Categories
BERITA UTAMA EKONOMI NASIONAL

Putrajaya catat Perbelanjaan Penggunaan Isi Rumah Bulanan Purata tertinggi

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

SHAH ALAM 10 OKT: Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan Perbelanjaan Penggunaan Isi Rumah Bulanan Purata tertinggi di Malaysia pada 2016 mengikut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia dikeluarkan pada 9 Oktober iaitu pada RM6,971.

Ia diikuti oleh W.P. Kuala Lumpur (RM6,214), Selangor (RM5,183), Melaka (RM4,374), Pulau Pinang (RM4,190), Johor (RM4,148) dan W.P. Labuan (RM4,069).

Negeri-negeri lain merekodkan perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata di bawah paras nasional (RM4,033).

Statistik perbelanjaan penggunaan isi rumah itu diperoleh berdasarkan penemuan daripada Penyiasatan Perbelanjaan Isi Rumah (HES) yang dijalankan pada 2016 dan 2017.

Penyiasatan ini dilaksanakan melalui kaedah temu ramah bersemuka dalam tempoh 12 bulan sepanjang 2016, merangkumi kawasan bandar dan luar bandar di semua negeri.

Penyiasatan ini dijalankan menggunakan pensampelan berkebarangkalian mewakili semua isi rumah di Malaysia.

Perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata Malaysia telah meningkat daripada RM3,578 pada 2014 kepada RM4,033 pada 2016 iaitu pertumbuhan 6.0 peratus setahun pada nilai nominal.

Perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata di bandar menunjukkan peningkatan pada kadar 5.8 peratus setahun daripada RM3,921 kepada RM4,402.

Manakala di luar bandar juga meningkat pada kadar 5.7 peratus setahun daripada RM2,431kepada RM2,725 bagi tempoh 2014 hingga 2016.

 

=EZY=

 

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

Selangor sumbang KDNK 2016 terbesar negara 22.7%

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

SHAH ALAM 6 SEPT: Selangor menjadi negeri penyumbang terbesar negara dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk 2016 dengan sumbangan 22.7 peratus dalam laporan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini.

Enam negeri menyumbang 70.6 peratus kepada ekonomi nasional pada 2016.

Selangor menerajui dengan sumbangan 22.7 peratus diikuti oleh WP Kuala Lumpur (15.3 peratus), Sarawak (9.8 peratus), Johor (9.4 peratus), Pulau Pinang (6.7 peratus) danSabah (6.7 peratus).

Jabatan Perangkaan turut melaporkan lapan negeri melebihi paras pertumbuhan nasional (4.2 peratus) pada 2016.

Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan pertumbuhan 7.2 peratus diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (5.9 peratus), Johor (5.7 peratus), Pulau Pinang (5.6 peratus), Selangor (4.8 peratus),Kelantan (4.8 peratus), Sabah (4.7 peratus) dan Melaka (4.5 peratus).

EKONOMI SELANGORStruktur ekonomi adalah berbeza bagi setiap negeri. Dominasi sektor Perkhidmatan dapat dilihat di WP Kuala Lumpur (87.7 peratus), WP Labuan (76.2 peratus), Kelantan (66.4 peratus), Perlis (64.3 peratus), Perak (60.9 peratus), Selangor (60.1 peratus) dan Kedah (54.5 peratus).

Sumbangan sektor Perkhidmatan dan Pembuatan yang setara dapat dilihat di Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu dan Johor.

Sebaliknya, sektor Pertanian mempunyai sumbangan yang penting di Kelantan (24.6 peratus), Pahang (23.4 peratus), Perlis (21.6 peratus) dan Sabah (19.1 peratus).

Sektor Perkhidmatan disumbangkan sebahagian besarnya oleh Selangor dan WP Kuala Lumpur dengan masing-masing menyumbang 25.2 peratus dan 24.8 peratus.

Bagi kebanyakan negeri, aktiviti Borong dan Runcit merupakan pemacu utama sektor Perkhidmatan, kecuali bagi Terengganu, Perak, Perlis dan WP Labuan yang diterajui oleh Utiliti dan aktiviti Kewangan.

Sektor Pembuatan disumbangkan terutamanya oleh Selangor dengan sumbangan 28.9 peratus diikuti oleh Pulau Pinang dan Johor dengan masing-masing menyumbang 12.9 peratus dan 12.6 peratus.

KDNK Per Kapita di peringkat nasional meningkat daripada RM37,123 kepada RM38,887.

KDNK Per Kapita bagi enam negeri melebihi paras nasional yang diterajui oleh WP Kuala Lumpur (RM101,420) diikuti oleh WP Labuan (RM61,833), Pulau Pinang (RM47,322), Selangor (RM44,616), Sarawak (RM44,333) dan Melaka (RM41,363).

=EZY=