Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Purata gaji, upah bulanan pekerja pada 2019 meningkat 4.4 peratus

PUTRAJAYA, 17 SEPT: Purata gaji dan upah bulanan diterima pekerja di negara ini meningkat daripada RM3,087 pada 2018 kepada RM3,224 atau 4.4 peratus pada 2019, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata data itu diperoleh melalui Laporan Survei Gaji dan Upah Malaysia 2019 yang diterbitkan pihaknya hari ini.

“Peningkatan gaji dan upah pada 2019 adalah selari dengan prestasi ekonomi Malaysia yang merekodkan pertumbuhan 4.4 peratus pada harga semasa pada 2019,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Laporan itu membekalkan statistik utama gaji dan upah iaitu penengah dan purata gaji dan upah bulanan mengikut ciri-ciri demografi juga sosioekonomi.

Mengulas lanjut mengenai laporan itu, Mohd Uzir berkata bilangan penerima gaji dan upah di Malaysia adalah seramai 9.2 juta orang pada 2019, meningkat 5.0 peratus daripada 8.8 juta orang pada 2018.

Nilai penengah gaji dan upah bulanan juga mencatatkan peningkatan daripada RM2,308 pada 2018 kepada RM2,442 (peningkatan 5.8 peratus) pada 2019.

“Pada 2019 didapati penengah gaji dan upah bulanan yang diterima oleh pekerja lelaki adalah RM2,477 dan pekerja perempuan RM2,370 iaitu masing-masing meningkat 5.8 peratus dan 6.4 peratus berbanding 2018.

“Purata gaji dan upah bulanan pekerja lelaki meningkat 4.1 peratus kepada RM3,304 dan pekerja perempuan meningkat 5.0 peratus kepada RM3,108 berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Mohd Uzir berkata nilai penengah dan purata gaji juga upah bulanan untuk pekerja berpendidikan tinggi kekal tinggi, iaitu masing-masing bertumbuh pada kadar 6.9 peratus dan 2.0 peratus.

Laporan itu turut menunjukkan penengah gaji dan upah bulanan bagi pekerja di bandar meningkat kepada RM2,565 iaitu pada kadar 6.2 peratus berbanding pekerja di luar bandar meningkat kepada RM1,560 iaitu pada kadar 5.3 peratus.

“Sementara itu, purata gaji dan upah bulanan pula menunjukkan trend sebaliknya iaitu kadar perubahan peratus gaji dan upah di luar bandar lebih tinggi (6.0 peratus) berbanding pekerja di kawasan bandar (4.0 peratus) bagi tahun 2019,” katanya.

Mohd Uzir berkata bagi tahun ini, dijangkakan penularan wabak Covid-19 bakal memberi kesan kepada gaji dan upah yang diterima pekerja terutamanya dalam industri perdagangan borong dan runcit; pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal serta industri pengangkutan dan penyimpanan.

Selain itu, industri penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman dan aktiviti kesenian, hiburan dan rekreasi juga bakal terkesan berikutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tambahnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Nilai jualan dagang borong, runcit semakin pulih

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Nilai jualan perdagangan borong dan runcit mencatatkan RM108.7 bilion, semakin pulih daripada -8.4 peratus pada Jun 2020 kepada -3.5 peratus pada Julai 2020 bagi pertumbuhan tahun ke tahun, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata ini merupakan nilai jualan tertinggi sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan disebabkan oleh Covid-19.

“Semua subsektor terus menunjukkan pemulihan, didorong oleh kenderaan bermotor yang melonjak semula kepada 1.7 peratus berbanding Julai 2019 untuk merekodkan RM13.9 bilion.

“Perdagangan runcit turut berada di landasan pemulihan untuk mencatatkan -3.8 peratus daripada -9.2 peratus pada bulan sebelumnya.

“Perdagangan borong juga bertambah baik daripada -8.7 peratus pada Jun 2020 kepada -4.5 peratus pada Julai 2020,” katanya.

Beliau berkata pertumbuhan yang memberangsangkan ini adalah berikutan pengecualian cukai jualan yang diumumkan oleh kerajaan melalui Penjana.

Katanya, indeks jualan runcit dalam talian yang menggambarkan aktiviti e-dagang turut berkembang dengan merekodkan 34.7 peratus berbanding Julai 2019.

Dari segi indeks volum, Mohd Uzir berkata perdagangan borong dan runcit menyusut kepada -3.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Ekonomi suku kedua kuncup 17.1 peratus, terburuk sejak 1998

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Ekonomi Malaysia menguncup 17.1 peratus dalam suku kedua 2020, penyusutan dua angka bagi suku yang terburuk sejak 1998 berikutan pelaksanaan perintah kawalan tidak dijangkakan bagi membendung penularan Covid-19 dan menyaksikan ekonomi hampir tidak bergerak.

Pada suku keempat 1998, Malaysia mencatatkan penyusutan dua angka sebanyak 11.2 peratus dan pada suku kedua 2019, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah 4.9 peratus.

Bagi suku ini, semua sektor-sektor perkhidmatan, perlombongan dan kuari dan pembinaan masing-masing susut 16.2 peratus, 18.3 peratus, 20 peratus dan 44.5 peratus, kata Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

Sektor pertanian bagaimanapun mencatatkan pertumbuhan sebanyak 1.0 peratus.

Susulan pertumbuhan kecil sebanyak 0.7 peratus bagi suku pertama tahun ini, KDNK bagi separuh pertama mencecah -8.3 peratus berbanding 4.7 peratus dalam separuh pertama tahun lepas, kata beliau pada sidang media, hari ini.

Hadir sama, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Di peringkat serantau, Singapura mencatatkan penyusutan KDNK sebanyak 12.6 peratus manakala Filipina menguncup 16.5 peratus dan Indonesia susut pada 5.3 peratus.

Malaysia telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac, 2020 yang menyaksikan ekonomi beroperasi pada kapasiti sebanyak 45 peratus.

Ini disusuli dengan PKP Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei dan seterusnya PKP Pemulihan pada 10 Jun-31 Ogos, 2020 yang membawa kepada pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur.

Mengulas perkara itu, Nor Shamsiah berkata campur tangan agresif yang dilaksanakan oleh kerajaan telah membolehkan pemulihan ekonomi secara lebih pantas.

Menurutnya, BNM telah menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK 2020 kepada -3.4 hingga -5.5 peratus daripada -2 hingga 0.5 peratus sebelum ini berikutan anggaran awal itu berdasarkan tempoh PKP selama empat minggu berbanding tujuh minggu.

Ekonomi juga dijangka pulih dan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.5 peratus kepada 8 peratus pada 2021.

Unjuran pertumbuhan lebih baik dalam separuh kedua 2020 dan 2021 adalah berdasarkan kepada peningkatan berterusan persekitaran luaran, normalisasi aktiviti ekonomi secara beransur-ansur dan keadaan pasaran tenaga kerja, projek-projek pelaburan baharu, permintaan terhadap produk-produk teknologi dan penjagaan kesihatan serta pengembangan dalam kapasiti pengeluaran berkaitan komoditi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perangkaan: Hasil sektor perkhidmatan susut pada suku kedua 2020

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Prestasi sektor perkhidmatan bagi suku kedua tahun 2020 merekodkan pertumbuhan negatif 24.0 peratus kepada RM335.6 bilion berbanding suku tahun yang sama tahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan merosot 23.7 peratus kepada RM266.5 bilion, penurunan terbesar direkodkan sejak tahun 2013.

“Ini diikuti oleh segmen maklumat dan komunikasi dan pengangkutan dan penyimpanan yang menyusut sebanyak 21.3 peratus kepada RM51.9 bilion sementara segmen kesihatan, pendidikan dan kesenian, hiburan dan rekreasi turun 41.7 peratus kepada RM9.6 bilion.

“Di samping itu, segmen profesional dan ejen hartanah juga berkurangan 20.9 peratus kepada RM7.6 bilion,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Mohd Uzir berkata jumlah hasil bagi perbandingan suku tahun telah menunjukkan penurunan sebanyak RM102.3 bilion atau 23.4 peratus kepada RM335.6 bilion.

Beliau menambah jumlah pekerja dalam sektor ini adalah seramai 3.7 juta orang, turun sebanyak 115,400 orang atau 3.1 peratus berbanding suku tahun yang sama tahun lepas.

Penurunan ini disebabkan oleh segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan dengan kemerosotan sebanyak 94,817 orang atau 3.4 peratus.

Bagi perbandingan suku tahun, jumlah pekerja telah berkurangan sebanyak 96,314 orang pekerja atau 2.6 peratus.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir Mahidin berkata ini adalah selari dengan penurunan dalam jumlah pekerja, gaji dan upah yang dibayar berjumlah sehingga RM23.5 bilion, susut 6.4 peratus berbanding tahun ke tahun.

Ia dipengaruhi oleh segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan dengan penurunan sebanyak RM516.0 juta atau 3.5 peratus.

Bagi perbandingan antara suku tahun, gaji dan upah jatuh sebanyak RM1,429.7 juta atau 5.7 peratus.

“Prestasi sektor perkhidmatan pada suku kedua 2020 menunjukkan kadar pertumbuhan yang paling rendah akibat penularan wabak Covid-19.

“Pelaksanaan pakej rangsangan dan rancangan ekonomi jangka pendek untuk mengurangkan kesan Covid-19 dijangka dapat memacu pemulihan ekonomi negara pada suku tahunan akan datang,” jelas beliau.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bayi 2020 dijangka hidup lebih lama sehingga 74.9 tahun

PUTRAJAYA, 23 JULAI: Bayi yang lahir pada tahun ini dijangka boleh hidup sehingga berumur 74.9 tahun, hampir lima bulan lebih lama berbanding 74.5 tahun pada tahun 2014.

Perkara ini didedahkan dalam Jadual Hayat Ringkas, Malaysia 2018-2020 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dikeluarkan hari ini. Penerbitan itu mengandungi jadual hayat mengikut umur, kumpulan etnik dan jantina serta perbezaan mengikut negeri untuk tahun 2018-2020.

Mengulas mengenai penerbitan itu, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata secara purata, jangkaan hayat bagi bayi perempuan yang lahir pada 2020 ialah 77.6 tahun, lima tahun lebih lama berbanding bayi lelaki iaitu 72.6 tahun.

“Pada 2020, lelaki dan wanita yang mencecah umur 15 tahun masing-masing dijangka hidup selama 58.4 dan 63.2 tahun,” katanya.

Beliau berkata jangkaan hayat pada umur 60 tahun meningkat iaitu lelaki dijangka hidup selama 18.4 tahun lagi manakala wanita 21.2 tahun.

Berdasarkan anggaran penduduk pada 2020, beliau berkata penduduk berusia 60 tahun dan ke atas meningkat kepada 3.5 juta orang berbanding 3.4 juta pada 2019.

Mohd Uzir berkata tiga negeri mencatatkan jangkaan hayat tertinggi untuk lelaki ialah Sarawak (74.6 tahun), Kuala Lumpur (74.5 tahun) dan Selangor (73.8 tahun) manakala bagi wanita ialah Kuala Lumpur (79.4 tahun), Pulau Pinang (78.9 tahun) dan Sarawak (78.4 tahun).

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PENDIDIKAN

Siswazah bekerja meningkat 6.9 peratus pada 2019

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Bilangan siswazah yang bekerja meningkat 6.9 peratus pada 2019 kepada 4.25 juta orang berdasarkan Statistik Siswazah 2019 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata daripada jumlah siswazah yang bekerja itu, lelaki meliputi 49.8 peratus (2.11 juta orang) sementara perempuan merangkumi 50.2 peratus (2.13 juta orang).

“Melihat kepada kebolehpasaran siswazah mengikut sijil tertinggi yang diperoleh, didapati siswazah bekerja berkelulusan ijazah mencatatkan peningkatan yang lebih tinggi iaitu 8.5 peratus berbanding siswazah berkelulusan diploma dengan 4.9 peratus.

“Dari aspek tahap kemahiran, kebanyakan siswazah bekerja dalam kategori mahir, iaitu sebanyak 73.3 peratus (3.11 juta orang), bersesuaian dengan kelayakan mereka sebagai siswazah, manakala siswazah bekerja dalam kategori separuh mahir mewakili 25.6 peratus atau 1.09 juta orang pada tahun 2019,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata dari segi aktiviti ekonomi, 79.6 peratus siswazah tertumpu di sektor perkhidmatan merekodkan 3.38 juta orang dan diikuti oleh pembuatan (538,600 orang), pembinaan (226,100), pertanian (57,000) dan perlombongan dan pengkuarian (43,200).

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata kadar pengangguran siswazah pada tahun lepas kekal 3.9 peratus dengan 170,300 penganggur siswazah, manakala siswazah yang aktif mencari pekerjaan merangkumi 74.8 peratus iaitu 127,400 orang.

“Daripada jumlah itu, lebih 80 peratus menganggur bagi tempoh kurang daripada enam bulan manakala hanya 8.1 peratus menganggur bagi tempoh 12 bulan dan lebih,” katanya.

Beliau berkata jumlah siswazah di dalam negara adalah 5.29 juta orang merangkumi 21.3 peratus daripada populasi umur bekerja pada 2019 dan hampir 90 peratus daripada siswazah berada dalam tenaga buruh dengan kadar 83.5 peratus (4.4 juta orang).

“Walaupun majoriti siswazah adalah perempuan, kadar penyertaan tenaga buruh siswazah perempuan adalah lebih rendah (79.8 peratus) berbanding lelaki yang merekodkan kadar 87.7 peratus,” katanya.

Katanya, bagi siswazah luar tenaga buruh pula, ia meningkat 7.6 peratus kepada 869,800 orang, merangkumi 16.5 peratus daripada keseluruhan siswazah.

“Sumbangan peratusan terbesar luar tenaga buruh iaitu sebanyak 36.8 peratus adalah disebabkan kerja rumah atau tanggungjawab keluarga iaitu 319,900 orang…mereka ini dilihat sebagai kumpulan yang berpotensi untuk menyertai pasaran buruh.

“Di samping itu, mereka yang bersara atau lanjut usia meliputi 30.0 peratus (260,700 orang) diikuti dengan masih belajar atau program latihan iaitu 27.6 peratus (239,900 orang),” katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata Survei Gaji & Upah 2019 yang dilaksanakan oleh DOSM mendapati bahawa penengah gaji dan upah bulanan siswazah dengan pekerjaan utama sepenuh masa adalah RM4,371 berbanding 2018 sebanyak RM3,936.

Katanya, siswazah bekerja dalam kategori mahir menerima RM5,175 manakala kategori separuh mahir menerima RM2,300.

Merumuskan berkenaan penemuan statistik siswazah, beliau menambah: “Berhubung jawatan kategori mahir yang perlu diisi oleh siswazah, Statistik Guna Tenaga Suku Tahunan melaporkan kadar kekosongan jawatan kategori mahir di pertubuhan formal sektor swasta pada 2019 adalah 2.3 peratus dengan 48,300 kekosongan jawatan.

“Ini jauh lebih rendah berbanding bilangan keluaran siswazah setahun iaitu dalam lingkungan 300,000 orang…sehubungan itu, antara laluan alternatif bagi menyokong kemasukan siswazah baharu ke dalam pasaran buruh dapat diterokai melalui bidang keusahawanan dengan memanfaatkan revolusi platform digital.”

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jabatan Perangkaan: Kumpulan isi rumah B40, M40, T20 terbahagi pada 10 kategori

SHAH ALAM, 15 JULAI: Kumpulan isi rumah B40, M40 dan T20 boleh diperincikan kepada 10 kategori berdasarkan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2019, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata B40 boleh diperincikan kepada B1, B2, B3 dan B4; M40 kepada M1, M2, M3 dan M4 manakala T20 kepada T1 dan T2.

“Bagi kumpulan isi rumah B40, mereka yang berpendapatan bawah RM2,500 boleh diletakkan dalam kategori B1, RM2,501 hingga RM3,169 dalam B2, RM3,170 hingga RM3,969 pula dalam B3, manakala RM3,970 hingga RM4,849 adalah di bawah B4,”katanya kepada Bernama.

Menurutnya bagi kumpulan M40, M1 adalah isi rumah berpendapatan antara RM4,850 hingga RM5,879, M2 untuk berpendapatan dari RM5,880 hingga RM7,099, M3 untuk RM7,110 hingga RM8,699 dan M4 pula berpendapatan antara RM8,700 hingga RM10,959.

Bagi T20, isi rumah yang berpendapatan antara RM10,961 hingga RM15,039 adalah dalam kategori T1 manakala T2 dengan isi rumah berpendapatan RM15,040 dan ke atas.

“Perincian pengkelasan ini membolehkan perancangan, pemantauan dan program yang lebih bersasar dapat dilaksanakan bagi merapatkan jurang pendapatan antara isi rumah,” katanya semasa membentangkan Laporan Penemuan dan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2019, di sini.

Mohd Uzir berkata, Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2019 menunjukkan kumpulan B40 pada tahun 2019 merangkumi kira-kira 2.91 juta isi rumah, M40 membabitkan 2.91 juta isi rumah dan kira-kira 1.46 juta isi rumah berada dalam kumpulan T20.

Survei yang dijalankan Jabatan Perangkaan melalui kaedah temu ramah secara bersemuka dalam tempoh 12 bulan bermula Januari 2019 itu melibatkan 7.3 juta isi rumah warganegara Malaysia.

Categories
AGENDA NASIONAL

Petunjuk awal ekonomi kurang memberangsang, langkah dinamik ubah struktur

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Daripada petunjuk awal yang dikumpulkan pada April dan Mei 2020, persekitaran ekonomi diunjur kurang memberangsangkan bagi perniagaan Malaysia disokong oleh Petunjuk Utama (LI) terbaharu yang memberi isyarat kemelesetan ekonomi dalam tempoh empat hingga enam bulan akan datang.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata langkah-langkah dinamik diperlukan bagi mengubah struktur ekonomi semasa yang bergantung besar kepada industri berasaskan komoditi dan industri tokokan nilai rendah yang mengupah pekerja berkemahiran rendah dan separa mahir dengan bayaran upah rendah.

Beliau berkata kaedah baharu menjalankan perniagaan dan mempelbagaikan ekonomi amat dicari dengan menerima pakai kemajuan teknologi seperti Revolusi 4.0 dan pendigitalan ekosistem perniagaan.

Susulan penggunaan teknologi baharu, beliau berkata proses perniagaan akan mewujudkan persekitaran kerja yang baik dan pasaran buruh yang lebih kondusif dan mampan.

“Selain itu, gangguan dalam permintaan buruh bagi graduan baharu untuk memasuki pasaran buruh dijangkakan pada separuh kedua 2020. Oleh itu, penting bagi memastikan golongan ini serta penggangur sedia ada ditangani bagi membendung mereka daripada kegelisahan sosial.

“Bagi manangani ini, satu dana khas amat diperlukan untuk meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula, meningkatkan latihan bagi keusahawanan dan kemahiran digital,” katanya semasa membentangkan Tinjauan Perangkaan Ekonomi Malaysia (MESR) Jabatan Perangkaan Malaysia semasa sidang media menerusi dalam talian semalam.

Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata pandemik Covid-19 akan memberikan impak yang lebih besar kepada ekonomi kerana ia akan menjejaskan perniagaan dan gaya hidup pengguna yang membawa kepada transformasi bagaimana mereka bekerja, membeli belah dan menjalani kehidupan.

“Sehubungan ini, penting bagi sektor awam dan swasta untuk bersinergi dalam mendepani situasi semasa dan merancakkan semula ekonomi Malaysia dengan segera,” katanya.

Sementara itu, katanya, MESR adalah inisiatif pertama dan terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), yang menyediakan maklumat bermanfaat kepada pihak berkepentingan dan kerajaan dalam mempercepatkan dasar strategik bagi menangani krisis ekonomi dengan cekap dalam mengatasi cabaran yang dihadapi oleh rakyat Malaysia.

Beliau berkata laporan yang mempunyai maklumat komprehensif mengenai data bagi industri utama di Malaysia bukan sahaja sebagai bahan rujukan kepada penyelidik tetapi juga untuk para pelabur, peniaga, pembuat dasar dan kerajaan.

“DOSM juga sedang dalam usaha untuk mempercepatkan penerbitan bagi data import dan eksport untuk rujukan pihak berkepentingan, dan kami sedang menyusun kaedah yang sesuai.

“Kami juga sedang sediakan ‘dashboard’ khas statistik utama yang akan dikeluarkan dalam bentuk mingguan contohnya kadar komersil bagi hotel-hotel dan jumlah kenderaan di lebuhraya,” kata Mohd Uzir.

Selain itu ketika mengulas mengenai banci penduduk perumahan beliau berkata, DOSM dengan kerjasama agensi negeri telah bersedia untuk menjalankan bancian itu dan kali ini ia akan dilaksanakan secara dalam talian dan akan dimulakan pada 7 Julai ini.

“Data banci adalah penting untuk memastikan keberkesanan penggunaan sumber dan peruntukkan dapat beri kesan optimum, selain itu bagi kerja-kerja di lapangan iaitu bancian dari rumah ke rumah akan dimaklumkan selepas mendapat keputusan daripada kerajaan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah perdagangan Malaysia berkurangan RM151.8 bilion pada Ogos

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Jumlah perdagangan Malaysia berjumlah RM151.8 bilion pada Ogos, 2019, susut RM10.7 bilion atau 6.6 peratus berbanding Ogos 2018, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport menurun sedikit sebanyak 0.8 peratus kepada RM81.4 bilion tahun ke tahun, manakala eskport semula bernilai RM13.4 bilion, merekodkan penurunan sebanyak 0.3 peratus tahun ke tahun dan menyumbang 16.5 peratus daripada jumlah eksport.

“Eksport domestik juga mencatatkan penurunan sebanyak 0.8 peratus atau RM581.7 juta kepada RM67.9 bilion. Import turut merosot sebanyak 12.5 peratus tahun ke tahun kepada RM70.4 bilion,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jabatan itu berkata, penurunan eksport itu adalah disebabkan kejatuhan eksport ke Hong Kong (-RM911.5 juta), Singapura (-RM844.9 juta), Australia (-RM818.1 juta), Taiwan (-RM690.2 juta) dan Thailand (-RM382.1 juta).

Sementara itu, import lebih rendah terutamanya dari China (-RM1.9 bilion), Kesatuan Eropah (- RM1.6 bilion), Singapura (-RM1.6 bilion), Taiwan (-RM1.4 bilion) dan Arab Saudi (- RM942.1 juta).

Produk utama yang menyumbang kejatuhan ialah barangan elektrik dan elektronik (-RM2.4 bilion), petroleum mentah (-RM1.3 bilion) dan gas asli cecair (-RM366.6 juta).

Bagaimanapun, produk-produk berikut mencatatkan peningkatan; minyak kelapa sawit dan hasil keluaran berasaskan minyak kelapa sawit (+RM844.3 million), keluaran petroleum bertapis (+RM349.6 juta), kayu dan hasil keluaran kayu (+RM34.5 juta) dan getah asli (+RM12.6 juta).

Sementara itu, semua kategori utama import mengikut klasifikasi pengguna akhir merekodkan penurunan iaitu barangan perantaraan (-RM6.3 bilion), barangan modal (-RM3.6 bilion) dan barangan pengguna (-RM909.8 juta).

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Perbelanjaan pelancongan domestik catat RM92.6 bilion

PUTRAJAYA, 28 JUN: Pelancongan domestik merekodkan jumlah perbelanjaan RM92.6 bilion pada 2018, meningkat 11.4 peratus berbanding RM83.1 bilion pada tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan itu dipacu oleh peningkatan perbelanjaan oleh pelancong dan pelawat harian iaitu masing-masing merekodkan perbelanjaan sebanyak RM60.41 bilion dan RM32.15 bilion.

“Membeli-belah mencatatkan peratus sumbangan tertinggi daripada keseluruhan jumlah perbelanjaan oleh pelawat domestik untuk perjalanan,” katanya dalam kenyataan hari ini berhubung laporan survei pelancongan domestik 2018.

Menurut Mohd Uzir, bilangan pelawat domestik meningkat kepada 221.3 juta pada tahun 2018 dengan pertumbuhan sebanyak 7.7 peratus.

“Dari segi volum jumlah perjalanan, pelawat domestik telah melakukan sejumlah 302.4 juta perjalanan di dalam negara di mana 40.6 peratus dari keseluruhan perjalanan adalah bagi tujuan melawat saudara-mara dan rakan,” katanya.

Beliau berkata trend itu adalah selari dengan budaya penduduk Malaysia yang pulang ke kampung pada musim perayaan.

Mohd Uzir berkata Selangor adalah negeri paling ramai dikunjungi oleh pelawat domestik pada 2018 iaitu seramai 30.2 juta, diikuti Sabah (20.4 juta), Sarawak (19.4 juta), Kuala Lumpur (19.2 juta) dan Pahang (18.1 juta). – BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang sederhana pada Julai-September 2019

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka menyederhana pada Julai hingga September 2019, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Dalam Laporan Penunjuk Ekonomi Malaysia : Indeks Pelopor, Serentak & Susulan bagi bulan rujukan Mac 2019 yang dikeluarkan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata perubahan tahunan Indeks Pelopor (IP) menunjukkan peningkatan kepada negatif 1.7 peratus daripada negatif 2.8 peratus pada Februari 2019.

Komposit IP itu disusun untuk memantau arah ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Bagaimanapun, perubahan bulanan IP pada Mac 2019 mencatat pertumbuhan 0.7 peratus kepada 117.1 mata daripada 116.3 mata dalam bulan sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh peningkatan Penawaran Wang Benar atau M1 (0.4 peratus) dan Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain (0.3 peratus).

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata Indeks Serentak (IS) yang menggambarkan keadaan ekonomi semasa, susut 0.1 peratus pada Mac lepas.

Tiga daripada enam komponen telah memperlahankan prestasi IS terutamanya komponen Gaji & Upah Benar di sektor pembuatan (-0.3 peratus).

“Bagaimanapun, perubahan tahunan IS tumbuh 2.2 peratus pada Mac 2019,” katanya. – BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor pendapatan isi rumah bulanan purata ketiga tertinggi

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

SHAH ALAM 10 OKT: Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan Selangor negeri ketiga tertinggi pendapatan isi rumah bulanan purata pada 2016 dengan kadar RM9,463.

Pendapatan tertinggi negara adalah W.P. Kuala Lumpur merekodkan pendapatan isi rumah bulanan purata pada (RM11,692) diikuti kedua oleh W.P. Putrajaya (RM11,555).

Negeri-negeri lain merekodkan pendapatan isi rumah bulanan purata di bawah paras nasional (RM6,958).

Pendapatan isi rumah bulanan purata bagi semua negeri telah meningkat di mana lima negeri melebihi kadar purata pertumbuhan nasional iaitu 6.2 peratus.

Terengganu mencatatkan kadar pertumbuhan tertinggi iaitu sebanyak 9.1 peratus, diikuti oleh Perak (8.6%), Pahang (7.2%), Selangor (6.8%) dan Kelantan (6.3%).

 

Pendapatan Isi Rumah Peringkat Daerah Pentadbiran

Daerah pentadbiran Sepang (RM8,174), Petaling (RM7,904), Gombak (RM7,903), Hulu Langat (RM7,851), Klang (RM6,724) dan Johor Bahru (RM6,518) mencatatkan Pendapatan bulanan isi rumah penengah tertinggi daripada 140 daerah pentadbiran pada 2016.

Trend yang sama juga ditunjukkan dalam pendapatan bulanan isi rumah purata. Kedudukan dalam kumpulan enam tertinggi ini adalah tidak berubah berbanding 2014.

Tujuh belas daerah mencatatkan nilai pendapatan isi rumah penengah melebihi paras penengah nasional iaitu RM5,228 dan 11 daerah mempunyai nilai pendapatan isi rumah purata melebihi paras purata nasional iaitu RM6,958.

=EZY=