehingga perintah itu berakhir.

Langkah itu diambil selepas Jais mendapati beberapa jurunikah disyaki mempunyai kontak rapat dengan individu positif Covid-19.

 

MB: Jaga Kebajikan Umat Islam Elak Gejala Murtad

SHAH ALAM 23 NOV : Kebajikan umat Islam perlu dijaga dengan baik dalam usaha memantau gejala murtad daripada berleluasa.

Usaha itu perlu dijalankan secara konsisten dan berterusan kerana menurut Menteri Besar yang juga Exco Hal Ehwal Islam, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kemiskinan adalah antara punca umat Islam terpesong.

“Jadi, kebajikan mesti jadi tumpuan utama kerana mereka yang terjebak dalam gejala ini kebanyakannya terdesak akibat kemiskinan.

“Umat Islam seharusnya dijaga dengan baik oleh institusi Islam sendiri, barulah umat Islam itu kukuh dan kekal dengan Islam,” jelas beliau menjawab soalan daripada Adun Gombak Setia, Datuk Hasan Ali.

Justeru, beliau menggesa institusi seperti Lembaga Zakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lain-lain yang berkaitan untuk bekerjasama menjaga kebajikan umat Islam.

“Kita juga perlu adakan pemantauan yang efisyen dan cekap mengenai perkara ini dan meneliti perkara yang perlu diambil kira.

“Ia bukan usaha yang akan berjaya dalam satu hari namun ia adalah usaha berterusan yang memerlukan sokongan,” tambah beliau yang juga Adun Ijok.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan peranan Jabatan Agama Islam Selangor(Jais) dalam usaha memerangi gejala murtad.

“Jais mempunyai pasukan khas untuk memantau aktiviti dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap usaha pihak tertentu memurtadkan Umat Islam,” tegas beliau.