Categories
AGENSI SELANGOR

Kes Covid-19 di Selangor babit jangkitan tempatan

SHAH ALAM, 12 DIS: Semua 823 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Selangor hari ini merupakan jangkitan tempatan.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata 70 peratus iaitu 578 kes direkodkan di Hulu Langat dengan kluster Penjara Jalan Harapan menjadi penyumbang tertinggi.

“Diikuti Klang (102), Petaling (65), Gombak (36), Sepang (23), Kuala Langat (8), Kuala Selangor (6), Hulu Selangor (3) dan Sabak Bernam (2).

“Hari ini juga sebanyak 217 kes disahkan sembuh dan dibenarkan keluar hospital,” kata JKNS menerusi Facebook.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan Selangor mencatatkan kes tertinggi merangkumi 42.5 peratus dari 1,937 keseluruhan kes di negara ini.

Selain itu terdapat pertambahan satu kematian serta kluster baharu iaitu Dang Mutiara membabitkan jangkitan tempat kerja.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Klang kekal daerah tertinggi catat kes positif Covid-19

SHAH ALAM, 5 DIS: Jumlah kes positif Covid-19 di Selangor terus meningkat selepas 221 kes dilaporkan hari ini.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata jumlah itu membabitkan 216 jangkitan tempatan serta lima kes import dari India, Nepal, Azherbaijan, Singapura dan Emiriah Arab Bersatu.

“Klang kekal menjadi daerah mencatatkan kes tertinggi iaitu 74 dengan 22 di mukim Kapar dan 52 di Klang.

“Petaling (44), Hulu Langat (43), Kuala Langat (30), Gombak (20), Sepang (lima), Kuala Selangor (empat) dan Sabak Bernam (satu),” kata agensi itu menerusi Facebook hari ini.

JKNS turut melaporkan seramai 182 pesakit disahkan sembuh dan dibenarkan keluar hospital hari ini.

“Keseluruhan kes dicatatkan di negeri ini sebanyak 16,075. Dari jumlah itu 15,711 adalah jangkitan tempatan manakala 364 kes import,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Klang catat 173 kes baharu Covid-19, kekal tertinggi di Selangor

SHAH ALAM, 28 NOV: Klang hari ini kekal merekod kes harian Covid-19 tertinggi di negeri ini dengan 173 kes, meningkat 120 berbanding semalam.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata ia diikuti daerah Petaling yang merekod 33 kes, Hulu Langat (28), Kuala Langat (19) serta Gombak dan Sepang (masing-masing lima kes) selain setiap satu daerah satu kes di Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

“Setakat jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 266 kes baharu dicatatkan melibatkan 264 kes tempatan dan satu kes import,” kata agensi itu menerusi Facebook hari ini.

JKNS memaklumkan 489 kes pulih dan dibenarkan keluar hospital serta tiada kematian direkodkan hari ini.

Secara keseluruhan jumlah kes positif Covid-19 di Selangor setakat hari ini adalah 13,295 kes.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Klang catat 53 kes baharu Covid-19, tertinggi di Selangor

SHAH ALAM, 27 NOV: Klang terus mencatatkan bilangan kes positif tertinggi Covid-19 dengan 53 kes hari ini.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata ia diikuti daerah Kuala Langat dan Petaling (34), Hulu Langat (29), Gombak (12), Sepang (tujuh) dan Kuala Selangor (enam).

“Hari ini sebanyak 175 kes baharu termasuk satu jangkitan import dari Indonesia.

“Sehingga 12 tengah hari tadi, sebanyak 139 kes disahkan pulih dan dibenarkan keluar hospital,” kata agensi itu menerusi Facebook hari ini.

Hari ini, kes di Selangor meningkat kepada 13,029 selepas 176 kes dilaporkan.

Jumlah harian itu merupakan kedua tertinggi di negara ini, melibatkan 15.8 peratus dari jumlah 1,109 keseluruhan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tujuh kilang Top Glove di Jalan Teratai diarah tutup dua minggu

KLANG, 25 NOV: Tujuh daripada 28 kilang pengeluar sarung tangan terkenal Top Glove di sini diarah tutup mulai hari ini sehingga 8 Disember selepas merekodkan ribuan kes positif Covid-19.

Arahan penutupan sebahagian premis di Jalan Teratai itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

Pegawai Kesihatan Daerah Klang, Dr Masitah Mohamed berkata tindakan itu susulan peningkatan mendadak wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja kilang berkenaan.

“Penutupan hari ini adalah bagi fasa pertama dan akan ada kilang-kilang lain lagi yang akan ditutup. Terdapat empat fasa penutupan secara keseluruhannya.

Pengarah Urusan Top Glove, Dato’ Lee Kim Meow (tengah) memberi taklimat kepada pegawai yang menyertai operasi penutupan kilang Top Glove di Jalan Teratai, Klang pada 25 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Dalam tempoh 14 hari penutupan ini, pihak pengurusan kilang perlu melakukan saringan Covid-19 kepada pekerja, nyah kuman serta mematuhi tatacara operasi piawai (SOP),” katanya kepada SelangorKini selepas menampal notis di Kilang F4 Top Glove Jalan Teratai di sini hari ini.

Hadir sama Pegawai Daerah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin; Pengarah Urusan Top Glove, Dato’ Lee Kim Meow dan Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh.

Pada 23 November, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 28 kilang pengeluar sarung tangan, Top Glove di daerah Klang akan ditutup secara berperingkat.

Setakat semalam, seramai 4,036 orang disahkan positif Covid-19 bagi kluster Teratai, majoriti pekerja Top Glove, termasuk mereka yang tinggal di Kuala Lumpur.

Daripada jumlah berkenaan, 3,846 orang yang positif bukan warganegara daripada 5,777 orang disaring.

Categories
AGENSI SELANGOR

Tiga kes baharu Covid-19 di Selangor, satu kes import

SHAH ALAM, 25 JULAI: Tiga kes baharu Covid-19 di Selangor menjadikan keseluruhan 2,118 kes sehingga 12 tengah hari tadi.

Jabatan Kesihatan Selangor memaklumkan dua daripadanya membabitkan penularan tempatan manakala satu kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

“Dua kes tempatan masing-masing satu di mukim Cheras iaitu saringan kemasukan kerja manakala mukim Dengkil (saringan kontak rapat kluster rumah kongsi).

“Tiada kes pulih dan dibenarkan keluar hospital serta tiada kes kematian dicatatkan,” kata jabatan itu di Facebook.

Sementara itu, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) mengingatkan masyarakat supaya terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Pelitup muka sudah lama diwajibkan oleh Kerajaan Selangor sebagai langkah membanteras penyebaran virus Covid-19.

“Jadikan sebagai rutin harian anda pada setiap masa. Jangan disebabkan anda, negara lumpuh semula,” tulis pasukan itu.

Kes harian Covid-19 di Selangor mencatatkan satu angka selama 35 hari berturut-turut sejak 21 Jun lalu.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

25 premis makanan kotor, langgar SOP diarah tutup

SHAH ALAM, 18 JULAI: Sebanyak 25 premis makanan di Klang dan Kuala Selangor diarah tutup kerana mengabaikan aspek kebersihan termasuk gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman berkata arahan itu dikeluarkan dalam Ops Bersepadu Premis Makanan yang dijalankan ke atas 162 restoran dan kedai makan kelmarin.

“20 premis ditutup mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 dan lima premis ditutup atas kesalahan tidak mematuhi SOP PKPP di bawah Seksyen 18 (1)(f), Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Semua premis yang diarah tutup mengikut Akta Makanan 1983 diberi tempoh14 hari untuk melakukan kerja pembersihan manakala premis tidak mematuhi SOP PKPP diarah tutup tujuh hari,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata 146 notis kesalahan dengan nilai keseluruhan RM101,450 turut dikeluarkan kepada pemilik premis dan pekerja yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Katanya sebanyak 10 notis kesalahan melibatkan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dikeluarkan kepada pelanggan kerana merokok di premis makanan dengan nilai tawaran kompaun RM2,500.

Operasi tersebut diselaraskan Unit Inspektor dan Perundangan JKNS dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang dan Kuala Selangor dengan kekuatan 125 pegawai diberi kuasa termasuk 15 anggota polis.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kompleks Pasar Meru dibuka semula – JKNS

SHAH ALAM, 12 JUN: Kompleks Pasar Meru, Klang serta 15 premis lain sekitarnya yang diarah tutup minggu lalu dibenarkan beroperasi semula semalam selepas mematuhi arahan, kata pengarah kesihatan Selangor.

Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata bagaimanapun empat premis lagi masih ditutup kerana gagal mengikut arahan.

“Premis dibuka akan dipantau setiap masa bagi memastikan tatacara operasi piawaian (SOP) dipatuhi,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pada 5 Jun lalu, kompleks pasar berkenaan diarah tutup serta merta selepas pemilik premis melanggar SOP dengan tidak melakukan pemeriksaan suhu badan, pendaftaran peniaga, penjarakan sosial dan kemasukan pelanggan tanpa had.

Sementara itu, Dr Sha’ari berkata selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei, sebanyak 1,466 premis seluruh Selangor dipantau dan 55 darinya diarahkan tutup.

“Pantauan akan terus dilakukan bagi memastikan setiap pihak mematuhi ketetapan. Amalkan penjarakan, pakai pelitup muka dan kerap cuci tangan selain tidak bawa golongan berisiko ke tempat awam,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kos hantar ubat melalui pos ditanggung kerajaan tamat 30 Jun – JKNS

SHAH ALAM, 11 JUN: Kos penghantaran ubat melalui pos (UMP) yang ditanggung Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat pada 30 Jun ini.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dalam kenyataan memaklumkan pesakit akan menanggung semula caj perkhidmatan itu yang perlu dibayar secara tunai kepada Pos Malaysia semasa menerima bekalan ubat.

“Pesakit adalah digalakkan terus menggunakan perkhidmatan UMP ini bagi membolehkan ubat dihantar terus ke rumah tanpa perlu datang ke hospital atau klinik kesihatan untuk mengambil bekalan ubat susulan,” kata agensi itu.

Bermula 5 April lalu, JKNS menyediakan perkhidmatan penghantaran UMP bagi mengurangkan kesesakan di seluruh fasiliti kesihatan negeri itu.

Langkah itu bagi mengelakkan pesakit yang menghidap penyakit kronik dan memerlukan rawatan ubat terjejas selain mengekalkan jarak sosial sepanjang tempoh PKP.

Sehubungan itu, pesakit diminta menghubungi unit farmasi di fasiliti KKM yang didaftarkan semasa menerima rawatan untuk maklumat lanjut.

Categories
AGENSI SELANGOR

JKNS catat nilai kompaun RM30,750 larangan merokok

SHAH ALAM, 3 JAN: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengeluarkan 150 notis kesalahan merokok di premis makanan dengan nilai kompaun RM30,750 sepanjang penguatkuasaan larangan merokok sehingga semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dato’ Dr Khalid Ibrahim berkata, penguatkuasaan telah dijalankan di 562 premis mengikut Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018.

“Penguatkuasaan serentak telah berjalan di seluruh negeri melibatkan seramai 147 pegawai diberikuasa.

“Daripada jumlah tersebut, tujuh notis kesalahan itu melibatkan orang belum dewasa dan salah seorang daripadanya didapati bersalah kerana memiliki rokok elektronik.

“Bagi mereka yang telah menerima notis kesalahan kerana merokok di tempat makan dikenakan kompaun RM250 dan bagi orang belum dewasa adalah RM50,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, sebanyak 20 notis kesalahan dengan jumlah kompaun RM5,000 telah dikeluarkan kepada pemilik premis dengan 18 notis kesalahan kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan dua notis kerana menyediakan kemudahan merokok.

Dr Khalid berkata, JKNS memohon kerjasama semua pihak agar mematuhi larangan merokok bagi memastikan kesihatan masyarakat terjamin.